Monday, February 9, 2009

Tentang HATI?????

Di dalam kehidupan ini, insane bertarung dengan dirinya sendiri. Adakalanya ia menang dan adakalanya ia kecundang atau ia tetap dalam pertarungan yang berterusan itu. Sememangnya pertarungan ini akan berterusan sehinggalah ajal maut menjemputnya. Medan pertarungan tersebut itulah namanya HATI.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
”Dibentangkan fitnah ke atas HATI manusia seperti jalinan tikar, satu demi satu, maka mana-mana hati yang menerimanya akan dititik dengan titik hitam. Mana HATI yang menolaknya pula akan dititik dengan titik putih, sehingga HATI itu menjadi salah satu dari dua HATI tadi. Satu putih melepak seperti batu putih yang tidak dapat dicacati oleh sebarang fitnah, manakala satu lagi adalah HATI yang hitam legam yang tidak lagi mengenali sebarang kebaikan dan tidak menolak sebarang kemungkaran.” [H.R. Bukhari]

Jadi HATI ini bertarung dengan siapa? Syaitan? Nafsu? Atau manusia?

Maka lawannya adalah dengan dirinya sendiri. Maka yang selalu menguasai diri kita ini kalau tidak lain adalah hawa nafsu. Ada 3 golongan yang bertarung di medan pertarungan yang namanya HATI ini.

Diriwayatkan dalam satu kisah oleh Wahab bin Munabbih yang mengatakan:
”Sesungguhnya Iblis pernah bertemu dengan Nabi Yahya bin Zakaria ’alaihissalam, lalu Nabi Yahya berkata kepada Iblis; ”Ceritakan kepadaku tabi’at perangai manusia menurut pandangan kamu”. Lalu Iblis menjawab:
i. Golongan pertama dari manusia ialah seperti kamu ini. Mereka ini terpelihara (dari kejahatan dan dosa).
ii. Golongan yang kedua adalah mereka dalam genggaman kami sebagaimana bola berada di tangan anak-anak kecil itu. Mereka menyerah diri mereka bulat-bulat kepada kami.
iii. Golongan yang ketiga ialah golongan yang sangat sukar untuk kami kuasai mereka. Kami menemui salah seorang daripada mereka dan kami berjaya memperdayakannya dan mencapai hajat kami tetapi ia segera memohon keampunan (bila ia sedar) dan dengan istighfar itu rosaklah apa yang kami dapati darinya. Maka kami tetap tidak berputus asa untuk menggodanya dan kami tidak akan mendapati hajat kami tercapai.

Takutlah bahawa kita digolongkan sepertimana Allah Taala berfirman:

Dengan yang demikian, Bagaimana fikiranmu (Wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan Dia berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” [al-Jathiyah 45: 23]

Mereka inilah golongan yang hidup dengan keseronokan di atas muka bumi ini dan ingin hidup berkekalan di dunia. Mereka adalah orang-orang kafir dan orang yang mengikuti jejak langkah mereka. Golongan ini melupai (kebesaran dan ni’mat) Allah, lalu Allah juga membiarkan mereka.

Dalam menentang hawa nafsunya, ada kalanya manusia mencapai kemenangan dan ada kalanya mereka kecundang. Apabila mereka terlibat dalam kesalahan mereka segera bertaubat memohon keampunan Yang Maha Pengampun. Begitu juga bila mereka bermaksiat mereka segera sedar dan menyesal seterusnya memasang azam dan tekad agar tidak kembali semula pada dosa yang dilakukannya. Allah berfirman:

”Dan juga orang-orang Yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).” [ali-Imran 3 : 135]

Inilah golongan yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:
”Setiap anak Adam (manusia) itu melakukan kesalahan, sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan (dosa) ialah mereka yang bertaubat”. [H.R. Ahmad dan Tirmizi]

HATI adalah seperti sebuah bekas minuman, air yang dituang ke dalamnya pasti akan mengikut rupa bekas itu. Samalah seperti segala apa yang disimpan di dalam HATI itu. Di dalam HATI inilah tersimpan segala macam perkara seperti rahsia-rahsia peribadi, pendaman geram, perasaan kasih, keinginan-keinginan dan banyak lagi. Kerana itulah di dalam peribahasa kita ada menyebutkan ”Rambut sama hitam, tapi HATI lain-lain” dan juga ”Lautan dalam boleh ku selam, tapi lautan hati apa kan daya”. Sememangnya HATI ini mempunyai misterinya yang tersendiri. Kadang-kadang diri sendiri tersesat di dalam misteri HATInya sendiri.

Maka di situlah saatnya HATI itu perlu menyinar kembali melimpahkan cahaya keseluruh lubuk HATI agar tiada lagi keraguan dan tiada lagi kaburan yang menjadi beban kepada dirinya sendiri. Saat HATI itu bersinar-sinar dengan cahaya yang jelas memberikan suasana yang indah lagi berseri-seri. Menyambut datangnya hari yang baru untuk perubahan yang baru. Melupakan kekesalan gelap gelita yang telah dilaluinya.

Tetapi sekiranya HATI manusia mula mati, atau menjadi keras, apabila cahaya HATI manusia telah padam dan tidak bersinar lagi atau apabila ia telah tumpas dalam pertarungannya menghadapi syaitan maka terbukalah pintu-pintu masuk segala kejahatan terutama ke dalam dirinya, kerana syaitan itu meresap di dalam diri anak Adam sebagaimana pengaliran darah di dalam tubuhnya. Allah Taala berfirman:

”Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) Demi Sesungguhnya Aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu Yang lurus; "Kemudian Aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".” [al-A’raf 7: 16-17]

Dalam Firman Allah Taala yang lain:
”...dan barangsiapa yang tidak diberi cahaya petunjuk oleh Allah, maka tidak ada baginya cahaya sedikitpun”. [al-Nur 24: 40]

Sesungguhnya mereka yang sudah tidak lagi mengesan sebarang cahaya apatah lagi melihat cahaya itu sendiri, sama seperti keadaannya buta. Bukanlah mereka buta kerana tidak nampak pada matanya. Tetapi mereka buta pada HATInya sepertimana Allah Taala berfirman:
”...kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di Dalam dada.” [al-Hajj 22: 46]

Bagaimana ingin menyelamatkan HATI yang seperti itu?

Sesungguhnya HATI yang diidam-idamkan oleh setiap anak Adam ialah HATI yang hidup, lembut, bersih, cekal dan bersinar cahaya yang menerangi lubuk HATInya yang menjelaskan setiap amal perbuatan sehariannya. HATI yang terus menyinar walaupun tubuhnya disakiti lagi dizalimi. HATInya tempat letaknya emosi diri tidak pernah sedikit pun bergetar hanya kerana emosi dipermainkan dan goyah kerana perkara yang buruk melandanya. HATInya tempat letak segala rahsia tidak lagi menjadi kabur berkabus memendam segala-galanya sedang pemilik HATI itu tahu bahawa ada Yang Maha Mengetahui walau ia terus dirahsiakan. HATI ini terus hidup tidak berpenyakit yang menakutkan.

Bukankah Allah Taala ada berfirman:
”Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” [al-Anfal 8: 2]

Allah juga berfirman:
”(setelah diterangkan Yang demikian) maka Adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?” [Muhammad 47:24]

Dalam firman-Nya yang lain:
”Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; -Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” [as-Syams 91: 7-10]

Pokok melembutkan HATI ialah dengan al-Quran yang selalu dialunkan kerana ia adalah Kalam Allah, asas segala pintu hidayah. Allah berfirman:
“Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.”[az-Dzariyat 51: 55]

Peringatan itulah yang membuatkan HATI orang-orang beriman terus bergentar dan kerana ia-lah (Kalam Allah) bertambah-tambah lagi keimanan, kerana itu ia sangat bermanfaat bagi orang-orang yang beriman. Rasulullah juga berpesan agar sentiasalah orang-orang beriman itu menangis, kalau tidak dapat menangis, buat-buatlah menangis. Kerana air mata dari tangisan itu dapat melenturkan semula HATI yang keras. Air matanya membasuh kehitaman noda pada HATI itu. Kerana itulah setiap peringatan di dalam ayat-ayat Allah itu sangat menggentarkan HATI orang-orang yang beriman supaya HATI mereka kembali lembut dan bersih dengan air mata yang takutkan Allah.

Apabila ia kembali lembut dan bersih, maka sinaran hidayah pasti akan terbit pada HATI itu. Itulah tanda kekalahan hawa nafsu dan syaitan yang mencuba menguasai HATI.

3 comments:

Karim V said...

Alhamdulillah,
penulisan yg menarik,bermanfaat,berkualitas,rangkai kt yg teratur dan pastinya ide yg segar.

mas,gue ada satu persolan wat kamu,

smemangnya kt tau hati kt bisa terobat dgn tazkiyatunnnafs,AQ dan laen2(mgikut thp pnerimaan msg2)..tp,gi mn ya klo kt mahu myentuh soal hati org laen yg sudah mulai keras gtu,

mohon jwbn yg dberikn mgkin b'sesuian dgn situasi adik-beradik.

p/s:gue ngak ketemu lg buku yg mas sarankan''bagaimn myentuh hati''

makasih ya.

salam

mas syarep said...

Karim V-> alhmdllh..jzkllh atas pertanyaan yang anda kemukakan..erm..berkenaan dgn halnya ini, perlu ada suatu penekanan yg lebih lagi kerna ia memerlukan tindakan..bukan lagi sekadar teori..insya Allah ya mas Karim V bisa sy kesempatan untuk berkongsi tentang halnya ini dalam penulisan yang akan datang di dalam blognya saya ini..rajin-rajin berkunjung ya..makasih saya ucapkan lagi..

Rahman D said...

mas penulisan yang mantop...byk manfaat yg guwe dpt amik gitu...
penulisannya mudah difahami

terus kan ya mas