Wednesday, April 29, 2009

Bila student nak exam..pembantu makmal macam tiada kerja..

Ya Allah..hari ini, tiada apa-apa eksperimen pun di makmal. Kalau ada pun, cuma kelas sahaja. Alhamdulillah. Banyak kerja-kerja untuk Tarbiyah telah disiapkan. Best jugak jadi pembantu makmal ni..Alhamdulillah..hari ni jer dapat abiskan tilawah!!! Rasa macam hari dalam bulan Ramadhan pula.

Tapi, perasaan sebagai orang makmal, tetap terasa lain, sebab orang makmal selalunya bersifat "cari jalan penyelesaian dengan macam-macam percubaan". Jadi, kes saya kali ini, tiada apa yang hendak diselesaikan. Ayah saya selalu pesan, "kalau dah takde masalah, pergilah cari masalah untuk diselesaikan".

Asbabul nuzul tentang ayat Ayah saya itu ialah, ketika saya masih muda, menduduki tingkatan 5. Bila ayah melihat saya tiada kerja hendak dibuat, ataupun tengok televisyen,

Ayah akan tanya; "Dah siap homework?"
balas saya; "Sudah.."
Ayah tanya lagi; "Dah takde latihan nak buat lagi ker?"
saya jawab: "Ada banyak kat buku latihan, takkan nak buat semua? Banyak tu.."
Ayah balas; "Kalau dah takde soalan nak dijawab, cari lagi soalan."
Ayah tambah lagi: "Kalau rajin buat selalu latihan, nanti kita terlatih la, baru kita boleh ready untuk hadapi segala soalan-soalan yang lain. Sama juga dengan masalah. Okey?"

Mengikut pengalaman saya sebagai pembantu makmal. Ketika pelajar sedang periksa, kami pembantu makmal-lah orang yang paling banyak tidur. Hahahahahaha!!

(tengah tak tau nak buat apa sekarang..)

Monday, April 27, 2009

Bergerak!!

Kita perlu bergerak untuk amal kerja kita.
Kita perlu bergerak untuk diri kita sendiri.
Kita perlu menggerakkan orang lain juga.
Kita perlu bergerak atas jalan dakwah ini.

Dalam arena dakwah ini, tidak dapat tidak untuk kita sentiasa bergerak menjalankan tugas kita melakukan kerja-kerja dakwah ini. Dakwah pasti tidak akan berkembang jika ia tidak digerakkan oleh para dai'e. Tapi, nak menggerakkan dakwah ni, bukannya mudah. memang sukar untuk terus tetap bergerak dalam perjuangan ini.

Seperti orang berlari di track larian dalam suatu stadium. Kalau kita berlari bersama-sama teman-teman kita dengan kadar halaju yang sama, lama-kelamaan, pasti akan ada yang mula perlahan, kemudian pasti ada yang "pancit", kemudian ada pula yang berhenti sebentar sambil tercungap-cungap, malah yang lebih teruk lagi; jika ada yang berhenti, bukan sahaja berhenti di tepi track, tapi terus balik keluar dari stadium. Walaubagaimanapun, dalam masa yang sama, ada juga yang dapat mengekalkan stamina dan halaju mereka untuk lari bersama.

Tetapi sekiranya mereka ini saling memahami di atas jalan juang mereka yang sama ini,; pastilah yang lambat itu tidak akan menghalangi jalan mereka yang laju, malah memberi jalan lagi untuk mereka. Dan yang laju pula tidak akan menghina lagi memarahi mereka yang lambat, malah mereka akan memberi galakan serta motivasi kepada mereka yang lambat agar dapat bersama-sama nanti.

Begitulah resam di dunia perjuangan, pasti ada yang terus bersemangat berjuang, pasti juga ada yang sudah mula rasa "penat" berjuang, kemudian, akan datang pula perasaan "futur", putus asa, dan membuat keputusan untuk berhenti. Mereka ini manusia juga, bukan robot. Kenapa tidak biarkan mereka berehat sebentar?

Bagi mereka yang sudah yakin dengan jalan juangnya, yang sudah mempercayai dengan jalan juangnya, yang sudah benar-benar sanggup mati untuk memperjuangkannya; pasti mereka tidak kenal apa itu berhenti. Banyak kisah-kisah para sahabat juga para Anbiya' yang mereka ini berdakwah tidak kenal henti. Nabi Nuh a.s berdakwah malam dan siang. Tapi mereka menyumbatkan telinga mereka dengan jari mereka agar tidak mendengar dakwah Nabi Nuh a.s.

Kubur para sahabat pun, kebanyakkanya banyak di luar tempat lahir mereka (Mekah dan Madinah), sehingga ada yang di China, Asia Tengah, Kota Kostantinopel, dan banyak lagi. Kerana mereka mengabdikan seluruh kehidupannya untuk berdakwah. Sememangnya Allah memberi formula kepada kita suatu kehidupan yang lebih indah.

Firman Allah s.w.t:
"Hai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi KEHIDUPAN kepada kamu, dan ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah membatasi antara manusia dan hatinya dan sesungguhnya kepada-Nya lah kamu akan dikumpulkan." [al-Anfaal 8: 24]

Dalam setiap perjuangan itu pasti akan ada kesusahannya. Tidak akan rasa nikmat jika tiada rasa susah. Apabila kita dapat melepasi semua kebahayaan dan keperitan dalam kesusahan berjuang, di situ akan kita rasa nikmatnya. Yakinilah bahawa segala kepayahan yang bakal anda hadapi itu, adalah pada tahap yang anda boleh hadapi sebenarnya.

Seperti fiman Allah Taala:
"1) Bukankah Kami telah melapangkan bagimu: dadamu (Wahai Muhammad serta mengisinya dengan iman dan hidayah petunjuk)?
2)Dan Kami telah meringankan daripadamu: bebanmu (menyiarkan Islam).
3)Yang memberati tanggunganmu, (dengan memberikan berbagai kemudahan dalam melaksanakannya)?
4)Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan)?
5)Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
6)(sekali lagi ditegaskan): Bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
7)Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal Soleh), maka bersungguh-sungguhlah Engkau berusaha (mengerjakan amal soleh Yang lain).
8)Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini)." [al-Nasyrah 94: 1-8]

Inilah ayat yang sepatutnya memotivasikan kita. Ayat ini juga untuk para penggiat dakwah juga. Bahkan para sahabat juga mendakwa bahawa mereka mencapai kemuliaan hidup baru daripada hidup kehinaan dahulu hanyalah kerana Islam. Islamlah yang memuliakan mereka. Maka itulah yang mereka perjuangkan walau tergadai nyawa sekalipun.

Jika dianalogikan dengan suasana medan perang. Bahawa setiap perajurit itu akan terus mara ke hadapan sehingga capai misi mereka. Iaitu menguasai kawasan musuh (jika itu misinya). Dalam keadaan hiruk-pikuk medan peperangan, pasti ada kepayahan, dengan peluru meluru tidak mengenal siapa, bedilan meriam meletup di mana-mana sahaja. Ada yang berlindung diri, ada yang terus menembak, ada yang mencari peluang untuk terus mara. Dalam keadaan ini, pasti ada yang terkorban, pasti juga ada yang tercedera tidak dapat meneruskan lagi perjuangan. Yang lebih menakutkan bagi angkatan perang, jika ada yang pura-pura mati atau sembunyi atau melarikan diri sebelum perang kerana takutkan suasana itu.

Bagi mereka yang tahu tugasnya untuk melaksanakan misi. Mereka akan teruskan walaupun tubuh badan mereka dihujani peluru mahupun dihancurkan oleh bedilan meriam. Kerana mereka tahu, jika musuh tidak dibunuh, mereka pula akan membunuh kita serta rakan-rakan seperjuangan. Perajurit ini ingin tahu teman seperjuangan mereka hidup, apabila mereka nampak bahawa mereka saling bergerak mencapai misi dan terus berjuang. Jika tiada, mereka andaikan orang itu mungkin mati atau tercedera.

Begitu jugalah dakwah. Para dai'e yang tahu kenapa mereka berdakwah, segala keperitan itu, mereka akan terus bergerak, bekerja, beramal dan berdoa. Begitulah resam kehidupan para pejuang dakwah ini. Jika tidak nampak lagi seseorang yang sama-sama berjuang dengan kita lagi..faham-fahamlah maksudnya (ayat makan dalam ni).

Walau apa pun terjadi, bergeraklah untuk jalan juang ini. Walaupun usaha itu sedikit sekalipun, Allah-lah yang sebaik-baik memberi ganjaran terhadap apa yang kita buat. Usaha itu, biarlah ia bersungguh-sungguh, hanyalah redho Allah yang kita harapkan. Jom beramal!!!

Sunday, April 26, 2009

Seronok berjaulah di Bumi sendiri sebenarnya..

Dari bumi Keramat 0625 (6.45pagi), merantau ke Gombak tapi termamai pergi ke arah Selatan pula, tiba di Bangi baru teringat yang saya mesti ke Gombak dahulu. Ke Gombak kerana ada program. Heh..ketika program itu, ada orang kata.."tempat kat sini macam semakin mengecil plak"..hehehe..

Kemudian pergi pula ke Seremban, solat sebentar di Masjid Negeri, kemudian..ada laa. Perasaan di sini, ada seronok, kerana dapat jumpa orang baru juga orang yang dah lama tak jumpa, tapi sedih juga kerana mungkin itulah perjumpaan dengan mereka yang terakhir.

Kemudian..pergi pula ke UPNM (Universiti Pertahanan Nasional Malaysia)..kali pertama masuk ke tempat ini, rasa sangat kagum lagi jakon..hehe..Buat apa di sini? Ada ar. Tapi sangat menarik pengalaman di sini, dapat berjumpa dengan teman-teman baru. Malah dapat melihat sendiri realiti kehidupan tentera nasional. Ternyata para tentera-tentera nasional adalah terdiri dari kalangan rakyat yang berdaya tahan dan berdaya saing. Memang kagum.

Suasana di sini, melihat mereka memakai baju uniform (walaupun hari Ahad), kemudian berjalan dalam berkumpulan pun dalam keadaan kawad. Fuh!! Saya memang sangat kagum melihat suasana ini!! Satu suasana yang asing bagi saya, tapi, ia sangat menarik melihat displin mereka yang sangat terkawal. Semuanya segak dalam berjalan dengan pakaian uniform mereka. Malah kawalan ketat untuk memasuki ke tempat tersebut pun telah membuatkan saya sangat kagum. Kawasan UPNM pun sangat bersih.

Saya terbayang, kalaulah mereka dapat menghidupkan suasana yang semuanya lakukan perkara yang sama sahaja, contohnya tentang kawad dalam berjalan berkumpulan. Bukankah itu suatu latihan yang berjaya? Kalaulah kita mahu menghidupkan satu suasana yang semua orang melakukan perkara yang baik, bukankah itu suatu suasana yang hebat??!!

Saya terfikir, kalaulah kita mahu hidupkan bi'ah soleha di Al-Amin, mungkin sampai satu tahap, kita juga akan menggunakan cara sepertimana mereka lakukan. Alangkah indahnya suasana yang kita dapat lihat, semua orang berdisplin menjaga diri mereka dengan akhlak Islam. Mampukah kita? Insya Allah..boleh..terus berdoa dan berusaha..pasti berjaya..amiin..

Kemudian, saya menyambung lagi perjalanan ke Damansara pula. Ada program di sana, tapi..suasananya..sejuknya!!! Berapa banyak aircorn la tempat tu pasang. Australia pun tak sesejuk dewan tu. Bergelen-gelen air saya minum untuk membasahkan bibir akibat sejuknya atmosfera di luar badan saya.

Selepas beberapa jam di situ, kemudian bergerak pula ke Selayang, ada urusan ringkas. Tapi, bila dah mula berborak, aduh!! Lama pula terlanjut perbualan. Selepas urusan dan terlanjur pula perbualan kami, kena pula pergi ke Cheras untuk mengambil barang seperti dipesan oleh atasan.

Selepas selesai semuanya, maka pulanglah saya ke rumah. Setibanya di rumah, melihatkan rumah ketika itu, bergelap. Saya sangat musykil dan memeriksa kenapakah rumah sudah bergelap. Rupa-rupanya, bila dilihat pada jam tangan dan jam di rumah, sudah pukul 0045. Ataupun ditulis 12.45 pagi.

Keesokkan paginya, saya dapat satu ceramah berpakej iaitu, satu ceramah ada dua orang penceramah, tajuknya "Manusia perlukan rehat juga". Ceramah telah disampaikan oleh kedua ibubapaku..hehehe..

Memang betul juga apa pesan mereka; "Kalau tangki 2liter dah habis, mesti kena penuhkan balik 2liter jugak, kalau tak, mutu kualiti untuk bergerak takkan lebih jauh dan lebih baik laa"

Kemudian ditambah pula; "Kalau ada kereta, berpada-padalah, jangan lupa famili pula. Memang betul banyak kerja yang nak kena buat, tapi susunlah biar rapi kerja kita."

Hehe..memang letih, tapi sangat enjoy..tak tau nak cerita macamana..tapi apa yang mereka kata tu, sememangnya betul. Sedikit pun saya tak nafikan. Apa-apa hal pun..Thanks mak n ayah!!

Tuesday, April 21, 2009

Pernah dengar tak Hari Tapir Sedunia???????


Haaa...kepada para pembaca sekalian, saya doakan para pengunjung blog ini dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Kali ini, saya ingin membawakan satu topik yang mungkin sangat jarang untuk didengari. Mungkin juga saya menulis tentang subjek kali ini adalah disebabkan terpengaruh dengan kempen dari pada WWF (World Wildlife Fund) untuk menyedarkan kepada kita tentang hidupan yang terancam ini.

Semalam saya mengikuti siaran 24.fm dan padanya ada penerangan tentang Hari Tapir Sedunia daripada pegawai zoo (tak ingat nama orang tu). Apa yang menarik perhatian saya ialah; kali pertama saya mendengar suara atau bunyi tapir. Terasa macam hari ini hendak pula ke Zoo Negara untuk mendengar secara live bunyi tapir itu sendiri. Hehehe..sangat menarik bunyinya, seperti haiwan yang comel apabila dengar melalui radio.


Jadi kali ini, mungkin saya juga ingin mengajak para pengunjung untuk meningkatkan kesedaran terhadap haiwan terancam ini. Dimaklumkan bahawa Hari Tapir Sedunia telah diisytiharkan pada setiap 27 April ini. Tidak pula dimaklumkan sempena apa. Saya berpendapat, mungkin kerana pada waktu itu, banyak tapir-tapi di seluruh dunia telah terkorban akibat serangan manusia yang tidak berperikemanusiaan. Semua pejuang-pejuang tapir yang membela nasib keturunan mereka, habis terkorban dalam serangan yang bersejarah tersebut yang dinamakan Perang Tapir. (Macam Perang Jamal (unta) la agaknyer..hehehe)
Tapi dalam maklumat yang dijumpai, bahawa pada tarikh tersebut tahun 1980-an, tapir diisytiharkan sebagai haiwan terancam dan banyak tapir yang nyaris-nyaris dijadikan makanan eksotik di Vietnam, dipindahkan ke Zoo Peliharaan Hidupan Terancam di Brazil. Mungkin juga kerana itu Hari Tapir Sedunia diisytiharkan.


Di Malaysia, pula disambut Hari Tapir ini pada Khamis ini sehinggalah Ahad ini iaitu 23hb-26hb April. Macam Hari Raya Aidilfitri la, di Malaysia sambut 30hari, tapi di negara-negara Islam yang lain, sambut satu hari sahaja. Jadi begitu jugalah Hari Tapir di Malaysia. Menurut maklumat yang diberikan melalui Radio 24 itu; 4 hari disambut Hari Tapir ini adalah berlangsungnya kempen-kempen bergerak di seluruh tanah air untuk memberikan kesedaran kepada rakyat Malaysia tentang ancaman yang dihadapi oleh para tapir di seluruh dunia. Dimaklumkan juga bahawa ketika itu, akan ada raksasa Tapir yang akan muncul di Kuala Lumpur sebagai membalas dendam terhadap saudara-saudara setapir dengannya. Hahahahahahha!!!!Bukanlah...raksasa yang saya maksudkan ialah maskot. Saya tak boleh bayangkan, macamanalah agaknya rupa maskot tapir tu yer?hehehe..mesti comel..!! Bayangkan, Tapir boleh berdiri!!! waaaaaahh!!!! Comelnya!!!!!!!

Bila sebut tentang tapir, tiba-tiba saya teringat satu persoalan tentang tapir ini. Ketika saya kecil dahulu, pernah satu ketika saya dan abang saya berlaku khilaf dalam ijtihad kami memanggil binatang ini. Di televisyen, mereka memanggilnya sebagai tapir, tapi saya mengenali haiwan itu melalui guru saya di Madrasah al-Keramaty adalah tenuk. Tetapi abang saya pula menegaskan dengan memansuhkan segala panggilan tersebut dengan digantikan dengan panggilan cipan. Jadi, apa bezanya TAPIR, TENUK, dan CIPAN? Adakah perbezaan sebutan ini hanyalah daripada perbezaan luhjah(loghat) atau adat? Ataupun mereka ini adalah berbeza daripada jenis spesis-spesisnya? Mungkin mereka sememangnya berasal dari superfamiliy Tapiroidea, tetapi lain Genusnya(Kelasifikasi saintifik)?



Tak mengapalah, mudah-mudahan akan lahir seorang pengkaji ilmu haiwan Muslim yang akan menjawab persoalan ini nanti. Amin.

Ada seperkara lagi fakta yang ingin saya kongsikan dengan para pengunjung kali ini, iaitu tapir-tapir ini juga ada di dalam mitos-mitos mengikut kepercayaan agama-agama lain. Menurut kepercayaan orang Jepun, binatang tapir ini adalah gajah kecil yang nakal kerana suka memakan mimpi orang. Maka gajah kecil ini disumpah dipendekkan belalainya. Macam-macamlah punya cerita dongeng ni.

Jadi, bagi saya, ada cara untuk kita mengingati perjuangan para pejuang tapir yang memperjuangkan nasib bangsanya itu. Saya mencadangkan kepada para pecinta tapir/tenuk/cipan yang mengunjungi blog ini, bahawa namakanlah kereta-kereta nasional dengan nama haiwan ini. Dahulu, ketika Produa mengeluarkan produknya iaitu kereta Kancil dan Rusa, ramai orang menyangkakan, pasti selepas ini akan keluar kereta Tapir atau Tenuk atau Cipan. Tapi malangnya yang keluar ialah kereta Kenari dan Kelisa. Aduh. Kecewanya kami. Kalau di Indonesia, ada kereta yang diberikan nama-nama haiwan seperti Kuda (toyota Unser di Malaysia), Panther (tak tau apa nama jenis ini di Malaysia) dan banyak lagi.

Maka, sebagai mengingati perjuangan Tapir ini. Apa salahnya kita namakan kereta buatan tempatan sebagai MyTapir. Atau MPV Tapir ker? Atau Mini Tapir ker? Kalau syarikat pembuatan kenderaan tempatan mahu menggunakan nama Tapi ini juga sangat digalakkan, seperti Modenas Tapir ker, model C-70 ditukar nama dengan Tapir-70 ker? Bukankah ini sebagai langkah kesedaran kita untuk menyelamatkan haiwan terancam ini? Sama-sama kita fikirkan.
(Hehehehe..berguling-guling bila habis type blog ni)

Sunday, April 19, 2009

Kepala Botak

Kali ini, tiba-tiba mahu menulis benda yang mungkin macam merepek..Hahahaha!! Mungkin setelah membaca pada link ini http://muhammads3x.blogspot.com/2009/04/kepala-botak.html. Saya juga ingin memberi respon tentang subjek yang mahu dibincangkan. Hehehe.. Segala apa yang bakal anda baca ini, hanyalah gurauan semata-mata dan mungkin juga terlalu banyak merepeknya. Harap maaf atas segala ketelanjuran tersebut.

Apa pendapat anda terhadap kepala botak?
Sudah pasti saya amat geli hati melihat mereka yang dulunya bergaya dengan fesyen rambutnya, tiba-tiba bila berjumpa, kepalanya botak pula. Ramai orang kata kepala botak itu memudahkan belajar. Benarkah fakta tersebut? Mungkin juga, kerana kalau kepada ada banyak sangat rambut dan kemudian serabut pula, maka rambut-rambut itu telah menjadi penghalang untuk ilmu masuk ke kepala, kerana itulah ramai para pelajar membotakkan kepala mereka dengan alasan ini. Tapi, bagaimana pula kalau bukan para pelajar yang membotakkan kepala mereka? Seperti guru, ataupun pembantu makmal sekalipun? Ataupun para pekerja yang berada di luar sana? Mungkin mereka pula berpendapat, dengan membotakkkan kepala mereka, masalah-masalah yang dibebani mereka sewaktu bekerja tidak akan menjadi beban mereka untuk menguruskan rambut. Hehehe..

Adakah sekolah membenarkan pelajarnya botak?
Kalau mengikut peraturan, yang tidak boleh ialah jika tahap botak itu adalah ditahap botak yang sangat licin. Sehingga mampu memantulkan cahaya lalu menyilaukan para gurunya yang mengajar di depan. Sepatutnya pihak sekolah harus menggalakkan pelajarnya botak kerana fakta yang ditemui tentang kepala botak lebih mudah untuk belajar. Hehehe..bagi saya, fakta ini akan lebih dikuatkan apabila keputusan peperiksaan penggal pertama keluar. Kita akan lihat keputusan peperiksaan mereka yang botak ini. Hehehehe..

Kenapa Ketua Pelajar "kepala botak"?
Mungkin Ketua Pelajar membotakkan kepalanya kerana terlalu banyak masalah pelajar yang telah menyerabutkan rambutnya. Serta tidak sempatnya untuk beliau menguruskan rambutnya kerana terlalu banyak perkara penting yang dia perlu siapkan seperti kerja rumah, PEKA, belajar juga laporan Ketua Pelajar. Jadi dia tiada masa untuk menyikat rambut. Maka dia pun mengambil keputusan untuk membotakkan kepala. Ini semua, hanyalah KEMUNGKINAN. Hehehe..

Tidakkah anda mahu mencontohi "Ketua Pelajar"?
Saya lebih berminat untuk mencontohi akhlaknya bukan kepala botaknya. Kerana kepala botaknya membuatkan mimik mukanya serta keterampilannya lebih garang lagi menakutkan. Hahahahaha!! Dengan matanya yang tak berapa besar, halus rambutnya tumbuh di atas kepalanya, mukanya yang selalu "ketat", jarang sekali melihat senyumannya terbit dari alis mulutnya yang berada di bawah kepala botaknya itu. Mungkin dia punya gaya tersendiri. Maka dia berhak atas dirinya sendiri. Mungkin sebenarnya Ketua Pelajar kita sangat menyanjungi tokoh yang dia kagumi, maka dia pun membotakkan kepalanya. Siapakah tokoh itu? Pemimpin no.1 di Sekolah kita. Siapa lagi? Hehehe..(Gurauan semata-mata, tak berniat nak memburukkan sesiapa)

Kenapa anda tidak suka kepala botak?
Kenapa anda suka kepala botak?
Saya tidak suka kepala botak!!! Kerana ia membuatkan kepala saya terlalu panas. Hahahaha!! Saya tidak mahu menebang setiap helai rambut yang berada di rambut saya kerana rambut dapat menghalang keterikkan panas matahari, malah ia juga dapat memberikan tempat teduhan kepada kulit-kulit kepala daripada ia menjadi gersang merekah serta kutu-kutu rambut dan berteduh di bawahnya. Hahahahaha!!!

Bagi saya, secara keseluruhannya tentang kepala botak di sekolah kita ini, sangat membahayakan. Kerana para pemuka-pemuka kepala botak telah mendominasi di bumi kita yang tercinta ini.!! Apakah kita mahu melihat warga kita semuanya dipengaruhi membotakkan kepala mereka!!! Inilah satu rancangan halus Gerakan Kepala Botak (GeKeBo) yang mempengaruhi kita agar menebang rambut-rambut kita.

Lihatlah, Ketua Pelajar sekolah kita adalah kepala botal, Pengarah program Tamrin t4 2009 pun kepala botak, Pengarah Uji Cekap 2009 pun kepala botak, Pengarah Wafdul Amin 2008 pun kepala botak, Ketua Sukan 2009 dalam organisasi Pelajar juga kepala botak, Setiausaha Pengawas 2009 juga kepala botak. Inilah bukti agung yang menunjukkan bahawa mereka benar-benar hendak mendominasi sekolah kita!!!!(hahahahahahah..dah berguling2 ar sambil type bende ni)

Wahai Warga Al-Amin yang dicintai, sesungguhnya, akan tibanya hari yang menggembirakan kita semua, di mana, dominasi para pemuka kepala botak akan tamat tidak lama lagi.!!!

Maka bangkitlah kita semua untuk bersiap sedia menghadapi detiknya itu. Berbaris menyiapkan diri kita untuk hari tersebut. Kita pula yang akan mengisi segala kekosongan mereka itu nanti. Bersedia dengan hati yang tabah. Itulah hari yang di mana mereka semua akan dibekukan. Tidak akan ada lagi pendominasi daripada para pemuka kepala botak!!hahahahahaha!!!

p/s: Wahai mereka yang berkepala botak. Jangan kecil hati. Kerana tulisan ini, hanyalah bentuk gurauan semata-mata..hahahaha!!

Thursday, April 16, 2009

Sakit...Kiffarah atau Petanda????????

Bagaimana kita boleh merasa sakit? Kerana kita mempunyai reseptor yang memberikan maklumat sakit kepada otak kita. Contoh bila kita tercucuk jarum atau terkena benda yang panas, terus kita menarik tangan kita sambil merasakan kesakitan yang kita lalui. Reseptor yang menerima data ”sakit” ini terus memaklumkan kepada otak kita melalui laluan sel-sel saraf yang berjuta-juta sel untuk dilalui. Tetapi ia hanya mengambil masa yang sangat singkat.

Kenapa kita boleh sakit? Mungkin kerana akibat kemalangan atau kecuaian kita sendiri yang mengakibatkan terkena jarum tersebut atau tersentuh benda panas. Itulah akibat kesilapan diri sendiri.

Bagaimana pula akibat kita boleh demam? Itu juga dipanggil sakit. Kerana berlaku perubahan keseimbangan normal dalam tubuh. Maka ia juga digelar sakit dalam perubatan. Apabila demam, suhu badan kita meningkat, kerana perjalanan darah dalam badan kita sangat deras sehingga semua anggota tubuh badan juga turut merasai peningkatan suhu. Arus darah meningkat kerana di dalam darah itu terdapat ”pasukan-pasukan antibodi” iaitu sel darah putih dan agen-agen imun lain yang menjadi penjaga imunisasi badan perlu digerakkan ke seluruh badan untuk menghapuskan ”bendasing”-ataupun nama saintifiknya patogen terdiri daripada bakteria, mikrob, dan virus- yang akan mengganggu kenormalan badan. Maka berlakulah usaha-usaha menghapuskan penyebab penyakit itu secara menyeluruh di seluruh badan. Subhanallah!!

Tapi yang peliknya, bila demam, semuanya rasa serba-serbi tak larat. Nak buat apa-apa perkejaan pun susah. Terasa sakit-sakit badan ketika itu. Mengapa ia terjadi? Sebenarnya itulah akibat peningkatan suhu dalam badan. Kita yang belajar sains silibus Tingkatan 2 pun tahu bahawa suhu yang mampu mengaktifkan enzim ialah pada suhu 37˚C. Kalau terlebih ia musnah, kalau kurang ia tak berfungsi. Maka begitu jugalah seluruh anggota dalaman badan kita. Degupan jantung semakin perlahan, salur darah akan mengecut, tekanan darah meningkat.

Orang yang dengan suhu badan serendah 35˚C mengalami kesengsaraan akibat tidak sedarkan diri dan pengsan yang berterusan. Fungsi mental bertindak pasif. Sedikit kesusutan suhu dalam badan ini boleh menyebabkan kesan kesan ini, sekiranya terdedah kepada suhu yang lebih rendah pada suhu 33˚C akan menyebabkan kehilangan sedar (koma). Pada 24˚C, sistem pernafasan pula gagal berfungsi dengan baik. Kerosakan otak berlaku pada 20˚C dan akhirnya jantung akan berhenti berdenyut dan pada 19˚C yang akan membawa kepada saat akhir yang pasti; kematian.

Banyak lagi contoh-contoh patologi dan fisiologi yang boleh kita keluarkan, tetapi itu semua sebagai tanda apa kepada kita? Adakah bila sakit, kita pun terus mahu berjumpa dengan doktor. Apabila berjumpa dengan doktor, maka kena belanjakan duit untuk nasihat doktor dan ubat-ubatan. Lebih menggembirakan ramai orang jika dapat surat perlepasan (M.C) daripada doktor.

Sedarlah bahawa setiap manusia yang diciptakan adalah sebaik-baik kejadian sepertimana firman Allah Taala:
”Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).” [at-Tiin 95: 4]

Tapi mengapa kita tetap boleh sakit walaupun kita telah diciptakan sebaik-baiknya? Kerana Allah Taala juga ada berfirman:
”Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumNya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah. ”[an-Nisa’ 4: 28]

Kerana itulah kita yang sakit ini adalah sepertimana yang Rasulullah s.a.w sabdakan daripada Abdullah ibnu Abbas:
”Dua nikmat yang ramai manusia terpedaya dengannya; sihat dan lapang.”
[H.R Bukhari]

Seharusnya kita harus mengambil iktibar bahawa segala yang menimpa kita ini, pasti ada sebabnya, kerana semua itu datangnya dari Allah. Mereka yang redho terhadap segala apa yang terjadi kepada dirinya itu adalah atas kehendak Allah adalah orang yang benar-benar menyerahkan dirinya kepada Tuhannya. Sepertimana yang dikisah di dalam al-Quran tentang Nabi Ibrahim:
"Dan Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum. Dan apabila aku sakit, maka Dia-lah yang menyembuhkan penyakitku. Dan (Dia-lah) yang mematikan daku, kemudian ia menghidupkan daku.” [as-Syu’araa 26: 79-81]

Begitu juga kisah Nabi Ayub a.s. yang menjadi contoh teladan yang baik ketika menunjukkan ketabahan tinggi kepada Allah sewaktu berhadapan dengan penyakit yang dahsyat:
”Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba kami: Nabi Ayub ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: " Sesungguhnya aku diganggu oleh Syaitan dengan (hasutannya semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit)". [Shaad 38: 41]

Ternyata bahawa penyakit dan kemalangan itu semuanya adalah kejadian yang bertujuan menguji manusia. Ketika berhadapan dengan insiden seperti ini, orang yang beriman akan tetap mengingati Allah, berdoa meminta perlindungan dari-Nya dan berikhtiar lagi berusaha untuk mendapatkan semula mahkota kesihatan ini. Orang itu mengakui bahawa tiada apa pun yang benar-benar dapat melepaskannya dari pedih kesedihan derita yang ditanggungnya seperti Nabi Ayub a.s. Dia juga sedar bahawa Allah sedang menguji kesabaran, kepatuhan, dan imannya.

Terdapat falsafah Barat mengatakan:
”Ingin membina Empayar Rom yang hebat itu mengambil masa beratus-ratus tahun lamanya, tetapi jatuhnya Empayar Rom itu hanya mengambil masa satu hari sahaja.”

Dapatkah anda bayangkan bahawa selama kita hidup dan membesar dengan memiliki tubuh badan yang semakin membesar, kapasiti ilmu dan memori yang makin bertambah, paras rupa yang lebih menarik berkembang mengikut kematangan usia, akhirnya semua itu tidak berguna lagi apabila kita mati? Tidak siapa pula inginkan mayat atau bangkai bukan?

Kalaulah kita masih panjang umur pun, segala apa yang kita miliki selama ini pada tubuh badan kita, tetap tidak lagi sehebat sewaktu perkembangan tubuh badan kita. Dahulu fesyen rambut kita sangat berstail, orang tengok pada rambut pun dah takjub dan terus meletak persepsi bahawa pemilik rambut ini sangat kacak. Tetapi apabila tua nanti, kita tidak mungkin lagi dapat buat fesyen rambut seperti itu lagi. Mungkin kerana inilah ramai anak muda hari ini berlumba-lumba memperagakan fesyen rambut yang trend lagi berstail.

Semua itu, samalah seperti bangunan megah yang didirikan oleh kerajaan-kerajaan yang hebat kerana bermegah dengan binaan mereka. Lihatlah Piramid yang dibina oleh Kerajaan Mayan di Mexico, dikatakan dahulu piramid itu sangat megah dan berseri-seri dengan sinar keemasan. Tetapi kini, piramid itu hanya dihiasi dengan kulat-kulat sahaja. Samalah juga dengan piramid-piramid di Mesir.

Sama ada kita dapat hidup lebih lama dan merasai peredaran masa, dengan melalui berbagai peristiwa ataupun kita tidak sempat merasai kehidupan yang lebih lama. Hidup kita hanya sekali sahaja. Pastikanlah bahawa hidup anda ini adalah hidup yang paling bermakna sekali agar anda dapat berbangga dengan Pencipta kita bahawa kita telah memenuhi objektif penciptaan kita. Samalah seperti perasaan anda yang menanam tekad bahawa anda di tahun akhir di sekolah ini. Maka anda hendak membuat sesuatu yang sangat bermakna sebelum anda berhenti sekolah.

Sedarilah bahawa sakit ini sememangnya tanda bahawa, manusia yang sangat canggih dilengkapi dengan berbagai-bagai sistem berfungsi yang sangat sistematik lagi ideal, tetapi ia tetap lemah dan mereka sangat-sangat memerlukan Sang Pencipta yang telah menciptakan dirinya.

” Wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia-lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.” [Faathir 35: 15]

Monday, April 13, 2009

Markaz al-Mukhtabar Meletup???????

Tersebutlah kisah pada 12 April, saya pun menguli serta menyediakan persiapan bahan kimia untuk membuat satu yang hebat. Macam kes buat eksperimen sendiri laa. Tapi bukan eksperimen sendiri, sebab menggunakan guideline daripada buku-buku sains yang dibelajar ketika kolej dahulu. Juga gunakan bahan-bahan bacaan tambahan daripada internet serta melihat video-video yang membuktikan kejayaan mereka.

Maka saya juga bersiap sedia menyiapkan bahan tersebut. Saya buat ini pun sebagai kajian sama ada berjaya atau tidak untuk digunakan atas permintaan orang atasan. Maka disiapkan di awal pagi Ahad, tatkala orang lain sedang seronok mengambil sarapan masing-masing, saya yang hidup sebagai Nasrul Mukhtabar (pembantu makmal) ini berhempas-pulas menyiapkan bahan. Sambil menunggu kedatangan orang yang dijanjikan pada waktu itu, saya mengambil kesempatan itu untuk membuatnya.

Masa berlalu dengan cepat, mereka yang dijanjikan untuk datang menemui saya pun sudah sampai dan bermulalah perbincangan bersama-sama dengan mereka, tetapi saya tetap berusaha untuk menyiapkan bahan tersebut.

Selepas melihat keadaan fizikal bahan tersebut, saya rasa bahan itu sudah siap tapi belum pasti lagi.

Malang tidak sememangnya tidak berbau. Satu percikan api terjatuh ke bahan yang telah saya siapkan..apa lagi..mula-mula kedengaran bunyi...psssssssssssssssss...

Selepas itu..dlm beberapa detik sahaja..mata pun tak sempat untuk dipejamkan..terus..fffuuuuuuuuusssssss!!!!!!

Marak api menjulang ke siling bilik, percikkan bahan kimia terus meloncat ke sekitarnya tak kiralah sama ada yang kena itu adalah buku ker kertas ker kain ker maupun pembantu makmal sekalipun tidak dapat mengelakkan diri dari percikkan tersebut, asap putih memenuhi ruang udara di bilik tersebut. Para hadirin di dalam bilik itu semua masih terduduk lagi tergamam, ada yang mula terbatuk-batuk akibat asap yang memenuhi ruang, ada yang cuba menyelamatkan bukunya, ada yang mengeluarkan persoalan-persoalan "ape yg ko buat ni sarep??", ada juga yang sekadar memejamkan matanya sahaja. Hahahaha!! Lucu pula melihat situasi ini.

Apabila si Pembantu Makmal memberi arahan, "ok..buka tingkap, pintu dan duduk kat luar". Maka yang lain pun menuruti perintahnya. Tapi si Pembantu Makmal masih terduduk comel di sebelah letupan tersebut. Apakah perasaannya ketika itu? "Fuuh!!Cepat nyer!!" itu sahaja yang mampu terungkap daripadanya.

Tapi bila anda berkunjung ke bilik tersebut kini, ia seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Hehe..

Moral story is:
teringat pula pada satu hadith yang panjang yang diriwayatkan oleh Tarmizi; (tak hafal matan tapi lebih kurang la bunyinyer mcmni sbb hadith ni pjg..cuma keluarkan maa yang ingat sahaja) "Ketika terjadinya Hari Qiamat itu, semuanya takkan sempat menyelamatkan diri, sehinggakan makanan yang sudah masuk ke mulut, tidak sempat untuk mengunyahnya, orang yang mahu meminum air pula, tidak sempat setitis air jatuh ke lidahnya, orang yang menyaksikan peristiwa yang menggemparkan ini tidak sempat terkebil kelopak matanya..(dan banyak lagi yang diperumpamakan, cuma tak ingat yang lain).."

Kalaulah letupan itu berlaku terlampau sekejap, macamana pula Hari Akhirat nanti. Allahu Akbar!! Nauzubillah..

Moral value pula: A small mistake can change everything.
Kerana itulah ini dinamakan eksperimen. Kita punya objektif dalam pencarian atau kajian kita. Kita tau apa yang bakal terjadi. Tapi apabila kita buat eksperimen tersebut, berjaya atau tidak, itu semua bergantung pada fokus diri kita. Kalau hilang fokus, maka boleh datang satu kesilapan yang sangat kecil yang mampu memberi padah.

Nasihat untuk semua: Jangan main mercun, jangan main api, janga buat bom. Semua tu merbahaya....Ingatlah yang tersayang....

Wednesday, April 8, 2009

Bahang Pilihanraya Kecil juga Pemilihan Umum..

Alhamdulillah..baru sahaja lepas merasai bahang pilihanraya di tiga kawasan dalam Malaysia ini, telah tercipta sejarah Malaysia dalam peristiwa kali ini. Iaitu ada 13 calon bebas yang bertanding calon dari pemerintah juga calon dari pembangkang. Hehe..baru 13 calon..dah nak kecoh..

Alhamdulillah..tadi baru sahaja pulang dari menghantar beberapa warga Indonesia pergi memberi suara (membuang undi dalam bhs M'sia) di Pusat Pungutan Suara. Melihat suasana di setiap PPS ini, ketemu dengan beberapa rakyat Indonesia, mereka mendakwa Pemilihan Umum (Pemilu) kali ini lebih meriah dari tahun-tahun yang sebelum ini. Saya sempat melihat perjalanan pungutan suara serta berkenalan dengan calon-calon yang bertanding. Seperti tidak terkejut langsung, partai-partai (dalam bhs M'sia parti) yang bertanding adalah sejumlah 36 partai yang bertanding. Perkara ini adalah biasa bagi mereka.

Keputusan Pilihanraya Kecil di Malaysia sudah tahu keputusannya. Tempoh pengiraan undi hanya mengambil masa beberapa jam sahaja. Sedang Pemilu di Indonesia pula mengambil masa selama beberapa hari sehinggalah memakan masa selama beberapa bulan. Itu baru di peringkat kerusi Gabenor setiap kawasan dan banyak lagi jawatan yang dipertandingkan seperti kerusi untuk probinsi (province), kabupaten (negeri), dan macam-macam lagi nama pelik. Jadi lembaran kertas pungutan suara itu sangatlah lebar dan besar. Lebih besar dari A3 kerana tertera setiap partai-partai yang bertanding dan juga nama caleg (calon legislatif ataupun calon yang bertanding dalam bhs M'sia). Bila ditanya teman-teman yang memberi suara tentang ramainya yang bertanding, mereka menjawab; "Mau pusing mata ini mencari caleg kami".

Lain tempat lain resamnya, lain negeri lain dialeknya, lain negara lain suasana politiknya. Jadi banyak lagi yang kita boleh belajar tentang negara yang berada di luar sana. Bukan sahaja tentang dailek bahasa mereka serta resam makanan mereka, tapi corak politik mereka juga kita dapat berkenalan juga.

(malangnya xsempat ambil gambo plak tadi..so xde bende nk kepilkan)