Wednesday, November 4, 2009

Blog..Keperluan atau Sampingan???

Assalamu'alaikum.. Ya Allah, lamanya tidak memperbaharui bahan-bahan penulisan di dalam blog kali ini. Apabila ramai yang bertanya kepada saya;"Kenapa tak update blog?". Saya hanya mampu menjawab;"tak sempat, sibuk sedikit, feel tak datang lagi," dan sebagainya. Tiba-tiba ada yang memberi respon daripada jawapan saya itu tadi, kata mereka; "ahh!! itu semua alasan, tak ada idea la tuu, sengaja tak nak kongsi ilmu" dan sebagainya.

Ketika itu, saya berfikir sejenak sebab saya memiliki blog itu sendiri. Adakah blog ini adalah keperluan yang membuatkan timbul keharusan dalam memilikinya serta mengupdatenya? Atau ia cuma sekadar medan untuk menulis semata-mata, melahirkan idea-idea yang tersemat di kepala ini, dan sekadar mengisi masa lapang? Atau adakah blog ini dimiliki adalah kerana menjadi adat untuk mengikut trend masa kini, yang mana jika semua orang memiliki blog, maka dia juga mengikut trend untuk memiliki blog juga?

Seandainya blog ini diwujudkan adalah atas dasar keperluan, maka seharusnya seseorang itu hidup matinya, baring bangunnya, makan minumnya juga dengan blog. Sekiranya tidak berblog, boleh datang hukumnya dosa pada dirinya.

Tapi sekiranya itu sekadar sampingan, menjadikan blog ini sebagai alat untuk mencapai ahdaf atau sebarang objektif. Maka setiap kali ia digunakan sebagai alat untuk mencapai perkara yang baik, turunlah kepadanya satu imbuhan kebaikan baginya atas apa yang dilakukannya.

(pergh..ayat macam dalam kitab Bulughul Maram pulak..hehe)

Anda pula bagaimana???

Sunday, October 18, 2009

Kerusi yang Indah nian..hebat..lagi mengagumkan..

Satu lagi siri kerusi daripada meja makmal ini. Menarik untuk para pembaca meneruskan penelaah penulisan kali ini. Mungkin ramai sudah bosan dengan kisah kerusi ini, atau tidak ada masa lagi untuk mengunjungi blog ini, hanya kerana penulisan dewasa ini sudah mulai membosankan.

Manusia hari ini, tidak dapat dipisahkan dengan perkataan BOSAN. Apa yang tidak menarik baginya, sudah pasti dilabelkannya sebagai BOSAN. Apa sahaja pada hari ini tidak membosankan semua manusia? Manusia hari ini telah didekatkan dengan pelbagai perkara yang menarik lagi menghiburkan. Maka sudah pasti mereka mengenali erti dan perkara yang memBOSANkan. Walaupun ia bermanfaat, tapi tidak menghiburkan lagi tidak menarik, ia tetap dihukum sebagai MEMBOSANKAN.

Mungkin tidak semua yang mempunyai sikap pelabel BOSAN tersebut. Tetapi sememangnya, persepsi dan tanggapan orang itu, adalah terlalu tinggi terhadap sesuatu atau ia telah dilatih menjadi kebiasaan bagi dirinya untuk diselami dengan kehidupan yang senang, nian, lagi menarik. Maka ia bermula daripada tanggapan yang akan melahirkan pemilihan terhadap sesuatu. Iaitu sama ada ia memBOSANkan ataupun ia suatu perkara yang menarik.

Begitu juga suatu pandangan terhadap nilainya sebuah kerusi. Kalau kerusi itu berjenema, pasti ia dipandang tinggi lagi hebat. Seolah-olahnya, jika ia dapat dimiliki, pasti pemiliknya dilihat hebat. Sedang kerusi yang biasa, tiada apa baginya hanya melainkan untuk diletakkan di dalam stor. Kenapa ini terjadi? Sedangkan kedua-duanya memainkan peranan yang sama, juga memiliki ciri-ciri yang sama. Itulah hebatnya jenama. Kerana ia memberikan gah kepada sesuatu barang.

Semuanya mengharapkan dia mendapat sesuatu yang hebat. Tidak kiralah sama ada dalam masa yang singkat mahupun panjang. Ada yang mengharapkan keputusan peperiksaannya lebih baik. Ada pula mengharapkan agar dia suatu hari nanti mendapat pekerjaan yang akan memberikan gaji yang lumayan. Ada juga yang mengharapkan suatu hari nanti, tampuk kepimpinan negara adalah lebih baik di bawah pemerintahannya nanti. Bagaimana manusia boleh terus dibuai mimpi sebegitu sedang tiada bukti usaha yang membolehkan dia meraih kehebatan seperti itu?

Apabila ditanya kepada beberapa jenis orang tentang kerusi yang manakah hebat bagi mereka? Maka jika soalan ini ditanya pada seorang pelajar, akan ada jawapannya begini: "Sofa dirumah pada waktu persekolahan, depan tu ada TV pasang cerita G.I. Joe". Jika soalan ini ditanya kepada mereka yang bekerja di pejabat, maka jawapannya ialah: "Kerusi OGAWA yang boleh urut-urut tu, sambil dengar lagu sentimental". Jika ditanya pula soalan ini kepada ahli politik, pasti jawapannya ialah: "Kerusi di Parlimen laaah. Suatu hari nanti, kerusi Presiden itu akan saya tawan!!".

Setiap orang sudah memiliki penilaiannya terhadap sesuatu yang hebat. Kita mahu segalanya hebat. Tetapi bagaimana sesuatu yang hebat itu mahu diraih sedangkan perkara yang asas tidak kita garap sebaiknya. Seperti kerusi yang hebat. Kenapa ahli politik berebut-rebut mahukan kerusi di parlimen? Kenapa sesebuah kerusi itu berharga mahal? Kenapa kerusi malas mampu menidurkan orang yang menggunakannya? Kerusi-kerusi ini semuanya hebat belaka. Kerana asas sebuah kerusi itu ialah; ia boleh diduduki dan selesa bagi penggunanya. Itulah ciri asas bagi semua jenis kerusi yang ada di dunia. Kerusi di makmal mungkin agak kurang selesa, tapi pelajar tetap menggunakannya. Kenapa? Kerana meja di makmal lebih tinggi, dan ia sesuai untuk digunakan ketika menjalankan ujikaji. Walaupun ia tidak selesa, tetapi ia bermanfaat bukan?

Kalau kerusi itu hanya memiliki kakinya sahaja, tiada tempat duduk. Siapa yang mahu duduk di atasnya? Kalau kerusi itu hanya ada tempat duduk sahaja, tiada kakinya. Siapa pula mahu menggunakannya? Kehilangan perkara penting bagi sesuatu termasuklah bagi kerusi ini, adalah suatu kerugian yang sangat besar.

Bagaimana kita mahu melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi, yang hebat, lagi mengagumkan, sedangkan perkara yang asas tidak diperlihara. Iaitu jati diri. Akhlak dan keperibadian modal insan itu sendiri. Bagaimana kita bercita-cita tinggi untuk melahirkan pemimpin-pemimpin yang hebat suatu hari nanti dari kalangan pelajar kita, jika penampilan mereka pun tidak kita titik-beratkan. Bagaimana kita mahu melahirkan pelajar kita profesional yang berjaya, sedangkan kasut yang ditinggalkan di luar kelas pun, atau di luar surau pun, tidak disusun dengan kemas?

Mungkin benarlah pepatah ada berbunyi: "Hajat menjamu tamu, tapi beras segenggam pun tiada". Kata pepatah lagi: "Sepakat membawa berkat". Buktinya sehingga rumah pun dapat diangkat oleh ramai orang yang mengangkatnya. Kapal perang pun mampu diangkat orang ramai yang bersepakat ini. Kenapa mereka mampu angkat? Kerana mereka rela untuk mengangkat dan menolong sesama mereka. Makanya, mereka pun memperoleh manfaat bersama-sama. Kita melihat di dalam sejarah bahawa terdapat sekumpulan manusia mampu mengangkat kapal perang melintasi banjaran yang panjang, lalu kita mengatakan mereka ini hebat. Kita ingin jadi seperti mereka. Tapi, cukupkah akhlak kita mencontohi mereka?

Al-Quran telah memujuk manusia yang mahu menjadi hebat iaitu pada surah ar-Ra'd ayat 11:
"..Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.." [ar-Ra'd:11]

Bermulalah dengan diri sendiri, membentuk kepada yang lebih baik, dan memeliharanya selama-lamanya. Mampukah kita? Kerana itu kita perlukan ini bersama-sama. Bersama mengubah remaja kita ini kepada yang lebih baik dengan bermula pada diri kita. Seterusnya adalah urusan Allah berkenaan dengan ketetapannya.

Sunday, October 11, 2009

Kerusi tetap Kerusi...

Sekali lagi, kisah sebuah kerusi menjadi bacaan para pembaca sekalian sebagai anjakan buah fikiran kita dalam mematangkan lagi seni berfikiran kita suatu masa nanti, insya Allah. Jasa kerusi ini kepada manusia, adalah sangat hampir dalam kehidupan kita. Hampir 70% kehidupan kita, pasti diisi ruangan hidup kita dengan kerusi. Betul atau tidak, sejarah juga membuktikan bahawa jasa kerusi adalah tiada tandingannya dalam membentuk sejarah manusia.

Cuma, kita selalu sahaja melupakannya. Kerana bagi kita, kerusi tetap sebuah kerusi. Tidak lebih dari itu. Biarpun namanya diberikan sebagai sofa, atau kerusi makan, atau seat di dalam kereta, atau bangku, atau kerusi batu, ia tetap kerusi kerana fungsinya adalah sama cuma ada kelebihan tersendiri.

Hari ini, seorang Perdana Menteri mahupun Presiden sesebuah negara dapat memerintah, kerana dia mempunyai kerusi di pejabatnya.

Hari ini, angkasawan dapat sampai ke angkasa lepas dengan roket mereka, kerana mereka duduk pada kerusi untuk perjalanan mereka yang mencabar melawan graviti.

Hari ini, seorang guru yang berjasa mengajar tidak kenal penat lelahnya, terus berjasa mencetak bangsanya, adalah kerana mereka juga mempunyai kerusi di bilik guru untuk dia meneruskan bakti.

Bayangkan jika semua orang-orang yang hebat ini tidak memiliki kerusi? Bagaimana seorang Perdana Menteri atau Presiden ingin membaca laporan serta menguruskan pentadbiran di pejabatnya hanya dengan berdiri? Atau mungkin mereka membuatnya sambil meniarap? Bagaimana pula para angkasawan itu berada di dalam roket yang sedang melaju tinggi melawan tarikan graviti tanpa duduk di kerusi khas? Adakah mereka berdiri seperti di dalam bas awam? Bayangkan penatnya guru jika mereka tidak dapat duduk sebentar untuk berehat jika tiada kerusi? Mungkin mereka terus jatuh terbaring kerana keletihan yang mereka alami.

Walaubagaimanapun, tetap ada juga yang melangkaui batas pada kerusi ini. Ia tidak menjadikan kerusi itu berfungsi pada tempatnya. Ada yang membuatkan kerusi itu sebagai perhiasan di muzium, ada juga yang menjadikan kerusi itu sebagai tempat memasak, dengan membakarnya untuk memasak lemang. Ada juga yang menjadikan kerusi ini sebagai tempat melepaskan geram dengan menyepaknya sehingga lumat. Ada juga yang menjadikan kerusi sebagai "surat cinta" di dalam kelas. Kerana kerusi hanya dipandang sebelah mata, maka, inilah jadinya. Seperti tiada nilai dan harga diperlakukan mereka yang tidak sedar apatah lagi yang celik akan keperluannya.

Walau di mana sahaja kerusi itu berada dan berfungsi, mereka tetap adalah kerusi. Kerusi yang hidup adalah apabila ia digunakan sebaiknya. Kerusi yang dinikmati akan kehadirannya. Kerusi yang diberikan kepada yang memerlukannya untuk menggunakannya. Kerusi yang tidak hidup itu pula adalah kerusi yang terus disimpan sehingga habuk debu meliputi dirinya. Kerusi yang dibiarkan ia bersama dengan kerusi yang rosak. Kerusi yang diberikan kepada mereka yang memandang dengan sebelah mata sahaja.

Begitu jugalah manusia; manusia tetap adalah manusia. Walaumacamana hebat pun, manusia tetap berasal yang sama. Iaitu dari setitis air mani dan bersenyawa di dalam rahim ibu lalu ia keluar melaluinya menjadi manusia. Manusia tetap manusia, walaupun ia berbeza warna kulit, kaum, bahasa, bangsa, dan agama. Walaupun manusia itu bergelar Presiden, Perdana Menteri, Angkasawan, Guru dan sebagainya; mereka adalah manusia.

Manusia yang hidup adalah manusia memainkan peranannya tercipta di muka Bumi ini oleh Sang Pencipta. Sebagai hamba-Nya dan wakil-Nya mentadbir alam sekelilingnya ini. Manusia yang hidup adalah manusia yang diisi dengan kekuatan-kekuatan yang seimbang baik jasmani, emosi, rohani, akalnya. Manusia yang hidup adalah mereka yang bersedia menempuh pengakhirannya dan liku-liku sebelum ia berakhir dalam kehidupannya. Kerana mereka sudah mengetahui apa yang menunggu di pengakhiran itu sedangkan yang masih belum celik, sangat takut untuk sampai ke detik ini. Mengapa ini terjadi?

Mengapa masih ada manusia yang tidak nampak "fungsi"nya? Ke mana jiwanya pergi menghanyut diri di dunia ini? Apakah mereka rela meletakkan diri mereka bukan pada tempatnya seperti kerusi yang menjadi bahan bakan untuk lemang?

Sedangkan Bilal pernah mengingatkan Abu Sufyan bahawa mereka (golongan hamba dahulunya) dimuliakan adalah kerana Islam. Islam itulah yang memuliakan bagi sesiapa yang bersama dengannya. Mencelikkan manusia kepada Pencipta mereka, mengenalkan fungsi hidup mereka ada di dunia ini.

Khalid al-Walid juga pernah berkata ketika beliau berjaya mengalahkan Rustam, panglima Parsi dalam perang al-Qardisiyyah; "Gajah-gajah kalian (milik tentera Parsi) ini mungkin dapat menggentarkan tentera Rom, tetapi tidak pada kami, kerana yang lebih kami gentarkan adalah kekaburan kekayaan di hadapan mata kami dan hilangnya Islam dari dada-dada kami kerana kami mengejarkannya (harta-harta itu)."

"Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." [al-Hujuraat 49: 13]

Manusia tetap manusia, tetapi jadilah manusia yang paling berkualiti dan berfungsi. Biar di akhir kehidupan kita nanti, tiada penyesalan bahkan berbangga menemui Pencipta kita nanti dan memberitahu bahawa kita melaksanakan tujuan penciptaan kita ini. Para sahabat radhiyallahu 'anhum mengenal Islam adalah hasil dari dakwah Nabi Muhammad s.a.w., dan disambung pula oleh generasi sahabat dan generasi selepasnya juga. Sehinggalah kita juga mendapat manfaat mengenali Islam pada hari ini.

Apa lagi...

Jom kita beritahu yang lain!!!!

Thursday, October 8, 2009

Apa nak dibuat pada kerusi yang rosak???

Ada suatu kisah hidup yang panjang tentang kehidupan kerusi di sebuah makmal yang agak usang. Mungkin agak lucu, tiba-tiba sahaja, karangan tahap darjah 3 keluar pula dalam blog ini sebagai bacaan para pembaca. Inilah kisah "Aku sebuah kerusi".

Sudah lebih 17 tahun si kerusi ini masih berdiri utuh di dalam makmal. Terus berkhidmat dalam tempoh masa yang lama menanggung bebanan menjadi tempat duduk pada para manusia yang menggunakannya. Tapi, si kerusi ini tidak pernah merungut apatah lagi merintih akan bebanan yang ditanggung selama ini. Andaikata si kerusi ini mengaduh, pasti sekali si pembantu makmal akan terkejut ketakutan mendengarnya.


Hari demi hari, bulan demi bulan, tahun demi tahun, pelajar silih berganti menggunakan kerusi sebagai tempat duduk untuk mereka menuntu ilmu. Bangga si kerusi ini kerana dapat membantu para pelajar melakukan tugas yang semurni ini iaitu menuntut ilmu. Si kerusi ini menyaksikan berbagai ragam para pelajar di dalam makmal itu. Ada yang berdiri di atas kerusi, ada yang mencangkung di atas kerusi, ada juga yang membaling-baling si kerusi ini.


Zaman silih berganti, kulit si kerusi yang terdiri daripada kayu, sudah mula rapuh. Besinya sebagai kaki juga, tidak dapat berdiri dengan tegak lagi, sudah karat ditelan zaman. Skru yang menjadi sendinya juga, sudah tertanggal-tanggal. Si kerusi juga menyaksikan ramai kawan-kawannya yang lain juga terkorban menjadi mangsa kekejaman si rakus yang merosakkan harta benda awam. Satu per satu diangkat keluar untuk dibuang kerana telah rosak teruk. Mana yang rosak, seboleh mungkin untuk diperbaiki, tetapi mana yang rosak teruk, terpaksa dibuang.


Si Kerusi ini juga menyaksikan datangnya kawannya yang baru dengan rupa yang lebih moden dan lebih fleksibel menggantikan tempat kawan-kawan yang terkorban. Si Kerusi tahu, memang fitrah hidup di dunia ini, setiap yang hidup pasti akan mati, kemudian generasi barulah yang akan menggantikannya. Si Kerusi mula resah dengan keadaan ini. Dia tahu, lama kelamaan, dia juga akan menyusul kawan-kawannya yang telah pergi.



Inilah kisah..si kerusi yang berjasa..tapi kian dilupakan..


Apa yang perlu dibuat pada kerusi yang rosak ini????
Merosakkanya lagi???
atau, Memuliharanya????


Setelah membuat kaji selidik, saya sebagai seorang pembantu makmal, telah berjaya membuat rumusan bahawa terdapat 3 cadangan yang akan diberikan jawapan kepada persoalan seperti ini.

Pendapat pertama, buangnya terus dan gantikan dengan yang baru dan yang lebih baik. Cadangan ini dikemukan dengan sandaran yang agak kukuh, iaitu; lebih baik gantikan yang lebih elok kerana barang lama ini, bila-bila masa boleh rosak terus dan mungkin jadi lebih bahaya. Buangkan terus. Insya Allah barang yang baik pula akan menggantikannya.


Pendapat kedua pula, puliharanya menjadi lebih baik. Mereka yang berpendapatan seperti ini, mengatakan; selagi boleh digunakan lagi, selagi boleh diperbaiki, selagi boleh dijaga lagi, apa salahnya untuk membaikinya dan digunakan lagi.

Pendapat ketiga pula, alang-alang sudah rosak seperti ini, biar kami rosakkannya lagi serosak-rosaknya!! Alasannya; benda dah rosak, maka ia patut berada dikalangan yang rosak dan kami suka merosakkanya. Merosakkan sangat seronok!!! Tiada siapa yang dapat menghalang kami!!

Maka para pembaca yang bijak, saya ingin mengajak anda semua berfikir. Ini baru tentang kerosakkan pada kerusi yang hakikatnya memang ia menjadi sebegitu rosak kerana ia hasil daripada tangan-tangan orang yang tak bertanggungjawab.

Bagaimana pula dengan kerosakkan akhlak?

Berita dewasa ini melaporkan tentang ada calon PMR membakar dewan peperiksaan. Mengapa ini boleh terjadi? Apa pula pendapat kita hendak dilakukan kepada pelajar ini? Sama ada pendapat yang pertama atau kedua atau ketiga? Siapa pula yang bertanggungjawab ke atas fenomena kerosakkan akhlak yang semakin meningkat ini?

Kerusi mempunyai nilainya yang boleh dibeli dengan wang ringgit. Tapi, akhlak remaja.....mampukah ia dibeli????? Pelaburan yang macamana harus dilakukan untuk memulihara akhlak yang kian rosak ini???? Atau biarkan saja mereka rosak bersama dengan golongan seperti mereka????

Fikir-fikirkanlah...dan tanganilah ia dengan segera..ini adalah tanggungjawab kita bersama. Sepertimana kita bertanggungjawab menjaga harta benda awam, kenapa pula kita tidak merasa tanggungjawab yang tinggi pada syakhsiyah remaja hari ini.?

Sunday, October 4, 2009

Aku, Mereka, dan Ramadhan...

Sedar atau tidak, Ramadhan sudah lama pergi. Sekarang pula, kita sudah berada di pertengahan Syawal. Tapi, entah mengapa tiba-tiba kenangan di dalam bulan Ramadhan mula terbit satu persatu di dalam mindaku ini. Seolah-olah dapat mengimbas satu per satu mengikut hari setiap kenangan itu mengimbau. Setiap kali teringat, pasti terukir senyumanku mengenangkan imbauan itu.

Apa yang menarik sangat?

Bila difikirkan kembali, Ramadhanku kali ini, lebih banyak masaku adalah bersama-sama dengan para remaja, terutamanya murid-muridku. Gelagat mereka bersama-sama denganku melalui Ramadhan ini, membuatkan suasana Ramadhan kami lebih meriah. Mungkin itulah yang membuatkan kenangan-kenangan yang bila dikenang, menjadi sangat menarik bila diimbau semula.

Daripada peristiwa berbuka bersama-sama mereka, solat Tarawikh bersama-sama mereka, i'tikaf bersama-sama mereka, bangun pagi untuk solat Tahajjud bersama-sama mereka, sahur bersama-sama mereka dan banyak lagi. Kenangan seperti ini, tidak pernah dirasai di mana-mana Ramadhanku sebelum ini. Aku sungguh bersyukur kerana telah diberikan peluang oleh Allah Taala kerana dapat menikmati peluang-peluang seperti ini bersama dengan mereka. Mungkin Allah lebih mengetahui akan segala ketentuan-Nya. Mungkin kerana hubungan antara aku dengan anak-anak muridku ini kurang rapat, mungkin Allah takdirkan kepada ku Ramadhan seperti ini.

Bagaimana aku tidak tergelak seorang diri, ketika mengenangkan aku bersama mereka mencari dan memburu Malam al-Qadr, terjumpa pula kucing sedang bersedekap di surau menghadap arah kiblat. Terus mereka dakwa ini mungkin tanda Malam al-Qadr.

Bagaimana aku tidak tersenyum seorang diri, ketika mengenangkan aku bersama dengan yang didikanku dari Mesir, merantau jauh ke Putrajaya semata-mata untuk berbuka puasa bersama Muallaf, singgah pula solat di Masjid Besi. Masih teringat aku dengannya solat di sana, dengan suasananya yang sangat nyaman ditiup udara tasik Putrajaya, terasa lebih tenang menikmati alunan bacaan imam yang didatangkan khas dari Syria iaitu Imam al-Mu'tasim.

Bagaimana aku tidak tersenggih, ketika mengenangkan 2 orang adik juniorku yang baru balik dari Mesir dan Jordan mencariku dan bertemu denganku, di Restoran makanan Arab. Sambil berbincang melepaskan rindu kepada mereka.

Bagaimana aku tidak tersenyum, ketika aku mendapat sekumpulan remaja di kawasan perumahanku, ingin belajar membaca al-Quran kepadaku. Maka aku mengetuai kumpulan mereka untuk bertaddarus dengan mereka. Alhamdulillah, dalam masa 24 hari di dalam bulan Ramadhan, ternampak jelas peningkatan mereka dalam bacaan al-Quran. Daripada tak reti baca al-Quran, kemudian baca merangkak-rangkak, dan akhirnya; semakin lancar dan bertajwid dalam membaca al-Quran. Siapa tidak sejuk hatinya melihatkan peristiwa seperti ini.

Bagaimana aku tidak tersenyum, ketika aku mengenangkan beri'tikaf di Masjid al-Waqtain di Al-Amin bersama-sama dengan didikanku berturut-turut. Sehingga kami berpakat sesama kami, untuk meneruskan i'tikaf walaupun pada hari minggu. Aku sungguh terharu mengenangkan mereka memasak sendiri untuk kami bersahur. Makanannya juga istimewa kerana mereka masak meggi yang berkhasiat, yang mempunyai iodine, vitamin D dan E. Mengenangkan peristiwa itu, seolah-olah kelihatan sesama mereka sedang berlumba-lumba untuk mengerjakan ibadah mereka.

Aku juga berasa bangga ketika mengenangkan, ada di antara mereka yang sedang menduduki Peperiksaan Percubaan SPM, sanggup juga untuk menyertai i'tikaf di Masjid al-Waqtain berbanding Masjid UIA bersama-sama kami. Dia juga tidak ketinggalan untuk belajar di dalam i'tikafnya sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan esoknya.

Pada tahun lepas, ramai pelajar Al-Amin beri'tikaf di Masjid UIA kerana ingin merasakan ruh menghidupkan malam. Tapi kini, mereka pula menghidupkan Masjid al-Waqtain ini mengharapkan ia tidak lagi menjadi Waqtain (dua waktu).

Aku juga teringat ketika aku bersama dengan mereka ini, merantau ke Rawang untuk menghantar salah seorang daripada didikanku ke rumahnya di tengah malam selepas habis program iftar bersama dengan saudara-saudara dari IPT. Walaupun mengantuk dalam perjalanan, tapi seronok kerana dapat bersama dengan mereka.

Seronok juga mengenangkan semua dokumen-dokumen di dalam komputer ribaku ini, hilang semuanya. Segala data-data penting yang telah dikumpulkan selama 3 tahun, hilang begitu sahaja tanpa sebab yang pasti. Tapi aku ditenangkan oleh alunan al-Quran didikanku sekali lagi. Senyuman mereka juga menambahkan lagi kelembutan hatiku yang sedang lara tadi.

Aku terasa..Ramadhan kali ini, penuh kenangan manis bersama dengan mereka. Tetapi seingatku, Ramadhan yang sebelum-sebelum ini juga penuh dengan kenangan manis. Mungkin Ramadhan tahun ini begitu manis, kerana kehangatannya masih tidak hilang lagi ditelan zaman. Ia terus segar dalam ingatanku. Terima kasih semua.

Wednesday, September 23, 2009

Raya oh raya..

Alhamdulillah..selamat juga kita berhari raya pada tahun ini. Selamat juga kita melalui sebulan berpuasa tanpa kecelakaan yang menimpa kita. Tasbih dan tahmid kita laungkan sebagai tanda membesarkan Tuhan Pemilik Alam Semesta ini. Masih lagi memberikan peluang kepada kita untuk terus menikmati hari demi hari lagi agar kita terus mengabdikan diri kita kepada-Nya.

Bermacam peristiwa raya yang pasti dapat dikenang oleh semua orang. Pasti setiap orang ada kenangan masing-masing. Sama ada kenangan manis maupun kenangan pahit. Jadi biarkanlah setiap kenangan kita itu akan menjadi tauladan kepada sesiapa yang selalu bermuhasabah dirinya, menghitung nilai dirinya, dan mencari-cari formula yang terbaik untuk dirinya agar mencapai kejayaan yang besar.

Mungkin ada sesetengah orang daripada kita yang terpaksa beraya dengan buku, mungkin juga ada yang tidak dapat beraya langsung. Tapi raya ini benar-benar mengajarkan kepada kita betapa perlunya manusia untuk kembali kepada fitrah. Manusia memiliki keperluan untuk kembali kepada fitrah. Mereka tidak boleh membuat sempadan yang besar kepada abnormaliti daripada fitrah.

Contoh hadith tentang ada 3 orang yang bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dan mereka menyatakan bahawa si A ini, dia mahu terus berpuasa dan tidak mahu berbuka untuk makan. Si B pula tidak mahu tidur dan terus beribadah. Manakala si C pula tidak mahu kahwin dan terus duduk di masjid untuk beribadah. Kemudian Rasulullah s.a.w. menegur bahawa Nabi s.a.w. adalah manusia yang lebih baik dari semuanya. Tapi Nabi s.a.w. tetap makan selepas berpuasa, tetap tidur kemudian qiam, tetap berkahwin dan bergaul dengan semua orang. Jadi mengapa pula mereka berbuat demikian???

Sudah sunnatullah bahawa manusia sememangnya perlukan semua itu. Perlukan kehidupan yang normal seperti orang biasa lain. Tapi Syariat Islam telah mengajarkan kita tentang kehidupan yang lebih baik. Telah menjelaskan sempadan perilaku manusia menjalani kehidupan mereka yang lebih baik. Kerana itu ada batas-batas yang perlu dijaga agar kita terus hidup dengan selamat dan baik di bawah redho-Nya. Maka, kita merayakan kehidupan Islam kita seperti hari-hari yang lain selepas sebulan kita belajar untuk menundukkan nafsu kita seterusnya kita dapat belajar untuk menundukkan syaitan yang sedang berkeliaran pula.

Cuma yang luar biasanya ialah, ketika hari raya ini, pengambilan makanan kita adalah di luar kebiasaan kita seperti hari-hari biasa kita yang lain. Pada hari raya inilah, hari yang paling kita banyak mengambil makanan-makanan yang terhidang. Bukti betapa amannya Malaysia. Di mana-mana pun ada makanan, dan kita boleh mengambil apa-apa makanan pun walaupun langit dihujani bunyi dentuman mercun yang silih berganti. Bermacam-macam juadah dapat dijumpai di setiap rumah. Bahkan hiburan untuk memeriahkan hari raya ini juga, lebih rancak daripada hari-hari biasa yang lain. Bayangkan, di radio era.fm sahaja, dapat menghimpunkan 30 lagu baru hanya untuk raya sahaja. Betapa aktifnya artis kita untuk menghasilkan lagu agar raya pada tahun ini lebih meriah daripada tahun yang sebelumnya. Tapi tidak pula cuba untuk menghasilkan lagu untuk bulan Ramadhan ya?

Pengalaman saya di hari raya memang banyak sekali, tapi tak tahu bagaimana untuk berkongsi dengan para pembaca. Takut anda tak faham dengan cerita saya ini. Saya dapat melihat suatu perbezaan dengan raya tahun-tahun yang sebelum ini ialah; peralihan masa. Saya teringatkan lagi ketika saya masih muda menyambut raya dahulu. Apa yang saya lalui dahulu, pasti tidak dapat dilalui oleh saya sekarang ini. Dahulu beraya dengan sepupu mencari duit raya, sekarang ini, saya pula yang kena beri duit raya. Dahulu anak-anak sepupu kecil-kecil sahaja, sekarang dah besar panjang mereka itu. Dahulu bila balik kampung, ayah yang memandu, kemudian bergilir dengan abang, kini, saya pula yang pandu terus ke kampung. Mana taknya, abang dah berkahwin, kena raya kampung isteri, pandu kereta sendiri, ayah pula dah tak larat nak bawa kereta jauh-jauh.

Lebih memeranjatkan saya lagi pada raya kali ini, ramai kawan-kawan sebaya saya yang akan melangsungkan perkahwinan, malah ada yang lebih muda dari saya juga akan ke gerbang perkahwinan. Tapi apa yang nak diterperanjatkan. Itukan jodoh mereka. Cuma yang saya sangat terperanjat dalam raya tahun ini ialah ada dua perkara.

Pertama, Allah telah menyelematkan saya di hari raya ini daripada bencana kegemukkan. Kerana, saya telah menderita sakit perut berciri-birit semenjak Ramadhan ke-27 sehinggalah Raya ke-3. Maka usaha saya untuk cuba mengurangkan berat badan pada bulan Ramadhan boleh dikatakan berjaya. Dan ia terus bertahan sehingga ke Hari Raya ini. Ketika awal Ramadhan saya menimbang berat badan saya, 128kg. Kemudian, tadi, pada pagi raya ke-5, saya menimbang berat badan saya, 112kg. Penurunan sebanyak 16kg!!! Suatu perkara yang sangat memeranjatkan. Tapi, orang lain yang melihat saya tetap kata saya ni bertambah besar, semakin besar, membesar, berbesar, dan segala yang kena-ngena dengan besar itu adalah saya. Tak mengapalah, saya lebih tahu perasaan saya ini.

Perkara kedua yang memeranjatkan saya ialah, ketika beraya di rumah sepupu yang paling rapat dengan saya, usianya tua 2 tahun daripada saya, tiba-tiba dia menyatakan yang dia mahu berkahwin. Saya sangat gembira mendengar khabaran ini. Tetapi, dia minta ayah saya untuk menjadi wakil merisik ke rumah bakal isterinya itu. Ketika hari merisik, tiba-tiba ayah kurang sihat kehilangan suara. Maka saya yang selaku anaknya merangkap pemandu kereta Unsernya, diangkat sebagai ganti ayah saya untuk menjadi wakil merisikkan sepupu saya. Hahahahaha!!! Pertama kali saya dihantar merisik orang nak kahwin!!! Tapi ditemani ayah la..Cuma jadi jurubicara sahaja, skrip ayah dah bagi siap-siap. Hehehe..Tak pernah dibuat orang, orang belum kahwin yang jadi tukang merisiknya. Hahahahahaha!!!

Sekianlah daripada meja makmal bercerita tentang raya kali ini. Saya sebagai wakil bagi seluruh Pembantu Makmal di seluruh dunia ingin mengucapkan Eidul Mubadak kepada semua umat Islam dan khususnya kepada warga Al-Amin!!!

Saturday, September 19, 2009

Salam Perantau..

Dahulu..setiap kali raya, mesti tengok pada surat khabar, bahagian Salam Perantau. Sejak dulu lagi, bercita-cita "Nanti..aku pun nak buat salam perantau kat mak, ayah, cikgu-cikgu, dan kawan-kawan". Betul-betul berazam dengan bersungguh-sungguh!! Sememangnya memberikan motivasi kepada saya dalam pelajaran ketika itu.

Kalau nak buat salam perantau, mestilah berada di luar negara. Sehingga saya bercadang dengan rakan-rakan sekelas saya; "Nanti aku nak bagi salam perantau dari Jepun, ada bunga sakura kat belakang". Kata rakan yang lain pula; "Nanti aku nak bagi salam perantau dari Paris, ada Eifel Tower kt belakang aku". Kata rakan yang lain pula:"Insya Allah..piramid Giza jadi background gambar salam perantau aku nanti". Kata rakan ku yang lain pula; "Aku tak kisah la apa yang jadi background gambar aku nanti, asalkan ada salji".

Alhamdulillah, dah banyak gambar kawan-kawanku keluar dalam surat khabar bahagian salam perantau. Ada yang bergambar dengan meriam, ada yang bergambar dengan koala, ada yang bergambar dengan air terjun, ada juga yang bergambar dengan Omputih. Betapa jauh pun mereka pergi, mereka tetap kenangkan tanah air. Kerana itu mereka tidak melepaskan peluang untuk menyampaikan ucapan dan salam rindu mereka dari perantauan ke orang tersayang di tanah air.

Melihat rakan-rakan yang lain dapat buat salam perantauan, memang satu perkara yang saya banggakan. Daripada sekolah yang terpencil di tengah-tengah hutan ketika kami bersekolah dahulu, dapat juga mereka membuktikan kehebatan mereka belajar di luar negara. Siapa kata lepasan Al-Amin tak dapat pergi jauh? Mereka silap kalau kata begitu. Mungkin saya masih lagi berada di dalam hutan itu, yang kini sudah pesat membangun dengan bangunan baru untuk pendidikan, tapi saya bangga terhadap mereka. Biarpun saya hanya seorang pembantu makmal di sekolah saya bersekolah dahulu, melihatkan rakan-rakan saya yang berjaya belajar ke luar negara, malah junior-junior saya juga begitu..saya tetap merasa bangga pada mereka.

Belajarlah di mana sahaja anda mahu,
ingatlah asal kita,
tempat yang serba tidak cukup,
penuh pasir dan debu,
terpencil tersorok di hutan dalam,
padang kecil jadi stadium,
meja makan hanyalah bangku batu,
sungai coklat jadi mandian,
bangunan buruk tersergam di tengah hutan,
barang makmal serba tidak cukup,
kerusi meja semuanya terkopak,
apa yang specialnya di Al-Amin????
kalau bukan..pada guru-gurunya..

Dahulu..seba-serbi kau kesali,
tapi kini..kau senangi,
dahulu..begitu benci,
kini kau..mula merindui,
dahulu..ada sahaja akal untuk angkat kaki,
mungkin sehingga kini..berat kaki kau untuk ke sini..

Belajarlah di mana sahaja anda mahu,
walau ia negara asing bagi kita,
tapi nekad untuk menuntut ilmu,
terus berjuang demi agama kita.

Belajarlah di serata dunia ini,
sebagai bukti anda mampu melakukannya,
aku hanya pembantu makmal di sini,
terus berdoakan kejayaan kalian mengarapnya.

Selamat Hari Raya ku ucapkan,
untuk teman dan taulan yang di perantauan,
walau aku ucapkan salam di tempatan,
tapi hasrat dan doa tetap ku utuskan..

p/s:...tetiba terlintas nak berpuisi plak..