Monday, June 21, 2010

Ada yang bertanyakan tentang isu Palestin..

Alhamdulillah, dapat pula peluang untuk kembali menulis di dalam blog sendiri setelah lama disibukkan dengan berbagai hal. Maka dikesempatan ini, peluang yang sedia terbentang ini, perlulah dimanfaatkan sebaiknya. Saya ingin menulis suatu pengalaman saya tentang satu peristiwa yang sangat menarik. Mudah-mudahan anda semua, para pembaca dapat mengambil pengajarannya.

Ada seorang pelajar mengajukan banyak soalan kepada saya dan ingin pula saya rakamkan semula di dalam blog ini untuk para pengunjung blog ini membacanya. Soalan yang pertama tentang Palestin ialah:

1. Kenapa banyak kempen tentang Palestin? Kenapa tak Darfur ker, Kashmir ker, Yala ker?
2. Kenapa Ustaz (diri penulis) asyik sibuk-sibuk cerita tentang Palestin? Apa yang ustaz nak sebenarnya?
3. Sampai bila isu Palestin ini akan terus disemarakkan dalam kempen-kempen ini?

Maka saya terus memberi respon kepada persoalan-persoalan itu. Mudah-mudahan penanya soalan itu dapat lega dengan jawapan yang saya cuba terangkan kepadanya. Apa yang menariknya ialah; soalan ini dikemukan oleh seorang pelajar Tingkatan Satu. Sebenarnya saya sangat kagum kerana pelajar yang seperti ini mampu menanyakan soalan yang mencabar seperti ini.

Jawapan saya pada soalan-soalannya:

1. Kita sebagai seorang Islam, memang sepatutnya mengambil berat terhadap semua isu umat Islam. Kenapa Palestin? Kerana ia adalah jantung umat Islam. Di dalamnya terdapat "Kiblat Pertama" (Masjid al-Aqsa) umat Islam yang bakal runtuh bila-bila masa sahaja. Bayangkan kejahatan mana yang lebih dahsyat daripada menghancurkan Kiblat umat Islam? Ya mungkin sekarang ia bukan lagi Kiblat yang dihadap oleh semua umat Islam, tapi apakah harus kita membiarkan kesucian Kiblat pertama kita? Apakah Bumi as-Shafi'e dicemarkan dengan kekejaman mereka? Apakah Bumi Anbiya' juga harus dijarah oleh mereka?

Insya Allah tentang negara-negara Islam lain yang di dalam kebahayaan itu juga seharusnya kita memberi bantuan, tapi lebih banyak kempen terhadap Palestin adalah kerana ingin menyedarkan masyarakat kepada punca penyakit umat Islam kini. Ramai yang seperti telah melupakan kepentingan Kiblat Pertama ini. Ramai yang sudah tidak mengendahkannya. Kerana dibayangi hiburan yang keterlaluan. Andai kata semua umat Islam bangkit menentang penjajahan Zionis di Bumi Palestin, pastinya isu-isu umat Islam di negara lain juga pasti akan terbela kerana kepedulian umat Islam sudah melangkaui sempada. Itulah natijah dengan kebangkitan kepedulian terhadap saudara seislam yang lain.

2. Ustaz nak anta (pelajar yang bertanya itu) sedar!!! Ana tak nak anta tidak tahu atau buat tidak tahu atau tidak endah kepada isu seperti ini. Ana sibuk-sibuk nak beritahu tentang isu Palestin adalah kerana nak menyedarkan mereka yang masih terlena diulik kesenangan dan hiburan yang melampau-lampau melangkaui sempadan tanpa batasan. Maka sedarlah!! Dan bangkitlah dengan tindakanmu menegakkan Islam!!

3. Walaupun Palestin dah merdeka sekalipun, kita tetap akan berkempen tentangnya. Mungkin boleh jadi ketika itu, sudah datangnya Hari Kiamat, kerana Nabi s.a.w. pernah bersabda: "Tidak akan berlaku Hari Kiamat hinggalah orang Islam memerangi orang Yahudi, lalu orang Islam berjaya membunuh mereka hinggalah orang Yahudi bersembunyi di sebalik batu dan pokok, lalu batu dan pokok itu berkata; "Wahai Muslim, wahai Hamba Allah, ini orang Yahudi di belakangku, marilah ke sini dan bunuhlah dia." [H.R. Muslim].

Maka, nak tak nak..kita akan terus berkempen sehingga datangnya Kiamat. Kami bersaudara dengan saudara kami di Palestin itu bukannya bermusim. Bukan hanya pada masa-masa tertentu sahaja. Tapi kami bersaudara sehingga kami yakin kami akan bertemu di Syurga nanti menghadap Allah. Kami juga bersaudara dengan saudara kami di tempat-tempat yang lain seperti Darfur, Yala, Kashmir dan sebagainya. Kami juga cuba untuk menyelesaikan masalah setempat di kalangan masyarakat kita hari ini.

Kami melihat keadaan umat hari ini sungguh terseksa, seperti tersungkur dengan kepada hampir-hampir tercabut untuk terputus. Kami tidak mahu merasai kesakitan itu lagi. Maka inilah usaha kami. Kami cuba menyedarkan umat daripada tidur lena mereka yang mana, kamar tidur mereka itu sedang terbakar. Apakah kita mahu membiarkannya sahaja?

"Barangsiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan umat Islam, maka bukanlah dia daripada kalangannya". [H.R. Bukhari]

Tuesday, June 15, 2010

Baru tahu apa perasaan cikgu menanda kertas..

Setelah lama blog saya ini tidak diperbaharui entrinya. Maka dikesempatan ini, saya yang dalam keadaan tertekan, ingin menggunakan kelebihan pada teknologi terkini. Untuk merakamkan luahan perasaan saya setelah merasai suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila.

Untuk maklumat para pembaca, saya yang sememangnya seorang Pembantu Makmal di sebuah sekolah swasta di tanah air, buat kali pertamanya (dan mungkin kali terakhir) saya dapat membuat soalan peperiksaan dan menanda kertas tersebut. Itu suatu pencapaian yang amat dibanggakan buat seluruh warga Pertubuhan Pembantu Makmal Sedunia (WLAO) [hahaha!!] walaupun ia dilanda berbagai kontroversi tentang hakikat ini.

Sememangnya saya sangat-sangat menginginkan peluang seperti ini di dalam kehidupan saya. Saya telah diberi mandat untuk mengubal soalan Tajweed Tingkatan 5. Walaupun saya seorang Pembantu Makmal, adakah saya berkelayakkan untuk menggubal soalan? Biarlah apa pun orang mengata, tapi saya tetap cuba membuat yang terbaik sehinggalah penggubalan soalan itu disahkan oleh Ketua Penatia Tajweed dan Ketua Jabatan Al-Quran.

Walaupun telah disahkan, tapi biasalah manusia, tidak dapat lari dari kesilapan. Ada juga beberapa soalan yang ada sedikit masalah teknikal. Alhamdulillah ia selamat diperbaiki secepat mungkin.

Selepas habis detiknya para pelajar menduduki peperiksaan, kini giliran saya mengorbankan waktu cuti saya dengan menanda kertas soalan tersebut. Ketika itu, baru saya mendalami benak hati seorang guru "Begini rupanya nasib menjadi guru. Masih bekerja ketika semua orang sedang bercuti". Ketika menanda pula...ya Allah!!! Kesabaran memang benar-benar diuji. Karenah pelajar pada jawapan mereka sudah cukup memain emosi saya ketika itu.

Macam-macam perasaan datang. Ada ketika, saya terketawa seorang diri membaca jawapan mereka, ada ketika pula, saya kepeningan membaca tulisan mereka yang "mahir" dalam ilmu khatnya. Ada ketika pula, rasa bengang lagi marah dengan ketidak-sungguhan mereka dalam menjawab. Ada ketika pula, terasa kesian melihat cara mereka menjawab. Ketika itu sekali lagi saya mendalami benak seorang guru. "Dulu, tulisan aku lagi buruk dari ini, macamana agaknya ustazah tu tanda kertas aku ya? Dulu, jawapan aku lagi "kreatif" dari jawapan dia ni, macamana agaknya reaksi cikgu ni ya?"

Sesudah siap menanda, kini sampainya ke waktu kemuncak iaitu memberi markah pula. Siap kira markah untuk seorang pelajar, kemudian pergi ke pelajar yang lain pula. Ada ketika saya terpaksa periksa berkali-kali jawapannya, jika saya dapat memberikan sedikit markah "kasihan" untuknya. Ada ketika, saya kira berkali-kali. Takut-takut tersalah kira menyebabkan pelajar itu gagal. Sekali lagi saya mendalami benak seorang guru. "Aku dulu pun, banyak juga subjek yang gagal, mesti cikgu tu bengang kat aku. Tapi yang pasti, aku tak pernah gagal dalam subjek Tajweed!!!"

Dalam melayari emosi yang beralun lagi berombak. Akhirnya aku menjerit juga seorang diri melayan perasaan yang lara ini terhadap kertas jawapan seorang pelajar ini. "Kenapa kau boleh gagal dalam Tajweed haaaa!!!!!?????? Kau dah Tingkatan 5 tahu taaaaakkkk!!!!!!!!"

Soalan yang saya buat ini, bukannya susah sangat. Saya mengkategorikan sebagai tahap yang paling "Ultra-Super-duper-Mega-Extravaganza" senang dah. Tapi boleh gagal juga. Kalau tengok markah Tilawah, OK pulak. Maksudnya, kalau 11 tahun kamu di dalam institusi persekolahan ini, kamu dalam 11 tahun mempraktis bacaan Al-Quran yang juga ilmu Tajweed. Tapi macamana boleh gagal jugak ni!!!???? Sekarang ni..bukan bengang lagi..tapi sedih yang teramat!!

Saya akan memohon Pertubuhan Pembantu Makmal Sedunia (WLAO) untuk memanjatkan kepada pihak Kementerian Pelajaran agar dimasukkan subjek Ilmu Tajweed dalam Sijil Penilaian Menengah (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) untuk tempoh 2 tahun akan datang ini. Agar mereka merasa seronok untuk membaca Al-Quran sekaligus mempraktikkan ilmu Tajweed yang mereka kuasai itu.