Monday, January 25, 2010

Dugaan Selsema


Sakitnya hidung bila selsema. Air terus mengalir daripada lubang hidung. Mengalir tanpa henti seperti Sungai Nil yang besar lagi luas, seperti Sungai Tigris yang deras, seperti Sungai Euphrate yang indah. Setiap kali terbesin, pasti keluar daripada ia akan sinaran-sinaran indah seperti mutiara-mutiara yang berkilauan.
Oh selsema yang datang pada waktunya. Engkau mewarnai hidupku dengan derita.
Oh selsema yang jarang kali untuk dimilikinya. Engkau pasti hilang jika aku mengambil ubat.
Oh selsema yang membuatkan aku sengau. Engkau membuatkan aku digelak orang yang mendengar kata-kataku yang sengau.

Jika diberi pilihan sama ada sungai atau selsema, aku lebih rela tidak memilih kedua-duanya. Kenapa? Kalau jumpa sungai, asyik dok berendam jer kat dalam sungai tu, kalau selsema, hidung asyik sakit jer...

Apabila selsema hadir, smua benda susah nak buat. Kerja susah nak buat, makan pun susah nak bernafas, nak fikir apa-apa pun susah, asyik dok fikirkan kat mana boleh dapatkan tisu.

Tapi bila dibandingkan hari-hari biasa, alangkah indahnya nikmat sihat, tapi kita selalu lupakan nikmat sihat ni. Sihat atau selsema, sihat tersangat la berharga. Kerana itu Rasulullah s.a.w. ingat kita bahawa betapa pentingnya kesihatan. Mudah-mudahan setiap dugaan ini menjadi kiffarah(penghapus) dosa-dosa lalu. Serahkanlah pada Allah atas hak-Nya.
Setelah berjumpa doktor, ubat pun dapat. Tapi pelik, M.C tak dapat....kenapa ek? Bukan senang nak merasa cuti ni..ish..tak mengapalah. Setiap sesuatu pasti ada hikmahnya.

Thursday, January 21, 2010

Cuba try test uji....

Perkara yang sama, tapi maksudnya mendalam. Itulah lafaz yang selalu tersasul jika sesuatu yang tidak dapat dibuat. Seperti nak menghidupkan komputer riba, atau LCD Projector atau alatan elektronik dan sebagainya.

Oleh kerana takut jika berbuat sesuatu untuk cuba menghidupkannya akan menjadi rosak, maka diminta orang untuk cuba memasang alat elektronik tersebut agar ia hidup. Maka mereka ini hanya mengeluarkan teori untuk membantu pemasangan alat elektronik itu sehinggalah hidup. Maka dengan dorongan serta teori mereka yang takut untuk memasang alat-alat itu, maka terkeluarlah istilah "Cuba kamu pasang sini...try situ pula..test dengan ini pula..dah uji?".

Maka akibat masa yang mendesak, jalan penyelesaian pun masih tidak berjumpa lagi dengan tekanan. Maka terkeluarlah kalimah keramat yang tersangat mendorong lagi termotivasi untuk menyelesaikan masalah itu iaitu: "CUBA TRY TEST UJI.."

Mengapa ayat yang sama makna dilafazkan di dalam satu kalimah berlaku?

Jika dilihat mengikut kaedah wurud (sebab keluar), ia adalah akibat tekanan yang mendesak mengaburi emosi supaya penyelesaian mesti diselesaikan secepat mungkin. Apabila manusia digelapi dengan lumuran tekanan, maka timbangan pemikiran seseorang akan menjadi tidak sesuai dengan keadaan asalnya sehingga dapat dibuktikan bahawa emosinya benar-benar terganggu.

Kemudian kita melihat pula kaedah hukum shorof (susunan ayat), meletakkan setiap ayat-ayat itu di dalam suatu kalimah adalah dengan sandarafan isim mausouf yang berganda mengikut turutan yang hebat kepada lebih hebat. Di dalam ilmu qawaid pula, kaedah penyebutan itu tidak dibaca secara jazam (mematikan huruf belakang), tetapi ia dibaca dengan majrur (berbaris bawah) kerana ada perkataan yang dihilangkan sebelumnya.

Mari kita membahas lagi tentang kekuatan kalimah ini dari segi kepentingan setiap ayat itu satu per satu memenuhi dalam satu kalimah yang seterusnya menjadi suatu penegasan yang mutlak untuk melaksanakannya.

Penggunaan ayat pertama iaitu "CUBA" membawa maksud kepada "haraplah, hendaklah, silalah, sudilah" dirujuk di dalam Kamus Dewan edisi ke-empat muka surat ke 290 pada kalimah cuba. Ringkasnya ia memberi maksud mengajak atau menyuruh secara halus.

Penggunaan ayat yang kedua iaitu "TRY" mengikut kamus The Everyday Dictionary:"to make trial of, to attempt, to afflict". Ringkasnya ia adalah satu usaha yang dilakukan berulang-ulang kerana untuk mendapatkan hasil. Tapi ia berbeza pula dengan ayat "TEST" mengikut kamus yang sama iaitu:"means of trial, to examine, to prove, to attest". Suatu usaha yang lebih lagi untuk memastikan sesuatu itu berhasil dengan ini pembuktian.

Akhirnya, kalimah disudahi dengan perkataan "UJI" yang membawa maksud percubaan untuk menentukan buruk baiknya. Ia seperti sentuhan penyudah dalam suatu usaha untuk memastikan keberhasilannya.

Maka kekuatan kalimah ini adalah sesuai dengan melafazkan dalam nada terburu-buru sebagai bentuk kesungguhan yang tidak terperi harapannya untuk mendapatkan hasil itu. Kerana itu ia dibaca secara tafkhim (keras/kuat) dengan tanpa sebarang panjang kerana ia perlu disegerakan. Sekiranya ia dibacakan secara tarqiq (lembut), maka nada itu adalah memberi erti sebagai mengajuk atau memperlekehkan atau mengejek kepenggunaan ayat tersebut dengan nada yang melucukan. Maka haruslah kenal akan seseorang itu dalam menggunakan kalimah ini.

Maka tamatlah perbahasan saya tentang kalimah hebat ini sebagai kaedah penggunaan kata di dalam kehidupan kita ini seharian. Seandainya ia sesuai untuk anda gunakan, maka gunakanlah dengan baik.

p/s: Ini adalah versi meghaban lagi merepek..muahahahaha!!

Thursday, January 14, 2010

Rehat yang Membunuh..!!


Seronok pula melihat poster ini, benar-benar mengingatkan diri saya sendiri tentang bahaya berehat. Memang kita perlu berehat, tapi ada bahayanya jika kita terlebih berehat. Kerana Allah sudah meletakkan fitrah bagi semua manusia waktunya berehat.
Dalam al-Quran surah An-Naba' ayat 9 dan 10:
وجعلنا نومكم سباتا
"Dan Kami jadikan tidurmu untuk istirehat."
Juga di dalam surah Al-An'am ayat 96:
فالق الإصحاب وجعل الليل سكنًا والشمس والقمر حسبانًا ذلك تقدير العزيز العليم
"Dia menyingsingkan pagi dan menjadikan malam untuk beristirahat, dan (menjadikan) matahari dan bulan untuk perhitungan. Itulah ketentuan Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui."
Sememangnya fitrah manusia berehat di waktu malam. Tapi kini, waktu malamlah ada bermacam-macam aktivti. Menghidupkan malam dengan berbagai aktiviti tak sepatutnya. Ada yang nak tengok cerita "Cucu Betong" la, ada nak tengok movie, ada yang nak main game, ada yang nak main futsal, ada yang main basketball, dan yang lebih dasyat, ada yang berlatih silat dari selepas Isya' hingga ke 3 pagi.
Kalau ada kerja yang sangat penting sehingga ke malam, dibolehkan. Tapi janganlah melewatkan malam dengan benda yang tidak penting sehingga ke larut malam. Tapi kalau sewaktu siang hari pun kita masih mahu mencari-cari waktu rehat yang banyak sangat, ia benar-benar akan merugikan kita. Kerana apa? Berlalulah detik-detik penting di siang hari yang akan kita ketinggalan. Sememangnya Rasulullah s.a.w. juga ada berehat sebentar di waktu tengahari (qailullah), tapi ia hanya seketika.
Kerana rehat akan menyebabkan kita menangguh-nangguhkan kerja kita. Sehingga akhirnya kerja itu akan tidak siap dan memberikan mudharat pada kesan kualiti kerja kita nanti. Pepatah Arab mengatakan; "Masa umpama pedang, jika kamu tidak menggunakannya, kamu akan dicantasnya".
Mencari-cari kerehatan menandakan nafsu kita semakin pandai memujuk-mujuk kita sehingga kita tewas dengan nafsu sendiri. Apabila nafsu terus memujuk kita, lama-kelamaan kita pula akan menuruti segala kehendaknya. Pujukkan nafsu itu antaranya, sehingga ke peringkat membanding-bandingkan di antara kesenangan dengan beban yang akan kita pikul nanti. Pastilah kesenangan yang akan dipilih kerana ia telah menjadi penanda aras dalam penilaian. Kerana itulah ada hadith yang menyatakan bahawa jihad tertinggi ialah melawan hawa nafsu. Melawan musuh yang tidak nampak ini.
Seorang mujahid tidak akan mudah tewas kepada musuh-musuhnya termasuklah nafsu ini. Baginya, jika rehat, masa akan terus berlalu, dan rugilah kerana tidak menggunakan masa yang juga senjatanya di dalam berjuang. Mereka lebih suka terkorban ketika berjuang daripada rehat meninggalkan perjuangan yang berlangsung.
Jadi, bagaimana pula anda?

Wednesday, January 13, 2010

Sibuk sampai tak sempat nak tengok blog..

Ya Allah, apalah yang dasyat sangat bebanan kali ini. Disibukkan dengan bermacam hal teknikal. Sedangkan segala masalah teknikal ini sangat mudah untuk diselesaikan kerana ia hanya perkara teknikal. Tapi, walau semudah itu sekalipun, sebenarnya tidak semudah yang disangka.

Rasa rindu pula hendak menulis, sedangkan memang sempat nak menulis, tapi tak tahu kenapa tak sempat. Nak menjenguk blog ini pun tak sempat. Lebih dasyat lagi, saya sendiri tak tahu apa yang saya sibukkan. Ada orang kata, selagi kita jadi pembantu, selagi tu kita akan terus disibukkan dengan membantu orang yang memerlukan bantuan. Cuba bayangkan, kalau kita tak membantu, apa pula jadi padanya? Mungkin dia boleh cari orang lain. Tapi, rugilah kita dari segi balasan yang besar (pahala).

Mengeluh kerana tertekan dengan kesibukkan yang dilalui. Mengeluh kerana penat melalui jalan yang sukar dengan halangan yang kecil. Lebih dahsyat lagi, jika seseorang itu menyesali dengan apa yang dilaluinya. Katanya: "Alangkah baiknya jika aku tidak terima benda ini dari awal". Mencari kesalahan-kesalahan atau kesilapan orang lain sebagai alasan tidak dapat siapkan kerja teknikal yang mudah ini juga pasti berlaku. Kecewa ditengah jalan membuatkan kita akan cepat lupa pada tujuan kita.

Apa tujuan kita bekerja sekeras ini? Sehingga sanggup kita memikul suatu bebanan yang berat. Lupakah kita? Dahulu pernah bersumpah; "biarlah beban seberat Gunung Daik Bercabang Tiga sekalipun, akan ku sanggup memikulnya". Tapi bila diuji sedikit, terus mengadu-ngadu lagi mengeluh kepenatan.

Allah tak akan bebankan hamba-Nya dengan bebanan yang tidak mampu dia tampungi. Kerana Allah lebih mengetahui nasib hamba-Nya itu. Jadi, jika tidak tahu bagaimana kita hendak menyelesaikan masalah-masalah yang banyak, kenapa kita tidak bertanya pada Allah? Hehe, nanti ada pula orang kata; "wahyu dah tak turun lagi". Kalau Allah nak beri hidayah, Allah akan beri pada sesiapa sahaja Dia mahu dan bagaimana caranya, itu hak Allah.

Jadi, kalau sibuk macaman pun kita, jangan lupalah pada Allah. Saya teringat pesanan seorang ustaz pada saya; "Nabi Sulaiman a.s. lagi sibuk dari kita, bukan sahaja kena tadbir negaranya, kaum Jin pun kena tadbir juga, tapi masih sempat beribadah dan menguruskan banyak hal-hal yang lain". Begitu jugalah Rasulullah s.a.w. yang bukan sahaja sibuk berdakwah, malah sibuk juga menguruskan negara, masyarakat, juga individu-individu yang lain. Mungkin ada yang akan mengatakan; "itu Nabi!!! Maksum!! Kita ni siapa jer?!". Memanglah kita manusia biasa, tapi tak salah untuk kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi lebih baik.

Inilah nasihat saya kepada sesiapa yang akan menempuhi jalan-jalan kesibukkan nanti. Apabila datang kepadamu stress atau tekanan itu, maka berilah kata-dua kepada dirimu; sama ada lupakan tekanan itu dengan terus menyambung membuat kerja dengan ikhlas, atau kamu meraikan tekanan itu dengan mengeluh dan mencari-cari kerehatan.

Sunday, January 3, 2010

Semua orang sebut pasal Tahun Baru..

Apa ada pada Tahun Baru? Awan tetap ada di langit, jam tetap terus berdetik, matahari tetap terus menyinar, angin tetap meniup, air tetap mengalir. Jadi apa istimewanya Tahun Baru sehingga disambut meriah? Pastinya para blogger, memulakan blog mereka dengan cerita tahun baru. Setiap kali Tahun Baru, pasti ada azam baru. Semua orang pasti ada cerita tersendiri tentang Tahun Baru.

Anda rasa, apa yang ada pada Tahun Baru?

Mungkinkah perisitiwa yang menggembirakan? Atau yang menyedihkan? Pastinya ramai juga yang bermuhasabah tentang tahun lepas. Sejauh mana pencapaiannya serta prestasinya. Baguslah jika anda dapat mengambil masa untuk bermuhasabah. Saya sendiri tidak sempat menulis apa-apa tentang Tahun Baru. Hehe.

Adakalanya peristiwa yang lain itu memberi kita pengajaran serta hikmah disebaliknya. Terpulanglah kepada sesiapa menilai pengajaran yang diterima dari setiap perajaran tu. Tidak kiralah ia suatu yang menyedihkan atau menggembirakan atau mengecewakan dan sebagainya. Apa yang penting, kena berusaha untuk mengambil kesan yang baik dengan setiap pengajaran itu.