Monday, September 6, 2010

"Mencari" Lailatulqadr di 10 malam terakhir???

Ada kisah yang ingin saya berkongsikan dengan para pengunjung sekalian tentang mencari Lailatul Qadr di 10 malam terakhir. Begitulah pesanan Nabi Junjungan kita Muhammad s.a.w. yang menyuruh kita untuk tidak terlepas peluang yang terbesar ini.

Tidak ada umat lain yang mendapat peluang seperti ini dengan merebut peluang gandaan kebaikkan seperti 1000 bulan. Subhanallah!! Kalau Nabi Nuh a.s tu sendiri berdakwah beratus-ratus tahun, tapi sangat sedikit yang beriman. Allah beri peluang ini seperti mereka, lagilah mereka tak mahu beriman agaknya sebab mereka dah hidup lama. Jadi kita sebagai umat akhir zaman ini mendapat peluang yang lebih baik dari umat-umat sebelum ni, kenapa pula kita hendak melepaskan peluang seperti ini?

Jadi, adakah benar umat Islam di akhir zaman ini benar-benar mencari Lailatul Qadr di 10 malam terakhir?

Maka saya akan rungkaikan sedikit demi sedikit melalui satu kisah saya bersama rakan-rakan saya yang berhusnu zdhon dengan masyarakat kita. Dengan berpandangan baik kepada masyarakat, membuatkan kami benar-benar termotivasi untuk berlumba-lumba merebut peluang ini dengan masyarakat.

Baru-baru ini di dalam 10 malam terakhir Ramadhan, saya dan rakan-rakan keluar ke bandar selepas solat tarawih 8 rakaat. Sebelum kami hendak keluar, melihatkan saff solat jemaah yang masih meneruskan solat sunat mereka itu menjadi sangat sedikit daripada jemaah solat Isya' dan solat Terawih 8 rakaat. Daripada 15 saff menjadi kepada 3 saff sahaja. Melihat orang ramai yang keluar itu benar-benar dalam keadaan bersegera untuk keluar dari masjid seolah-olah ingin "mencari" sesuatu benda yang sangat penting sehingga tidak mahu ketinggalan untuk mendapatkannya.

Kami sengaja mengikut beberapa buah kereta yang berkonvoy keluar dari masjid. Rupa-rupanya mereka ke bandar. Ketika kami masuk ke bandar, Subhanallah!! Terlampau ramai manusia memenuhi ruang-ruang jalan dan yang ada di antara hutan bangunan di sana. Seolah-olah seperti jemaah Haji yang sedang berwukuf di Minaa. Mereka semua pergi ke setiap kedai-kedai yang ada di sekitar mereka seolah-olah "mencari" sesuatu yang penting sehinggakan mereka bertekad tidak akan balik selagi tidak "menjumpainya".

Salah seorang di antara kami berkata: "Diorang ni cari apa sebenarnya kat Bukit Bintang ni? Bukannya ada apa pun. Takkan cari komputer untuk raya kot..nak cari baju kat Chow Kit Road la". Kemudian seorang lagi rakan saya berkata: "Ni kes nak cari baju raya yang glemor-glemor la tu. Nak cari yang stylo aje..apa la diorang ni".

Sehinggalah kami selamat melepasi jalan yang penuh sesak di sana dan kembali pulang untuk mendapatkan barang yang sepatutnya. Saya pula berkata: "Alangkah indahnya kalau seramai itu tadi memenuhi masjid-masjid di Kuala Lumpur ini menghidupkan 10 malam terakhir ini". Kemudian berkatalah salah seorang daripada kami: "Eyh!!betullah apa yang diorang buat tu agaknya, Nabi suruh CARI Lailatul Qadr, bukan kata hidupkan..diorang pergi KL tu nak CARI Lailatul Qadr la kat situ, so..kalau nak CARI, kena ar keluar dari masjid". Kami tergelak sahaja dengan pandangan positifnya itu.

Lalu apabila kami tiba di kedai untuk membeli barang yang sepatutnya, dalam mencari suatu barang ini, datang seorang petugas di kedai itu kepada kami lalu bertanya kepada rakan saya: "Ya encik, boleh saya bantu? Encik cari apa ya?" Lalu rakan saya menjawab: "Saya sedang cari Lailatul Qadr.." Tergelak petugas tersebut. Kami yang mendengar pun tergelak juga.

Tapi dalam perjalanan balik. Kami bermuhasabah; kalaulah masyarakat sekarang pada waktu ini (10 malam terakhir Ramadhan) sibuk sungguh mencari barang-barang untuk Hari Raya sehingga merasakan itu adalah kemestian untuk dimiliki, kenapa tidak pada peluang Lailatul Qadr ini. Ya Allah rasa rugi sangat kalau terlepas nikmat beribadah di Malam Al-Qadr. Tapi kalau ada perkara yang perlu didahulukan daripada ibadah-ibadah sunat, maka wajib adalah lebih utama dari yang sunat. Tak mungkin mencari baju itu adalah wajib pula?

Tapi, pada 27 Ramadhan, kami dikejutkan dengan berita kematian isteri kepada rakan kami lalu kami membantu untuk menguruskan dan juga menenangkan rakan kami tersebut. Antara yang kerap berlaku di Malaysia, ketika 10 malam terakhir Ramadhan jugalah ramai Muslimin yang dijemput Allah terlebih dahulu menemui-Nya. Begitu kerap yang "pergi" itu di jalanan. Moga mereka ditempatkan Allah di sisi-Nya iaitu bersama dengan para solihin dan terselamat dari azab api Neraka. Sungguh! Apa yang berlaku pada rakan kami benar-benar mengingatkan kami tentang kematian. Dalam penat, keinsafan juga terbit di hati kami. Kami bertanya kepada diri kami; "Bagaimana pula pengakhiran kami nanti?"

Maka dikesempatan ini, ingin saya mengingatkan diri saya sendiri dan juga para pengunjung yang lain, agar teruskan saki baki hidup kita di detik-detik terakhir dengan Ramadhan. Kalau sesama manusia ketika berpisah, ada timbul rasa hiba dan inginkan kenangan terus berkekalan sesama mereka, bagaimana pula kita dengan Ramadhan ini? Jadikan Ramadhan kali ini yang terbaik daripada yang lepas dan sentiasa berdoa sesama kita agar dapat bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang. Insya Allah.