Friday, July 30, 2010

Apabila Pembantu Makmal meletak jawatan...

Setelah lama Al-Amin diselubungi misteri tentang kebenaran lagi kesahihan tentang pemberhentian Pembantu Makmalnya. Akhirnya terungkai juga misteri yang menyiksakan hati pencinta kebenaran.

Di kesempatan ini, saya ingin memaklumkan kepada para pembaca dan yang sentiasa mengikuti perkembangan saya melalui blog ini, bahawa pada tarikh 31 Julai 2010, tanda berakhirnya perkhidmatan saya sebagai Pembantu Makmal di sekolah ini. Dengan bermula berkhidmat pada 1 Januari 2007, maka berlangsungnya 4 tahun perkhidmatan saya di sini.

Ketika saatnya untuk berpisah, hati ini terasa berat sangat. Tapi ada ramai orang yang cuba untuk menceriakan dan meringankan hati yang berat ini. Walaupun diceriakan mereka, tapi tetap ada sudut-sudut hiba dari diriku. Macamana saya cuba sembunyikannya pun, tetap dikesan oleh orang yang sudah lama mengenali diri ini akan kesayuannya.

Ada juga yang saya lihat dari raut wajah mereka, ingin menyembunyikan rasa sedih mereka, ada yang speechless, ada yang berkaca matanya, ada juga yang berjujuran air matanya apabila mendengar saya berucap. Mengapa jadi begini? Sedangkan saya hanya seorang Pembantu Makmal sahaja. Apa sahaja seorang Pembantu Makmal dah lakukan sehingga jadi begini?

Memang berat ingin meninggalkan tempat ini kali kedua. Selepas melalui kenangan ketika zaman persekolahan dahulu, kemudian melalui kenangan alam pekerjaan di tempat yang sama juga. Segala perubahan yang dilihat dengan mata sendiri, dan merasai perubahan itu juga, adalah suatu yang susah untuk digambarkan apabila tibanya masa berpisah dengan semua itu.

Sebelum ini, hanya melihat setiap generasi yang tamat melalui proses pendidikan di sekolah ini bergraduasi dengan bangganya. Mereka keluar meninggalkan tempat belajarnya dan guru-gurunya serta kawan-kawannya. Kini, saya pula yang pergi dahulu meninggalkan mereka. Tapi memang berat hati ini ketika ramai yang datang kepadaku ingin meminta maaf dan sebagainya. Ada pula yang ingin mendapat kepastian tentang ini, kemudian jelas tertampak di wajahnya sukar untuk menerima hakikat ini.

Moga kalian semua merelakan saya pergi sebentar untuk menuntut ilmu. Insya Allah apabila tiba masanya nanti, saya akan pulang semula ke tanah ini semula untuk meneruskan perjuangan yang tidak akan pernah henti dan tidak akan pernah padam. Cuma saya masih tidak tahu sama ada ingin mengekalkan blog ini, atau digantikan dengan yang baru. Kerana selepas ini, tiada lagi kisah dari makmal atau apa-apa pun tentang makmal. Maka tamatlah kisah perjuangan berkebajikan makmal di arena ini.

Kepada yang tidak sempat saya berjumpa face to face untuk mengucapkan selamat tinggal dan meminta maaf dan berterima kasih, moga di blog inilah sebagai ganti.

Alangkah beratnya jika dikenang ketika saat-saat akhir tadi, diberi peluang mengimamkan solat Asar secara berjemaah. Sebaknya datang mengulami perasaan ini. Tiba-tiba terdetik, "selepas ini, aku akan merindui rumah Allah di Al-Amin ini, tempat aku berprogram, tempat bermunajat, tempat menabur jasa, tempat beribadah kepada Allah. Rasa ruginya jika tidak dapat meraikan Pesta Ibadah pada tahun ini di Surau al-Waqtain ini".

Kemudian melihat sejenak anak-anak muda yang telah dididik, rasa macam banyak lagi yang perlu dicurahkan untuk mendidik mereka. Rasa serba salah pula jika pergi begitu sahaja. Ketika itulah datang satu pujukan, dengan didikan yang diberikan itu, sejauh mana mereka gunakannya. Moga Allah sentiasa memberi petunjuk kepada mereka. Rindu pula pada keanakan dan kerenah mereka yang berbagai itu selepas ini.

Walau macamana pun perasaan ini menderu, saya mesti pasrah dan menerima hakikat ini. Bahkan Islam tidak mengajar untuk kita kecewa kerana perpisahan. Tetapi kita diajar untuk meneruskan kehidupan dan perjuangan. Lihatlah contoh 3 orang sahabat yang mengepalai panji Islam di Perang Mu'tah gugur satu persatu. Walaupun Nabi telah menyusun barisan kepimpinan perang itu sekiranya ada yang gugur, tapi ditakdirkan kesemua yang lantik itu gugur semuanya. Sehinggalah pasukan itu memilih pemimpin yang dapat menyelamatkan keadaan para tentera Muslimin itu. Pemimpin yang baru itu bukannya menolak jawatan itu kerana dia mengalami kekecewaan melihatkan ramai yang gugur, tapi beliau bangkit untuk menyelamatkan keadaan.

Inilah satu kisah pengajaran tentang betapa pentingnya merelakan seseorg itu pergi dan yang masih mampu berdiri itu meneruskan kehidupannya sehingga berjaya dengan cemerlangnya.

Moga ketemu lagi semua. Jangan nakal-nakal ya!! Belajar rajin-rajin!! Jangan FAIL Bahasa Arab dan Tajweed tau!!Wassalam.

Monday, July 26, 2010

Tika bahuku dihinggapi burung nuri


Suatu hari di Taman Burung ketika Cuti Sekolah yang lepas, bersama-sama dengan beberapa pelajar, bercuti bersama-sama walaupun masanya singkat. Walaupun ketika itu saya sedang demam, tapi seronok pula bercuti dengan mereka walaupun di tengah-tengah Kuala Lumpur itu.

Banyak peristiwa menarik di dalam Taman Burung itu. Antaranya kami semua sepakat bahawa benarlah kata pujangga: "Kalau anda duduk di bawah pokok, dongaklah ke atas. Kalau ada burung, larilah. Kalau ada buah, berehatlah di situ". Mengapa begitu? Kerana burung itu akan membuang "air besar" di mana-mana sahaja yang mereka mahu. Maha Suci Allah yang menjadi burung ini tidak membuang ketika mereka terbang. Tapi ada juga yang membuang ketika mereka sedang terbang. Hehehe..

Kemudian, kami berjalan-jalan melihat burung-burung yang tidak pernah kami lihat. Sehinggalah penat berjalan. Ketika kami di kawasan kawanan burung nuri, kami berhenti sebentar melihat kawanan burung nuri yang berbagai warna sedang diberi makan. Ada beberapa burung nuri yang sedang makan sambil hinggap di badan seorang pelancong asing dari Eropah dan Arab. Kami semua kagum lagi jakun. Semuanya mengharapkan agar kami juga hendak dihinggapi burung seperti mereka itu.

Tapi, tiba-tiba seekor burung datang menghinggapi bahu kiri saya. Yang lain semua jerit "Eyh abang sarep!! Nak juga burung tu!!". Rupa-rupanya memang betul ada burung yang sedang menghinggap. Macam tak percaya pula. Saya tak beri burung tu makan, tapi dia tetap hinggap dibahuku ini. Rasa takjub pun ada juga..ramai-ramai yang ada di dalam dewan nuri tu, bahuku ini juga dihinggapinya.



Burung ini akang hinggap jika ada makanan, tapi pada saya tiada makanan dan dia mahu hinggapi juga. Mungkin ini semua kebetulan. Begitulah jodoh pertemuan. Ada yang berusaha ingin mendapatkan jodoh yang terbaik untuknya. Tapi ada juga yang peroleh jodoh yang tak disangka-sangka secara kebetulan. Siapa boleh menentukan jodoh yang diterimanya adalah yang terbaik? Semuanya itu telah ditentukan Allah.
Begitu juga dengan nasib jodoh perpisahan. Seperti burung yang menghinggap di bahuku itu, tidak selamanya akan kekal menghinggap di bahu selamanya. Akhirnya burung itu terbang juga ke tempat lain (ke bahu Omar Ahsan lepas dipujuk..cewah..hehe) untuk burung itu menikmati nikmat kebebasan. Siapa sangka ketika burung itu lama menghinggap, tiba-tiba dia terbang pula. Begitulah jodoh perpisahan yang telah ditakdirkan. Setelah berpisah, bekas hinggapannya tetap terasa selamanya. Ia terus dikenang nikmatnya ketika burung itu hinggap di bahu ini. Biarpun burung itu terus pergi, hinggapannya selamanya terasa.
Begitulah peristiwa kami di Taman Burung baru-baru ini. Ia akan menjadi kenangan selamanya.

Sunday, July 11, 2010

Habis pun bola..!!

Setelah lama tak menulis dan memenuhi entri blog ini, dengan kesempatan masa yang ada ini. Saya akan cuba menyambung aktiviti menulis di dalam blog ini. Minta maaf kepada para penziarah blog ini jika melihat tulisan yang sama tidak berubah-ubah lagi. Dan dikesempatan ini, ingin juga saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penziarah blog saya kerana sudi membuka dan menziarahi blog saya yang telah usang ini.

Apa ya tajuk hendak disentuh? hehe..pasal bola la..Di dalam musim Piala Dunia versi 2010 ini, bermacam-macam gelagat dapat dilihat. Seronok pula melihat ramai orang bersorak untuk pasukan bola yang diminati mereka. Seronok juga melihat aksi-aksi jaringan serta gelecek yang tak kurang hebatnya. Bila sebut Piala Dunia, pasti tidak dapat lari dengan bola. Hehe..bila bola dah habis, baru saya menulis tentangnya.

Tak mengapalah, sebab saya hendak simpulkan selama saya sendiri berada dalam musim bola sepak ini. Seronok tengok di dalam kaca televisyen siaran tentang perlawanan bola sepak. Penuh stadium-stadium yang menjadi medan pertempuran di antara pasukan-pasukan yang bertanding. Walaupun Ghana lawan Amerika (2 pasukan yang tidak terkenal mana) sekalipun, stadium di Afrika Selatan dipenuhi peminat bola sepak. Betapa hebatnya tarikan bola sepak ini sehingga dapat menghimpunkan peminat-peminat bola sepak dari seluruh dunia bertumpu di Afrika Selatan.

Alangkah indahnya jika kita melihat suasana ini pada masjid-masjid yang dipenuhi orang-orang Islam yang menumpukan perhatian beribadah di dalamnya.

Ada penyokong-penyokong pasukan yang bertanding sanggup memperagakan pakaian yang berkenaan dengan warna pasukan mereka semata-mata menunjuk sokongan padu kepada pasukan tersebut. Alangkah indahnya jika para pemuda muslimin hari ini juga sedemikian dalam 'izzah mereka kepada agama mereka.

Ada pula penyokong-penyokong yang beremosi dalam melihat perlawanan bola sepak walaupun ia berlaku jauh dari tempat duduknya. Jika pasukan yang diminatinya itu menjaringkan gol, dialah yang bertempik kegembiraan sangat girang sedangkan dia hanya duduk sahaja, bukannya menjaringkan gol tersebut. Jika pasukan itu kalah, mampu menangisi kekalahan mereka. Emosi itu terasa hangat walaupun pasukan dan peminatnya berjauhan beribu-ribu kilometer, tapi seolah-olah mereka sangat dekat di antara satu sama lain.

Alangkah indahnya jika begitu juga emosi para pemuda muslimin kepada Penciptanya, agamanya, dan juga saudaranya yang seiman. Bezakah bila melihat orang yang bermain bola di Afrika Selatan itu kita mampu beremosi, sedang saudara kita di Palestin yang dibunuh dengan kejam dan tak terbela itu, tidak pula terdetik emosinya.

Setiap kali ingin bermula perlawanan bola, ramai diantara peminat pasukan bola yang bertanding akan saling meneka siapa yang akan menang. Bahkan, ada yang menggunakan instinct binatang (Paul si sotong kurita) untuk meneka pasukan yang manakah yang akan memenangi perlawanan tersebut. Ada pula yang sanggup mempertaruhkan wang untuk merasai kegembiraan pasukan yang disokong serta menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pasukannya itu sehingga sanggup berjudi atas nama pasukan tersebut.

Alangkah indahnya jika para pejuang muslimin yang sanggup mempertaruhkan dirinya dan hartanya kerana kemenangan Islam yang pasti akan tiba. Meletakkan sepenuh kepercayaan kepada janji-janji Allah yang pasti. Dan kemenangan ini, tidak perlu untuk meneka-neka ataupun meramal siapakah yang akan menang. Kerana janji Allah itu pasti tetap akan berlaku.

Ketika musim bola sepak ini, saya, abang saya dan ayah saya, bersama-sama melihat perlawanan bola secara langsung antara pasukan Jerman dan England. Kami merasakan sangat seronok menonton perlawanan tersebut bersama-sama. Jika lihat di kedai-kedai makan yang memasang perlawanan secara langsung Piala Dunia, mereka juga bersorak bersama-sama walaupun sesama mereka tidak mengenali sesama mereka, tapi mereka mampu berkongsi keseronokan itu bersama. Betapa bola ini dapat menyatukan hati para peminat bola sepak.

Alangkah seronoknya jika melihat semua umat itu bersatu hati bersama-sama di bawah satu iman yang membawa ketaatan kepada Allah Taala. Itulah gunanya Kalimatut Tauhid.

Akhirnya musim bola sudah habis. Kini, bersiap sedialah untuk menghadapi musim Ramadhan pula. Kalau ketika musim bola, ada yang sanggup bangun awal pagi atau berjaga malam semata-mata untuk mengikuti perlawanan bola secara langsung. Mengapa tidak kebiasaan anda pada musim bola itu anda lakukan sekali lagi di musim Ramadhan pula. Sekali lagi anda bangun awal pagi atau bersengkang mata untuk menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan ibadah-ibadah dan "berhubung secara langsung" dengan Allah yang melimpahkan rahmat-Nya di malam-malam Ramadhan terutamanya pada Lailatul Qadr.