Sunday, August 22, 2010

Dari Masjid ke Masjid

Dalam bulan Ramadhan kali ini, saya buat satu benda yang dah lama saya nak buat; iaitu melihat suasana Ramadhan di masjid-masjid sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Setiap kali solat sunat Tarawih, saya akan pergi ke masjid lain untuk solat di sana. Sambil itu, dapat juga merasakan suasana bagaimana mereka memeriahkan malam Ramadhan.

Saya ingin berkongsi dengan para pengunjung setia dan para pembaca. Saya dapat belajar sesuatu daripada aktiviti ini. Iaitu bagaimana para pengurusan masjid berusaha untuk memberikan keselesaan kepada jemaah untuk menunaikan ibadah di Malam Ramadhan. Usaha-usaha ini memang baik kerana dalam masa yang sama, jemaah solat semakin bertambah berganda-ganda daripada biasa. Bukankah ini suatu yang hebat!!

Pandangan yang luar biasa ini benar-benar merasakan hati ini lebih senang. Memang betullah ada seorang ustaz pernah berkata dalam pengisian untuk para dai'e, katanya; "Di bulan Ramadhan ini, para dai'e boleh rehat sikit, sebab syaitan dibelenggu, jadi ramai orang suka nak datang masjid dan buat benda baik banyak sangat pada masa ini". Ya!! Memang betul!! Begitu ramai orang yang tiba-tiba memberikan banyak sumbangan kepada masjid-masjid, surau-surau dan rumah kebajikan, malah yang menghidupkan rumah Allah juga bertambah-tambah.

Di dalam peluang ini, pihak masjid cuba untuk menarik minat para jemaah agar hati mereka akan terus terikat dengan masjid selepas fenomena Ramadhan ini. Mudah-mudahan bulan-bulan selain Ramadhan, hati mereka akan terus selesa untuk datang ke masjid, bukan hanya kerana mereka datang untuk solat Tarawih sahaja. Tapi mereka datang ke masjid kerana mereka suka datang, ada benda yang menenangkan di dalam masjid ini. Itulah usaha yang terbaik untuk menyatukan hati manusia di bawah naungan Allah.

Antara usaha-usaha yang saya lihat oleh pihak pengurusan masjid yang cuba memberikan perkhidmatan dan keselesaan kepada para jemaah solat. Antaranya banyak masjid-masjid yang saya berkunjung, sudah memasang aircorn (penghawa dingin) yang mana sebelum ini tidak ada. Kalau yang sudah ada penghawa dingin, mereka tambahkan horse power (kuasa kuda)nya lebih lagi. Mana yang tidak mampu untuk memasang penghawa dingin, mereka memasang kipas yang besar (macam kat mamak tu..siap ada titisan air lagi..huhu) untuk keselesaan para jemaah solat juga.

Ada pula yang tidak dapat tambah prasarana yang hebat begitu, tapi mereka menarik minat para jemaah dengan makanan. Juadah berbuka, moreh dan sahur, semuanya sedap-sedap belaka. Ketika inilah ramai hartawan dan dermawan akan menyumbang kepada masjid-masjid yang menyediakan juadah yang istimewa. Katanya; "Daripada mereka pergi berbuka di hotel, lebih baik berbuka di masjid". Sehingga itu ada yang membuat cara juadah itu benar-benar seperti di hotel, siap ada pencuci mulut lagi. Wah!! Hebat juga idea ini. Yang lebih hebat lagi, ada yang menggunakan idea "Bubur lambuk drive-thru". Hanya lalu dan amik makanan, tak perlu bayar pun. Subhanallah!!

Ada pula yang menjemput imam-imam jemputan samada dari luar negara mahupun tempatan. Imam jemputan yang di datangkan khas untuk Ramadhan ini memang hebat-hebat. Bacaan mereka itu benar-benar menyentuh qalbu. Ada juga yang menjemput imam-imam kecil (bukan imam muda ya) yang sudah hafiz di usia yang muda untuk menjadi imam. Ada pula yang membuat Tazkirah Ramadhan dengan menjemput Ustaz-ustaz yang dapat menarik perhatian para hadirin mendengar ceramah mahupun tazkirah. Ada pula yang memasang LCD Projector dan memainkan video multimedia dalam sela masa untuk rehat antara solat Tarawih itu.

Ya Allah, seolah-olah seperti syarikat-syarikat yang berlumba-lumba untuk mencari pelanggan-pelanggan mereka demi keuntungan yang hendak dicapai. Tapi inilah persaingan yang tidak mahu dilepaskan yang mana setiap kebajikan dan kebaikkan itu dibalas berganda-ganda. Setiap kali melihat idea baru dan usaha mereka ini, adakalanya menitik juga air mata ini terharu melihat usaha mereka, sedang kita yang hanya melihat tidak dapat menyaingi amal mereka ini. Mudah-mudahan usaha mereka ini diterima Allah.

Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan datang lagi..!!

Segala puji bagi Allah kerana dapat lagi jiwa ini menikmati peluang yang diberikan iaitu datangnya kenikmatan serta peluang yang besar di bulan Ramadhan kali ini. Alhamdulillah, dengan sedikit persiapan yang dibuat sebelum ini, insya Allah akan cuba dapatkan Ramadhan kali ini lebih baik dari yang lepas, walaupun di masa lepas itu, lebih banyak kenangan dengan teman-teman seperti Rahman D dan anak-anak didik yang bermacam gelagat mereka.

Tapi insya Allah, kenangan itu tidak membataskan amal kita, bahkan ia sepatutnya menjadi pemangkin untuk membanyakkan lagi amal ibadah seboleh mungkin. Mungkin ia tak seceria dulu tapi mungkin ada yang lebih manis dari dulu. Siapa tahu? Pastinya ada hikmah yang menarik bakal kita tempuhi pada Ramadhan kali ini. Mungkinkah kita menemui nikmat di dalam Malam al-Qadr lebih baik dari yang lepas. Siapa tahu? Mungkin juga kita mendapat lebih nikmat dan ringan hati dengan terasanya keampunan yang kita rebut di Ramadhan kali ini. Siapa tahu?

Maka, di sini saya ingin mengajak para pengunjung serta pembaca setia blog saya ini. Ramadhan yang bakal kita lalui ini, jangan dibazirkan peluang ini begitu sahaja. Bukanlah dengan kedatangan Ramadhan ini, kita berhempas-pulas memikirkan pantun atau kata-kata indah untuk mengucapkan kepada kawan-kawan kita sempena kedatangan Ramadhan ini. Tapi sebaiknya, kita ingatkan kepada kawan-kawan kita sepanjang Ramadhan ini yang ia bakal pergi. Dan berilah juga peringatan tentang amalan-amalan sunnah dalam meraikan Ramadhan. Contohnya perbanyakkan istighfar di waktu sahur dan perbanyakkan doa di waktu iftar. Atau mengejutkan kawan dengan miss call untuk bangun tahajjud.

Seperti biasa, setiap kali menjelang Ramadhan, saya menerima terlalu banyak mesej ucapan meraikan Ramadhan ini. Tapi setiap kali saya membaca mesej-mesej itu, saya tertanya-tanya di dalam hati saya; "Mengapa mesti ucapkan SELAMAT Menyambut Ramadhan..SELAMAT Berpuasa..SELAMAT Menunaikan Ibadah Puasa..macam tak selamat jer kalau datang Ramadhan ni."

Sebelum ini saya pernah menulis tentang ini, tapi saya ingin menulis lagi tentang pendapat saya. Saya lebih gemar dengan perkataan daripada iklan komersial di televisyen iaitu; "Raikan Ramadhan bersama kami dengan.." yang belakang tu tak sedap pulak bunyinya sebab dia kata raikan Ramadhan dengan menonton televisyen pula. Kalaulah di dalam iklan komersial itu mengatakan; "Raikan Ramadhan bersama kami dengan Tadarrus"..itukan menarik sikit. Ada iklan komersial di Negara Arab, yang mengajak untuk penonton khattam al-Quran dalam masa sebulan. Bukankah itu baik untuk para penonton TV?

Saya ada bertanya tentang persoalan "Mengapa mesti diucap SELAMAT setiap kali ucap menjelang Ramadhan? Kenapa tak Happy Ramadhan ker? Kenapa tak Good Ramadhan ker?" kepada seorang teman. Kali pertama dalam hidup saya, dia memberikan jawapan yang paling saya kagumi dan dapat menjawab persoalan-persoalan yang bermain difikiran saya selama ini setiap kali menerima mesej tentang ucapan ini. Apa jawapannya?

Dia berkata; "Kalau kamu berjumpa dengan Orang Islam, apa kamu ucap?"
Saya jawab ; "Saya beri salam"
Dia berkata ; "Jadi apa salahnya orang lain ingin mengucapkan salam dalam beribadah?"

Persoalan yang dilontarkannya di dalamnya tersemat jawapan. Terkesima sebentar setelah saya mendengar jawapan itu. Mungkin selepas ini, saya tidak akan serabutkan otak ini dengan berfikir soalan seperti itu lagi. Hehe..tapi dalam kesempatan ini, nak ucap juga "SALAM RAMADHAN" kepada semua umat Islam di serata dunia.

Ingat Ramadhan, bukan ingat Bazaar Ramadhan, tapi lagi banyak ingat Allah sepatutnya!!

Monday, August 2, 2010

"Ngigau ker?"

Pada pagi Isnin yang nyaman, selepas bersahur, kemudian solat Subuh di Masjid. Kemudian terus pulang ke rumah dan bersiap-siap secara rutinnya. Memakai baju kemeja yang telah digosok. Menyiapkan barang-barang di dalam beg. Menyematkan name tag di dada. Berwangi-wangian dan terus berlangkah keluar mencapai kunci kereta dan ketika itu sudah pukul 7.00 pagi, benar-benar saya ingin bergegas cepat.

Kemudian pergi kepada ayah dan ibu, bersalam mencium tangan mereka secara rutinnya di setiap pagi. Tapi pelik pula melihat reaksi muka mereka. Semuanya kehairanan. Terus ayahku bertanya kepadaku; "Bukan dah berhenti kerja ker jumaat lepas? Ni nak pergi mana pulak ni?"

Baru sahaja nak menyarung kasut, setelah terdengar ayah berkata begitu, terfikir 2 kali; "Ha'ah..aku dah berhenti kerja laa..hahaha!!", monolog di dalam diriku.

Inilah akibatnya telah menjadi rutin seharianku yang telah bersebati dengan kerjaku. Sehingga tidak teringat pun yang saya sudah pun berhenti kerja. Apabila terpisah dengan kebiasaan ini, terasa seperti terlalu banyak melanggar rutin harianku. Bagaimanalah ingin saya menghadapi di luar kebiasaan ini.

Barulah tahu bagaimana rasanya kehidupan mereka yang pencen seperti ibu. Tengok kerja hariannya yang bangun pagi menonton "Tanyalah Ustaz", kemudian basuh baju, kemudian rehat sebentar, kemudian menjemur baju, kemudian berehat sebentar, kemudian masak, kemudian menonton sinetron di TV Oasis, kemudian solat, kemudian berehat sebentar. Maka begitulah juga kehidupanku sekarang. Ya Allah... Tak bestnya!!!

Kalau di sekolah, bolehlah selalu kena "kacau" dengan ustaz-ustaz di bilik guru. Tengok gelagat murid-murid. Riuh rendah "jiran" bilik guru lelaki. Menikmati bunyi botol air yang disepak-sepak oleh murid sekolah rendah. Berjalan-jalan antara bangunan Zawiyah ke bangunan sekolah menengah untuk bersenam. Jawab salam murid-murid kepada kita. Tapi sekarang tiada lagi..

Tapi bila kita ambil positive side daripada peristiwa ini, sebenarnya lagi banyak benda yang kita boleh buat. Dapat habiskan 1 juz tilawah dalam masa 1 jam sahaja. Dapat banyakkan ibadah solat sunat dan zikir. Dapat berbakti dengan mak. Banyak masa saya ketika ini boleh luangkan bersama ibu saya yang mana sebelum ini hanya dapat jumpa mak sebelum pergi kerja dan sebelum dia tidur. Semua yang Allah takdirkan punya hikmah-Nya yang tersendiri.