Monday, July 20, 2009

Pembantu Makmal dan Pokok

Setelah lama tidak menulis dan tidak pula berkesempatan untuk menulis sebentar di blog saya ini. Kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman yang hebat dengan warga Al-Amin.

Lawatan ke Taman Botani di Putrajaya, ya Allah.!!! Bukan lawatan tu, tapi berjogging. Hehehe..nasib baik saya sempat berniat untuk berjogging di Taman Botani tu. Luasnya taman tu. Memang seronok berjogging di sana rupanya. Sepanjang lawatan itu, asyik la tengok pokok, lepas tu tengok bunga, lepas tu tengok rumput, lepas tu tengok buah, lepas tu tengok pokok lagi, lepas tengok daun pula, lepas tu jumpa tasik, tengok la tasik tu dengan berlatar belakangkan rumah Perdana Menteri kita. Tiba-tiba ada peserta terjumpa ikan mati di tasik tersebut. Selepas itu berjalan lagi untuk melihat pokok-pokok yang agak pelik kerana ia adalah pokok-pokok di kawasan Afrika dan Amerika.

Saya sangat takjub kerana bagaimana mereka ini boleh menumbuhkan pokok yang bukan pada iklimnya. Kemudian saya terfikir lagi, sebenarnya tidak hairanlah kalau negara yang padang pasir pun boleh menghijaukan negara mereka. Inikan pula iklim seperti di Malaysia ini. Sehinggakan pokok seakan pokok kurma pun ada di taman Botani. Dasyat betul manusia ni menentang hukum alam ye.

Selepas jauh berjalan dan sangat penat kaki ini menempuh perjalanan yang dapat menemukan pokok-pokok ini, saya pun berehat sejenak merenggangkan kaki. Tiba-tiba saya terfikir sesuatu yang saya tidak pernah terfikir pun sebelum ini. Ada satu tempat di mana mereka menempatkan pokok-pokok yang sama jenis, tapi rupanya sangat berlainan. Contohnya pokok jenis palma, pokok pinang juga adalah dari keluarga pokok palma, begitu juga pokok kelapa sawit dan pokok kurma. Mereka ini ada ciri-ciri yang sama, tapi berbeza kelebihannya. Begitulah manusia diciptakan berbangsa-bangsa bermacam rupa dan bahasa. Untuk apa? Untuk manusia saling berkenalan kan?Dan itulah bukti kebesaran Allah yang mampu mengembangkan manusia ini daripada sepasang suami isteri, membiak-biak menjadi pelbagai bangsa. Lihat!! Hebat kan Allah? Memang Allah Maha Hebat. Begitu jugalah pokok-pokok ini, Allah ingin berikan kita kitar udara di dunia ini dengan menghijaukan bumi sebagai syarat terjadinya kitar fotosintesis agar manusia dapat terus hidup bernafas.

Mengapa Allah tidak jadi rumput sahaja atau pokok durian sahaja di Bumi ini? Kerana Allah ingin membuktikan kekuasaan-Nya dengan ada pokok-pokok yang pelbagai rupa ini dapat melengkapkan syarat fotosintesis, malah dapat juga kelebihan-kelebihan yang ada pada pokok tersebut sama ada pada buahnya atau pada kecantikan bunganya. Batang pokok juga sangat berguna pada manusia. Itulah kebesaran Allah yang menciptakan pokok-pokok yang bermacam-macam rupa dan jenis serta kelebihan-kelebihan yang berbagai-bagai itu adalah untuk manfaat manusia juga. Dunia kita sangat tidak bermakna jika tiada pokok-pokok ini. Ketika itulah saya terasa bahawa betapa besarnya nikmat pokok itu kepada manusia.

Memang bosan juga pada awalnya. Tapi apabila berjumpa dengan pokok-pokok yang tidak biasa dijumpai, memang sangat takjub melihatnya. Kemudian banyak lagi lah tempat yang kami kunjungi selepas itu dengan Kelab Pencinta Alam. Tapi perjalanan ini memang menarik. Dapat saya bergaul mesra dengan adik-adik tingkatan 1 & 2.

Jadi, perjalanan ini sebenarnya memang menarik sebab dapat juga hadiah daripada pihak penganjur. Terima kasih KaPenA!!!

Berkisar tentang pokok, baru-baru ini kita dikejutkan dengan tercabutnya pokok dari tempatnya. Rasanya pokok itu hampir seusia dengan sekolah kita ini. Itulah pokok kayu manis. Tiada siapa diantara generasi awal sekolah ini mengetahui siapa yang menanam pokok tersebut. Apabila saya melihat pokok itu telah tercabut, teringat kenangan saya terjatuh dari pokok tersebut kerana ingin menggantungkan bendera Malaysia di puncak pokok tersebut. Nasib baik ada senior kami yang mahir dalam bab memanjat pokok dan menyelesaikan tugasan patriotik yang diberikan oleh Abang Ridwan (kerani ketika itu). Pokok kayu manis dicabut sebagai memberi laluan untuk pembinaan bangunan baru.

Pokok pun tak kekal lama di tempatnya, apatah lagi kita ini manusia. Bila-bila masa sahaja boleh dicabut nyawa dari tempatnya. Orang-orang lama akan pergi untuk memberi peluang kepada orang-orang muda.

Selamat tinggal pokok kayu manis.

Wednesday, July 15, 2009

Kucing juga mendapat tempias manfaat Makmal Berkebajikan


Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan kehadiran pendatang baru yang menggemparkan Makmal kita. Ia berlaku pada awal persekolahan setelah cuti sekolah pertengahan semester baru ini. Kisah ini akan diceritakan sebentar sahaja lagi kerana kita lihat dulu kronologi perkembangan cerita ini. Hal yang menggemparkan ini adalah rentetan daripada peristiwa-peristiwa yang misteri sebelum ini. Iaitu seekor kucing betina berbulu hitam tiba-tiba ada di bumi Al-Amin ini pada penghujung tahun lepas. Persoalan yang terbit ialah dari mana kucing hitam ini datang? Adakah ia datang dari ufuk Timur???

Setelah beberapa purnama berlanjutan, kucing hitam yang entah mana datang ini tiba-tiba dikejutkan oleh ramai pihak kerana melihatkan kucing hitam tersebut tiba-tiba berubah bentuk fizikalnya. Ini kerana ia sudah kelihatan bunting. Bunting ialah keadaannya hampir sama seperti ibu mengandung tapi bagi binatang ia disebut bunting. Persoalan yang sekali lagi terbit ialah; siapakah yang membuntingkan kucing hitam ini? Sedangkan ia tidak pernah kelihatan disentuh oleh mana-mana kucing jantan pun di Al-Amin ini.

Kemudian sekali lagi kita dikejutkan satu peristiwa yang lebih menggemparkan apabila warga Al-Amin kembali semula selepas cuti pertengahan semester baru-baru ini. Kucing hitam ini telah selamat melahirkan anak-anaknya. Kucing hitam ini telah diberi nama oleh para pecinta kucing dari tingkatan 4 dengan nama; Tam Tam. Mungkinkah nama penuhnya Wong Tam Tam? Atau Khuttam Tamsiyyah??

Apa yang menariknya dalam kejutan ini ialah, Tam Tam ini memilih makmal sebagai tempai ia melahirkan anaknya. Lebih menjadi misteri ialah; bagaimana ia selamat melahirkan anak-anaknya sendirian? Inilah hebatnya fitrah semula jadi yang Allah jadikan pada makhluk-makhluknya untuk hidup mengingati-Nya di dunia ini. Maka apabila ia memilih makmal sebagai tempat perlindungan untuk anak-anaknya, terbuktilah bahawa makmal adalah tempat yang selamat serta dapat menjaga kebajikan keluarganya. Satu lagi bukti usaha sekolah untuk menjadikan makmal yang berkebajikan kepada semua. Bukan untuk warga Al-Amin sahaja, malah untuk kucing sekalipun.

Tam Tam telah melahirkan 4 ekor anaknya. Terdapat 3 ekor betina iaitu yang bewarna hitam, tompok-tompok coklat dan kelabu-putih. Seekor lagi yang bewarna hitam-kelabu adalah jantan. Ada seekor lagi anak kucing yang kecil bewarna coklat dengan keadaan matanya tertutup sebelah juga dibela oleh Tam Tam ini. Walau anak kucing ini mungkin bukan anaknya sendiri, tapi dia tetap membelanya juga. Telah sepakat untuk kami menamakan setiap anak kucing ini mengikut nama pegawai pejabat sekolah iaitu Rita, Yani, Salina, dan Sarep. Hahahaha!! Sekadar gurauan semata-mata. Maaf ya kepada yang terlibat.
Tapi kini, setelah 5 minggu kucing-kucing ini membesar di dalam makmal dengan suasana yang selamat, akhirnya kami putuskan untuk lepaskan kucing-kucing ini pergi ke dunia realiti yang lebih mencabar. Iaitu kehidupan di luar makmal. Maka dilepaskan mereka semua. Kecohlah warga Al-Amin melihat anak-anak kucing ini yang gemuk-gemuk dan comel, hasil manfaat manifesto Makmal Berkebajikan untuk Semua.

Oleh kerana tiada yang ingin mengambil mereka untuk membesarkan mereka, maka mereka dihantar ke Taman Keramat untuk tempuhi kehidupan yang lebih bermakna bagi kucing-kucing ini. Insya Allah.

Sunday, July 12, 2009

Alhamdulillah..dah 2...hehe


Alhamdulillah, tambah seorang lagi ahli keluarga pakcik Kassim. Sebenarnya dah dua minggu, orang baru ni tiba ke dalam keluarga kami. Tapi tak sempat nak post pula dalam entri kali ini. Mungkin baru dapat ambil gambar dengan si comel ni.

Namanya Mohd Irsyad....abang dia Mohd Irfan pula..

Secara ringkas untuk blog kali ini. Tapi saya dapat meneka soalan yang bakal saya terima kali ini dalam komen-komen yang akan anda bagi kepada saya iaitu:

1) Eh?!Dah ada anak??!! Siapa ibunya??
2)Tuan punya blog ni bila lagi???
3)Siapa besar sangat daripada budak-budak tu????hahaha..

Hehe..biar saya jawab soalan pertama dulu sebelum ramai orang asyik bertanya tentang soalan pertama. Anak-anak ini adalah anak saudara saya. Anak kepada abang saya. Nama penuh anak ini ialah Mohd Irsyad bin Mohd Sanusi bin Abu Kassim bin Ibon bin Kawi bin Midi. Generasi ke-6 dari keluarga kami.

Thursday, July 2, 2009

Kisah Cinta Mas Syarep

Pada suatu hari, tiba-tiba datang kepadaku seorang pemuda dari arah yang tidak diketahui, pemuda itu orang yang aku kenali, rambutnya hitam, pakaiannya kemas cuma dia agak keletihan. Dia bertanyakan kepadaku "Akhbirni 'anil hubb" (beritahu kepadaku tentang cinta).

Kataku kepadanya; "Cinta itu rezeki, andai seseorang telah didatangkan nikmat cinta kepadanya, maka dia juga peroleh rezeki itu. Tetapi aku tidak memaksudkan rezeki-rezeki yang lain juga adalah cinta. Dan cinta itu tidak pernah seorang pun di dunia ini memberikan tafsiran yang mampu memuaskan hati setiap insan. Masing-masing punya tafsirannya sendiri tentang cinta. Ada yang mengatakan cinta ini buta. Kerana cinta itu hadir tidak mengenal siapa. Ada pula yang mengatakan cinta itu umpama sambal belacan, baunya mungkin tidak menyenangkan, tapi bila dah merasai sambal tu terasa sangat sedap sampai mahu menambahnya lagi."

Pemuda itu bertanya:"Jadi, yang manakah definisi cinta yang lebih tepat?"
Kataku lagi;"Mungkin tidak dapat untuk aku berikan definisi yang tepat tapi mungkin aku dapat berikan tanda-tandanya."
Pemuda itu meminta lagi;"Khabarkan kepada aku tentang tanda-tandanya."
Aku berkata;"Apabila kamu sudah mula cenderung kepadanya,apabila kamu sudah mula ingin mengenalinya, kemudian kamu mula ingin mendekati dengannya, kemudian selepas berpisah sebentar dengannya, kamu akan mulai rindu padanya, kemudian kamu merasakan padanya itu adalah segala-galanya sehingga kamu sanggup lakukan apa sahaja deminya. Ketika itulah kamu akan mengisytiharkan cinta kamu itu. Bahkan kamu juga sanggup mati deminya. Maka itulah cinta tahap yang tertinggi padanya".

Pemuda itu bertanya pula:"Adakah kamu pernah bercinta?"
Jawabku:"Malah aku sedang bercinta pun"
Pemuda itu bertanya lagi:"Apakah perasaan kamu sekarang ini pada si dia?"
Aku menjawab lagi:"Sudah pasti ingin mati jika aku melepaskannya."
Pemuda itu bertanya:"Siapakah yang mampu membuatkan padamu sehingga kamu sanggup mati deminya?"

Aku tersenyum dengan soalan pemuda ini kerana sudah ku sangka pasti dia bertanya sedemikian. Aku meminta izin padanya untuk bercerita bagaimana aku mula jatuh cinta pada si dia itu sebelum aku menceritakan perihal yang dicintai aku itu. Maka dia bersetuju untuk mengambil masa mendengarkan kisah cintaku ini.

Aku memulakan kisahku:"Ketika aku masih kecil, aku benar-benar tidak menyedari tentang kehadirannya. Sedangkan aku selalu benar mengetahui tentangnya. Tetapi setiap kali aku menyedari tentangnya, aku seolah-olah tidak ambil kisah tentangnya. Sememangnya indah padanya, dihiasi nilai-nilai yang cantik padanya. Tapi seolah-olah aku menganggapnya tiada apa-apa. Sehinggalah peristiwa itu berlaku. Aku dikenalkan dirinya oleh seseorang yang rapat denganku. Rupa-rupanya, kawanku ini juga sangat kenal tentang dirinya."

Aku sambung lagi sambil tersenyum sebentar:"Ketika itu, aku mula cenderung padanya. Aku ingin lagi mengenalinya dengan selalu aku bertanya tentangnya pada kawan rapatku itu. Ketika itu aku rasa menyesal sebentar kerana selama ini aku selalu menghampirinya tetapi aku selalu tidak menghiraukannya. Kemudian aku mula ingin mendekati dengannya. Lama-kelamaan, dapat juga bersama dengannya. Rasa pilu dan rindu pasti akan terpancar jika aku berjauhan sebentar dengannya. Ouh rindunya, bukan kepalang, sentiasa berdoa agar aku tidak akan terlepas daripadanya. Aku juga mencari bagaimana cara-cara untuk aku melepaskan rinduku ini. Maka, selalulah aku berhubung sekurang-kurangnya, 5 kali sehari. Pagi, petang, siang dan malam, pasti aku cuba juga untuk menghubunginya."

Pemuda itu semakin takjub mendengar ceritaku ini. Malah mukanya berkerut ingin menanyakan sesuatu: "Waah!! Selalu contact, tapi tak pernah nampak pun. Dasyat juga cinta kamu ni, sedang saya tidak pernah nampak pun anda seolah-olah bercinta."

Aku menyambung lagi:"Sebenarnya, inilah cintaku. Tidak perlu menunjuk-nunjuk pada semua orang kerana nikmat cintaku itu, aku yang rasai. Kerana bagiku kini, dirinya adalah segala-galanya. Malah aku sanggup mati jika aku dipisahkan daripadanya. Andai aku masih dapat berkekalan dengannya, terasa hidupku ini penuh bermakna dan sangat teristimewa pada diriku ini. Aku tahu dia tidak pernah mengharapkan aku, tetapi akulah yang sangat-sangat bergantung harap padanya. Aku juga tahu bahawa orang lain mampu memilikinya, tapi aku sangat bersyukur kerana aku dapat bersamanya. Aku sungguh tidak menyangka dia tidak memilihku kerana paras rupaku yang tidak rupawan, tapi dia mengikat padaku kerana keikhlasanku. Andainya aku dipisahkan dengannya, samalah seperti aku berjalan tanpa jantungku yang berdegup."

Pemuda itu bertanya lagi:"Apakah perancangan kamu dengannya nanti?"
Aku menjawab:"Aku ingin bertemu dengan Tuhanku bersama-sama dengannya sebagai pembelaku dan kekal di kampung abadi dengannya dan juga orang-orang yang mengikutinya."
Pemuda itu semakin pelik lalu bertanya:"Maka siapakah dirinya itu sehingga kamu tetap membenarkan orang lain juga mengikutinya?"

Ketika itu, aku berdiri untuk membuka langkahku pergi menyambung kerjaku, lalu aku memandang pemuda itu dengan senyuman sambil menjawab:"Dia itu...adalah...dakwah. Ya..aku sedang bercinta dengan Dakwah".

Pemuda itu kebingungan melihat diriku menyorot langkah pergi darinya sambil berkata:"Bercinta dengan dakwah???Biar benar??". Pemuda itu menjerit kepadaku ketika aku sedang menyorot langkah:"Apa yang kamu dapat bila bercinta dengan Dakwah?"
Aku menjawab:"Kita tak nampak apa-apa pun..tak dapat apa-apa pun. Tapi segala janji Tuhanku dan Tuhanmu pasti akan berlaku." Pemuda itu bertanya lagi:"Apa kamu tidak bercinta dengan mana-mana manusiakah?". Jawabku dengan iringan secangkir senyuman:"Itu...erm...mungkin belum tiba masanya lagi..tapi insya Allah bila tiba masanya nanti sudah Allah takdirkan untuk temukanku dengan seseorang, maka tidak siapa pun dapat menangguh ketetapan Allah. Baiklah, jumpa lagi ya!! Assalamu'alaikum".

Sepoian angin menerbangkan dedaun yang berguguran melalui diantara pandangan mata kami. Banyak lagi daunan terus gugur mengiringi aku yang berlalu pergi dari perbualan itu. Aku memalingkan mukaku dengan seukir senyuman untuk terus memulakan langkahku dengan harapan agar pemuda itu memahami ceritaku itu. Cahaya mentari menyilaukan pandanganku sebentar, tapi aku tetap tersenyum dan meneruskan langkahku sehingga menjauh daripada pemuda itu.