Tuesday, June 30, 2009

Cinta terhalang???

Saya diminta untuk mengulas tentang hal yang berlaku ketika diperhimpunan Isnin pagi, iaitu berlakunya perkahwinan olok-olok kepada pelajar yang ber"kapel", yang jelas benar mereka berkapel sehingga melanggar batas-batas syariat. Lalu mereka disabitkan kesalahan. Telah diberikan nasihat kepada mereka agar tidak mengulang kesalahan tersebut. Tetapi masih berlaku juga.

Maka telah sepakat guru-guru displin meminta perkenan Majlis Ketua-ketua Jabatan Sekolah untuk dihukum mereka ini, maka diputuskan hukuman mengikut ijtihad mereka untuk memilih hukuman sedemikan. Iaitu dikahwinkan olok-olok di hadapan khalayak ramai, iaitu di hadapan perhimpunan pagi pada hari Isnin baru ini. Meriah dengan kompang bertalu, disediakan kerusi persandingan dan sebagainya.

Walaupun saya tidak menyaksikannya sendiri, tetapi dengar cerita orang, mampu saya menggambarkan kemeriahannya pagi Isnin tersebut. Saya dimaklumkan juga bahawa Pengetua melaksanakan upacara tepung tawar. Benarkah? Hahahaha!! Jika ditanya kepada yang menceritakan hal ini kepada saya tentang reaksi pelaku kesalahan tersebut. Mereka menceritakan bahawa "pengantin lelaki" duduk tertunduk kepalanya melihat Bumi menanggung malu. Sedang "pengantin perempuan" seolah-olah tergelak-gelak gedik dengarnya. Saya minta maaf kepada yang terlibat tapi itulah seperti yang digambarkan saya. Kalau saya ada di situ dengan kamera saya, heh..paham-paham la..

Apa pula reaksi saya?

Heh..mungkin saya juga merasai beban berat menanggung malu si "pengantin lelaki". Saya pun tidak tahu kenapa mereka masih lagi melakukan kesalahan sedang mereka telah dinasihatkan untuk meninggalkan kesalahan ini. Tapi..ntah la..Bagi saya, perasaan ini masih lagi cuba bertenang, kalaulah mutarobbi sendiri yang terlibat dengan dendaan seperti ini, maka saya juga tetap menanggungnya kerana kegagalan saya sendiri.

Adakah hukuman ini tidak memberikan apa-apa kesan kepada pelaku kesalahan?

Bagi saya, ini adalah ijtihad mereka yang membuat keputusan. Mereka juga tidak mahu menjadi "quddat" (penghukum) yang nyata. Tapi mereka cuba cari langkah terbaik agar yang lain tidak mengikut langkah pelaku kesalahan ini. Tapi sebenarnya saya juga punya pendapat sendiri yang mungkin tidak sependapat dengan keputusan ijtihad mereka. Tapi pandangan saya tidak mampu memberikan apa-apa perubahan pun. Saya hanya Pembantu Makmal.

Saya cuba menyediakan minda saya sebagaimana minda remaja-remaja yang melihat pengajaran ini berlangsung. Mungkin ia sedikit-sebanyak dapat memberikan pengajaran berbentuk ancaman kepada majoriti orang kerana mereka tidak mahu dimalukan seperti pelaku kesalahan itu.

Tapi bagi saya, kalaulah mereka yang mampu berfikir dengan "bijak" ini, akan ada yang menafsirkan "Ouh..kalau bercinta dengan budak satu sekolah, nanti boleh kantoi, lepas tu dihukum macam diorang pula. Jadi kalau nak selamat, bercinta ar dengan budak sekolah luar. Apa sekolah boleh buat dengan budak sekolah luar?"

Hah..bagaimana pula jika orang yang "bijak" ini menerima pengajaran seperti demikian?
Atau adakah perlu kita menghukum pelaku kesalahan ini dengan memarahi seteruk-teruknya kepada mereka sehingga menggunakan kekerasan kepada mereka. Hukuman ini mungkin berkesan tapi saya takut, ia juga mampu memberikan kesan sampingan yang cukup merbahaya. Iaitu mungkin "pengantin lelaki" akan memberi tafsiran dan kesimpulan daripada apa yang dilaluinya iaitu:"Kalau bercinta dengan perempuan, teruk aku kena nanti. Lebih baik aku bercinta dengan lelaki jelah."

Hah!! Tu lagi merbahaya. Nauzubillah. Tapi ramai orang-orang yang telah terjebak dengan amalan luar tabi'in ni, menyatakan sebab-musabab kenapa mereka cenderung kepada sejenis adalah sebabnya sedemikian.

Jadi, cara yang manakah yang sesuai untuk menghindari masalah ini?Adakah kita suruh mereka untuk bercinta sahaja?

Mungkin..kemudian ditunjukkan kepada mereka batas-batas mengikut syari'at. Tapi itukan memang diajar dalam silibus pendidikan islam bagaiman adab kita bermuamalah dengan menjaga syari'at. Tapi tetap ada juga yang tidak mengikut dan menjaganya.

Kalau macamtu, bolehkah kita katakan kepada orang yang kita "minat" tu; "Kita belajar dulu..nanti lepas dah dapat degree..kita kahwin dan sambung semula cinta kita..".

Heh..Ingin saya bertanya pula. "Antara tempoh masa awak buat pernyataan itu dengan masanya habis belajar itu..tiada penghubungan antara satu sama lain ker?".
Kalau ada, bukankah itu membuatkan hati kita terus memikirkan tentang "pengantin perempuan" dan membuatkan kita terus membenarkan kehangatan amarah memutik di dalam hatinya sendiri. Boleh jadi dalam tempoh masa yang lama itu mampu membuatkan kita dekat dengan zina.

Kita balik semula kepada persoalan kita yang sebenarnya iaitu, apa caranya untuk kita mengatasi masalah ini. Tidak ada rumusan yang dapat menyelesaikan masalah ini secara langsung. Kita juga tidak dapat memisahkan kehidupan para remaja ini dengan realitinya. Dipisahkan mereka daripada ditemukan di dunia ini. Kita tidak boleh membahagikan dunia ini di sebelah Barat diduduki orang lelaki dan di sebelah Timur pula diduduki orang perempuan. Walaumacamana sekalipun, kita tetap akan bertemu dengan semua orang baik yang menutup auratnya ataupun tidak.

Jadi, apa yang kita boleh buat?

Lihatlah bagaimana al-Quran mengajarkan umat Islam untuk menguruskan hawa nafsu yang sememangnya fitrah mahu menyayangi dan disayangi, mahu mengasihi dan dikasihi, mahu mencintai dan dicintai, dan yang sewaktu dengannya. Tapi lihatlah bagaimana para salafusoleh memahami tentang siapakah yang selayak-layaknya mengasihi dirinya dan dikasihi? Siapakah yang selayak-layaknya dicintai dan mencintai? Siapakah yang selayak-layaknya dirindui dan merindui? Mereka diajar untuk mencintai Tuhannya yang sangat mencintai mereka.
Allah sendiri mengisytiharkan sememangnya fitrah itu pada diri manusia merasa suka lagi cinta kepada perempuan seperti dalam surah ali-Imran ayat 14:

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)."[ali-Imran: 14]

Terlalu banyak ancaman-ancaman harian yang ada disekeliling kita untuk melupakan apa yang telah Allah pesan kepada kita ini. Di dalam drama, cerita pasal cinta. Dalam lagu-lagu, sebut pasal cinta. Sehinggakan dalam nasyid juga ingin dilagukan tentang cinta. Dalam novel juga tidak terlepas untuk cerita pasal cinta. Dalam surat khabar juga diheboh-hebohkan tentang cinta terutama artis. Di majalah-majalah juga tidak terlepas untuk berkongsi tips-tips untuk mendapatkan cinta. Dalam internet, lagilah teruk. Sehinggakan dalam komik juga tidak terlepas untuk cerita tentang cinta. Juga pada kartun untuk kanak-kanak diselitkan juga tentang cinta. Kalau ada Mickey Mouse, mesti ada Minnie Mouse. Kalau ada Donald Duck, mesti ada Dessie Duck.

Jadi apa lagi cara untuk menghindarkan pemuda-pemuda kita dari ancaman virus merah jambu ini?

Terdapat kisah di Andalusia, usaha-usaha orang Eropah untuk merampas balik tanah Sepanyol dari kerajaan Islam. Pelbagai percubaan untuk menumpaskan benteng pertahanan tentera Islam. Sehinggalah mereka menghantarkan pengintip untuk melihat rahsia mereka itu terlalu kuat. Jadi masuklah pengintip ini sebagai seorang pedangang ke kota tentera Islam. Lalu dia melihatkan yang memenuhi benteng kota Islam ini adalah pemuda-pemuda yang mahukan mati. Tiba-tiba dia terserempak dengan seorang pemuda yang sedang menangis. Lalu pengintip ini pun menanyakan sebab pemuda itu menangis. Lalu pemuda itu menjawab:"Aku takut selepas aku melepaskan panahan yang pertama kepada musuhku, aku tidak dapat melepaskan panahan yang kedua". Pengintip itu bertanya lagi;"Kalau begitu, kenapa kamu melepaskan panah?". Pemuda itu menjawab:"Kalau aku tidak melepaskan panah ini, bagaimana dengan orang dibelakangku ini yang menjadi tanggungjawab aku untuk aku pertahankan mereka?".

Kemudian berlalu pergilah pengintip ini dan pulang kepada pangkuan pemimpin mereka lalu melaporkan:"Tahun ini, lebih baik jangan menyerang mereka kerana pemuda mereka tidak dapat kita tandingi".

Setelah beberapa tahun berlalu, pengintip itu pergi lagi mengintip kekuatan tentera Islam. Tembok benteng telah diperkukuhkan lagi dan lebih banyak teknologi-teknologi perang yang diletakkan untuk menghadapi musuh mereka. Hal ini telah menggentarkan pengintip itu. Tiba-tiba dia terserempak dengan seorang pemuda yang sedang menangis teresak-esak. Lalu pengintip ini bertanyakan sebab pemuda itu menangis. Pemuda itu menjawab:"Kekasihku telah pergi meninggalkan aku kerana aku miskin dan makan gaji dengan menjadi tentera". Pengintip ini bertanya lagi:"Kenapa kamu tidak mencari gadis lain sahaja untuk menjadi kekasihmu?". Pemuda itu menjawab:"Aku takut aku tidak dapat melupakan kekasihku ini. Apatah lagi aku takut jika aku gagal lagi dalam percintaan ini."

Akhirnya, terukir senyuman pada pengintip ini dan terus pulang ke pangkuan pemimpin perangnya dan melaporkan:"Tuan, kali ini, kita perlu serang habis-habisan dengan sepenuh kekuatan kerana mereka terlalu lemah walaupun mereka miliki senjata yang canggih". Lalu berlaku lagi peperangan sehinggalah tumpas kerajaan Islam Andalusia dalam peperangan tersebut.

Apakah kita akan biarkan pemuda kita seperti pemuda itu? Apa yang kita perlu buat sekarang?
Saya cadangkan..carilah sebanyak mungkin pemuda-pemuda yang ada disekeliling kita, ceritakanlah bahawa Islam itu tidak menghalang percintaan. Bahkan Islam mengajarkan kepada kita cara yang terbaik untuk cinta sesama Muslim. Kita juga diajar bahawa cinta yang paling agung adalah..cinta Illahi....

Monday, June 22, 2009

KAKUM dan Ihtifal???

Sabtu baru-baru ini, Sekolah Menengah Islam Al-Amin mengadakan program Karnival Ko-Kurikulum atau nama komersialnya ialah KAKUM. Alhamdulillah program itu berjalan lancar dengan menariknya walaupun pembikinannya tidak semudah mana, tapi perjalanan program ketika berlangsungnya program, memang sangat menarik.
Dalam entri blog kali ini, akan disertakan beberapa gambar ketika berlangsungnya program ini.
Tapi, walaupun seronok, ada juga isu-isu yang perlu dititik-beratkan. Isu yang akan dibawa pula adalah komen-komen yang saya dengar ketika saya bersiar-siar di sekitar program KAKUM'09 tu sendiri. Berikut akan saya quote-kan perbualan-perbualan yang boleh kita ambil iktibar dari program kali-ini.
Bapa A: "KAKUM ker Ihtifal?"

Ibu B: "Mak awak tak datang ker?"
Pelajar C: "Mak tak datang..mak ada kat rumah.."

Pelajar D: "Lama sangat kt dataran ni..nasib baik tak panas"


Pengungjung E: "Sedap-sedap makanan yang dijual!!"





Cikgu F: "Pandai budak-budak ni buat pameran mereka menarik!! Terhibur rasanya!!"


Ustaz G: "Alaaa..nak cuba permainan ni pun kena bayar kaa???
Pelajar H: "Ustaz..5 biji bola RM1 jer.."


Ustaz I: "Aik? Tak masuk pertandingan pun dapat free gift?"


Penunjung J: "Nasyid-nasyid yang dimainkan tak kena ar"

Pengunjung K: "Sapa la yang banyak sangat mencecehnya (cakap)..dari pagi bercakap..tak penat ker??"


Pelajar L: "Silat ni..lama sangat la..asyik pasang lagu silat jer memanjang..pening dibuatnya"


Saya: "Eh!!! Ni gerai Ikhwan Global??? Waaahh!! Ada juga kedai al-Arqam di sini!!!!Mesti beli ni!! Kita sama-sama Rufaqa'!!! hehe.."

Hahaha!! Macam-macam ragam dan komen saya lihat dan dengar. Menarik juga sebenarnya tempat-tempat pameran. Saya juga dapat bersiar-siar ke tempat pameran sepanjang program ini dengan Ustaz Usman. Hehehe..seronok tengok ustaz gembira melihat pameran-pameran yang disediakan. Tapi, saya tak tahu kenapa saya penat sangat. Sedangkan saya jalan-jalan, tangkap gambar, makan dan kemudian duduk-duduk, dah rasa penat semacam. Kemudian pergi terus ke Rawang. Ada program di sana.

Merudumkah Akhlak mereka???

Selepas membaca entri ini http://almuna.blogspot.com/2009/06/merudumkah-akhlak-mereka.html, terasa ingin juga memberi komentar melalui penulisan kali ini di dalam enrti saya pula.

Bagi saya, tentang hal ini, banyak faktornya. Tapi persoalan diketengahkan adalah; benarkah Akhlak mereka merudum? Dengan bukti-bukti serta fakta yang dibawa oleh penulis blog itu, ternyata ia dapat memberikan jawaban terus kepada persoalan itu. Sungguh ia benar-benar memeranjatkan saya, tapi saya tidak pernah rasa kejanggalan serta pelik melihat hal ini kerana ia juga berlaku di hadapan mata saya.

Maka tidak perlulah pula mengemukakan bukti-bukti dari pihak saya pula. Sedangkan ia akan lebih memburukkan imej sekolah ini pula nanti jika dibaca orang yang bukan ahli. Sudah terjawab persoalan yang pertama; iaitu memang benar terdapat penurunan paras Indeks Pengamalan Akhlak (IPA) di kalangan para pelajar Al-Amin.

Hal ini membawa kita kepada persoalan seterusnya. Mengapa hal ini terjadi? Siapakah yang terlibat dalam hal ini? Ataupun siapakah yang patut ditunding jari padanya tentang masalah ini? Sejak bilakah hal ini mula meruncing? Dan, bagaimanakah cara mengatasi masalah ini?

Soalan-soalan ini memang soalan yang sangat sensitif. Bagi saya jika saya mendengarnya, saya sangat terasa bahawa diri saya ini terpanggil kepada hal tersebut. Bukanlah saya menulis enrti ini untuk menyalahkan sesiapa. Tetapi hal ini patut diambil berat bersama-sama oleh semua warga Al-Amin khususnya dan para pencinta Dakwah ila Allah secara umumnya.

Bagi saya, ini juga menjadikan cabaran kepada diri saya sendiri untuk bertindak melakukan sesuatu. Ya, mungkin saya tidak dapat mengubah semuanya dalam masa yang sangat cepat. Saya yakin, guru-guru berhempas pulas, memerah keringat, memeras buah fikiran, untuk cuba menyelesaikan masalah ini. Bukan mereka sahaja, malah tetap ada dikalangan warga Al-Amin juga memikirkan tentang hal ini, dengan cara apakah dapat ia selesaikan.

Bermacam-macam program tarbawi yang diadakan untuk warga Al-Amin. Dengan usrahnya, daurohnya, tamrinnya, Mukhoyyamnya, kursus-kursus, perkhemahannya. Adakah semua itu tidak memberikan apa-apa natijah (hasil) kepada peserta yang terdiri daripada kalangan pemuda Al-Amin?

Mungkin kita banyak membincangkan tentang persoalan-persoalan secara teknikalnya. Cuba menyelesaikan masalah secara teknikal. Maka terbitlah bermacam-macam idea untuk selesaikan masalah ini. Antaranya membuat penapisan sebelum masuk, buang pelajar bermasalah, kuatkuasakan undang-undang yang lebih tegas, menyalahkan badan berkanun dan bermacam-macam lagi. Semua itu mungkin boleh dilaksanakan, tapi, benar-benar fahamkan situasi semua pihak?

Saya ingin mengajak para pembaca khususnya warga Al-Amin berfikir sejenak tentang beberapa isu penting dalam membincangkan hal ini; apa tujuan Al-Amin ini ditubuhkan? Siapa yang terlibat dalam penubuhan Al-Amin ini? Apa yang mereka buat pada anak-anak yang dihantar ke Al-Amin ini?

Sudah pastilah mereka yang menubuhkan, yang membina dan yang berusaha untuk menjadikan Pusat Pendidikan Islam Al-Amin ini realiti adalah orang-orang yang mencari redho Allah. Mereka tubuhkannya kerana ingin dapatkan Redho Tuhannya. Dan mereka tanamkan pada anak-anak yang dihantarkan ke Al-Amin ini adalah pendidikan-pendidikan untuk mendapat redho Illahi.

Kalau kita tersimpang jauh dari perkara-perkara ini, jom kita sama-sama kembali kepada asas kita sebagai umat Islam yang sedang menuntut ilmu, yang berkerja, atau apa pun amal kita..mencari Redho Allah. Berdoalah agar kita terus tabah melalui manusia-manusia yang menjadi cabaran kepada kita. Terus kekal dalam jalan yang serba mencabar.

Jika kita mahukan suasana bi'ah soleha, suasana Islam yang harmonis itu, maka tanamlah Islam itu dalam hati sanubari anda semua. Secara automatik, kita akan mengamalkan kemurnian Islam itu dalam kehidupan kita. Selepas itu, kita mengajak individu-individu lain juga untuk lakukan perkara sama, iaitu; cari Redho Allah dengan pengamalan Islam itu sendiri. Kalau semua orang dapat buat. Insya Allah. Sungguh Allah menjanjikan kemenangan pada Islam. Ketika itu kalian akan melihat ramai manusia berbondong-bondong memasuki Al-Amin ini yang mahukan pendidikan Islam ini. Maka, jangan kita lupa ketika itu untuk bertasbih, memuji lagi bersyukur akan nikmat yang Allah berikan. Dan mohon ampunan kepada Allah agar ketelanjuran kita yang terlepas pandang selama ini ada silapnya.

Walaupun arus kemodenan telah generasi hari ini rasai. Tak bermakna kita tidak dapat mulakan apa yang generasi awal lakukan sebelum ini. Kemodenan adalah alat untuk kita mencapai matlamat kita. Bahkan ia memudahkan kita dalam urusan kita nanti. Akhlak merudum atau tidak. Kita perlu melakukan sesuatu yang berkesan berpanjangan dengan komitmen bersama-sama dari segenap masyarakat kita hatta dia seorang pembantu makmal sekali pun. Ayuh bersama membina Islam dari diri sendiri dengan Tarbiyah dan Dakwah..!!!

Wednesday, June 17, 2009

Tight Face???

Tidak dapat digambar perasaan ini melihatkan muka-muka pelajar Al-Amin hari ini kebanyakkannya....ish..macam tertekan sahaja mereka ini. Kalau istilahnya yang dipopularkan dari kalangan para pelajar Al-Amin ini iaitu "muka ketat". Mana datang istilah ini? Mungkin dari bahasa Inggeris, iaitu "tight face".

Di mana-mana jumpa, semuanya macam bermuram-durja. Masam sahaja. Monyok memanjang. Sangat jarang hendak melihat muka-muka anak Al-Amin ini berseri-seri dengan senyum-senyuman mesra seperti Hari Raya. Kalau beri salam pun, macam tertekan nadanya.

Mengapa ini terjadi???????
Apa yang sudah berlaku????
Sudah hilangkah seri dari wajah-wajah mereka yang bersih ini????

Adakah kerana riak wajah mereka menggambarkan perasaan mereka yang baru sahaja mengetahui markah kertas peperiksaan Semester Satu????
Jika riak wajahnya begitu, adakah mereka tidak dapat mendapatkan markah yang terbaik sehingga seri wajah mereka hilang???

Bila melihatkan perbezaan wajah-wajah ini, teringat pula ada ayat al-Quran yang menyatakan tentang hal ini, iaitu di surah al-Qiyaamah ayat 20-25:

20. "Sekali-kali janganlah demikian. Sebenarnya kamu (hai manusia) mencintai kehidupan dunia,"
21. "dam meninggalkan (kehidupan) akhirat,"
22. "Wajah-wajah (orang-orang Mu'min) pada hari itu berseri-seri."
23. "Kepada Tuhannyalah mereka melihat,"
24. "Dan wajah-wajah (orang-orang kafir) pada hari itu muram,"
25. "mereka yakin bahawa akan ditimpakan kepadanya malapetaka yang amat dahsyat."

Wahai saudara pembaca sekalian, bukanlah saya maksudkan saya mengkafirkan sesiapa yang bermuram durja ini. Langsung saya tidak bermaksudkan sedemikian. Tetapi apa yang ingin saya bawa dalam penulisan kalini ialah, betapa ketika Hari Akhirat nanti Allah menampakkan keadaan manusia yang dapat dibezakan pada wajah-wajah mereka. Sedang saya hari ini pula, telah dinampakkan di wajah-wajah anak Al-Amin penuh jelas lagi terang perbezaan perasaan mereka.

Kerana itulah Allah mengingatkan agar jangan sekali-kali kita mencintai dunia ini. Kalau apa yang di dunia ini tidak dapat kita perolehi, kita akan rasa susah hati, gundah-gulana, maka dari hati terbitnya perasaan itu, tergambarlah di wajah manusia yang tidak lagi dapat dirahsiakan lagi. Itulah kehebatan hati manusia ini yang penuh dalam untuk diselami rahsianya. Lebih dalam lagi dari lautan yang dalam.

Bergembiralah wahai anak-anak Al-Amin!!
Tidak mungkin marah Peperiksaan Semester Satu dapat memberi kesan yang sangat mendalam. Gagal kali ini bukan bermaksud hari sudah Kiamat. Tapi kegagalan hari ini sebenarnya adalah kayu ukur untuk kita meningkat gemilang memperbaiki diri kita dan mutu kualiti keputusan peperiksaan kita. Masih ada masa lagi. Melainkan Allah sudah putuskan ketetapan yang pasti tentang kematian kita yang sangat hampir.

Jadi, jangan bermuram-durja lagi ya!!
Ayuh!! Senyumlah wahai anak Al-Amin. Hadapi segala mehnah ini dengan senyuman.
Pada senyuman itu ada ubat yang kuat. Itulah tanda ketabahan hati yang cekal.

Monday, June 15, 2009

Lagi berapa hari nak masuk Rejab ek???

Bila melihat kelendar Islam tadi, tiba-tiba terfikir sejenak dalam keadaan ingin bermuhasabah. Rupa-rupanya hari ini sudah 22 Jamadil Akhir 1430. Masa begitu cepat berlalu. Sememangnya sangat rugilah bagi semua manusia ini yang berlalu hari-harinya, tidak ada sebarang perubahan. Berlalu pula bulan demi bulan, juga tiada perubahan. Berlalu pula tahun demi tahun, masih tiada perubahan.

Kita termotivasi menghitung hari akan suatu peristiwa besar yang akan kita tempuhi contohnya bagi pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan besar seperti UPSR, PMR, SPM, STPM, STAM dan yang sama waktu dengannya, pasti sekarang ini sudah mula menghitung hari. Jika ditanya "Berapa hari lagi nak PMR?", pastinya ada yang dapat menjawab "116 hari lagi" (ntah betul atau tak).

Apa tujuannya menghitung hari untuk menghadapi peperiksaan besar ini? Menurut kebanyakkan pengamal motivasi pelajar sekolah, gunanya adalah sebagai persediaan kita untuk menghadapi peperiksaan tersebut dan mampu membahagikan masa sebaiknya agar persediaan para pelajar benar-benar mantap. Itulah dinamakan sebagai "Study smart".

Kalau orang yang sudah hampirnya masa untuk membina rumahtangga pula, macam-macam persiapan yang mesti dibuat untuk melancarkan majlis perkahwinan mereka. Nak kena confirmkan Tok Qadinya, siapkan mas kahwinnya, baju melayu nak kena gosok lagi dan macam-macam, seolah-olah nak pergi camping pula.

Itulah hakikat kehidupan yang mana setiap manusia pasti membuat persiapan secukupnya sebelum menghadapi sesuatu agar mereka dapat menghadapinya dengan mudah. Tapi kita terlupa pula untuk mempersiapkan diri untuk menghadapi bulan Ramadhan pula. Kita tahu di dalam bulan Ramadhan ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Alangkah baiknya dapat mengkhatamkan al-Quran di dalam bulan Ramadhan. Ada pula ibadah yang istimewa di mana hanya di dalam Ramadhan sahaja yang ada ibadah ini iaitu solat Tarawikh. Puasa memang wajib. Untuk apa pula?

Haaa..ramai yang apabila tiba bulan puasa ini, mengeluh kerana kepenatan dan tidak laratnya. Mengapa? Mungkin tak biasa untuk menghadapi puasa setiap hari walaupun hari Sabtu dan Ahad. Rasa susah pula nak khatamkan al-Quran dalam satu bulan. Rasa nak beli macam-macam pula di bazaar Ramadhan nanti. Kenapa hal itu terjadi? Mungkin kerana kita tidak bersedia untuk melalui semua itu.

Maka, kenapa tidak 2 bulan yang ada sebelum datangnya Ramadhan ini, kita bersiap-sedia perut kita, mata kita, lidah kita dan seluruh anggota badan kita untuk menghadapi bulan Ramadhan ini. Mulakan latihan perut dengan cuba puasa sunat agar kita biasa menghadapi puasa setiap hari dalam satu bulan. Mulalah berdiam dari segala gosip atau apa-apa perkara yang tidak bermanfaat mahupun mengumpat atau "membahan" orang. Mulalah kita membaca al-Quran dengan lebih kerap lagi agar tidaklah mudah mengantuk membaca al-Quran di bulan Ramadhan itu nanti.

Sedangkan Rasulullah s.a.w. pun sangat-sangat merindui Ramadhan sehinggakan di dalam Rejab dan Sya'ban itu pun Rasulullah s.a.w. perbanyakkan ibadah seolah-olah seperti baginda berada di dalam bulan Ramadhan. Ayoh sama-sama saling ingat-mengingati sesama kita untuk menyambut bulan Ramadhan yang dirindui ini.

Apabila kita beringat tentang bulan Ramadhan, apa yang sangat-sangat kita hendak rasainya nanti? Pasti ada yang katakan; "Mahu solat Tarawikh di Masjid UIAM, sebab ada Imam Maghribi". Ada pula yang akan kata "Nak iktikaf". Dan macam-macam kenangan Ramadhan dahulunya akan terimbau kemudian kita hendak perbaiki Ramadhan kali ini. Alangkah indahnya jika saya dapat menemui lagi Lailatul Qadr yang dijanjikan Allah itu. Pernahkan kita menemuinya?????? Tak terindukah anda untuk menemuinya???

Renung-renungkan dan selamat beramal.

Sunday, June 14, 2009

Jaulah ke Pusat Sains Negara

Alhamdulillah, Selasa minggu lepas, tiba-tiba terasa nak pergi Pusat Sains Negara sebab dah lama tak pergi ke sana. Kali terakhir pergi ke sana adalah ketika saya darjah 5 (kalau tak silap) iaitu awal tahun 1997 membuat lawatan sambil belajar di sana. Sebagai pemangkin semangat untuk belajar Sains dalam UPSR nanti.

Bila terfikir, takkan nak pergi seorang diri? Maka ajaklah beberapa orang dari tingkatan 5 ini, untuk pergi bersama berjaulah ke sana sambil belajar. Kira beri motivasi juga kepada mereka untuk SPM ni. Hehehe..ni bukan projek KKT5 ye..tapi projek sendiri.

Amin, Azizi, Faiz, Ijal, Leman, dan Aiman Hafidz bersemangat nak ikut sama, maka bermulalah perjalanan selepas bengkel fizik mereka di UIAM bergerak terus ke sana. Tapi singgah dulu di Masjid Wilayah Persekutuan di Jalan Duta. Bila ditanya "Siapa tak pernah pergi masjid ni?", ada juga yang mengaku tidak pernah solat di Masjid Biru ini. Mungkin tuahnya dapat merasai solat di sini. Macam ramai yang tak pernah solat di Masjid KLIA, akhirnya ramai juga pelajar Al-Amin dapat merasai nikmat di rumah Allah ini.


Selepas solat, terus pergi ke Pusat Sains Negara (PSN). Tapi tak yakin sangat nak memandu sebab tak tahu jalan, dah lama sangat tak pergi, dan banyak pula jalan-jalan baru yang muncul di ibukota ini. Jadi takut jaulah ini mungkin boleh tersesat pula. Hehe. Tapi mujur selepas solat dapat berjumpa dengan seorang budiman yang mesra. Dia menegur sapa kepada saya dan bertanya tentang kamera Olympus e520 saya. Saya pun berikan penerangan sedikit. Kemudian saya pula tanya kepadanya tentang jalan untuk ke PSN. Dia pun terangkan kepada saya. Alhamdulillah, sangat jelas penerangannya dan dapat kami ke PSN dengan jayanya lagi yakin. Hehe. Pengajaran yang dapat daripada peristiwa ini ialah "malu bertanya sesat jalan"

Akhirnya sampai di PSN tanpa tersesat, tetapi ada keraguan sedikit dalam memilih jalan. Sampai di pintu pagar PSN, kena beli tiket, seorang RM4. Kemudian mencari parkir sehinggalah ke hujung jalan, tak jumpa-jumpa, akhirnya parkir la di tempat bas. Nasib baik tak kena saman. Hehehe.
Sebelum masuk ke PSN, kami terjumpa dengan beberapa monumen saintifik serta penerangannya. Saya sangat terkesima lagi kagum dengan "Kubah Gema". Terbit dalam benak hati saya bertanya, bagaimana binaan ini boleh menggema dengan orang berada di tengah menepuk tangan atau menjerit, pasti akan menjadi gema? Saya teringat beberapa monumen Islam di era pemerintahan Moghul di India dan juga di Dewan Pementasan Rom di Mesir juga dapat membina bangunan yang dapat dikaitkan dengan bantuan saintifik seperti ini.

Apabila masuk, kami melalui terowong akuarium. Banyak ikan yang melintasi atas kami, rasa kagum pula. Boleh tengok pada gambar, siapa yang paling kagum tengok ikan? Sebab tak makan tengahari lagi, jadi bila tengok ikan, tiba-tiba lapar pula. Ikan besar-besar pulak tu.Hehehehe.. Kalau buat gulai tempoyak ni, mesti best. Teringat pula masakan tu di Lenggong.

Kemudian melalui hutan spastik (saya gelarkan). Pihak PSN cuba untuk menjadikan kehidupan hutan itu hidup di PSN. Antaranya mereka meletakkan penyu, harimau, landak dan pokok-pokok hutan. Tapi semuanya plastik. Sebab tu ia adalah hutan spastik. Penyu mata tersembol keluar, ada bola pingpong pula di situ, ada harimau yang di tepinya ada belon. Hahahaha!! Lucu betul. Ntah siapalah yang smash bola pingpong tu sehingga ada di PSN? Manusia cuba untuk membuat hidupan tapi mereka tak mampu. Walaupun betapa hebatnya teknologi manusia, tapi tetap tak dapat lawan ciptaan Allah.
Seterusnya, bermulalah perjalan kami meneroka alam Sains dan teknologi. Ha..ketika inilah dapat melihat siapa yang berjiwa kanak-kanak lagi. Hahaha. Seolah-olah kami sangat jakun melihat semua penerangan tentang sains dan juga pameran-pameran di sana. Sedangkan kami tahu tentang pembiakkan, perwarisan, elektrik, sel, kimia. bunyi, sistem takal, pembiasan cahaya, dan macam-macam. Tapi bila kami pergi ke pameran tersebut, seolah-olah ia memberikan penjelasan yang diluar "kotak" pemahaman kami. Hebat mereka dapat buat model-model yang boleh menambahkan kefahaman kami. Antara yang paling menarik penerangan tentang Gen X dan Y.


Amin yang menjadi Pengerusi MPP (Majlis Perwakilan Persatuan) yang juga Pengarah di peringkat pelajar untuk Program Ihtifal nanti, selalu sahaja cakap "Haa!! Idea ni boleh bawa ke Ihtifal ni". Kemudian saya menyampuk, "Tapi kena tulis jawi ar..hahaha".


Hampir ke semua bahan pameran yang ada di dewan itu, telah kami cuba. Mana yang elok, benar-benar dapat mengagumi kami, tapi mana bahan pameran yang rosak, benar-benar menghampakan kami. Saya pun terfikir, "Mungkin beginilah perasaan para pelajar jika eksperimen mereka tak menjadi". Tapi, penerokaan kami sangat menghiburkan, sehingga ada di antara kami, sangat-sangat terpesona untuk mencuba permainan-permainan yang disediakan. Bahan pameran kali ini, lebih banyak daripada saya datang dahulu. Jadi, kunjungan kali ini benar-benar mengimbau zaman muda-muda saya dahulu. Saya sangat bersyukur dapat pergi ke PSN ini. Saya dapat belajar banyak benda di sini.



Kemudian kami pergi ke tengah PSN. Ada banyak booth yang dibuka untuk kanak-kanak, tapi mereka ni pun tak ingin terlepas untuk mencubanya juga. Hahaha!! Tiba-tiba saya diminta oleh pihak penganjur PSN untuk membawa pelajar Al-Amin ini untuk turut serta program "workshop memasang robot". Saya pun setuju dan bawa mereka untuk program itu. Memang bertuah mereka, dapat belajar pasang robot dan membawa pulang robot tersebut secara percuma. Kalau harga pasaran, robot tersebut berharga lebih RM45. Robot apa yang mereka buat? Robot lalat. Apa robot tu boleh buat? Begetar je. Hahaha!! Satu lagi pengajaran yang kami dapat ambil iaitu; "kami tak dapat buat lalat kerana robot lalat ni pun susah nak buat, Subhanallah yang telah menciptakan lalat di dunia ini".


Kami teringat surah al-Hajj ayat 73:
"Wahai manusia, telah dibuat suatu perumpamaan. Maka dengarkanlah! Sesungguhnya segala yang kamu seru selain Allah tidak dapat menciptakan seekor lalat pun, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat merebutnya kembali dari lalat itu. Sama lemahnya yang menyembah dan yang disembah."


Kemudian kami pergi ke Zoo Robotik di tingkat atas. Ada yang nak jadi sumpah-sumpah, nak menyamar kat dinding, budget bole jadi macam naruto ar!! Hahaha!! Mereka buat binatang-binatang yang dirobotkan, tapi semua robot-robot binatang itu semua pergerakannya terbatas. Ada belalang robot, sotong robot, lalat robot (lalat lagi) dan apa ek? Tak ingat pula. Tapi yang menariknya, ada satu tempat pameran yang mencabar para pengunjung untuk menguji larian mereka, boleh mencabar larian cheetah, ataupun pelari atlit ataupun boleh menandingi ayam. Ayam? Macam-macam, macam-macam.


Kemudian kami pergi lagi pada tempat yang menerangkan perkembangan teknologi di dunia ini. Daripada komputer yang besarnya berpuluh-puluh kali ganda sehinggalah ke dunia kita yang dapat memudahkan penemuan teknologi dahulu. Hebat cara kronologi yang dipamerkan. Kemudian kami masuk pula ke pameran Future Techonology yang tak dapat kami jangkakan. Jangkaan mereka yang manusia boleh hidup di Bulan dan Marikh, kemudian manusia boleh hidup di angkasa, manusia boleh hidup di dasar lautan. Jenis makanan pada masa akan datang, pakaian masa akan datang pun ada. Macam orang Saiya je tengok sebab ada cermin mata sebelah jer. Di pameran tersebut, kami meringkaskan pembelajaran kami, kerana kami sudah mulai pening, Seolah-olah kepala ni dah tepu sangat melihat pameran teknologi yang ada. Macam melalui program ISK la pulak!! Sampai ada yang di antara kami mencadangkan, sepatutnya PSN kena buat Tamrin di sini, boleh kami bermalam di sini. Hahahaha!!


Akhirnya sampai juga di penghujung dewan pameran tersebut. Kami pun keluar hendak menuju ke tingkat bawah. Kami melalui jalan yang dipamerkan gambar-gambar penerima anugerah Nobel. Ramai sangat yang ada. Macam-macam nama ada, ada Air Hujan (Rainwater - penerima anugeran penemuan sains pada tahun 1975), Tutu - 1962, dan banyak lagi, termasuklah Yaseer Arafat dan Yizak Rabin yang dapat anugerah Nobel Keamanan pada tahun 1993. Hanya berjaya rundingan damai antara Palestin-Israel, mereka dapat anugerah? Waah!!


Kemudian saya terjumpa dewan pameran yang lama, terus pergi ke situ walaupun kepala tengah pening lagi. Ada sebab saya nak pergi ke situ, iaitu nak main "Pengurusan Empangan", "Aktiviti Arkeologi" dan "Tapak Gempa Bumi". Tapi bila sampai, semuanya rosak. Kenangan zaman kanak-kanak benar-benar terimbau apabila melalui tempat-tempat itu. Hehe..saya sampai berebut dengan Azizi nak cuba "Tapak Gempa Bumi". Tapi bila naik, tak bergerak apa pun seperti mana saya rasai ketika kanak-kanak dahulu di situ. Harap bunyi jer gempak. Mungkin berat badan saya tak mempengaruhi gempa bumi buatan manusia ini. Terus jadi bahan gelak la saya ni. Hahaha!! Tapi kami kembali bermuhasabah melihat gambar-gambar peringkat gempa bumi tersebut. Betapa dasyatnya azab Allah di dunia ini. Kerana itulah kami diajar agar jangan sekali-kali ingin merasai azab Allah tu macamana.


Akhirnya, kami membuat keputusan untuk pulang dengan segera, tapi sebelum tu, kita makan dulu!! Sebab pening kepala tak hilang lagi. Lepas makan, rasa segar la pulak. Maka ada diantara kami bercadang untuk beli cenderahati sebagai ingatan kami di PSN ini. Ada yang beli bumereng (tak tau eja), ada yang beli apa ntah, dan saya, beli cawan ada gambar PSN. Sebab cawan dulu ketika saya datang dapat percuma, dah pecah.


Seterusnya kami terus pulang dan saya menghantar mereka ke Al-Amin dan ke rumah mereka. Terima kasih kepada Duta-Ulu Kelang Expressway (DUKE) kerana telah mempercepatkan perjalanan kami dari Jalan Duta ke Gombak hanya 10minit sahaja. Mungkin kerana yang saya memandu laju agaknya? hehe..

Tapi ternyata perjalan kami memang menarik. Dapat keluarkan banyak 'ibrah (pengajaran) daripada jaulah kami. Membawa mereka berjalan-jalan, terasa macam bawa anak-anak kecil pula. Hahaha!! Melihat karenah masing-masing, memang lucu. Tapi saya tak pernah ada anak, macamana saya ada perasaan macam itu????

Sunday, June 7, 2009

Menghantar orang nak "Fly"...??

Alhamdulillah..satu lagi peristiwa yang sangat menyeronokkan saya serta yang mengikuti saya dalam perjalanan jauh di pagi Ahad ke KLIA. Bergerak dari Al-Amin pukul 8.45 pagi, tiba di KLIA pukul 9.50 pagi. Satu jam lima minit sahaja!!! Memang lancar jalan pada hari itu kerana tak banyak sangat kereta di pagi hari itu.

Setibanya kami di KLIA, cepat-cepat kami pergi tempat berlepas dalam negeri, nak cari Omar Abdul Rahmad bin Muhammad Abdullah. Sebab beliau akan berlepas pukul 10.10 pagi ke Kelantan bersama dengan ibubapanya untuk sambung belajar di Jaypetra. Hehe. Sempat juga bertemu dengannya, tapi tak lama sangat. Dapat la bergambar jap dengan Omar. Dah besar dah budak ni. Hehehe..

Mudah-mudahan beliau dapat yang terbaik di tempat baru sana. Ketika berjumpa dengan Omar, tak dapat borak panjang pun. Dapatlah melawak sedas dua dengan dia. Hehehe..
Kemudian, datang pula Rahman Roozali, Mushana, Maimin Shahriman ke KLIA. Tapi Omar dah berlepas. Kami pun pergilah makan sebentar di Taman Makanan (Food Garden) di tingkat bawah KLIA. Mahalnya makanan di sana!! Laksa Penang RM6.00!! Pergh!! Tapi kenyang jugak..Hahaha!!


Akhirnya amirularif tiba di KLIA, cepat-cepat kami naik ke atas untuk menghantarnya ke tempat berlepas. Bila bersua, borak-borak jap dan wajib ke atas kami melawak sedas dua sesama kami. Hehehe. Berjumpa juga dengan Pak Mad (En. Ahmad bin Che Mat = bapak mirol) dan berborak dengannya sebentar. Pak Mad cakap pada saya; "Dalam masa 18bulan ni, kami berebut siapa nak jumpa siapa nanti". Saya jawab; "Mesti pakcik yang jumpa Mirol nanti, pakcik pun nak bercuti gak kan?hehe.."

Kemudian tidak lama selepas itu, mereka juga perlu bertolak segera. Sempat juga kami bergambar sebentar. Tiba-tiba terkenang pula peristiwa menghantar Abdul Rahman bin Dashuki ke Mesir tahun lepas. Cuma kali ini, nak hantar orang tu takde la jauh sangat, tapi tetap pegi oversea jugak..hehe..Kami yang menghantar pun taklah ramai sangat. Kami doakan agar selamat anda di sana.

Kemudian kami pergi UIA Nilai, ikut jalan tak perlu bayar tol. Habis sesat tak tau kemana. Tiba-tiba jumpa USIM pula. Maka kami pun berdoa sebentar. Alhamdulillah dimudahkan Allah kami terjumpa papan tanda menunjukkan jalan ke Giant. Terjumpa dengan banyak Nuklear Silo di Nilai. Akhirnya jumpa juga UIA Nilai. Kami berjumpa dengan anak-anak Al-Amin yang belajar di sana. Tapi.........sorang jer yang ada. Kami mendengar rintihan pelajar-pelajar di sana serta permasalahan yang mereka hadapi. Insya Allah, tak lama lagi, akan tiba penyelamat yang akan membawa khabar gembira kepada mereka semua.
Sekian sahaja laporan perjalanan saya di hari minggu ini.

Saturday, June 6, 2009

Minggu paling banyak merantau????

Alhamdulillah, dapat juga diberi kesempatan untuk mengupdate blog setelah lama tidak menjenguknya dan juga telah sentiasa diperingatkan agar blog diperbaharui imannya kerana resam iman itu seperti lif, ada kalanya ia di atas, ada kalanya ia di bawah.

Sekali lagi ingin berkongsi pengalaman penatnya saya kali ini di minggu ini. Apabila minggu ini ramai orang berjumpa dengan saya di sekolah, ramai yang bertanya: "Eh?? Tak cuti ker?". Saya pasti akan memberi jawapan ini; "Ya, saya kan seorang Pembantu Makmal sahaja, bukannya seorang guru."

Tapi terubat hati bila ada beberapa ibubapa yang datang ke sekolah untuk membayar yuran, mereka masuk ke pejabat dengan satu sorakan yang menyedapkan hati kami yang bekerja di waktu para pelajar dan gurunya bercuti. Bunyi sorakan itu lebih kurang seperti ini; "Waaah!! Alhamdulillah saya dapat berjumpa dengan para pemurah!! Ketika orang lain bercuti, mereka ini bekerja!! Ya Allah!!".

Saya mula merantau sambil bertugas ketika membawa rombongan al-Amin ke Masjid KLIA pula pada 2-4 Jun 2009. Ada program realiti yang mampu mengegarkan dunia nanti. Inilah program yang dinanti-nantikan oleh ummah bagi melahirkan para murobbiyyun di dunia kini; Program Akademi Murobbi. Nantikan suatu transformasi pada para peserta kali ini. Tapi laporan penuh tentang program ini, tidak akan ditulis dalam penulisan blog saya kali ini. Nantikan perkongsian cerita program ini dalam slot "Review Akademi Murobbi". Paling menarik duduk bersama adik-adik peserta ini, dapat belajar buat pantun yang sangat menarik. Hahahahaha!!

Hari berikutnya pula, sambung kerja di sekolah, tapi tiba-tiba ada urusan rasmi di pejabat WAMY. Apa itu? boleh search terus pada internet ya. Hehe..Alhamdulillah dapat hadiah dan berborak dengan orang Arab Saudi. Seronok jugak lepak-lepak dengan orang Arab ni. Mereka cakap badan saya memang badan orang Arab yang ideal. Kalau pergi ke Arab, pasti ramai minah Arab cair. Fuh!!! Satu motivasi untuk mengekalkan bentuk badan sedia ada..Hahahaha!!

Hari berikutnya lagi, pergi ke Port Dickson pula dengan adik-adik F4 ni, Taqi, Syed Nabil & the geng. Mereka nak main Futsal di sana. Program "menghidupkan bola"?. Apalah Milo ni..lepas ni boleh buat buku "Ihya Karatul Qadami" (Menghidupkan Bola Sepak) menggantikan buku "Ihya 'Ulumuddin". Hahahaha!! Tapi memang sangat seronok dapat lihat kerenah mereka yang berbagai. Mandi laut, buat sampah, kacau budak, amik gambar pasir pantai. Hahahaha!! Teringat pula zaman "kecoh-kecoh" dulu. Terasa sangat seronok duduk dengan kawan-kawan. Tapi bila kawan-kawan dah tiada, pergi jauh, mulalah yang seronok dulu bersama dengan mereka hanyalah kenangan semata.

Dalam masa yang sama juga, saya pergi ke Majlis walimah kawan sekelas saya di Sekolah Menengah dahulu. Alhamdulillah, bertambah lagi keluarga Islam di Malaysia ini. Ramai kawan-kawan yang sebaya dengan saya dah berkahwin. Anda bila lagi? hehe..tu..erm..tunggulah sampai nampak tanda-tanda besarnya nanti. Hehehe..

Hari berikutnya, sekali lagi ke KLIA. Hehe. Aktiviti yang serba rahsia. Tapi, pergi KLIA lagi. Haritu Masjid KLIA, kini lapangan terbang itu sendiri yang menjadi tempat saya berkunjung ke sana nanti. Nak buat suprise kat orang di sana. Mungkin mengulangi lagi peristiwa menghantar "seseorang ke Mesir" dahulu. Hahahaha!!

Selepas itu, saya ada ke mana-mana lagi tak? Ntah lah.

Tapi bila fikir kembali, kenapa banyak sangat merantau, ayah selalu cakap; "Kalau banyak berjalan, nanti banyak tenaga digunakan, sama jugalah dengan kereta, minyaknya, tolnya". Boleh disimpulkan bahawa merantau dengan pengorbanan itu berkadar langsung dengan garis lurus. Hehehe..

Kita mampu kata "tak nak pergi-lah", tapi kita tak nyatakan. Kerana saya tahu, pasti setiap peristiwa itu ada pengajaran. Bahkan Allah pun suruh orang-orang beriman melata di seluruh pelusuk Bumi ini. Jadi, mengapa saya tidak mulakan dengan negara saya dahulu? Tapi bukankah Sarep dah pergi melata ke Indonesia dan Australia? Oh..hehe..ya betul. Mungkin kerana tahun ini tiada kesempatan untuk pergi ke seberang laut, maka cukuplah saya berjalan-jalan di Malaysia ni setakat ini. Hehe..