Wednesday, September 23, 2009

Raya oh raya..

Alhamdulillah..selamat juga kita berhari raya pada tahun ini. Selamat juga kita melalui sebulan berpuasa tanpa kecelakaan yang menimpa kita. Tasbih dan tahmid kita laungkan sebagai tanda membesarkan Tuhan Pemilik Alam Semesta ini. Masih lagi memberikan peluang kepada kita untuk terus menikmati hari demi hari lagi agar kita terus mengabdikan diri kita kepada-Nya.

Bermacam peristiwa raya yang pasti dapat dikenang oleh semua orang. Pasti setiap orang ada kenangan masing-masing. Sama ada kenangan manis maupun kenangan pahit. Jadi biarkanlah setiap kenangan kita itu akan menjadi tauladan kepada sesiapa yang selalu bermuhasabah dirinya, menghitung nilai dirinya, dan mencari-cari formula yang terbaik untuk dirinya agar mencapai kejayaan yang besar.

Mungkin ada sesetengah orang daripada kita yang terpaksa beraya dengan buku, mungkin juga ada yang tidak dapat beraya langsung. Tapi raya ini benar-benar mengajarkan kepada kita betapa perlunya manusia untuk kembali kepada fitrah. Manusia memiliki keperluan untuk kembali kepada fitrah. Mereka tidak boleh membuat sempadan yang besar kepada abnormaliti daripada fitrah.

Contoh hadith tentang ada 3 orang yang bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dan mereka menyatakan bahawa si A ini, dia mahu terus berpuasa dan tidak mahu berbuka untuk makan. Si B pula tidak mahu tidur dan terus beribadah. Manakala si C pula tidak mahu kahwin dan terus duduk di masjid untuk beribadah. Kemudian Rasulullah s.a.w. menegur bahawa Nabi s.a.w. adalah manusia yang lebih baik dari semuanya. Tapi Nabi s.a.w. tetap makan selepas berpuasa, tetap tidur kemudian qiam, tetap berkahwin dan bergaul dengan semua orang. Jadi mengapa pula mereka berbuat demikian???

Sudah sunnatullah bahawa manusia sememangnya perlukan semua itu. Perlukan kehidupan yang normal seperti orang biasa lain. Tapi Syariat Islam telah mengajarkan kita tentang kehidupan yang lebih baik. Telah menjelaskan sempadan perilaku manusia menjalani kehidupan mereka yang lebih baik. Kerana itu ada batas-batas yang perlu dijaga agar kita terus hidup dengan selamat dan baik di bawah redho-Nya. Maka, kita merayakan kehidupan Islam kita seperti hari-hari yang lain selepas sebulan kita belajar untuk menundukkan nafsu kita seterusnya kita dapat belajar untuk menundukkan syaitan yang sedang berkeliaran pula.

Cuma yang luar biasanya ialah, ketika hari raya ini, pengambilan makanan kita adalah di luar kebiasaan kita seperti hari-hari biasa kita yang lain. Pada hari raya inilah, hari yang paling kita banyak mengambil makanan-makanan yang terhidang. Bukti betapa amannya Malaysia. Di mana-mana pun ada makanan, dan kita boleh mengambil apa-apa makanan pun walaupun langit dihujani bunyi dentuman mercun yang silih berganti. Bermacam-macam juadah dapat dijumpai di setiap rumah. Bahkan hiburan untuk memeriahkan hari raya ini juga, lebih rancak daripada hari-hari biasa yang lain. Bayangkan, di radio era.fm sahaja, dapat menghimpunkan 30 lagu baru hanya untuk raya sahaja. Betapa aktifnya artis kita untuk menghasilkan lagu agar raya pada tahun ini lebih meriah daripada tahun yang sebelumnya. Tapi tidak pula cuba untuk menghasilkan lagu untuk bulan Ramadhan ya?

Pengalaman saya di hari raya memang banyak sekali, tapi tak tahu bagaimana untuk berkongsi dengan para pembaca. Takut anda tak faham dengan cerita saya ini. Saya dapat melihat suatu perbezaan dengan raya tahun-tahun yang sebelum ini ialah; peralihan masa. Saya teringatkan lagi ketika saya masih muda menyambut raya dahulu. Apa yang saya lalui dahulu, pasti tidak dapat dilalui oleh saya sekarang ini. Dahulu beraya dengan sepupu mencari duit raya, sekarang ini, saya pula yang kena beri duit raya. Dahulu anak-anak sepupu kecil-kecil sahaja, sekarang dah besar panjang mereka itu. Dahulu bila balik kampung, ayah yang memandu, kemudian bergilir dengan abang, kini, saya pula yang pandu terus ke kampung. Mana taknya, abang dah berkahwin, kena raya kampung isteri, pandu kereta sendiri, ayah pula dah tak larat nak bawa kereta jauh-jauh.

Lebih memeranjatkan saya lagi pada raya kali ini, ramai kawan-kawan sebaya saya yang akan melangsungkan perkahwinan, malah ada yang lebih muda dari saya juga akan ke gerbang perkahwinan. Tapi apa yang nak diterperanjatkan. Itukan jodoh mereka. Cuma yang saya sangat terperanjat dalam raya tahun ini ialah ada dua perkara.

Pertama, Allah telah menyelematkan saya di hari raya ini daripada bencana kegemukkan. Kerana, saya telah menderita sakit perut berciri-birit semenjak Ramadhan ke-27 sehinggalah Raya ke-3. Maka usaha saya untuk cuba mengurangkan berat badan pada bulan Ramadhan boleh dikatakan berjaya. Dan ia terus bertahan sehingga ke Hari Raya ini. Ketika awal Ramadhan saya menimbang berat badan saya, 128kg. Kemudian, tadi, pada pagi raya ke-5, saya menimbang berat badan saya, 112kg. Penurunan sebanyak 16kg!!! Suatu perkara yang sangat memeranjatkan. Tapi, orang lain yang melihat saya tetap kata saya ni bertambah besar, semakin besar, membesar, berbesar, dan segala yang kena-ngena dengan besar itu adalah saya. Tak mengapalah, saya lebih tahu perasaan saya ini.

Perkara kedua yang memeranjatkan saya ialah, ketika beraya di rumah sepupu yang paling rapat dengan saya, usianya tua 2 tahun daripada saya, tiba-tiba dia menyatakan yang dia mahu berkahwin. Saya sangat gembira mendengar khabaran ini. Tetapi, dia minta ayah saya untuk menjadi wakil merisik ke rumah bakal isterinya itu. Ketika hari merisik, tiba-tiba ayah kurang sihat kehilangan suara. Maka saya yang selaku anaknya merangkap pemandu kereta Unsernya, diangkat sebagai ganti ayah saya untuk menjadi wakil merisikkan sepupu saya. Hahahahaha!!! Pertama kali saya dihantar merisik orang nak kahwin!!! Tapi ditemani ayah la..Cuma jadi jurubicara sahaja, skrip ayah dah bagi siap-siap. Hehehe..Tak pernah dibuat orang, orang belum kahwin yang jadi tukang merisiknya. Hahahahahaha!!!

Sekianlah daripada meja makmal bercerita tentang raya kali ini. Saya sebagai wakil bagi seluruh Pembantu Makmal di seluruh dunia ingin mengucapkan Eidul Mubadak kepada semua umat Islam dan khususnya kepada warga Al-Amin!!!

Saturday, September 19, 2009

Salam Perantau..

Dahulu..setiap kali raya, mesti tengok pada surat khabar, bahagian Salam Perantau. Sejak dulu lagi, bercita-cita "Nanti..aku pun nak buat salam perantau kat mak, ayah, cikgu-cikgu, dan kawan-kawan". Betul-betul berazam dengan bersungguh-sungguh!! Sememangnya memberikan motivasi kepada saya dalam pelajaran ketika itu.

Kalau nak buat salam perantau, mestilah berada di luar negara. Sehingga saya bercadang dengan rakan-rakan sekelas saya; "Nanti aku nak bagi salam perantau dari Jepun, ada bunga sakura kat belakang". Kata rakan yang lain pula; "Nanti aku nak bagi salam perantau dari Paris, ada Eifel Tower kt belakang aku". Kata rakan yang lain pula:"Insya Allah..piramid Giza jadi background gambar salam perantau aku nanti". Kata rakan ku yang lain pula; "Aku tak kisah la apa yang jadi background gambar aku nanti, asalkan ada salji".

Alhamdulillah, dah banyak gambar kawan-kawanku keluar dalam surat khabar bahagian salam perantau. Ada yang bergambar dengan meriam, ada yang bergambar dengan koala, ada yang bergambar dengan air terjun, ada juga yang bergambar dengan Omputih. Betapa jauh pun mereka pergi, mereka tetap kenangkan tanah air. Kerana itu mereka tidak melepaskan peluang untuk menyampaikan ucapan dan salam rindu mereka dari perantauan ke orang tersayang di tanah air.

Melihat rakan-rakan yang lain dapat buat salam perantauan, memang satu perkara yang saya banggakan. Daripada sekolah yang terpencil di tengah-tengah hutan ketika kami bersekolah dahulu, dapat juga mereka membuktikan kehebatan mereka belajar di luar negara. Siapa kata lepasan Al-Amin tak dapat pergi jauh? Mereka silap kalau kata begitu. Mungkin saya masih lagi berada di dalam hutan itu, yang kini sudah pesat membangun dengan bangunan baru untuk pendidikan, tapi saya bangga terhadap mereka. Biarpun saya hanya seorang pembantu makmal di sekolah saya bersekolah dahulu, melihatkan rakan-rakan saya yang berjaya belajar ke luar negara, malah junior-junior saya juga begitu..saya tetap merasa bangga pada mereka.

Belajarlah di mana sahaja anda mahu,
ingatlah asal kita,
tempat yang serba tidak cukup,
penuh pasir dan debu,
terpencil tersorok di hutan dalam,
padang kecil jadi stadium,
meja makan hanyalah bangku batu,
sungai coklat jadi mandian,
bangunan buruk tersergam di tengah hutan,
barang makmal serba tidak cukup,
kerusi meja semuanya terkopak,
apa yang specialnya di Al-Amin????
kalau bukan..pada guru-gurunya..

Dahulu..seba-serbi kau kesali,
tapi kini..kau senangi,
dahulu..begitu benci,
kini kau..mula merindui,
dahulu..ada sahaja akal untuk angkat kaki,
mungkin sehingga kini..berat kaki kau untuk ke sini..

Belajarlah di mana sahaja anda mahu,
walau ia negara asing bagi kita,
tapi nekad untuk menuntut ilmu,
terus berjuang demi agama kita.

Belajarlah di serata dunia ini,
sebagai bukti anda mampu melakukannya,
aku hanya pembantu makmal di sini,
terus berdoakan kejayaan kalian mengarapnya.

Selamat Hari Raya ku ucapkan,
untuk teman dan taulan yang di perantauan,
walau aku ucapkan salam di tempatan,
tapi hasrat dan doa tetap ku utuskan..

p/s:...tetiba terlintas nak berpuisi plak..

Wednesday, September 9, 2009

Apakah persamaan Pembantu Rumah dan Pembantu Makmal?

Dewasa ini, hangat dibincangkan dalam akhbar hari ini tentang isu Pembantu Rumah. Tiba-tiba tertarik pula saya ingin memberikan pandangan tentangnya. Apa yang lebih dirisaukan ialah, penulisan kali ini mungkin agak panjang sedikit luar jangkaan para pembaca nanti.
Saya berfikir sejenak, bahawa asal kata pembantu rumah dan pembantu makmal, mungkin sekali ada persamaan asal-usul nama tersebut. Kerana kedua-duanya terdapat perkataan "Pembantu" di hadapan namanya. Jadi satu lagi pencarian tentang kebenaran di antara persamaan yang mungkin tidak disedari oleh ramai pihak. Kali ini biarlah saya mencuba untuk merungkai persoalan yang misteri ini.

Orang-orang yang menjawat jawatan sebagai Pembantu-pembantu ini, rasanya tugasnya hampir sama. Kalau pembantu rumah, tugasnya mesti membersihkan rumah, memastikan keadaan rumah dalam keadaan terurus, menjaga harta majikan ketika ketiadaan majikan, dan membantu menjaga anak majikan. Pembantu makmal di sekolah juga hampir serupa seperti sedemikian, tugasnya mesti membersihkan makmal, memastikan keadaan makmal dalam keadaan terurus, menjaga harta benda makmal, dan membantu guru untuk menjalankan eksperimen.

Melihatkan baru-baru ini, ingin menaikkan status pembantu rumah kepada Pengurus Rumahtangga sebagai menggalakkan rakyat tempatan untuk mengisi ketandusan pembantu rumah dari kalangan rakyat tempatan. Jika namanya lain, maka gajinya mungkin lain? Sepertimana apa yang berlaku dikalangan pembantu-pembantu makmal. Jika makmal di hospital-hospital, orang yang bertugas di makmal itu bukanlah Pembantu Makmal, tetapi mereka dipanggil Juruteknik Makmal Perubatan atau dalam Bahasa Inggerisnya; MLT, Medical Lab Technician atau ada juga yang menggunakan Medical Lab Technologist. Tugas mereka langsung tidak sama seperti Pembantu Makmal di sekolah-sekolah.

Jadi, adakah dengan mewujudkan satu lagi jawatan baru di kalangan rakyat tempatan, dapat menarik minat mereka untuk menceburi dalam bidang ini?

Mungkin ya..mungkin juga tidak. Dahulu, memang ramai rakyat tempatan yang menjadi pembantu rumah di Malaysia. Tetapi sekarang ini, sudah tidak sama lagi seperti dahulu. Kerana ada yang lebih murah lagi untuk diambil bekerja menguruskan perihal di rumah. Sejarah perkembangan pembantu rumah dari negara asing mula diambil ketika pada tahun 1990-an, yang mana terdapat perjanjian persefahaman di antara negara kita dan negara jiran untuk membuka peluang pekerjaan yang baru ini.

Syarat-syarat kelayakkan untuk menjawata jawatan ini, mereka seharusnya berpengalaman dalam mengendalikan kerja-kerja di rumah. Begitu juga syarat sebagai jawatan Pembantu Makmal ini. Mereka harus berpengalaman dalam mengendalikan kerja-kerja makmal.

Adakah semua ini sudah cukup menceritakan persamaan diantara dua pembantu ini? Tidak, masih belum cukup lagi.

Tidak lama sebelum ini, kita semua dikejutkan dengan kes-kes penderaan Pembantu Rumah yang sangat teruk. Sehingga isu ini terpaksa dibincangkan diperingkat pentadbiran kedua-dua negara dalam menjaga keharmonian serantau. Timbul berbagai-bagai tanggapan tentang isu ini. Ada yang menyalahkan pihak majikan, ada pula yang menyalahkan agen pembekal Pembantu rumah, ada pula yang menyalahkan Pembantu Rumah itu sendiri. Ada pula yang merungkai kesalahan-kesalahan Pembantu Rumah yang tidak didedahkan kepada pihak Media. Ada pula yang menjadikan isu ini mampu meruntuhkan institusi rumahtangga.

Adakah masalah ini berlaku juga dikalangan Pembantu Makmal?

Mungkin ada, tapi tidak pernah dipaparkan di dalam arena Media Massa pun. Cuma kami sebagai Pembantu Makmal sahaja yang lebih mengetahui tentang dunia kami. Maka dikesempatan ini, saya cuba untuk mendedahkan masalah-masalah yang dilalui oleh kami. Ini bukanlah ingin mendapatkan simpati semata-mata ataupun inginkan liputan meluas, tetapi cuba ingin menyatakan fakta akan kesamaan di antara dua jenis Pembantu ini.

Adakah Pembantu Makmal didera? Ya, tapi ia tidak melibatkan penderaan pada fizikal. Cuma didera oleh pelajar-pelajar yang menggunakan makmal, mereka menconteng meja, rosakkan barang-barang ujikaji, buang sampah merata-rata, dan sebagainya. Di hati kami, penuh terseksa lagi terdera menanggung beban semua ini. Tapi kami dapat mengatasi masalah ini. Tidak sampai sehingga kami lari ke kedutaan mana-mana untuk mengadu masalah ini. Cuma, kami mengharapkan, para pembaca yang simpati dan perihatin kepada masalah remaja hari ini, marilah sama-sama kita mengambil berat untuk cuba menyelesaikan masalah sikap jiwa muda ini. Moga-moga pihak berwajib dapat mengambil tindakan yang sewajarnya dalam membendung masalah ini.

Kami di Makmal-Berkebajikan, merasakan bahawa tugas sebagai seorang Pembantu Makmal, bukan sekadar hanya menjaga perihal makmal sahaja. Tetapi kami merasakan bahawa; setiap yang melewati makmal ini juga perlu ada penerapan nilai-nilai murni dikalangan mereka. Maka dengan ini, kami mendirikan inspirasi murni untuk mengambil kesempatan yang ada pada diri kami, untuk bersama-sama MEMBANTU pembinaan bangsa ini dengan MEMBANTU mendidik generasi masa hadapan melalui wadah aktiviti penggunaan di makmal seperti ujikaji eksperimen mahupun pembelajaran di Makmal kami.

Saya juga menyeru kepada rakan sejawatan yang lain di seluruh tanah air untuk menyambut seruan ini. Saya juga mengharapkan, setiap penjawat jawatan yang ada nama "Pembantu" di seluruh tanah air tercinta ini, juga bersama-sama menyertai usaha murni ini walaupun dia Pembantu Rumah yang diimport dari negara asing.

Memang tidak dapat dinafikan, setiap perjuangan yang murni itu, pasti memerlukan kecekalan untuk melaluinya, kerana ia bukan semudah yang disangka. Kerana setiap perjuangan yang ikhlas itu, punya tujuan dan niat yang tepat, pasti akan memberikan natijah yang tidak disangka-sangka. Segala pengorbanan yang kita lalui itu, yang berani menggalas keperitan perjuangan ini, biarlah Tuhan sahaja yang mengetahuinya, dan hanya kepada-Nya kita harapkan balasan yang baik di dunia dan akhirat.

Tuesday, September 8, 2009

Peristiwa membayar zakat fitrah yang lucu..

Hari Isnin yang lepas, ketika cuti Nuzul Quran, saya mengambil kesempatan untuk membayar zakat fitrah di Kaunter Zakat Selangor di Melawati. Kali ini, adalah kali ke-4 saya membayar zakat fitrah dengan duit sendiri. hehehe..

Pertama kali saya membayarnya di Masjid Shah Alam, ketika itu ada program di sana, tengok ada kaunter, saya pun ambil kesempatan untuk bayar zakat di sana. Ketika itu, saya telah mendapat gaji pada tahun pertama saya bekerja sebagai seorang pembantu makmal. Kali ke-2 dan seterusnya, saya membayar di Pusat Kaunter Zakat Selangor di Melawati.

Tapi tak tahu kenapa, baru-baru ini, badan saya ada sedikit sengal-sengal, berlakulah beberapa peristiwa lawak yang berlaku di Pusat Kaunter Zakat tu.

Ketika saya duduk untuk berdepan dengan pemungut zakat tu, seperti biasa dia melakukan tugasnya, mengisi data untuk catatkan dalam resit. Kemudian dia bagi satu kadbod yang ada banyak tulisan tentang pengisytiharan pembayaran zakat. Pegawai itu meminta saya membacanya. Kemudian dia pun berjabat tangan dengan saya dan tidak melepaskan tangan saya. Maka saya pun membaca di dalam hati pengisytiharan itu. Pegawai itu menanti-nanti saya membacakannya.

Pegawai bertanya:"Kenapa tak baca?".
Saya menjawab:"Saya dah baca semuanya".
Pegawai bertanya lagi:"Kenapa tak dengar pun?"
Saya menjawab lagi:"Laaa..kena baca kuat-kuat ker?"

Hehehe..tak tau kenapa sengal sangat ketika itu.

Kemudian pegawai itu mengerakkan tangan saya yang dijabatnya secara tiba-tiba. Mungkin dia memberi isyarat untuk saya membacakan pengisytiharan itu. Tapi, tiba-tiba saya yang ada rasa sengal-sengal badan ni pun tersentak dengan perbuatan pegawai itu terus saya membacakan....:"Saya terima nikahnya dengan zakat tujuh ringgit tunaaaai.."

Semua orang gelak berguling-guling akibat apa yang telah saya katakan tu. Saya pun tak tahu kenapa boleh terkeluar ayat tu.."Ni kes memang parah..hahaha!!" kata pegawai tersebut dengan gelaknya tidak dapat disorokkan lagi. Ada pegawai lain mencelah "Dik..pejabat kadi kat sebelah jer dik..hahahaha!!".

Bila berfikir sejenak, saya dah bayar zakat sendiri berkali-kali. Seolah-olah peristiwa ni, macam baru pertama kali saya membayat zakat fitrah. Aduh..tak tau nak kata apa ketika itu. Hanya dapat tergelak untuk diri sendiri sahaja.

Pengajaran yang dapat diambil..kalau tak mampu nak kahwin, maka puasalah...hehe