Monday, November 30, 2009

Gembira dengan kesibukkan??

Memang benar kata Rasulullah s.a.w. tentang 5 perkara sebelum datang 5 perkara. Seharusnya kita selalu mempersiapkan diri dengan 5 perkara yang pasti akan datang. Terpulanglah bagaimana ia datang dan sejauh mana kesediaan kita untuk menghadapinya.

Kerana 5 perkara itu pasti akan datang. Tiada seorang manusia pun tidak pernah sakit dalam hidupnya. Tiada seorang manusia pun tidak pernah muda selamanya. Tiada seorang manusia pun tidak pernah merasai kesibukkan dalam hidupnya. Tiada seseorag manusia pun yang terus menerus memiliki kekayaan melainkan dia bunuh diri jika kekayaannya semakin hilang. Tiada seorang manusia pun tidak akan merasai kematian.

Bila sekarang ini merasai kesibukkan yang melampau. Dengan diselubungi tekanan dari pihak atasan. Semuanya mendesak mahu cepat. Melihat kerja yang terus menimbun. Tiba-tiba sedang sibuk menyiapkan kerja, terfikir pula tentang perkara-perkara lain seperti persiapan untuk pengisian, meng"asah" para rekrut yang belum sempurna, perancangan untuk tahun depan, kelancaran dan perincian gerak kerja dan berbagai-bagainya lagi.

Semua ini terus bermain di dalam fikiran ini. Sedang kerja yang ada di depan mata, masih bertimbun. Tapi sempat pula hendak menulis sesuatu di dalam blog. Hehe..sebagai mengisi masa kosong di dalam bas ni. Kalau dekat dalam bas pun nak menanda, memang workoholic la.

Tapi bila terfikir balik dalam doa, sebenarnya, kesibukkan ini suatu yang nikmat juga. Jika dikenang, pernah suatu keadaan, tak banyak kerja ketika itu, terasa macam kebosanan itu suatu yang membebankan. Sungguh menyiksakan kehidupan yang penuh bosan tanpa cabaran. Kini, bila sudah datang kesibukkan yang diidamkan, mengeluh juga. Lantas saya terfikirkan sesuatu perkara, iaitu; kenapa mesti tension bila sibuk ni datang?

Sebenarnya persepsi kitalah yang membuatkan kita merasai sesuatu emosi. Jika kita berpersepsi negatif pada kerja kita atau apa yang bakal kita hadapi, pasti emosi yang negatif akan lahir. Kita akan sendiri terseksa akibat perbuatan atau tafsiran kita sendiri.

Yalah, bila sibuk, banyak perkara tak boleh dilakukan. Orang lain sedang seronok bercuti, tapi kita masih dengan kerja kita yang tak pernah selesai. Orang lain sedang rehat santai, kita masih berperang dengan kerja kita yang berduyun-duyun ini.

Lihat?! Inilah yang dimaksudkan persepsi negatif. Seperti menyalahkan sesuatu? Marah kepada siapa ya? Kerja itu atau orang lain yang sedang bercuti? Kalau kerja yang dimarahkan, maka berhentilah dari kerja itu. Kan lebih seronok? Tak payah bekerja, terus rehat sampai bila-bila.

Seandainya kita dapat menerima segala cabaran dalam pekerjaan ini dengan persepsi positif, apa pula hasilnya? Kita akan terus termotivasi dalam kerja kita itu. Kita akan terasa kerja ini mudah saja untuk dilalui. Kesibukkan itu menjadi perkara yang sementara sahaja. Apa yang difahami tentang sibuk itu ialah masa untuk bekerja keras atau bertungkus-lumus.

Contohnya; jika Si A kena banyak menanda kertas jawapan pelajarnya, sedang yang lain menanda kertas tidak sebanyak Si A, kemudian diberi tekanan pula hendak markah itu dalam tempoh masa yang singkat. Si A tu berkata kepada dirinya; "Kita semua diminta untuk hantar markah pada hari yang sama, tapi saya punya lebih banyak dari kamu semua, maka lebih banyak pahala yang bakal saya perolehi nanti, insya Allah".

Bila membaca buku "Senyuman pada Mujahid", buku berkenaan kisah mereka yang berjihad di bumi Afghanistan menentang Soviet, mereka menceritakan tentang bagaimana mereka mencari jalan untuk merasa seronok dalam memilih jalan susah ini. Mereka melalui jalan yang payah ini dengan keseronokkan berukhuwwah, keseronokkan berjihad, dan yang paling penting ialah ganjaran yang pasti dapat iaitu syurga.

Janganlah kita melihat kucing-kucing di tepian jalan, tikus-tikus di longkang-longkang, burung-burung yang beterbangan, ikan-ikan yang berenang-renang di akuarium, terus kita merasa dengki dengan kehidupan mereka yang selesa. Kalau nak tidur, tidur. Kalau nak makan, makan. Kalau nak main, main. Tak payah bekerja.

Inilah diri kita. Bekerja hanyala semata-mata untuk mencari redho-Nya. Bukan kerana duit yang menjadi ukuran kerja kita. Kalau gaji sikit, sikitlah kerja kita. Tak ya. Ntah-ntah orang yang bergaji besar tu pun, kerjanya sedikit sahaja. Jadi, selagi kita hidup, sebanyak mana perkara yang kita lakukan itu mendapat redho Allah. Itulah yang membuatkan kita sentiasa berusaha tidak kiralah apa kerja yang kita lakukan.

Aidiladha tiada lagu raya???

Selama melalui Hari Raya Aidiladha kali ini, terasa pelik menyelubungi lubuk hati serta semua anggota badan ini. Menanyakan soalan yang tidak perlu ditanya. Tetapi kemusykilan terus bermain-main di fikiran tanpa mengira tempat mahupun masa.

"Mengapa Raya Korban tiada lagu raya dikemundangkan??"

"Mengapa takbir raya yang dikemundangkan di dalam siaran radio mahupun television hanya dikemundangkan satu hari sahaja? Sedangkan di masjid mahupun surau sehingga penghabisan Hari Tasyrik?"

"Mengapa tiada artis atau komposer tempatan atau pencipta lirik tidak buat lagu untuk Raya Korban ini?" (kalau ada pun, lagu Pergi Haji)

Kalaulah Raya Puasa seperti Raya Korban sekarang ini, insya Allah pasti tiada peningkatan kemalangan jalan raya seperti yang berlaku beberapa bulan lepas. Kenapa ya? Kerana raya untuk musim korban ini, tidak semeriah Raya Puasa. Mana tidaknya, tiada kempen Ops Sikap (saya pandu kereta dari Penang ke KL 140km/j secara konsisten..3jam dah sampai), tiada lagu-lagu raya, tiada iklan raya, tiada diskaun tol, tiada minuman percuma di Stesen Petronas, tiada rumah terbuka, tiada ucapan raya daripada pelajar kita di oversea, dan tiada macam-macam lagi.

Saya ingat lagi ketika hendak menunaikan Solat Sunat Raya Aidiladha, ada dikalangan jemaah yang berdekatan dengan saya, dia bertanya kepada saya bagaimana hendak solat sunat hari raya. Mungkin dia terlupa, mana taknya, 2 kali setahun. Jadi ajarkannyalah. Semangat dia nak tahu kaifiatnya.

Monday, November 23, 2009

Salahkah ber"CINTA"?

Selepas melihat fenomena trend bercinta di kalangan masyarakat, pasti timbul suatu persoalan yang menjadi kontroversi. Iaitu; "Salahkah bercinta?". Kerana itulah buku-buku yang memberi alternatif pengurusan cinta, kaedah bercinta, cara bercinta, tempat bercinta, pendek kata semuanya cinta, tetapi mengikut syara', berada di dalam pasaran bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Menjawab persoalan yang diajukan oleh ramai pihak, pasti dalam setiap penulisan buku-buku itu akan menjawab; "Tidak salah bercinta....TAPI..." barulah ia promosikan cara bercinta yang ideal dan dibentangkan di dalam penulisannya.

Inilah yang selalu dijumpai dalam mana-mana bentuk alternatif penulisan tentang cinta atau saya lebih gemar mengistilahkannya sebagai "Nukilan Cinta". Begitu juga nasyid-nasyid yang disampaikan menjadi alternatif bagi lagu-lagu cinta kompilasi tangkap leleh mahupun tangkap lentok sehingga mampu mendatangkan fenomena tangkap basah.

Jika orang bertanya kepada saya; "Salahkah bercinta?", saya akan menanya kembali kepadanya; "Perlukah bercinta? Mengapa bercinta?". Jika para pembaca sekalian mempunyai jawapan untuk persoalan ini, adalah dipersilakan untuk anda menulis sedikit pandangan anda atau sebarang jawapan agar dapat menghangatkan lagi persoalan yang ingin diperbincangkan.

Jadi ada pula yang memberikan sandaran serta dalil sokongan akan keharusan bercinta. Antaranya mengaitkan kisah Nabi Adam dan Hawa. Ada juga mengaitkan dengan mengungkit bahawa Allah sangat mencintai hamba-Nya yang berkasih-sayang dan banyak lagi jawapan yang terus terkeluar dari mulut mereka.

Saya tidak menyalahkan cinta itu sendiri. Kerana ia sememangnya adalah fitrah semulajadi bagi setiap insan. Semua manusia berhak merasai cinta itu. Pasti berputik rasa cinta itu di setiap lubuk hati manusia. Jadi ia tidak mustahil untuk semua orang merasai cinta itu. Ia hadir dengan sendirinya. Cuma, apabila seseorang sudah mengelamun di dunia percintaan, pasti akan terus ketagih dibuai di alam percintaan. Seolah-olah dunia ini mereka yang punya, saya, para pembaca dan yang lain cuma menyewa sahaja di dunia ini kerana mereka rasa, dunia ini mereka punya.

Itulah fenomena yang saya maksudkan "Cinta itu seperti sambal belacan, baunya agak kurang menyenangkan, tapi apabila sudah merasai belacan itu, pasti bertambah". Mungkin hari ini kita kurang selesa dengan fenomena cintan-cintun ini, tetapi apabila kita sendiri terjebak dalam kancah percintaan, mungkin lebih dasyat lagi daripada orang lain yang bercinta.

Cuma yang menjadi kebimbingan ialah; kita tidak dapat mengubah langsung fenomena nukilan cinta mahupun sebarang bentuk sebaran yang bertemakan cinta di zaman sekarang ini. Suatu yang mustahil untuk kita membendung tema cinta ini daripada berleluasa menular dalam akal dan sanubari masyarakat hari ini daripada terpengaruh dengan momokan percintaan sehingga menjadi racun dalam budaya masyarakat. Jika ia menular, masalah seperti bayi di buang di tong sampah pasti meningkat.

Wahai pembikin iklan mahupun filem, termasuk juga penovel juga pengubah lagu serta penulis lirik lagu, apa salahnya untuk tidak membuat lagi hasil kreatif anda tanpa tema percintaan. Adakah anda takut kerana rugi? Atau anda seharusnya takut jika ahli keluarga anda sendiri pula ada yang terlibat dalam mangsa kekejaman percintaan ini.

Sunday, November 15, 2009

Banyaknya Penangan "Cinta"....

Sekarang ini, dalam mana-mana bentuk hiburan, tak dapat lari dengan tema-tema cinta. Baik dari nama lagu, sehinggalah ke mana-mana novel di tanah air. Sama ada ia novel Islami mahupun "biasa-biasa" sahaja. Tajuk-tajuk lagu pun tak dapat lari dengan tema cinta ini.

Lebih mengagumkan setiap tema-tema cinta itu diselitkan dengan tema Islami. Contohnya seperti salah satu tajuk lagu yang ada kini; "Khatimah Cinta", "Bila Cinta Bertasbih", "Nur Kasih" dan sebagainya. Ada juga setiap judul-judul lagu ini menjadi nama nama novel yang terkenal. Ada juga yang menjadi nama drama terkenal di tanah air.

Ada satu lagi yang lebih menarik. Jika diperhatikan dewasa ini, banyak drama-drama atau cerita yang ditayangkan kepada penonton hari ini, banyak menyelitkan tema poligami dalam cerita yang dibuat. Antaranya seperti "Nur Kasih", bentuk ceritanya pun hampir sama dengan jalan cerita "Ayat-ayat Cinta". Persamaan di antara kedua-dua cerita ini ialah berpoligami dan salah seorang isteri yang dikahwini itu meninggal dunia.

Mengapa situasi ini terjadi agaknya? Seolah-olah kita semua tidak dapat dipisahkan dengan tema cinta. Kita hanya menerima bentuk hiburan yang diselitkan tema cinta. Jika selain daripada itu, mungkin tema-tema yang sedikit seperti tema lucu atau tema seram. Selalunya mana-mana cerita itu pasti akan menyelitkan tema cinta. Sehinggakan di dalam iklan juga mesti ada yang menyelitkan tema cinta ini. Contohnya; iklan Ribena; tapi watak anggur dengan watak oren seolah-olah pertama kali menemui cinta pertama mereka. Iklan cornetto; bila makan aiskrim, melihat pasangan yang penuh berahi.

Nasib baik Buletin Utama di TV3 atau Berita Nasional di RTM1 atau Berita 9 di TV9 tidak ada tema cinta. Kalau di situ pun ada, tak nak kata apa lagi lah.

Situasi ini seolah-olah menjadi sinonim dengan kehidupan masyarakat kita. Tidak putus-putus bentuk hiburan mesti diselitkan dengan cinta ini. Mungkin kerana itu, tidak menjadi kejanggalan untuk bercinta bagi pemuda-pemudi hari ini. Mereka telah dibesarkan dengan fenomena "kehalalan dalam bercinta". Ada juga menganggap ini sebagai trend masa kini. Benarkah? Sedangkan trend ini sudah mulai wujud semenjak era kemerdekaan kita lagi. Boleh dibuktikan dengan tema-tema yang terdapat pada lagu ketika itu dan juga filem-filem yang dibikin ketika itu. Mungkin tidaklah terlalu banyak lagu-lagu yang bertemakan cinta. Tetapi ia sudah mula berputik ketika itu lagi.

Jadi, apakah masyarakat kita ini sememangnya adalah keturunan yang romantis? Heh. Bagaimana penyataan ini dapat menjawab tentang masalah rumahtangga yang bertimbun-timbun di pejabat Qadhi. Yang menyanyikan lagu cinta juga ada yang bercerai dan mempunyai masalah dalam rumahtangga mereka. Begitu juga yang berlakon dalam cerita-cerita cinta.

Apa yang lebih membimbangkan kita ialah kanak-kanak yang bawah umur ini juga sudah mula bersebati dengan tema cinta. Ada filem terbaru yang melibatkan kanak-kanak dengan tema cinta. Jadi ia seperti cinta itu tidak mengenal usia sekarang ini. Dalam suatu iklan yang terkenal juga ada ditanya kanak-kanak murid sekolah rendah berbangsa Cina ditanya gadis yang disukai. Kenapa soalan itu ditanya kepada kanak-kanak bawah umur? Seperti galakan bukan?

Cinta hari ini seolah-olah menjadi satu keperluan bagi masyarkat kita hari ini. Ia menjadi permintaan yang tinggi sehingga mampu melariskan jualan-jualan dalam arena hiburan ini. Ada juga yang berinisiatif untuk menggunakan keadaan ini sebagai medan untuk berdakwah. Menunjukkan alternatif dalam bercinta. Mengubah masyarakat yang sudah berada di dalam naungan cinta dengan cinta yang sebenarnya. Ya, itu langkah-langkah yang murni bagi mereka yang melakukan kerja-kerja ini.

Menjadi satu usaha yang sukar untuk mengubah masyarakat ini menghilangkan cinta. Jadi mereka memutuskan untuk menggunakan cinta itu sebagai cara untuk mengubah masyarakat yang lebih cemerlang. Sejauh manakah ia akan membuahkan hasil? Kita akan terus melihat pergerakkan dan perkembangan masyarakat kita hari ini dan sejauh manakah kesan cinta itu kepada perkembangan masyarakat.

Mungkin bagi sesiapa yang sedang membuat kajian dalam antropologi, boleh cuba memberi jawapan ini kepada masyarakat kita nanti. Insya Allah.

Thursday, November 12, 2009

Selamat Menghadapi Peperiksaan


Minta maaf kerana agak terlambat untuk mengucapkan ini kepada pelajar-pelajar lain yang menduduki Peperiksaan Akhir Tahun 2009 kepada pelajar-pelajar Tingkatan 1, 2, dan 4. Mungkin kerana terlalu sibuk, tidak sempat untuk memperbaharui isian di dalam blog ini.

Maka di dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan kepada pelajar Tingkatan 5 SMIAAG dan Ahli PPI Tingkatan 5 SMTKL yang akan menduduki SPM '09, berusahalah sehabis-habisnya dan semoga mendapat kejayaan yang cemerlang untuk anda semua.

Teringat pula suasana "study hard" seperti di dalam gambar di atas. Rasa rindu pula ingin menduduki peperiksaan. Insya Allah kalau dapat sambung belajar, barulah dapat merasai suasana "high presure" tu lagi. Ketika berada di kolej dulu, mengambil Diploma Teknologi Makmal Perubatan, memang rindu sangat suasana peperiksaan yang saya lalui dahulu. Tidak pernah saya merasai peperiksaan seperti itu dahulu.

Ada jadual menjawab kertas peperiksaan di waktu malam. Tapi yang memang tidak boleh dilupakan ialah; ketika peperiksaan di waktu malam itu sedang berlangsung, tiba-tiba "black-out", lampu terpadam ketika itu. Mungkin kerana keadaan hujan lebat ketika itu membuatkan bangunan kami litar pintas. Boleh bayangkan, kami menduduki peperiksaan dengan bergelap. Pengawas peperiksaan pula mengizinkan untuk menggunakan handphone untuk menyuluh ketika menjawab. Hahahaha!! Memang lucu ketika itu. Mana yang kaki penipu ketika peperiksaan, inilah peluang terbaik bagi mereka untuk berbincang melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) sesama mereka. Tak lama selepas itu, letrik kembali ada. Tapi itulah pengalaman saya ketika menduduki peperiksaan dalam keadaan bergelap.
Saya juga teringat ketika menduduki peperiksaan SPM dahulu, ketika itu dalam bulan Ramadhan. Memang mencabar juga. Kerana ia kerap kali membuatkan kami mengantuk ketika menjawab peperiksaan. Nasib baik pengawas peperiksaan selalu mengejutkan kami yang tertidur. Saya dahulu ada mengambil peperiksaan kertas Tasawwur Islam ketika itu. Di sekolah saya ini, hanya 2 orang sahaja yang mengambilnya. Maka sangatlah bosan saya dan kawan saya menduduki di dalam dewan peperiksaan yang luas terbentang (jika kita seorang sahaja di dalam dewan itu). 3 orang pengawas peperiksaan yang mengawasi kami berdua ini pun sangat bosan sehingga mereka bergilir untuk tidur ataupun menghirup udara luar. Hahaha!! Kelakar juga melihat gelagat mereka.

Akhir kata kepada yang bakal menduduki peperiksaan. Saya ingin mencabar calon SPM Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak; agar tiada lagi kes melibatkan terlupa membawa slip peperiksaan atau Kad Pengenalan. Jangan cepat mengalah. SPM ini bukanlah segala-galanya. Jadi jangan cepat kecewa dan berputus asa ya. SPM ini hanya tiket untuk anda semua pergi ke tahap yang seterusnya sahaja. Itu pun jika anda mahu belajar lagi.

Berusahalah dan Semoga Berjaya!!!

Wednesday, November 4, 2009

Blog..Keperluan atau Sampingan???

Assalamu'alaikum.. Ya Allah, lamanya tidak memperbaharui bahan-bahan penulisan di dalam blog kali ini. Apabila ramai yang bertanya kepada saya;"Kenapa tak update blog?". Saya hanya mampu menjawab;"tak sempat, sibuk sedikit, feel tak datang lagi," dan sebagainya. Tiba-tiba ada yang memberi respon daripada jawapan saya itu tadi, kata mereka; "ahh!! itu semua alasan, tak ada idea la tuu, sengaja tak nak kongsi ilmu" dan sebagainya.

Ketika itu, saya berfikir sejenak sebab saya memiliki blog itu sendiri. Adakah blog ini adalah keperluan yang membuatkan timbul keharusan dalam memilikinya serta mengupdatenya? Atau ia cuma sekadar medan untuk menulis semata-mata, melahirkan idea-idea yang tersemat di kepala ini, dan sekadar mengisi masa lapang? Atau adakah blog ini dimiliki adalah kerana menjadi adat untuk mengikut trend masa kini, yang mana jika semua orang memiliki blog, maka dia juga mengikut trend untuk memiliki blog juga?

Seandainya blog ini diwujudkan adalah atas dasar keperluan, maka seharusnya seseorang itu hidup matinya, baring bangunnya, makan minumnya juga dengan blog. Sekiranya tidak berblog, boleh datang hukumnya dosa pada dirinya.

Tapi sekiranya itu sekadar sampingan, menjadikan blog ini sebagai alat untuk mencapai ahdaf atau sebarang objektif. Maka setiap kali ia digunakan sebagai alat untuk mencapai perkara yang baik, turunlah kepadanya satu imbuhan kebaikan baginya atas apa yang dilakukannya.

(pergh..ayat macam dalam kitab Bulughul Maram pulak..hehe)

Anda pula bagaimana???