Thursday, February 26, 2009

Apabila Khutbah Jumaat menjadi tempat berkempen..

Kempen yang dimaksudkan oleh penulis pada tajuk di atas bukanlah kempen pilihanraya. Tetapi kempen-kempen yang dianjurkan kerajaan seperti "Cintai Buah-buahan Tempatan", "Anti-dadah", "Cintai Sungai Kita", ""Hari Polis", "Hari Perajurit", "Hari Kemerdekaan", dan sebagainya.

Kali ini, dinukilkan di dalam blog ini sebagai luahan perasaan sahaja. Tidak berniat untuk menjatuhkan hukum ataupun menyalahkan mana-mana pihak. Cukuplah sekadar berkongsi dengan para pengunjung blog ini. Bukanlah juga peribadi saya ini hendak menjatuhkan syakhsiyah individu.


Apabila kempen-kempen tersebut dipilih menjadi topik khutbah setiap kali solat jumaat di seluruh masjid tanah air, maka sudah pasti umat Islam di Malaysia sudah tertanam perasaan cintakan pada apa yang dikempenkan. Tapi mengapa hal itu tidak berlaku? Saya terbitkan satu persoalan untuk kita berfikir sejenak.


Adakah kerana mereka tidur ketika khutbah Jumaat?
Jadi mengapa kempen ini disampaikan melalui Khutbah Jumaat?


Sebenarnya jika kita amik secara positif tentang hal ini, ada kelebihan dan baiknya juga jika diterapkan kaedah ini pada khutbah jumaat agar semua masyarakat Islam di Malaysia benar-benar menerapkan dan menjayakan kempen tersebut. Majoriti rakyat Malaysia beragama Islam. Sudah pasti setiap kali Jumaat, pasti Muslimin di Malaysia akan memenuhi masjid-masjid di Malaysia. Maka mereka juga wajib mendengar Khutbah Jumaat setiap kali pergi untuk menunaikan solat jumaat. Sudah pasti semua orang mengetahui isi kandungan khutbah yang disampaikan. Jadi pasti mereka dapat mengamalkan segala apa yang telah disampaikan melalui khutbah Jumaat tadi.

Tapi mengapa semua itu tidak terjadi????

Bahayanya sekiranya khutbah diharuskan untuk dibaca dalam penyampaiannya kerana teks-teks yang ditulis itu ditulis untuk memenuhi masa khutbah sahaja, bukan untuk memenuhi jiwa-jiwa umat Islam yang perlukan tazkirah (peringatan) agar ruh-ruh mereka kembali basah dengan kerohanian dan kesatuan ummah itu sendiri. Para jemaah yang hadir hanya mendengar bacaan tersebut sehinggalah dirinya rasa berat untuk menerima segala input ketika matahari sudah berada di antara dua tanduk..(eh??istilah pelik ni..tukar2..) ketika tengahari yang sangat memberatkan mata dan jiwa untuk terus terima sebarang input lagi.

Teks-teks yang ditulis pula ditulis dalam tulisan Jawi. Masalahnya yang berlaku adalah, canggihnya bahasa-bahasa Malaysia hari ini yang diadaptasi atau diambil-gunakan dari bahasa Inggeris, di Melayukan.

Terdapat beberapa kisah-kisah lucu yang dikongsikan oleh teman-teman sekerja yang mungkin kita boleh mengambil pengajaran darinya.

Kes yang pertama; khaatib yang membacakan teks khutbahnya sudah agak berusia dan mahir membaca tulisan Jawi. Tiba-tiba dia mula terhenti dalam bacaan khutbahnya kerana ingin memastikan ejaan yang akan dibaca ini, betul atau tidak. Selepas sejenak masa diambil, akhirnya khaatib tersebut menyambung khutbahnya:
"Semua Muslimin hendaklah kemetot dan berkaki lebar terhadap kemurniaan Islam dan kesuciannya."

Mungkin yang dimaksudkan dalam khutbah tersebut ialah; "Semua Muslimin hendaklah komitmen dan berkaliber terhadap kemurniaan Islam dan kesuciannya". Hehe..Mungkin kerana ejaan di dalam tulisan Jawi moden ini tidak dapat dibaca oleh khaatib tersebut.

Kes yang kedua pula; khaatib bertugas telah mendapat teks khutbah dari pejabat agama negeri. Ketika dalam perjalanannya bersama dengan anak-anak kecilnya di dalam kereta menuju ke masjid yang hendak dia sampaikan khutbahnya itu. Apabila dia naik ke mimbar, dia pun membuka teks khutbahnya, habis teks khutbah yang baru sahaja dia ambil pejabat agama telah diconteng oleh anak-anaknya. Pada jemaah yang hadir terkejut melihat khaatib tersebut tiba-tiba tergelak di atas mimbar akibat melihat gelagat anak-anaknya. Jadi dia pun membacakan khutbah yang paling ringkas pernah saya hadiri.

Cukuplah saya membawa dua kes ini untuk kita ambil iktibar.

Kita lihat bagaimana Rasulullah s.a.w. menyampaikan khutbah baginda yang sangat masyhur dalam periwayatan sejarah. Antaranya khutbah di dalam hajatul wida' (haji perpisahan) dan juga tentang Rasulullah s.a.w. memanggil cucunya Hasan bin Ali r.a. dan menyampaikan khutbah tentang Saidina Hasan bin Ali r.a. yang akan mendamaikan keadaan umat Islam suatu hari nanti. Di dalam periwayatan berkenaan dua kisah ini, menunjukkan bahawa khutbah yang Rasulullah s.a.w. sampaikan kepada umat Islam ketika itu adalah benar-benar mengisi kerohanian serta membasahkan jiwa-jiwa mereka dengan khutbah itu.

Mudah-mudahan para pembaca sekalian dapat mengambil iktibar dari nukilan kali ini.

Wednesday, February 25, 2009

Ayat-ayat Makan!!??

Setiap kali diberi peluang kali kedua untuk membaiki kesilapan lalu, pasti kita akan lakukan dengan bersungguh-sungguh. Kita akan membetulkan yang mana tersilap agar kita mendapat yang terbaik dari usaha kita.

Ketika hendak makan pun, kita masih lagi bercakap sehinggalah tersedak, malah yang lebih dasyat, gelak terbahak-bahak ketika makan. Apabila tersedak, mulalah kita cuba hendak menginsafi kesilapan kita sebelum ini. Ketika itu, seolah-olah nyawa sudah dihujung halkum. Ketika itulah sebenarnya Maha Pemilik jiwa ini mampu menarik nyawa hamba-hambaNya, tetapi Allah memberi peluang kepada kita untuk terus hidup dan menikmati makanan yang sedang dimakannya.

Lihatlah betapa Maha Pemurah Allah itu. Sudah diberinya makanan, diambil rezeki itu oleh manusia dengan cara yang menzalimi diri sendiri, tapi Allah masih lagi memberikan peluang untuk kita terus hidup. Maka sebenarnya peluang itu sentiasa ada di mana-mana. Bukanlah menjadi penghujung kehidupan kita sekiranya kita telah melakukan sesuatu kelemahan, bahkan kita juga mampu untuk membaikinya semula.

Makanan yang tersedak itu kita tetap menelannya walaupun ia hampir-hampir membunuh kita. Membiarkan ia sebati dengan diri kita menjadi darah daging kita. Membiarkan ia dihadam di dalam tubuh kita. Bukankah kita sangat geram dan marah pada sesiapa yang menyakiti kita? Tetapi mengapa hal ini terjadi?

Begitu jugalah wahai saudaraku sekalian dengan halnya kita apabila menghadapi berbagai masalah. Kita sepatutnya akan terus melalui dan mengharungi masalah-masalah tersebut dengan diri kita sama ada kita bersedia atau tidak. Tetapi pada hari ini, begitu ramai yang cuba untuk melarikan diri dari masalah yang sepatutnya mereka hadapi. Mengapa? Tidak sedap? atau tidak larat lagi?

Kalaulah di dalam novel Ayat-ayat Cinta itu ada mengisahkan bahawa dia berpeluang untuk...untuk apa yaa???erm..untuk membetulkan kesilapannya sebelum ini. Isterinya yang sah pula memberikan peluang sebegitu. Perkataan "Kahwinilah dia!" dari mulut isteri yang sah kepada kita, boleh bayangkah anda? Peluang seperti itu bukannya seringkali diperolehi, maka begitulah juga dengan hidup ini. Kita sering kali dengar apabila kita buat silap perkataan "Lepas ni jangan buat lagi". Tapi perkataan itu tidak pernah kita rasakan ia adalah peluang untuk kita.

Pasti akan ada hikmahnya setiap kali berlaku kesilapan-kesilapan itu. Walaupun ia berulang-kali dan kerap kali, kerana itu menunjukkan bahawa kita hanya mengharungi masalah atau kesilapan itu sahaja, tetapi tidak menyelesaikan masalah itu.

Saudaraku sekalian, setiap kali kita diberi peluang, maka penuhilah setiap peluang itu sebaik-baiknya. Menggunakan nikmat Allah itu sebaiknya adalah Ibadah. Dapat kereta, pandu kereta itu untuk beribadah. Dapat buku, baca untuk tambahkan ilmu. Dapat kekuasaan, laksanakan amanah yang diberikan dengan berhati-hati dan cemerlang. Dapat bernafaz, sentiasalah bersyukur dan bertaubat kepada Allah.

Bagaimana hendak menyelesaikan masalah?

Setiap permasalahan itu pasti ada penyelesaiannya. Apakah penyelesaiannya? Sudah pastilah dengan penyelesaian universal, iaitu Islam. Sungguh al-Islam huwal Hal!! Islam itu adalah penyelesaian. Kerana apa? Kerana segala permasalahan pada zaman jahiliyah sudah diselesaikan oleh Islam yang diutus melalui Rasulullah s.a.w.. Jadi sama ada kita kembali kepada Islam untuk menyelesaikan masalah persekitaran kita atau tidak.

Bagaimana tindakan pula adalah persoalan kedua. Tindakan kita terhadap permasalahan itulah yang seharusnya diukur. Adakah membiarkan kita terus ditimpa dengan berbagai masalah baru kita mahu selesaikan? atau kita terus bertindak?

Diungkapkan lagi tentang perihal makan, jika kita terus bercakap ketika makan sehinggalah makanan yang tersekat di tekak kita akibat perbuatan kita yang bercakap ketika makan itu. Kita terus tersedak. Tersedak itulah yang membantu kita untuk selamat daripada makanan yang tersekat itu menyekat saluran pernafasan di bahagain epiglotis (bahagian yang membezakan di antara salur makan dan juga salur pernafasan). Setiap kali tersedak itu adalah usaha untuk menolak makanan yang tersekat itu masuk ke saluran makanan semula.

Subhanallah!! Itulah sunnatullah!! Betapa Allah menjadikan setiap yang ciptaan-Nya itu tidak sia-sia. Lihatlah contoh itu.! Betapa Allah ingin menjaga dan membetulkan kesilapan itu dengan tindakan yang secepat mungkin. Bayangkanlah wahai saudaraku sekalian, sekiranya setiap kali kita tercekik ketika makan, Allah menangguhkan orang itu daripada tersedak.

Pasti orang itu akan mati akibat tidak dapat bernafas lagi. Seperti Khalifah Malik Sulaiman, iaitu pemimpin Umayyah yang hanya memerintah selama 3 hari sahaja kemudian digantikan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Pada hari ketiga pemerintahan Malik Sulaiman, beliau mati akibat tercekik makan buah anggur.

Jadi, bagaimana dengan kita terhadap masalah-masalah di sekitar kita?

Bagaimana kita memenuhi peluang-peluang yang telah diberikan kepada kita?

Ingin berubah..tetapi menderita??

Semua orang ingin berubah. Berubah menjadi lebih baik dan lebih baik lagi. Membuang segala kenangan silam yang buruk sejauh mungkin seupaya mungkin. Tetapi terbit pula beberapa persoalan; Perubahan yang baik atau Perubahan yang tidak baik???

Semuanya pasti melalui penderitaan yang memedihkan. Cuba ingin menjadi terbaik, pasti melalui proses yang sangat panjang dan lama. Tidak mungkin perubahan itu boleh dilakukan dengan sekelip mata. Tidak mungkin perubahan boleh dikecapi dengan satu peristiwa sahaja. Tidak mungkin perubahan itu boleh digarap hanya dengan sepintas lalu sahaja.

Seseorang yang dahulunya dikatakan nakal, selalu melanggar peraturan, berkata kesat dan sebagainya, ingin berubah dan menjadi seseorang yang baik. Tidak sanggup lagi digelar sebagai "budak nakal". Maka dia berjumpa dan berbincang dengan orang-orang yang baik untuk cuba mendapatkan nasihat agar dia dapat berubah. Kemudian dia pula menyertai berbagai-bagai program agar dapat memotivasikan dirinya untuk terus istiqamah menjadi baik. Malangnya, tidak semua apa yang dilakukannya dapat memberi kepastian untuk dia berubah menjadi baik kerana dia terpaksa melalui berbagai faktor dan rintangan untuk mencapai hal itu. Kerana itulah melihat keberkesanan azamnya yang ingin menjadi baik, dia diuji oleh Tuhannya agar dia selayaknya mendapatkan ganjaran yang dijanjikan. Pada ujian itulah semuanya pasti ada hikmahnya. Dan hikmah pada perisitiwa itulah pula nikmat bagi mereka yang terseksa.


Rintangan seperti diejek, dipandang remeh, diperli dan sebagainya dari mulut-mulut kawan "seperjuangan"nya dahulu yang selalunya mengakibatkan kita mulai goyah, tidak yakin pada diri sendiri, futur, kecewa, dan seterusnya ingin pulang semula ke perjuangannya menjadi nakal dahulu. Hal seperti itu, biasalah. "Teman seperjuangan" yang lain tidak mahu melepaskan dirinya itu. Jika dia terlepas ke arah kebaikan, mereka juga mesti mengikuti jejak langkahnya tetapi mereka enggan atas nama perjuangan mereka itu; "Mengacau-bilaukan sekitar adalah Jalan Kami!!"


Hal ini telah Allah ungkapkan di dalam firmanNya:

"Allah pelindung (yang mengawal dan menolong) orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kufur) kepada cahaya (iman). Dan orang-orang yang kafir, penolong-penolong mereka ialah Taghut yang mengeluarkan mereka dari cahaya (iman) kepada kegelapan (kufur). mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya." [al-Baqarah 2: 257]


Sememangnya mereka yang memperjuangkan Thaghut ini akan terus memenangkan perjuangan mereka. Mereka akan terus berusaha mencapainya sehingga kemenangan digarap mereka. Tetapi mereka tetap akan kalah dan berputus asa untuk mengeluarkan kita daripada jalan kebaikkan. Kerana Allah sudah memberi jaminan dalam firmanNya:


"..pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu.." [al-Maidah 5: 3]


Jadi, teruslah thabbat (tetap) dalam jalan perubahan ini. Kerana pengakhirannya sangat indah. Jika kita lihat mualaf yang baru sahaja menganuti agama Islam. Pasti dia tidak lagi melakukan kekufurannya dahulu. Maka perubahan seperti inilah yang diperlukan pada setiap individu yang mahukan perubahan baik dalam dirinya. Hanya perubahan seperti ini sahaja yang pasti berjaya dan mendapat kemenangan yang besar.!!


Ada juga yang menjanjikan perubahan setelah mendapat kekuasaan sedangkan dia bukanlah yang paling berkuasa. Tanpa kepastian dan ketetapan dari Yang Maha Berkuasa, pasti dia tidak dapat berbuat apa-apa. Apakah kata-kata manis yang menjanjikan perubahan perlu diambil? Selalu kita dapat melihat perisitiwa ini seperti di dalam kempen-kempen pilihanraya, sedang dia tidak sedikit pun memastikan tentang hal itu. Dia menjanjikan kepada seluruh umat Islam bahawa tidak akan ada lagi jurang di antara umat Islam serta masyarakat antarabangsa. Dia menjanjikan untuk memulihkan sistem ekonomi. Dia menjanjikan bermacam-macam. Tapi sedar atau tidak, itu hanya janji, di mana pula perubahan???


Proses perubahan secara menyeluruh hanyalah dapat dicapai dengan satu proses yang sangat panjang. Pilihanraya atau mendapat kekuasaan, hanyalah alat untuk perubahan. Tetapi alat ini sedikit pun tidak dapat memberikan apa-apa perubahan. Contohnya jika kita ingin makan, diberi pinggan, bukankah ia lebih mudah untuk makan daripada makan ditadah atas tapak tangan?


Perubahan tidak akan menjadi sekiranya kita hanya mengharapkan pada alat semata-mata. Tetapi perubahan itulah yang perlu diterapkan pada jiwa-jiwa yang inginkan perubahan. Bukan "tengoklah dulu baru buat". Mereka yang hanyut akan terus seronok dibawa arus yang menipu lagi merosakkan. Seperti orang yang mandi disungai, mereka rasa seronok dibawa arus ketika mandi, seolah-olah bergerak tanpa menggunakan sebarang daya. Tapi mereka lupa bahaya penghujung arus sungai yang deras itu yang mungkin mereka boleh jatuh dari air terjun yang merbahaya.


Ingin menyelamatkan orang yang dihanyut arus ini perlukan alat yang panjang agar mangsa dapat menggarapnya, serta menariknya dengan usaha dan daya yang sangat kuat agar dia terselamat dari arus itu. Jadi bagaimana pula kita ini yang berada di tepian sungai yang ingin menyelamatkan mereka? Sudah cukupkah tenaga kita? Bagaimana alat yang ingin digunakan nanti? Kita hanya melihat mereka yang hanyut dan terus mengeluh. Tapi tidak inginkah kita ingin menyelamatkan mereka?


Memang payah jika kita ingin menyelamatkan mereka. Mungkin juga kita akan menjadi mangsa dan terus hanyut. Perubahan yang dilakukan sedikit demi sedikit itu adalah usaha dan keringat kita. Biarlah kita penat dengan semua itu, terseksa bermujahadah (bersungguh-sungguh) kerana ingin menempuh jalan perubahan ini, menemui kemenangan, itulah yang akan menjadi saksi apabila dihisab nanti. Jalan menuju perubahan ini, Allah sudah tunjukkan kepada kita, di dalam al-Quran dan juga Sunnah Rasulullah s.a.w. itu sendiri. Cuma kita rajin untuk melakukan anjakan paradigma menggunakan cara ini atau hanya terus mengeluh dan menyesali.


Ayoh kita memilih untuk PERUBAHAN DIRI!!!!!
PERUBAHAN yang lebih BAIK dari yang silam!!!
BERUBAH DIRI kita, kemudian PERUBAHAN pada yang lain!!!!
Bersama-sama saling BERUBAH pada jalan KEBAIKKAN dan KESABARAN!!!!

Wednesday, February 18, 2009

Kembara Malam ke Meru

Salaam Makmal..hehe..

Kali ini, mungkin nak berkongsi pengalaman yang menarik dilalui oleh penulis pada malam semalam. Satu pengalaman yang sangat dikenang dan akan terus diingat. Tapi mungkin tidak sesiapa yang memahami kami.

Kembara malam semalam menyelamatkan kereta seorang teman yang retak seribu tingkap depan pada keretanya. Saya bersama teman seperjuangan terus menerjah apabila dimaklumkan oleh si mangsa. Maka dilakukan perbincangan dengan segera untuk mendapatkan keputusan yang cepat. Akhirnya dibuat keputusan untuk menghantar kereta tersebut ke bengkel daripada dipecahkan semuanya.

Ketika melihat si mangsa, mukanya yang berpeluh-peluh kepanasan serta dalam kerisauan ditimpa kesusahan. Memang kasihan pada beliau, jadi kami seusaha mungkin untuk membantunya. Alhamdulillah selamat dihantar keretanya ke bengkel yang dipercayai. Kemudian beliau meminta dihantar ke rumahnya di Meru. Kami terus membawanya pulang.

Maka bermulalah pelbagai kisah di dalam perjalanan ini. Daripada isu-isu peribadi kemudian isu-isu dakwah sehinggalah mengenang memori silam ketika zaman al-Arqam dahulu. Juga bergelak-tawa dengan lawak masing-masing dikeluarkan setiap seorang yang menaiki keretaku.

Menariknya mereka ini, tidak pernah lekang daripada setiap kata-kata mereka dikaitkan dengan dakwah, Fuh!! Sememangnya sentiasa memberi peringatan kepada ku tentang dakwah. Antara point-pointnya, jangan doktrin pada individu dalam dakwah, jangan terburu-buru dalam dakwah, kurangkan kerja kolektif kalau ia membantutkan kita kepada kerja dakwah kita dan kerja kita di tempat kerja, keseronokkan derita dalam berdakwah dan banyak lagi. Juga dibincangkan tentang permasalahan-permasalahan yang berlaku di sekeliling kami, antaranya ramai orang memilih nasyid lebih daripada al-Quran, tempias fitnah itu tidak mengenal mangsa dan sebagainya.

Kemudian, di dalam kereta ku terdendang lagu-lagu kenangan Nadamurni, terus kami terkenang zaman kami hidup ketika al-Arqam masih hidup. Kami nyanyikan hampir ke semua nasyid-nasyid Nadamurni mahupun The Zikr (corus je..sbb yg lain xingat) kemudian terkenang siapa penasyidnya juga tempat persembahan, bagaimana cara persembahannya. hehe. Semua nasyid yang tidak dirakam semula, semuanya terkeluar dari mulut kami. Kami juga berpendapat, jika nasyid-nasyid tersebut dirakam semula, sememangnya jelas ingin menghidupkan semula Jemaah al-Arqam itu. Tapi kami juga tidak menyangka bahawa nasyid-nasyid "bahaya" itu ketika dialbumkan seolah-olah seperti tiada apa yang berlaku walaupun jelas tampak ke"bahaya"annya. Kini, jika sebut "Fata at-Tamimi, pemuda Bani Tamim, Abuya, Sohibuz Zaman" pasti akan dikenalpasti sebagai "usaha-usaha hendak menghidupkan semula ajaran al-Arqam"..

Ketika tiba di rumah si mangsa di Meru, Klang, tiba-tiba saya teringat kembali wajahnya si mangsa tersebut ketika ditemui dalam kegelisahan tadi. Tapi selepas seperjalanan kami, melihat mukanya sangat ceria dan hilang segala kerisauanya itu. Mungkinkah kami bergelak-tawa itu dapat mengubat segala kerunsingannya? Tapi bila difikir kembali, si mangsalah yang memulakan dahulu gelak-tawa ini.

Ketika saya memandu dalam perjalanan pulang ke rumah, tiba-tiba teringat ayat Allahu berbunyi "inna ma'al u'sri yusro" surah an-nasyroh ayat 6. "Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan". Bahawa sesungguhnya Allah telah menjamin setiap hamba-Nya bahawa kesukaran yang kita hadapi kelak, pasti akan ada yang mengiringi kesukaran tersebut dengan kesenangan.

Samalah juga ayat Allah berbunyi "wa may yattaqillaha yaj'al-lahu makhraja". Surah at-Tholaq ayat 6. "Barangsiapa yang bertaqwa, Allah akan berikan jalan keluar baginya". Suatu lagi jaminan Allah bahawa pasti ada penyelesaian bagi sesuatu masalah. Cuma kadang-kadang kita sahaja yang kurang yakin tentangnya.

Saya juga teringat kata-kata si mangsa sebelum ini; "Sabor jelah, bende-bende susah ni mesti ade punye..senyum jer hadapi bende-bende susah tu.." Mari kita cuba..hehe

Maha Suci Engkau ya Allah yang memberi kami peluang berjalan pada malam hari dari Keramat ke Meru.

Monday, February 9, 2009

Tentang HATI?????

Di dalam kehidupan ini, insane bertarung dengan dirinya sendiri. Adakalanya ia menang dan adakalanya ia kecundang atau ia tetap dalam pertarungan yang berterusan itu. Sememangnya pertarungan ini akan berterusan sehinggalah ajal maut menjemputnya. Medan pertarungan tersebut itulah namanya HATI.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
”Dibentangkan fitnah ke atas HATI manusia seperti jalinan tikar, satu demi satu, maka mana-mana hati yang menerimanya akan dititik dengan titik hitam. Mana HATI yang menolaknya pula akan dititik dengan titik putih, sehingga HATI itu menjadi salah satu dari dua HATI tadi. Satu putih melepak seperti batu putih yang tidak dapat dicacati oleh sebarang fitnah, manakala satu lagi adalah HATI yang hitam legam yang tidak lagi mengenali sebarang kebaikan dan tidak menolak sebarang kemungkaran.” [H.R. Bukhari]

Jadi HATI ini bertarung dengan siapa? Syaitan? Nafsu? Atau manusia?

Maka lawannya adalah dengan dirinya sendiri. Maka yang selalu menguasai diri kita ini kalau tidak lain adalah hawa nafsu. Ada 3 golongan yang bertarung di medan pertarungan yang namanya HATI ini.

Diriwayatkan dalam satu kisah oleh Wahab bin Munabbih yang mengatakan:
”Sesungguhnya Iblis pernah bertemu dengan Nabi Yahya bin Zakaria ’alaihissalam, lalu Nabi Yahya berkata kepada Iblis; ”Ceritakan kepadaku tabi’at perangai manusia menurut pandangan kamu”. Lalu Iblis menjawab:
i. Golongan pertama dari manusia ialah seperti kamu ini. Mereka ini terpelihara (dari kejahatan dan dosa).
ii. Golongan yang kedua adalah mereka dalam genggaman kami sebagaimana bola berada di tangan anak-anak kecil itu. Mereka menyerah diri mereka bulat-bulat kepada kami.
iii. Golongan yang ketiga ialah golongan yang sangat sukar untuk kami kuasai mereka. Kami menemui salah seorang daripada mereka dan kami berjaya memperdayakannya dan mencapai hajat kami tetapi ia segera memohon keampunan (bila ia sedar) dan dengan istighfar itu rosaklah apa yang kami dapati darinya. Maka kami tetap tidak berputus asa untuk menggodanya dan kami tidak akan mendapati hajat kami tercapai.

Takutlah bahawa kita digolongkan sepertimana Allah Taala berfirman:

Dengan yang demikian, Bagaimana fikiranmu (Wahai Muhammad) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang dipatuhinya, dan ia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuiNya (bahawa ia tetap kufur ingkar), dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan Dia berkeadaan demikian)? oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” [al-Jathiyah 45: 23]

Mereka inilah golongan yang hidup dengan keseronokan di atas muka bumi ini dan ingin hidup berkekalan di dunia. Mereka adalah orang-orang kafir dan orang yang mengikuti jejak langkah mereka. Golongan ini melupai (kebesaran dan ni’mat) Allah, lalu Allah juga membiarkan mereka.

Dalam menentang hawa nafsunya, ada kalanya manusia mencapai kemenangan dan ada kalanya mereka kecundang. Apabila mereka terlibat dalam kesalahan mereka segera bertaubat memohon keampunan Yang Maha Pengampun. Begitu juga bila mereka bermaksiat mereka segera sedar dan menyesal seterusnya memasang azam dan tekad agar tidak kembali semula pada dosa yang dilakukannya. Allah berfirman:

”Dan juga orang-orang Yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).” [ali-Imran 3 : 135]

Inilah golongan yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:
”Setiap anak Adam (manusia) itu melakukan kesalahan, sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan (dosa) ialah mereka yang bertaubat”. [H.R. Ahmad dan Tirmizi]

HATI adalah seperti sebuah bekas minuman, air yang dituang ke dalamnya pasti akan mengikut rupa bekas itu. Samalah seperti segala apa yang disimpan di dalam HATI itu. Di dalam HATI inilah tersimpan segala macam perkara seperti rahsia-rahsia peribadi, pendaman geram, perasaan kasih, keinginan-keinginan dan banyak lagi. Kerana itulah di dalam peribahasa kita ada menyebutkan ”Rambut sama hitam, tapi HATI lain-lain” dan juga ”Lautan dalam boleh ku selam, tapi lautan hati apa kan daya”. Sememangnya HATI ini mempunyai misterinya yang tersendiri. Kadang-kadang diri sendiri tersesat di dalam misteri HATInya sendiri.

Maka di situlah saatnya HATI itu perlu menyinar kembali melimpahkan cahaya keseluruh lubuk HATI agar tiada lagi keraguan dan tiada lagi kaburan yang menjadi beban kepada dirinya sendiri. Saat HATI itu bersinar-sinar dengan cahaya yang jelas memberikan suasana yang indah lagi berseri-seri. Menyambut datangnya hari yang baru untuk perubahan yang baru. Melupakan kekesalan gelap gelita yang telah dilaluinya.

Tetapi sekiranya HATI manusia mula mati, atau menjadi keras, apabila cahaya HATI manusia telah padam dan tidak bersinar lagi atau apabila ia telah tumpas dalam pertarungannya menghadapi syaitan maka terbukalah pintu-pintu masuk segala kejahatan terutama ke dalam dirinya, kerana syaitan itu meresap di dalam diri anak Adam sebagaimana pengaliran darah di dalam tubuhnya. Allah Taala berfirman:

”Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) Demi Sesungguhnya Aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu Yang lurus; "Kemudian Aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".” [al-A’raf 7: 16-17]

Dalam Firman Allah Taala yang lain:
”...dan barangsiapa yang tidak diberi cahaya petunjuk oleh Allah, maka tidak ada baginya cahaya sedikitpun”. [al-Nur 24: 40]

Sesungguhnya mereka yang sudah tidak lagi mengesan sebarang cahaya apatah lagi melihat cahaya itu sendiri, sama seperti keadaannya buta. Bukanlah mereka buta kerana tidak nampak pada matanya. Tetapi mereka buta pada HATInya sepertimana Allah Taala berfirman:
”...kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di Dalam dada.” [al-Hajj 22: 46]

Bagaimana ingin menyelamatkan HATI yang seperti itu?

Sesungguhnya HATI yang diidam-idamkan oleh setiap anak Adam ialah HATI yang hidup, lembut, bersih, cekal dan bersinar cahaya yang menerangi lubuk HATInya yang menjelaskan setiap amal perbuatan sehariannya. HATI yang terus menyinar walaupun tubuhnya disakiti lagi dizalimi. HATInya tempat letaknya emosi diri tidak pernah sedikit pun bergetar hanya kerana emosi dipermainkan dan goyah kerana perkara yang buruk melandanya. HATInya tempat letak segala rahsia tidak lagi menjadi kabur berkabus memendam segala-galanya sedang pemilik HATI itu tahu bahawa ada Yang Maha Mengetahui walau ia terus dirahsiakan. HATI ini terus hidup tidak berpenyakit yang menakutkan.

Bukankah Allah Taala ada berfirman:
”Sesungguhnya orang-orang Yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.” [al-Anfal 8: 2]

Allah juga berfirman:
”(setelah diterangkan Yang demikian) maka Adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi Al-Quran? atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran Al-Quran)?” [Muhammad 47:24]

Dalam firman-Nya yang lain:
”Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa; -Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” [as-Syams 91: 7-10]

Pokok melembutkan HATI ialah dengan al-Quran yang selalu dialunkan kerana ia adalah Kalam Allah, asas segala pintu hidayah. Allah berfirman:
“Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman.”[az-Dzariyat 51: 55]

Peringatan itulah yang membuatkan HATI orang-orang beriman terus bergentar dan kerana ia-lah (Kalam Allah) bertambah-tambah lagi keimanan, kerana itu ia sangat bermanfaat bagi orang-orang yang beriman. Rasulullah juga berpesan agar sentiasalah orang-orang beriman itu menangis, kalau tidak dapat menangis, buat-buatlah menangis. Kerana air mata dari tangisan itu dapat melenturkan semula HATI yang keras. Air matanya membasuh kehitaman noda pada HATI itu. Kerana itulah setiap peringatan di dalam ayat-ayat Allah itu sangat menggentarkan HATI orang-orang yang beriman supaya HATI mereka kembali lembut dan bersih dengan air mata yang takutkan Allah.

Apabila ia kembali lembut dan bersih, maka sinaran hidayah pasti akan terbit pada HATI itu. Itulah tanda kekalahan hawa nafsu dan syaitan yang mencuba menguasai HATI.

Thursday, February 5, 2009

Antara Cita-cita dan Kerjaya

Semua orang pasti memiliki cita-cita mereka sendiri. Apabila ditanya, pasti menjawab dengan pasti dan bangga bahawa ia akan menjadi doktor, arkitek, akauntan, jurutera dan sebagainya. Bukankah itu semuanya adalah kerjaya? Adakah benar kerjaya itu adalah cita-cita?

Mari kita lihat beberapa perbualan yang mengimbas semula kenangan kita apabila ditanya tentang cita-cita atau kerjaya.

Ketika Darjah Satu.

Cikgu: Same’on, dah besar nanti nak jadi apa?
Same’on: Nak jadi doktor cikgu!!
Cikgu: Kenapa nak jadi doktor, Same’on?
Same’on: Sebab mak saya suruh cikgu.

Selepas sahaja mendapat keputusan UPSR.

Same’on: Alhamdulillah, sains dapat A!!!
Cikgu A: Alhamdulillah, tahniah Same’on!! Jadi bagaimana selepas ini?
Same’on: Saya nak masuk Sekolah Sains cikgu!! Nanti boleh saya jadi doktor.
Cikgu A: Mesti pergi Sekolah Sains ker?
Same’on: Entahlah, bapak saya cakap macam tu.

Sebelum hendak menduduki Peperiksaan PMR.

Samad: Me’on, kau ni asyik tengok buku sains je, Sejarah, BM, BA..dah corver?
Same’on: Takpe, nak jadi doktor tak tengok benda tu pun.
Samad: Fuh!! Betul ker? Kalau macam tu, tak payah baca ar yang lain.
Same’on: Medic belajar dalam English apa, mana ade pasal parlimen kat dalam medic nanti.

Ketika Tingkatan Empat.

Same’on: Sam, macam result ko?
Samad: Takde harapan aku nak jadi doktor dgn result mcmni
Same’on: Ko tak leh putus asa, bile dah Tingkatan 4 ni, kita dah ada tujuan kita, takkan nak jadi orang makan gaji je..
Samad: Yelah, aku tak macam ko, pandai. Aku tak kisah la jadi apa, asalkan hidup.

Selepas mendapat keputusan SPM.

Same’on: Alhamdulillah, dengan result ni, bolehlah aku teruskan cita-cita aku.
Samad: Tahniah ar Me’on dengan result ko ni. So lepas ni jadi doktor ar?
Same’on: Eh!!Mestilah, itu kan cita-cita aku. Aku nak kalahkan kakak aku. Ingat dia sorang je ker yang boleh jadi doktor. Ko plak Sam, nak jadi apa lepas ni?
Samad: Aku rasa, nak jadi cikgu la. Nak hasilkan orang-orang yang lebih hebat daripada kita ni.
Same’on: Fuh!!Bagus tu.
Cikgu B: Kamu nak jadi guru, Sam?
Samad: Ya cikgu. Kerana cikgulah yang memujuk saya untuk terus berusaha. Jadi saya nak jadi macam cikgu juga. Nak pujuk orang yang macam saya pada generasi akan datang supaya tak putus asa lagi.
Cikgu B: Alhamdulillah. Saya bantu kamu mana yang saya mampu sahaja.

Di Institut Pengajian Tinggi.

Same’on: (Fuh!!Ramainya yang pandai-pandai ni. Aku tak boleh kalah.) ~ dalam hati
Syajahan: Same’on, ko ni tak boring ker asyik mentelaah buku medic ni jer. Apa yang seronok sangat.
Same’on: Hish. Nanti kalau fail kat test nanti macamana? Ko tak nak study ker?
Syajahan: Aku dah malas nak tengok tulisan-tulisan tu lagi. Buat apa nak susah-susah jadi doktor ni. Baik aku jadi model jer. Maybe tak boleh berlakon atau nyanyi, tapi nasib baik muka ni ada rupa.
Same’on: Takkan ko kalah sebab tu jer. Abis tu kenapa ko amik bidang ni. Penat-penat ko belajar kat SPM, tapi ko nak kalah sekarang?
Syajahan: Dulu aku memang nak jadi doktor. Sebab nanti jadi doktor, hidup senang sikit. Aku nak tolong famili aku. Tapi kalau dah macamni punya susah, dengan dah ada cara senang untuk hidup senang. Baik aku pegi amik yang senang je. Kau nak jadi doktor sangat kenapa pula?
Same’on: Suka hati kau lah Jah. Aku nak jadi doktor sebab aku nak tolong orang lain nanti. Nak tolong orang yang sakit nanti.
Syajahan: Tolong orang sakit, doktor je ker? Apa Kadet Pertahanan Awam pun boleh ar!!Lantak ar. Ko nak sangat. Silakan. I’m quit!!!

Ketika praktikal di sebuah Hospital.

Same’on bermonolog: Kenapa pesakit ni menipu kita? Aku nak tolong dia, tapi menipu pulak. Nak duduk kat hospital ni free la tu. Menyusahkan orang. Habis teruk result klinikal aku.

Bila sudah menjadi seorang doktor pakar.

Same’on bermonolog: Apsal la banyak sangat patient ni? nak rehat kejap pun susah..takpe la..dah kerja..layan jelah..nanti balik rumah pun, buat apa jer..makan, mandi, jumpa anak isteri (tu pun kalau jumpa), tidur. Lepas tu pegi kerja..macamni la life seorang doktor sampai la mati agaknya. Nak elak cukai, pegi la sedekah banyak sikit kat Palestin tu. Hmmm

Perbezaannya

Itulah secara kronologi hidup seseorang yang menetapkan masa hadapannya dengan dibayangi serta dikaburi sama ada itu adalah cita-cita atau memilih kerjaya. Melihat kehidupan orang lain yang berjaya dalam kerjayanya, terus kita juga berazam hendak jadi sepertinya. Adakalanya juga di dalam kronologi itu nampak perubahan pendirian. Sudah berjaya sehingga dapat masuk ke tempat belajar, akhirnya dia berputus asa akibat tekanan yang dihadapi. Ada juga yang berubah pendirian kerana faktor ”ikut kawan”.

Ada juga yang sehingga kini masih tidak jelas tentang kerjaya yang bakal mereka mahu ceburi nanti. Seolah-olah tidak pernah kisah tentang hal ini dan terima sahaja apa yang bakal dia dapat. Maka apabila di kemudian hari, dia mulai menyesali kisah lamanya dan kesilapannya.

Apakah perbezaannya antara cita-cita dan kerjaya?

Begini wahai sahabatku. Cita-cita itu adalah suatu yang mahal dan paling tinggi nilainya yang ingin kita gapai. Menjadikan segala usaha kita dalam hidup kita untuk menyumbang kejayaan cita-cita kita itu. Sesuatu yang puas jika kita berjaya mengecapi cita-cita kita yang kita tanamkan.

Sedang kerjaya itu pula adalah alat untuk kita mengecapi cita-cita kita. Jadilah apa pun yang kita akan jadi, yang dapat memberikan punca rezeki kepada kita untuk terus hidup. Kerjaya juga dapat membantu kita menanggung kehidupan berkeluarga. Malah ia juga dapat membantu orang lain yang juga punya hak ke atas harta-harta kita hasil dari pencarian kita ini. Sedangkan Allah juga memberi peluang kepada orang-orang yang beriman yang mampu untuk berjihad dan berjuang dengan hartanya. Maka kenapa lagi kita masih risaukan lagi harta kita yang bakal kita perolehi?

Ada beberapa golongan yang berpandangan terhadap kehidupannya di dunia ini. Kita lihatlah perbandingan 3 jenis orang ini dan itulah juga kita dapat membezakan antara cita-cita dan kerjaya.

1) Golongan yang seperti dirakamkan dalam al-Quran iaitu:

Dan tentulah mereka akan berkata pula: "Tiadalah hidup Yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati". [al-An’am 6: 29]

”Dan mereka berkata: "Tiadalah hidup Yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah Yang membinasakan kita melainkan edaran zaman". pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.” [al-Jathiyah 45: 24]

Golongan inilah yang merasakan dunia ini hanyalah semata-mata tempat mencari rezeki dan di situlah sahaja untuk mencapai cita-cita tertingginya. Seolah-olah merasakan alam sudah tercipta dan akan terus menyala, cuma terpadam pada hukum-hukum atau akibat sesuatu sahaja. Mereka juga merasakan tiada kesudahan pada harta milik mereka. Sebenarnya apabila manusia mengingkari wujudnya kehidupan selepas alam nyata, mengingkari adanya hari perhitungan terhadap segenap perilaku maka seluru cita-cita dan usahanya akan tertumpu hanya untuk merangkul dunia yang dana ini. Ilmunya juga sekadar itu sahaja. Mereka ini hanyalah hidup untuk Dunia semata-mata.

2) Golongan kedua adalah golongan yang lebih rugi dari golongan yang pertama iaitu seperti Pencipta kita berfirman:

”Dan di antara manusia ada orang Yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan Engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah Dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa Yang ada Dalam hatinya, padahal ia adalah orang Yang amat keras permusuhannya (kepadamu).
Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.”
[al-Baqarah 2: 204-205]

Dalam ayat yang lain pula:

”Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang Yang beriman serta mengerjakan amal-amal Yang soleh - ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) orang-orang Yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.” [Muhammad 47: 12]

Allah menerangkan bahawa golongan-golongan ini adalah manusia yang hidup mereka adalah untuk makan-minum dan menikmati kelazatan dunia. Mereka ini juga, Allah menerangkan gelagat segolongan manusia yang hidup mereka di dunia adalah mengadakan angkara fitnah, menyuburkan kejahatan dan kerosakan. Seterusnya Allah ada juga menerangkan bahawa sememangnya fitrah dalam diri manusia itu mahukan kesenangan juga bermewah-mewah, menikmati perhiasan di dunia, sehingga Allah mengingatkan kepada semua manusia bahawa ada jalan selamat daripada hal berkenaan dalam firman-Nya:

”Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda Yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda Yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan Yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali Yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).” [ali-Imran 3: 14]

Demikianlah tujuan-tujuan hidup manusia di dunia. Allah Taala telah membersihkan orang-orang mu’min dari tujuan-tujuan yang salah dengan memberikan tanggungjawab dan kewajiban yang tinggi lagi mulia. Mengajak manusia seluruhnya kepada kebajikan dan kebaikan daripada terus hanyut dengan tipu-daya duniawi yang menelan manusia. Maka rugilah mereka yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:

”Celakalah (orang yang hidupnya menjadi) hamba-abdi dinar, celakalah (orang yang hidupnya menjadi) hamba-abdi dirham, celakalah (orang yang hidupnya menjadi) hamba-abdi kepada pakaian.” H.R. Imam Bukhari

3)Golongan yang mengganggap Dunia ini adalah ”ladang tanaman” untuk Akhirat.

Mereka inilah golongan yang benar-benar beriman, mereka mengetahui hakikat hidup ini. Mereka menginsafi nilai hidup dunia ini dibandingkan dengan akhirat, kerana Allah Taala berfiman:

”Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” [al-An’am 6: 32]

Kesedaran untuk pulang ke ”Kampung Abadi” yang dirindukan lagi diidamkan oleh setiap hamba-Nya untuk pulang menemui Pecipta mereka dan memperoleh semua janji-janji Pemilik Akhirat itu. Mereka tidaklah merasa dunia ini adalah sia-sia, tetapi tempat merebut peluang serta mengumpulkan segala bekal yang boleh diperolehi untuk menemui Tuhannya di ”Kampung Abadi”.

Allah berfirman:

”Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka Dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding Dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.” [at-Taubah 9: 38]

”Tiap-tiap Yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya.” [ali-Imran 3: 185]

Rasulullah pula bersabda:
”Hari Kiamat semakin dekat sedangkan manusia semakin tamak-rakus kepada dunia dan mereka juga semakin jauh dengan Allah.” H.R. at-Tirmizi dan Ibnu Majah dan al-Haakim

Rasulullah bersabda lagi:
”Dunia ini adalah penjara untuk orang mu’min dan syurga bagi orang kafir.”
H.R. Muslim
Ada satu nasyid zaman-zaman al-Arqam dulu yang memberikan satu semangat akan kelebihan cita-cita. Syair abuya yang dinyanyikan semula oleh kumpulan Nadamurni.
Nun di sana cita-cita kita
Ya akhirat namanya
Di dunia ini bukan tempat tinggal
Di sini hanya sebentar tidak kekal

Betulkan niat dari sekarang
Tukarkan sikap kita yang merugikan
Quran dan sunnah jadi panduan
Agar esok tidak kekesalan

Biar susah sedikit kerana tuhan
Untuk menghindar kesusahan besar
Yang tidak sanggup ditanggung badan
Ambillah iktibar kalau mahu sedar

Di sana tiada taulan yang membela
Amal ibadah itulah pembela kita
Ayuh bersegeralah membuat kebajikan
Jangan dilalaikan oleh nafsu dan syaitan

Pangkat dan harta tidak akan kekal
Bahkan apa yang ada akan ditinggal
Hidup di dunia hanya sementara
Buatlah persiapan untuk ke sana

Ayoh bersegeralah menuju Allah
Taatilah Dia minta ampun padanya
Mati bila-bila masa boleh tiba
Jangan sampai kita tidak bersedia
Kerjaya pula adalah suatu alat untuk kita mengecapi cita-cita kita. Kerjaya itulah peluang memajukan ”ladang tanaman” untuk akhirat, kerana pekerjaan di dalam kerjaya kita itu setiapnya adalah ibadah. Ibadah itulah yang membuahkan pahala-pahala menjadi bekal perjalanan ke ”Kampung Abadi”.

Maka tidak salah untuk kita bekerja, bukan sahaja duduk menjadi rahib yang mengasingkan diri dari dunia terperap di tumah ibadah semata-mata 24jam sehari, tetapi menjadi orang yang mengerahkan segala kudratnya untuk mencari rezeki suapaya dapat dia terus hidup dan terus mendapat peluang untuk beribadah di dunia ini. Kerana Allah berfirman:

”Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” [az-Dzariyat 51: 56]

Rasulullah juga sangat menggalakkan semua Mu’min untuk mencari rezeki yang halal lagi baik seperti dalam sabdanya:
”9 daripada 10 rezeki adalah daripada perniagaan”
H.R. Bukhari

Mudah-mudahan dengan perkongsian kali ini, para pembaca dapat mengenalpasti tentang diri dan masa depan anda semua kerana mulai hari inilah adalah titik tolak perubahan di kemudian hari ini. Lakukan yang terbaik untuk diri anda, keluarga, Muslimin yang lain serta agama Allah yang tercinta ini. Jangan cepat menyesali dengan apa-apa tindakan anda kerana pasti ada hikmah disebalik hal tersebut

Wednesday, February 4, 2009

Nak Sukan..Sukan laaa..TAPI..........

Satu fenomena baru yang menimbulkan permasalahan dari kalangan warga Al-Amin. Sememangnya semua orang tahu bahawa sekarang ini adalah musim sukan sekolah, maka masing-masing semuanya seronok dan bersemangat bermain dengan bersungguh-sungguh untuk memenangkan pasukan mereka dalam perlawanan.

TAPI..ada beberapa perkara yang kadang-kadang dilupakan oleh segelintir dari kita tentang perkara asas dan sangat penting.

Itulah ia tentang ikhtilat dan adab.

Kenapa saya menyatakan tentang ikhtilat? Biar saya membawa anda semua suatu contoh mudah yang bagi saya, TAPI ramai orang lain terlupa tentang ini. Bagaimana jika dataran itu, terdapat banat bermain di sebelah kanan dataran, kemudian banin pula bermain di sebelah kiri dataran, apa pandangan anda?

Ada yang berpandangan:
1) Laa..bukannya main sama-sama pun..
2) Terpaksa sebab takut tak sempat dan tiada tempat lagi untuk bermain.
3) Kami saling tak kacau pun, mereka nak main, main la. Kami main kawasan kami.

Memanglah tak main sama-sama, TAAAAPI main di tempat yang sama. Maka di situlah lebih mudah untuk datang fitnah di kalangan warga Al-Amin yang terlibat. Macam juga ayat Allah yang kata "jangan hampiri zina", bukannya "jangan berzina". Hal permasalahan ini sebenarnya mampu menghampiri. Seboleh-bolehnya untuk saya berbaik sangka dalam hal ini. TAAAAAPI tidak semua yang dapat berbuat demikian seperti saya. Saya juga risau kalau-kalau ada pula yang cuba mengambil kesempatan. Contohnya ambil kesempatan dengan bola ”terpergi” ke tempat banat. Maka berebut-rebut pula banin mendapatkannya. Hehe..memang fitrah manusia, TAAAAAAPI..inikah BI’AH SOLEHA kita?

Ada peristiwa yang lebih memeranjatkan saya, dalam suatu kelas, ada dua meja pingpong, satu meja pingpon banat main, yang satu lagi banin pula main di dalam satu kelas itu. Memanglah kelas itu terbuka luas dan tidak pula mereka berdua-duaan serta tidak juga bermain bersama-sama. TAPI macam-macam boleh jadi; contoh kalaulah tak pasal-pasal ada yang semangat sangat bermain sampai sanggup ambil bola walaupun dah pergi ke tempat banat. Ataupun kalau-kalau banat pula semangat smash bola tu sampai terangkat tudungnya. Bagaimana itu? Mungkin ia tidak terjadi, tetapi macam-macam boleh berlaku. Senang cerita, inikah yang boleh didapati di sebuah sekolah Islam???

Tentang adab pula, ingin ditujukan kepada yang terbabit. Nak bersorak untuk menyokong pasukan masing-masing, memang boleh. TAPI janganlah sampai berlebihan keadaannya. Contoh sekali lagi, banat menyokong banin bermain, janganlah sampai bersorak yang terlampau kuat, dan yang paling bahaya sekali; sehingga menyebut nama seseorang. Nasib baik hal ini tidak berlaku lagi di Al-Amin. Alhamdulillah masing-masing tahu sebenarnya tentang bab ikhtilat ini, dan jauh sekali untuk ana bersangka buruk kepada anda semua. Sekadar ingin mengingatkan.


Seterusnya teguran ini khusus untuk banin. Bersukan tu, tolonglah pakai pakaian yang elok. Mungkin benar semuanya menutup aurat dan tidak pula ada sebarang gambar-gambar yang tak elok pada baju anda. Cuma, pakaian anda yang agak kecil itu yang kurang elok. Ya mungkin memang benar saiz baju tersebut lebih anda selesa adalah sedemikian, TAAAAPI tubuh sasa anda itu pasti juga menjadi tumpuan. Kena pula kalau sudah berpeluh ataupun main ketika hujan turun, maka nampak pula apa yang boleh nampak. Bahaya tu..

Ana pernah terdengar ada orang(tau-tau jelah gendernya) sebut ”Weh..tengok badan si fulan tu......”. Sebaik ana berpaling melihat siapa yang bercakap demikian, mereka macam tergedik-gedik pula. Tidak sempat hendak menegur mereka sudah lari. Inikah BI’AH SOLEHA yang kita bina?

Kepada banin lagi, mungkin anda ingin selesa dalam bersukan, TAPI janganlah terlalu tinggi sangat anda menyingsingkan seluar anda sehingga hampir ke lutut. Bercover-cover la sikit ye..Kalau daripada jauh nampak macam pakai seluar pendek sahaja.

Akhir sekali, janganlah lupa untuk solat. Solat itulah juga yang sebenarnya membantu kita untuk mendapatkan keberkatan dalam beriadhah ni. Mungkin terlambat kerana terlajak, TAPI sebolehnya berusahalah untuk solat sebaik sahaja dengar azan.

ANDA BIJAK!!!!JAUHI ZINA!!!!

Tuesday, February 3, 2009

Al-Amin Memanggilmu..!!!

Labaika ya madrasatina!!!
Labaika ya madrasatina!!!
Labaika ya madrasatina bi dimaa-ana wa arwahina!!!

Apakah halnya yang sudah terjadi sehingga bencana ini menimpamu wahai Al-Amin?
Pastilah disebaliknya terdapat hikmah kerana berlakunya bencana ini.

Al-Amin tenggelam di dalam banjir besar akibat hujan lebat pada petang 3hb Februari 2009. Ketika itu warga Al-Amin melakukan aktiviti rutin seharian. Tidak pernah pula dijangkakan bahawa ia akan menghadapi suatu keadaan yang getir. Sungguh hal ini hanyalah Allah yang lebih mengetahui.

Petanda hujan itu semakin sejelas, warga Al-Amin yang sudah tiba masanya hendak pulang sudah mula merancang perjalanan untuk pulang ke rumah masing-masing. Ada pula yang mengeluh kerana bimbang tidak dapat bermain permainan sukan yang telah dijadualkan petang itu. Ada pula yang bersahaja dan tidak mengendahkan apa-apa dengan petunjuk yang jelas itu.

Maka hujan pun mulai turun dengan lebatnya ketika segelintir orang sedang bermain bola tampar di dataran, sebahagian yang lain pula ada yang sudah pulang ke rumah. Ketika itu berlaku peristiwa yang menggemparkan.

Bumi Al-Amin sekali lagi dilanda bah besar menenggelamkan mangsanya seperti semut dan haiwan-haiwan kecil yang melata di sana. Peristiwa seperti ini pernah terjadi pada penghujung tahun 1999 sehingga memaksa kerahan tenaga untuk memunggah barang penting seperti komputer di pejabat dan lain-lain untuk diselamatkan. Cuma pada kali ini, tidaklah lebih dasyat dari apa yang berlaku pada peristiwa yang lepas kerana pihak berwajib sempat mencegah kemelaratan bencana ini.

Dengan kuasa Allah, kejadian ini mengambil masa yang sangat ringkas sehingga mampu menyebabkan banjir yang dasyat ini. Bimbang jikalau peristiwa yang buruk berulang lagi, pihak yang berwajib itu segera mencari punca yang dapat membantu menyelesaikan peristiwa ini serta berusaha sedaya mungkin agar dapat mencegah kebahayaan yang bakal menimpa warga Al-Amin ini. Alhamdulillah, Allah membantu mereka kerana telah ditemui oleh mereka akan punca yang menyebabkan bencana ini.

Benarlah seperti apa yang dirakamkan di dalam al-Quran bahawa tangan-tangan manusialah yang menyebabkan mereka menanggung bencana terhadap mereka. Semua ini adalah disebabkan kesalahan warga Al-Amin sendiri kerana menyebabkan saluran utama perparitan tersumbat.

”Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya". [al-Baqarah: 30]


Sungguh nyata punca tersumbatnya parit utama itu adalah disebabkan pembuangan sampah yang melampau sehingga menyebabkan saliran air tidak dapat mengalir dengan lancar, kerana itulah menjadi punca banjir kali ini. Maka pihak berwajib dengan segera menyelesaikan hal ini sehinggalah terpaksa meredah hujan yang turun serta terpaksa turun ke parit utama untuk mengeluarkan sampah-sampah yang menyumbatkan parit itu.


Terima kasih diucapkan kepada Mohd Fahrulradzi bin Bukhari kerana telah banyak membantu pihak berwajib melaksanakan tugas-tugasnya. Sungguh beliau meninggalkan sedikit jasa sebelum beliau berangkat jauh menimba ilmu serta pengalaman yang lebih baik di Pengkalan Chepa nanti. Minta maaf juga diucapkan kepada beliau kerana gambar aksinya berkhidmat, tidak dapat diambil. Sekali lagi bukti bahawa makmal prihatin dan sentiasa menjaga kebajikan warga Al-Amin.

Wahai Para Pemuda Pemudi Al-Amin!!

Sedarlah bahawa hikmah yang Allah timpakan mehnah ini kepada kita untuk memberi pengajaran kepada kita tentang kesilapan dan kesalahan kita yang telah kita lakukan selama ini. Membuang sampah merata-rata dan sedikit pun tidak mengambil berat akan sampah-sampah yang menyakitkan mata di sekeliling kita. Di manakah bi'ah soleha yang kita bina selama ini? Adakah ini budaya kita?

Hikmah yang susah untuk diperolehi ini telah ditunjukkan, maka ambil-lah ia sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.:
"Hikmah itu barang kehilangan orang Islam, di mana saja beliau menemuinya, ialah yang lebih berhak menerimanya." H.R. Muslim

Sesungguhnya setiap sampah-sampah yang ada disekeliling itu sangat menyakitkan mata, maka ia juga boleh diistinbatkan dengan “perkara yang menjadi rintangan di jalanan” dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Setiap anggota badan dari manusia wajib atasnya bersedekah, tiap hari apabila terbit matahari; engkau damaikan antara dua orang (yang berselisih) itu sedekah, dan menolong orang yang berkenaan dengan kenderaannya, engkau mengangkatnya atau mengangkat barang-barangnya ke atas tunggangannya itu adalah sedekah. Dan kata-kata yang baik itu adalah sedekah, dan setiap langkah kakimu untuk solat juga adalah sedekah. Dan menyingkirkan sesuatu rintangan dari jalan juga adalah sedekah." H.R. Bukhari & Muslim

Sesungguhnya setiap sampah yang anda kutip itu punya pahala dan ganjaran yang Allah berikan kepada kita nanti, sehinggalah setiap sampah yang dikutip itu menjadi saksi kepada kita di hadapan Allah dan mengatakan kepada Allah: “Ya Allah, sungguh hamba-Mu ini telah menempatkan aku pada tempat yang seharusnya iaitu di dalam tong sampah. Maka letakkanlah hamba-Mu ini bersama-sama dengan orang-orang yang adil dan layaklah baginya mendapat syafaat kekasih-Mu ya Allah.”

Maka apa lagi yang harus kita tunggukan untuk menghadapi masalah ini? Saya berpesan kepada diri saya serta para pembaca sekalian terutamanya para warga Al-Amin agar bersama-sama kita menentang nafsu yang membiarkan hal ini terus terjadi. Tanamkanlah tekad wahai warga Al-Amin agar kita semua tidak merasa segan untuk membuang sampah ke dalam tong sampah serta tidak juga segan silu untuk mengutip mana-mana sampah yang bersepah merata-rata di sekeliling kita!!

Saya tidak menyeru kepada anda semua agar memboikot barang-barang yang menyebabkan kepada pembuangan sampah yang bersepah-sepah ini kerana ia adalah sebahagian daripada fitrah manusia untuk makan, tetapi saya menyeru kepada anda semua agar bertanggungjawablah terhadap sebarang pembelian makanan itu seterusnya menguruskan pembuangan sampah secara berkesan. Janganlah hanya diserahkan kepada para petugas kebersihan untuk menyapu dan mengutip sebarang sampah yang bertebaran itu, tetapi biarlah kita sendiri yang menugaskan diri kita untuk tanggungjawab yang besar ini.

Jika ada yang membuang sampah merata-rata, maka tegurlah dia kerana perbuatan ini juga menyumbang kepada kemungkaran kerana menambahkan halangan-halangan di jalanan serta menjadi orang yang dicintai oleh para syaitan. Daripada bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Barangsiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, ubahlah ia dengan tangan, jika tidak mampu, maka ubahlah dengan lisan, jika tidak mampu, ubahlah dengan hati. Sesungguhnya ia selemah-lemah iman.” H.R. Muslim

Seandainya anda tidak memilih jalan perjuangan mudah ini, maka sungguhlah anda bukan dari kalangan kami yang memilih tanggungjawab yang asing ini. Bagi kami, biarlah ia memenatkan dan kami tidak sedikit pun akan henti berjuang. Nafas kami menderu menyahut seruan ini!! Jantung kami berdetak kencang mendengar seruan ini!!! Sendi-sendi kami merasa ringan untuk beraksi!!!! Inilah kami dengan jalan yang kami pilih hanyalah semata-mata untuk melakukan kebajikan mencari redho Allah s.w.t.!!!!!

Al-Amin adalah amanah kita untuk kita ‘imarahkan. Maka belalah setiap alam semula jadi di dalamnya agar terus indah sehingga ke generasi yang akan datang. Bersama kita menjaga kebajikan kita untuk kesejahteraan bersama. Pada sekolah kita ini, terdapat sungai yang mengalir berhampiran dengannya. Tanamkanlah cita-cita untuk kita ke Kampung Abadi dengan tanda-tanda kekuasaan Allah ini yang mengungkapkan indahnya syurga itu. Sekolah kita Syurga kita...

Monday, February 2, 2009

yang manakah harus ku pilih?


"hmm..kalau tak pilih ini..nanti yang itu pula cakap apa kat aku ni..kalau aku pilih yang itu, nanti yang ini pula cakap aku macam-macam..Jadi, yang mana harus ku pilih????"

"senang-senang..tak payah pilih mana-manalah..aku jadi baik jer..pun boleh gak ape..hehe"

Itulah sedikit penyataan yang sering kali ditimbulkan oleh orang ramai dalam masalah yang terbit dewasa ini. Satu isu yang sensetif sebenarnya, tapi merasa bosan dengan keadaan ini yang terus terjadi ini. Fenomena ini jika dikaji, punya sejarah asalnya, tapi tidak perlu disentuh untuk kali ini, kerana biarkan orang yang ahli menyentuhnya. Peristiwa ini tidaklah asing bagi sesetengah orang yang memahami fenomena ini.

Dewasa ini melihatkan bermacam-macam orang yang memperjuangkan dakwah di serata dunia ini. Tetapi merasa pelik kerana ada di antara mereka yang tidak sepakat dan tidak pula bersetuju di antara satu sama lain. Mereka membawa hal yang sama, perkara yang sama, kesedaran yang sama. Juga mengajak kepada perkara yang sama juga. Tetapi susah betul untuk mereka bergerak bersama-sama. Tidak kisahlah kalau tak dapat bergerak bersama-sama, cuma kenapa perlu berlaku diperbesarkan masalah sehingga terlalu ketara percanggahannya.

Berbeza hanyalah nama badan organisasi, ketua organisasi, cara bergerak organisasi tersebut. Perbezaan itu memang sangat digalakkan untuk menunjukkan kepelbagaian dalam berorganisasi dakwah ini. Di situlah juga akan terbitnya Rahmat yang dimaksudkan dalam hadith Rasulullah s.a.w. bahawa; khilaf(pertembungan salah faham) itu Rahmat. Tetapi bagaimana Rahmat itu boleh terbit jika setiap kali berlaku khilaf, maka akan berlaku suatu yang tidak diingini. Akhlak yang paling utama tidak diamalkan. Terus lupa apa yang selalu sahaja diingatkan Allah dalam al-Quran itu. Antaranya, menjatuhkan syakhsiyah individu lain, sedang mereka hanyalah membuat kerja dakwahnya sahaja. Apakah ini ciri-ciri Dai'e yang berjuang untuk mendapatkan redho Allah?

Sedarlah bahawa perbezaan itu hanyalah perkara yang kecil. Ia diibaratkan seperti apa yang disarungkan atau diletakkan pada kepala. Tidak kisahlah namanya kopiah ker, songkok ker, topi ker, serban ker, tarbus ker, kain ker, semuanya berfungsi diletakkan di atas kepala. Bukan di perut mahupun di kepala lutut. Fungsinya tetap sama dan memainkan peranan yang sama juga tapi apa yang membezakan adalah bentuknya yang berbeza dan mungkin juga cara memakainya juga ada kaedah tersendiri. Setiap yang dipakai di kepala itu tidak pernah pula meminta untuk dipakai, tetapi gelagat orang yang memakainyalah yang membuatkan orang lain pandang pelik dan salah faham terhadap sesiapa sahaja yang memakai apa yang dipakai oleh orang yang banyak gelagat tu.

Lihat sahajalah apa yang berlaku dalam dunia Arab, terus bertelegah sesama sendiri sedangkan perbezaan masalah bangsanya sendiri tak dapat dibela. Orang lain pula terus memandang rendah kepada semua bangsa Arab kerana perilaku beberapa orang pemimpin Arab sahaja. Mengapa jadi begini? Tanggapan sumbang terus dilemparkan kepada semua yang berkaitan dengannya, tapi tidak semua yang sepertinya.

Itulah sebenarnya bahaya orang yang berada di dalam sebuah wajihah yang bergerak untuk dakwah. Yang lebih ditakuti lagi ialah mereka lupa tujuan dakwah mereka. Mereka menyeru kepada apa? Lupakah mereka ini? Sedang apa yang dirakamkan dalam al-Quran pula menyebutkan:

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, Aku dan orang-orang Yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah Dengan berdasarkan keterangan dan Bukti Yang jelas nyata. dan Aku menegaskan: Maha suci Allah (dari Segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah Aku dari golongan Yang mempersekutukan Allah Dengan sesuatu yang lain." [Yusuf:108]

Kita bergabung dengan orang ramai untuk hal ini. Bukannya memikirkan kuantiti, tetapi menerapkan kualiti kepada setiap kali pergabungan dengan orang ramai. Kita memperkenalkan Islam kepada semua orang dan memberi tawaran seperti mana yang Allah s.w.t tawarkan kepada semua hamba-Nya untuk selamat. Itulah tugas kita dalam kesedaran kepada Illahi. Mengajak orang ramai untuk menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah Taala.

Kita bukan mahu menyelamatkan kambing yang bersendirian daripada ancaman serigala, tetapi kita mahu mengajak manusia beramai-ramai kepada redho Allah. Perlulah kita mengenalkan Islam, agama yang dari Allah untuk hamba-Nya yang ingin selamat dari azab Allah yang amat pedih. Bergerak secara organisasi dan teratur memang sangat-sangat dituntut oleh Allah. Tetapi perlulah diingat apakah tujuan dan matlamat kita dalam pergabungan ini? Kalau untuk ramai ahli, maka dia akan usahakan untuk mencapainya. Kalau ia untuk generasi hadapan, maka mereka juga akan usahakan untuk mencapainya.

Terserahlah kepada anda, yang mana harus dipilih.

Sunday, February 1, 2009

Kenangan al-Arqam

Baru-baru ini, apabila dapat tahu bahawa beberapa kumpulan nasyid telah merakam semula nasyid-nasyid dahulu, tiba-tiba merasakan suatu peluang keemasan untuk mendapatkan album baru tersebut. Nasyid-nasyid yang pernah dinyanyikan oleh kumpulan Nadamurni yang salah satu wasilah Jamaah al-Arqam berdakwah dalam bidang hiburan ketika sekitar awal tahun 90-an.

Hijjaz buat "Nostalgia Lagenda Nadamurni". Rabbani pula "Nostalgia Nadamurni". Nazrey pula menyanyikan semula beberapa nasyid The Zikr secara solo. Hampir ke semua nasyid-nasyid ini benar-benar memberikan semangat dalam dakwah antaranya; "Nun di Sana", "Indahnya Hidup Bersama Illahi", "Bila Nur Melimpah di Hati", "Sunnah berjuang", "Jasa Petani", "Antara Dua Cinta", "Cita-citaku" dan banyak lagi.

Apabila mendengar semula nasyid-nasyid tersebut, benar-benar terkenang ketika zaman kanak-kanak dahulu, diri penulis pernah mengikuti jaulah yang dianjurkan oleh Jamaah al-Arqam ke Zoo Negara ketika umur masih muda lagi. Ketika itulah pertama kali berjumpa dengan Abuya Haji Ashaari, pemimpin al-Arqam ketika itu. Melihat rakan sebaya yang lain pergi ke Zoo Negara dengan bangga memakai jubah dan serban mereka. Bagi muslimah pula, mereka berpakaian purdah serba hitam. Tapi saya dan juga beberapa peserta yang lain hanya berpakaian biasa, mungkin kerana kami bukan ahli..hehe..

Tapi mengenangkan ketika program tersebut, betapa saya merasakan bahawa program itu bukan sia-sia sekadar melihat binatang dan berseronok sahaja. Tetapi di dalam program ini, mereka pasti akan memberikan berbagai tazkirah, mengajarkan apa istilah binatang ini dalam bahasa arab dan sebagainya. sepanjang perjalanan kami di dalam Zoo Negara itu, saya melihat mereka semua, tidak pernah terlepas dari mulut mereka membesarkan Allah. Setiap kali berjumpa dengan binatang-binatang yang ada, mesti mereka membacakan "Subhanallah!!". Mereka juga tidak pernah terlepas untuk memberi salam kepada sesiapa sahaja yang mereka jumpa.

Rasanya saya masih ingat lagi tazkirah yang Ust Haji Ashaari berikan setiap kali kami menjumpai binatang-binatang yang ada di situ. Apabila jumpa gajah, maka dibuka kisah tentang tentera Abrahah dengan angkatan bergajahnya yang ingin menghancurkan Ka'abah.

Apabila jumpa harimau, Ust Haji Ashaari tanya kepada kami semua; "Siapa yang takut dengan harimau tu?". Ada diantara kami yang menjawab; "Kami tak takut, sebab harimau takkan sampai kepada kita di sini". Kemudian Ust Haji Ashaari cakap; "Begitulah kita kena meyakini bahawa Allah yang melindungi kita ini seperti pagar yang memisahkan kita dengan harimau ini. Sebab yang menjaga dan memelihara kita hanyalah Allah."

Apabila jumpa burung flamingo, ramai juga yang kagum, sebab biasa melihat bangau biasa sahaja, kini dapat melihat yang luar biasa dihadapan mata mereka. Semuanya bertasbih beramai-ramai. Apabila jumpa burung merak, semuanya bertasbih juga. Kemudian diceritakan kepada kami bahawa bulu burung merak yang cantik itu sebenarnya beracun, maka dianalogikan tentang bahayanya kita terpesona dengan keindahan materialistik duniawi ini.

Kemudian jumpa ikan-ikan dan juga penguin. Kami juga melihat ikan lumba-lumba beraksi di ruang ikan itu. Hehe..ketika itu saya juga ternampak Ust Haji Ashaari tertawa melihat gelagat ikan lumba-lumba tersebut. Kemudian kami mengambil makanan tengahari kami di tasik Zoo tersebut, sambil didendangkan beberapa buah nasyid "Bermacam-macam binatang". Selepas selesai, kami pun pulang ke rumah masing-masing. Ust Haji Ashaari dalam ucapan penutupnya yang mengucapkan terima kasih kerana dapat bertemu dengan kami semua serta beliau berharap agar dapat jumpa lagi apabila kami meningkat dewasa. Sempat juga Abuya mengingatkan kami agar suka solat sebagai tanda berterima kasih di atas kebesaran Allah.


Banyak lagi kenangan saya bersama orang-orang al-Arqam ini. Tapi cukuplah setakat ini sahaja saya kongsikan pengalaman bersama-sama mereka. Dirisaukan bahawa ada pula yang menuduh saya ini berdakwah membawa fikrah al-Arqam pula. Sungguh jauh sekali tuduhan itu dengan realiti. Cukuplah ia sekadar menjadi kenangan dan memori di dalam sanubari ini. Ambil yang jernih, buang yang keruh.