Monday, August 31, 2009

Soal-jawab tentang Blog makmal-berkebajian. Tapi anda malu bertanya.

Sebenarnya banyak cakap-cakap tentang blog ini dewasa ini. Kebanyakan cakap-cakap itu melibatkan satu persoalan yang sering mereka tertanya-tanya tentang blog ini. Cuma mereka semua malu bertanya kepada pemilik blog ini.

Maka dengan ini, saya cuba memberi jawaban serta pencerahan semula setiap daripada soalan-soalan yang saya dengar dari mulut orang. Moga para pembaca dapat memahami isi kandungan entri kali ini.

1. Mengapa Mas Syarep menulis terlalu panjang penulisannya pada setiap kali entrinya?

Saya suka menggunakan ungkapan Ustaz Abdul Aziz bin Sheikh Ahmad, salah seorang guru di SMIAAG terhadap saya ini. Katanya: "Apabila Pembantu Makmal menulis, tak reti-reti nak berhenti!!!".

Mungkin agaknya, kenyataan itu adalah daripada pemerhatian Ustaz Abdul Aziz. Tetapi apa yang mampu untuk saya elakkan daripada menulis sepanjang ini. Memang, setiap kali mula menaip di papan kekunci (keyboard) ini, pasti susah untuk saya berhenti gerakan-gerakan lincah jari-jemari ini. Kerana itulah, kadang-kadang ayat yang ditulis itu, tidak dapat difahami oleh sebahagian orang yang membacanya. Ataupun, mungkin ramai orang mengharapkan penulisan saya lebih bergenre merepek, lucu dan yang sama waktu dengannya.

Apa yang saya cuba sampaikan dalam setiap penulisan saya, lebih banyak saya cuba menyertakan contoh yang sesuai bagi pembaca blog ini. Tapi mungkin saya sendiri tidak mengenali para pembaca dan tidak tahu siapa yang membaca, maka kerana itu saya tersalah langkah dengan terlampau banyak tulisan dalam ayat-ayat ini. Maka dengan ini, saya memohon maaf secara terbuka kepada para pembaca sekalian sekiranya penulisan dalam blog saya membuatkan anda membuang masa, menyakitkan mata kerana hendak bersenggang mata membaca tulisan-tulisan saya, pening memahami maksud kata dalam penulisan blog ini, dan apa-apa yang membuatkan saya bersalah kepada anda.

2. Bagaimanakah Mas Syarep mendapat sumber-sumber penulisan anda?

Mana-mana penulisan yang melibatkan pengalaman dan cerita-cerita, kebanyakkannya adalah pengalaman saya sendiri yang saya melaluinya semua itu. Maka diceritakan semula sebagai merekodkan pengalaman kehidupan saya bersama-sama pembaca. Cerita tentang rekaan, selalunya saya memaklumkan terlebih dahulu entri itu bergenre merepek.

Selalunya kalau menggunakan pengisian-pengisian, saya akan merujuk buku-buku tarbawi agar dalam setiap pembacaan itu juga, dapat bermuhasabah kerohanian juga dan ligat berfikir tentang masa depan Islam yang penuh gemilang ini.

3. Apakah Mas Syarep tidak bosan menulis?

Kalau menulis dengan pen, memang saya tak berminat sangat kerana tulisan saya sememangnya buruk. Tapi kalau tulisan berkomputer ini, tidak menyakitkan mata saya untuk menulis. Maka kerana itu ia tidak membuatkan saya terasa bosan menulis. Hehe..

4. Mengapa Mas Syarep tidak menulis buku sahaja?

Kadang-kadang saya menerima soalan ini sebagai perli terhadap saya, tapi kadang-kadang dalam husnu dzhon saya, merasakan soalan ini adalah pendorong untuk saya menerbitkan buku sendiri. Memang saya bercita-cita sedemikian, dan juga cuba belajar untuk ke arah itu. Mudah-mudahan suatu hari nanti, saya dapat menerbitkan buku saya sendiri nanti, Insya-ALLAH.

5. Kenapa memilih nama makmal-berkebajikan?

Saya pun tak tahu. Tapi rasanya, mungkin ketika itu, fikiran saya semasa mendaftarkan blog ini, sesuai nama itu kerana saya sendiri adalah seorang pembantu makmal sahaja. Maka ia hanyalah nama semata-mata, bukan kempen atau promosi.

6. Kenapa Mas Syarep tidak menceritakan perihal makmal atau apa-apa yang boleh membantu para pelajar untuk menggunakan makmal dalam menjalankan uji kaji?

Asalnya, saya ada berhajat demikian. Tapi, masih tiada idea untuk membuat dimasukkan dalam penulisan blog ini. Insya Allah saya akan cuba, mudah-mudahan dapat membantu kecemerlangan para pelajar kita dalam bidang ujikaji sains ini nanti. Insya Allah.

7. Bila Mas Syarep nak kahwin?

Itu........Hanya Allah sahaja yang tahu. Jarak masanya seperti ini (sambil menunjukkan jari telunjuk dan jari tengah dirapatkan). Apabila tiba tanda-tanda kecil dan tanda-tanda besarnya, dan Allah pula telah menetapkan akan berlakunya hari itu. Maka tiada siapa pun yang dapat menghalangnya. Sudah!! Hal ini tak perlu dijawab lagi, telah banyak saya terangkan lagi kerana sudah banyak tulisan-tulisan saya sebelum ini saya memberikan jawabannya.

Saturday, August 29, 2009

Kisah tentang Hilal

Apabila bulan Ramadhan menjelang tiba, kita pasti tertunggu-tunggu pengisytiharan penetapan bulan Ramadhan yang disampaikan oleh wakil Mohor Raja-raja. Maka telah menjadi kewajiban bagi setiap ahli falak, apabila tibanya Ramadhan, ataupun Syawal, ataupun Zulhijjah, mereka akan pergi ke tempat mencerap hilal. Kerana hilal adalah petanda, masuknya awal bulan sesuatu.


Apa itu al-Hilal?


"Mereka bertanya kepadamu tentang hilal (bulan sabit). Katakanlah: Bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan (bagi ibadah) haji.."[al-Baqarah:189]

creadits to al-aajily

Hilal itu ialah anak bulan, ataupun bulan sabit kecil lagi halus badannya. Amat susah untuk melihat dengan mata kasar bagi yang tidak biasa melihatnya. Sepengalaman saya bersama ahli falak lain mencerap di Teluk Kemang dan Bukit Melawati pada tahun 2002 adalah kenangan indah mengenali ilmu falak yang sangat luas ini. Penuh dengan kiraan mengalahkan Matematik Tambahan dan rumus-rumus Fizik. Bila difikirkan, orang yang memperkenalkan ilmu falak ini, sememangnya genius!!

Hilal pun ada syaratnya juga. Iaitu ia mesti kelihatan di langit atau pada atas ufuk langit selepas tenggelamnya matahari, tapi tidak malam lagi, masih terang lagi. Kalau kelihatan sebelum matahari tenggelam, maksudnya tak matang lagi hilal itu. Kerana boleh jadi, bulan itu berada pada pengakhiran kitaran bulan. Jadi tempoh matang hilal itu yang biasanya diterima dalam ilmu falak ni..erm..lebih dari 12 minit di atas ufuk. Maka jika itu kelihatan dari mata-mata penyaksi hilal, maka telah termaktub esok adalah 1 haribulan suatu bulan. Wah!! Dah guna bahasa lama pula..hehe..Mana taknya, guru falak saya cakap macam tu, maka saya gunalah juga.


Dikesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan guru-guru Ilmu Falak saya iaitu Ustaz Arwani bin Sali dan Abang Hamzi bin Tarmizi. Mereka inilah memperkenalkan ilmu falak dan mengajarkan pada saya untuk mempraktikkannya. Masih ada lagi kitab kuning ilmu falak yang sudah di"fotostat"kan berjudul "Khulasoh al-Jadual al-'Amal al-Ijtima' wal istiqbal". Buku ini ada formula-formula untuk menentukan tarikh hilal, dalam masa yang sama, dapat menentukan waktunya, sudutnya, lamanya hilal itu berada di ufuk langit. Subhanallah!! Siapalah yang dapat berfikir sejauh itu sehingga dapat membuat rumus dan sifir-sifir hilal ini.

Masalah Masa Kini dalam Menentukan 1 haribulan

Di Malaysia, telah difatwakan bahawa penetapan 1 haribulan sesuatu bulan itu adalah diputuskan dengan terimanya kedua-duanya daripada penetapan Hisab (pengiraan) dan rukyah (penglihatan). Hisab itu adalah dari ilmu falak yang telah membuat taqwim setiap bulan dengan pengiraan yang panjang lebar dalam menentukan 1 haribulan, kemudian digenapkan menjadi 30 hari sebagai hari-hari di dalam satu bulan. Sepertimana di dalam Al-Quran:

"Dialah Allah yang telah menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan telah menetapkan manzilah-manzilah baginya, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan pengiraan masa" [Yunus:5]


Diriwayatkan oleh Bukhari, dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
"Berpuasalah kamu kerana melihat anak bulan dan berbukalah(hari raya) kamu setelah melihat anak bulan, jika mendung maka genapkanlah Syaaban 30 hari".

Dalam riwayat yang lain, oleh Bukhari dan Muslim, dari Ibnu Umar, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Sesungguhnya bulan itu 29 hari, maka janglah kamu berpuasa sehingga kamu melihat anak bulan dan janganlah kamu berbuka (beraya) sehingga kamu melihatnya. Tetapi jika mendung, kadarkanlah olehmu untuknya".

Dalam membincangkan persoalan mengenai rukyah dan hisab, Dr. Yusof al-Qadhawi ada menjelaskan dalam kitabnya "Kaifa Natkamalu ma'aa al-Sunnah al-Nabawiyah", bahawa kedua-dua hadis di atas menyatakan tentang hadaf (tujuan) mengenai permulaan puasa. Dalam mencapai tujuan tersebut, wasilah (cara) yang digunakan adalah dengan melihat anak bulan atau pengiraan falak. Tambahnya lagi, rukyah adalah wasilah zaman Rasulullah s.a.w. kerana ianya mudah dipraktikkan dan sesuai ketika itu. Wasilah iaitu rukyah tidak mengikat umat Islam sepanjang zaman, sebaliknya pengiraan falak lebih qat'i (tepat) berbanding dengan pengakuan orang yang mengaku melihat bulan kerana pengakuan individu mengandungi zdon (sangkaan). Menurut al-Qardhawi lagi, pengiraan falak boleh diterima sebagai kaedah fiqh berdasarkan qias al-awla atau ulama.

Maka Ahli Falak Malaysia telah menetapkan melihat hilal pada setiap 29 haribulan, tapi sebelum ini ada yang pergi menyaksikan hilal pada 28 haribulan. Bagi yang mencerap pada 29 haribulan, keputusannya adalah lebih pasti dengan keputusan rukyah (melihat hilal). Iaitu, sekiranya nampak hilal dengan cukup syarat-syaratnya pada kesaksian semuanya; maka esoknya adalah 1 haribulan. Manakalah bagi yang berrukyah pada 28 haribulan, maka keputusannya adalah sepertimana yang ditetapkan untuk mencukupkan 30 hari dalam satu bulan. Kerana, jika tidak nampak pada hari itu, mereka akan cukupkan 30 hari, kerana telah dinyatakan dalam hadis tadi, bahawa satu bulan itu 29 hari. Maka bukanlah hari yang 29 itu adalah 1 haribulan, sayugia digenapkan menjadi 30 hari, selepasa hari yang ke 30 itu, barulah 1 haribulan. Paham ker?

Kenapa tidak sama Puasa di Malaysia dengan Saudi?

Kerana ketetapan kerajaan yang berbeza-beza. Lain kerajaan, lain ketetapannya. Saudi menggunakan rukyah sahaja. Bahkan mereka juga menggunakan hisab. Tapi apa yang termaktub dalam al-Quran lebih kuat penerimaannya, iaitu:
"..faman syahida minkum as-Syahra falyasumhu.."[al-Baqarah:185]

Maka, siapa-siapa yang nampak dari mana tempat pun di seluruh Tanah Arab itu, ada ternampak bulan sabit yang kecil sahaja, maka dia boleh menelefon pejabat Jabatan Fatwa dan Majlis Ulama', maka esok puasalah. Tapi, itu pun bergantung seberapa ramai orang yang buat panggilan untuk memastikan panggilan itu tidak berpakat untuk menipu. Bukanlah dihukumkan bahawa apa yang mereka buat salah. Tidak. Itulah adalah sandaran yang mereka mahu tetapkan. Maka itu adalah hak mereka.

Saya juga tidak menafikan, kadang-kadang, pernah berlaku bahawa jarak perbezaan waktu puasa di antara Malaysia dan Arab Saudi sangat jauh sehingga bezanya adalah 4 hari. Mengapa ini terjadi? Itu..saya memang bukanlah ahlinya untuk menjawab persoalan ini. Kerana itulah sangat besar dan berat tanggungjawab para ahli Falak untuk memastikan kebenaran dalam penetapan mereka agar tidak terjadi kerugian pada umat Islam semuanya.

Tentang 1 haribulan Zulhijjah, bukankah kita harus mengikut tempatnya berwuquf, iaitu waktu Saudi?

Di Malaysia, mana ada Bukit Arafah untuk umat Islam yang membuat haji berwuquf. Itu pun di Malaysia ni banyak orang buat tempat tawaf sendiri. Itu Ajaran sesat punya tempat tawaf la..

Tentang persoalan ini, saya juga berpendapat seperti itu. Seharusnya kita mengikut pada masanya di tempat itu sendiri. Dahulu, saya pernah mengikuti seminar tentang menjawab persoalan ini. Ketika itu, mungkin saya masih muda lagi, sangat sukar untuk memahaminya. Tapi, apa yang saya masih ingat lagi dalam rumusan perbincangan seminar itu, semua pakar-pakar ahli Falak menyatakan perlunya untuk kita mengikut waktu semasa Arafah itu sendiri dengan faktornya jarak perbezaan masa antara Malaysia dan Bukit Arafah.

Mungkin boleh dijelaskan lagi dengan begini. Perbezaan waktu di antara Malaysia dengan Arab Saudi ialah dalam 8 jam. Tidak mungkin sama waktu zohor Malaysia dengan waktu zohor Arafah. Maka itulah sebagai faktor berbezanya yang perlu diambil berat dalam mengikut waktu semasa Arafah bagi menentukan 1 haribulan Zulhijjah. Paham tak?

Rasanya, adakah cara penyelesaian untuk masalah perselisihan penetapan ini nanti?

Ada!!! Bahkan ia pernah berlaku dan telah selesai masalah ini sebelum saya lahir lagi. Ia terbukti secara 'alami (international) dalam menyelesaikan masalah yang seolah-olah tidak pernah selesai ini. Bagaimana caranya? Sebelum itu, biar saya sendiri menceritakan orang yang hidup pada zaman itu, dan saya sendiri mengdengar ceritanya walaupun saya tidak sempat melalui peristiwa itu.

Kisahnya begini. Diceritakan daripada datuk saya sendiri, Ibon bin Kawi, kepada saya yang berumur 10 tahun dan juga abang-abang saya serta sepupu saya. Bahawa ketika atuk masih kecil, dalam sekitar tahun 1906, kerana beliau masih ingat surat khabar ketika itu sibuk berlaku pertembungan diantara pemikir golongan muda,pelajar dari Mesir dan ulama golongan tua. Ketika itu, atuk pergi kedai kopi untuk berjumpa dengan ayahnya, Tok Kawi, untuk menyampaikan pesan membeli barang. Ketika itu, Tok Kawi bersama rakan-rakannya sedang menikmati sarapan dan minum kopi sambil mendengar lagu keroncong yang didendangkan di radio.

Atuk cerita, ketika dia sudah menyampaikan pesan pada ayahnya, kemudian dia mengambil sarapan di kedai kopi itu. Tiba-tiba, siaran radio menyampaikan berita semasa. Atuk menggambarkan bahawa berita dahulu tak serupa dengan zaman sekarang. Baca berita pada masa-masa tertentu. Kalau dulu, kalau ada berita terbaru melalui telegram sampai, baru dibacakan berita itu melalui radio. Jadi kalau mahu berita semasa, kena berada dekat dengan radio tu selalu. Radio zaman dulu, bukannya senang nak dapat. Itu pun nasib ada orang kerja dengan Orang Putih dalam kampung tu, dapat hadiah dari tuannya (Orang Putih tu la). Pasang kabel radio pun susah gak. Siap kena ada lesen lagi.

Apa berita itu sampaikan? Atuk cerita: Berita tu menyatakan bahawa Kerajaan Turki Uthmaniyyah sudah 4 hari berpuasa di bulan Ramadhan. Khalifah Turki mendoakan semua umat Islam beribadah dan berjihad di dalam bulan Ramadhan ini.

Semua yang ada di kedai kopi itu, baik yang sedang minum kopi, mahupun yang sedang menikmati nasi lemak dan yang sewaktu dengannya, semuanya berhenti makan dan minum. Semua berlarian pulang ke rumah masing-masing untuk memaklumkan yang Ramadhan sudah masuk hari ke-4. Maka ketika itu juga semuanya berpuasa. Pada malam itu juga, tiba-tiba surau buat solat Tarawikh. Cukup 30 hari dengan ditolak 4 hari yang terlepas Ramadhan itu, mereka pun beraya.

Maka saya bertanya pada atuk:"Macamana dengan 3 hari yang sebelum tu? Atuk tak puasa la?"
Atuk jawab dengan tenang:"Ha'ah..lepas tu..kami qodho'(ganti) la bilangan hari yang kami tertinggal tu". Sehari selepas itu, berita tentang Muslimin seluruh dunia telah berpuasa 4 hari dalam bulan Ramadhan terpampang di muka Akhbar.

Bayangkan saudara-saudari pembaca sekalian. Orang-orang di Tanah Melayu terus berpuasa setelah mendapat tahu berita dari khalifah tentang Ramadhan itu sendiri. Terus buat tanpa tangguh-tangguh. Puasa terus tanpa soal macam-macam. Itulah kekuatan satu pemimpin mutlak yang berkuasa. Satu arahan satu penetapan. Tidak ada berselisih lagi ketika itu.

Maka, penyelesaiannya ialah kekuasaan Islam berpusat iaitu Khalifah Muslimin itu sendiri. Lihatlah betapa besarnya nikmat adanya pemimpin seperti ini. Maka, apa tunggu lagi? Ayohlah berusaha sehingga dapat kita melihat Khalifah yang menaungi umat Islam seluruhnya melindungi kita.

Wednesday, August 26, 2009

Kenangan Ramadhan bersama Nadamurni

Hehe..Alhamdulillah, masih selamat melalui hari-hari di bulan Ramadhan ini. Semalam ada aktiviti mengemas barang-barang di bilik saya. Tapi rasanya masih tak terkemas lagi, sebab kerja separuh jalan. Sebab apa jadi kerja separuh jalan? Sebab terjumpa barang-barang lama yang menjadi kenangan. Tengok-tengok dulu barang tu, lepas tu tergelak seorang diri, lepas tu terkenangan segala kenangan silam dahulu.

Maka ketika itu, saya terjumpa kaset lama zaman-zaman Nadamurni dulu. Fuuh!!! Sangat seronok saya melihat kaset-kaset tu. Tapi malangnya, kaset dah berkulat lagi bercendawan. Tak boleh nak mainkan balik kaset-kaset tu. Lagipun sekarang ni, orang lebih gemar menggunakan CD player, MP3 dan yang sejenis dengannya. Susah jugak nak cari kaset player. Bagaimanapun, hati tetap gembira kerana dapat mengimbau kembali kenangan pada nasyid-nasyid lama.

Tiba-tiba teringat pula zaman Nadamurni sedang pesat bergiat dalam arena nasyid di tanah air, setiap kali bulan Ramadhan hampir tiba sahaja, pasti Nadamurni akan pasarkan album mereka semuanya dengan harga kaset yang murah. Siap ada jualan penghabisan stok lagi. Nasyid-nasyidnya pun memang menyentuh hati. Bayangkan, mereka jual dengan harga murah kemudian nasyid-nasyidnya pula menyentuh hati, itulah berkat keikhlasan perjuangan mereka dahulu. Antara nasyid berkenaan Ramadhan yang benar-benar mengimbau kenangan dan menyentuh hati adalah "2 Ramadhan", "Nasihat Ramadhan", dan banyak lagi sebenarnya, cuma tak ingat tajuk. Hehe.. Setakat ni, yang dapat dengar kembali adalah nasyid "Nasihat Ramadhan". Insya Allah saya akan berkongsi liriknya dengan pembaca sebagai renungan bersama.

Nasihat Ramadhan
Nadamurni: solo - Munif

bulan ramadhan bulan bertuah
bulan ibadah bulan mujahadah
bulan rahmat bulan maghfirah
bulan al-quran dan lailatul qadr

(chorus)

Besarkan Ramadhan dengan puasa
di waktu malamnya tambahkan ibadah
bacalah al-quran banyakkan sedekah
terawih kerjakanlah walaupun sunat

pelihara mata jagalah telinga
kawallah lidah dari yang sia-sia
fikirkanlah yang mendatangkan faedah
hubungkan hatimu dengan Allah

zikir selawat doa panjangkan
pahala ramadhan diganda-gandakan
jangan lupakan janganlah leka
ramadhan tiba setahun sekali

(chorus)

bulan ramadhan bayarlah fitrah
untuk membersihkan hati dan diri
sebagai bantuan keoada ynag susah
agar mereka gembira di hari raya

Allahu ya Allah
kepadaMu kami beriman
keranaMu kami berpuasa
di bulan ini bulan yang mulia
kami mohon rahmatMu ya Allah
keampunanMu
wahai Tuhan

banyakkan i'ktikaf di 10 hari yang terakhir
lailatul qadr berlaku di malam itu
kita kan mendapat pahala yang besar
seperti beribadah seribu bulan

(Chorus)

Hehe..rentak nasyid ni menggunakan rentak alunan lagu Melayu klasik, mungkin kerana ketika itu masih popular lagu-lagu Melayu klasik. Tapi kalau dapat dengar balik nasyid "2 Ramadhan" tu..pergh..tak dapat digambarkan. Itulah nasyid yang mengajar saya tentang berpuasa ketika saya berada di sekolah rendah lagi. Keikhlasan untuk berpuasa. Berbezanya puasa kita ini dengan puasanya para Salafussoleh. Kemudian, mereka juga keluarkan nasyid Raya. Mereka juga menasihatkan tentang raya yang sepatutnya kita raikan. Bukan seronok-seronok kosong sahaja ketika raya. Fuh!! Besar juga jasa mereka dalam industri nasyid ni.

Mudah-mudahan, peringatan-peringatan tentang menghidupkan Ramadhan tersebut, dapat kita amalkan dan hidupkan bersama-sama. Insya Allah.

Saturday, August 22, 2009

Kenapa "Selamat Berpuasa"???

Setiap kali Ramadhan tiba, pasti dapat bermacam-macam mesej ucapan menyambut kedatangan Ramadhan yang mulia ini. Bermacam-macam gaya ucapan yang diungkapkan kepada saudara se-Islam yang lain bagi menyemarakkan lagi semangat dan ruh bulan Ramadhan ini.

Ucapan yang sering diungkapkan ialah: "Selamat berpuasa", "Selamat berbuka puasa", "Selamat bersahur" dan bermacam-macam lagi yang sewaktu dengannya. Mungkin ucapan ini diungkap hampir sama seperti ucapan "Selamat hari raya" dan "Selamat menunaikan ibadah Haji". Tapi ada beberapa perkara yang perlu diteliti dengan lebih mendalam dalam melihat kesesuaian penggunaan ucapan ini lagi untuk generasi seterusnya. Kerana ucapan ini telah menjadi sinonim bagi masyarakat hari ini sedangkan ia ada kelemahan dalam maksud dan doa dalam ucapan ini sendiri.

Berikut saya akan merungkai satu-per-satu kelemahan yang telah dibiasakan dalam masyarakat mengucap ucapan ini kepada saudara-saudara se-Islam yang lain.

Ucapan "Selamat..."

Melihat pendefinasian ucapan "selamat..", ini adalah diucapkan selalunya untuk mendoakan orang yang ditujukan ucapan itu agar ia selamat dalam melakukan sesuatu yang akan dilakukannya. Contoh yang paling jelas ialah apabila kita mengucapkan kepada teman atau saudara kita yang akan berangkat ke perjalanan yang jauh, pasti kita ucapkan "Selamat Jalan" kepadanya. Kerana kita mengharapkan agar dia selamat dalam perjalanannya nanti. Sudah menjadi pengetahuan semua orang bahawa perjalanan yang jauh pasti mendatangkan bencana dan bahaya, mungkin sekali berlaku kemalangan dalam perjalanan itu, nauzubillah. Maka kerana itulah diucapkan "selamat jalan" kepadanya.

Bagaimana pula dengan ucapan "Selamat Datang"??
Ucapan ini pula sering kali digunakan ketika menyambut tetamu yang hadir ke tempat kita. Ucapan ini juga sesuai dengan mendoakan para penziarah serta tetamu tersebut sentiasa dalam keadaan selamat. Kerana mungkin ketika kedatangannya di tempat kita itu boleh juga mendatangkan kemalangan kepadanya seperti kepala terhantuk di pintu rumah sebelum masuk rumah lagi. Atau terduduk di kerusi yang rapuh sehingga menyebabkan tetamu jatuh ketika hendak duduk padanya. Kerana itulah ucapan itu adalah tepat untuk diucapkan.

Pencerahan semula pada kesilapan dalam ucapan "Selamat berpuasa".
Bukanlah suatu kesalahan dalam mengucapkan ucapan ini, tetapi saya ingin mencadangkan kepada penggunaan yang lebih tepat dalam kita ingin membiasakan ucapan ini di kalangan kita semua. Sekiranya kita ingin mengucapkan selamat atas sesuatu perkara, pasti dalam kita hendak melakukan sesuatu itu adalah berbahaya. Jadi saya ingin bertanya para pembaca sekalian, adakah berpuasa itu mampu mendatangkan kebahayaan?

Seolah-olah ucapan ini lebih menakutkan mereka yang baru sahaja ingin memulakan pengalaman dalam berpuasa ini. Kerana ucapan ini boleh dibayangkan, sesiapa yang berpuasa, pasti bahaya datang dan yang lebih menakutkan, boleh membawa kepada maut. Pasti mereka takut untuk berpuasa. Macam Upin dan Ipin yang juga agak ragu-ragu ketika hendak berpuasa. Akhirnya, mereka dapat berpuasa dan terbukti bahawa berpuasa tidak menyebabkan kematian.

Bahkan di bulan Ramadhan, dibuka semua pintu-pintu Syurga untuk hamba-hambaNya yang beribadah di dalam bulan ini, dan ditutup semua pintu-pintu Neraka. Dilapangkan pula pada ahli kubur di bulan ini. Maka seharusnya kita berbangga dengan segala nikmat yang Allah berikan pada bulan ini. Jadi, mengapa perlu takut sekiranya kita dijemput menemui Allah di bulan ini?

Sememangnya wajar kita mengucapkan "Selamat Hari Raya" apabila Hari Lembaran semakin tiba. Kerana memang terdapat banyak kes jika orang ramai ingin pulang ke kampung untuk berhari raya, ada sahaja berita-berita tentang kemalangan-kemalangan yang tidak diingini. Memanglah "malang tidak berbau", tapi kerana itulah kita mendoakan dia agar selamat balik kampung untuk berhari raya. Tapi lain situasinya dengan berpuasa ini. Di bulan Puasa inilah seharusnya kita memberi galakkan kepada orang ramai untuk lebih berpuasa lagi sepertimana yang diperintahkan oleh umat sebelum kita. Bukannya berwaspada dalam berpuasa daripada kematian.

Jadi, apa ucapan yang sepatutnya?

Kita melihat semula objektif puasa itu sendiri apa. Puasa bukan sahaja menahan diri lapar dan dahaga, malah ia juga meletakkan diri kita kepada keadaan yang kita tidak biasa. Daripada selalu makan dan minum pada bila-bila masa, kepada hanya boleh makan pada waktu malam sahaja. Puasa juga menuntut kita agar menjaga pertuturan dan tingkah laku kita supaya tidak berbuat dosa seperti mengumpat, mengeji, mencarut, dan sebagainya. Hal ini perlulah bagi setiap Muslimin untuk berhati-hati sepanjang ibadah puasa di bulan Ramadhan ini.

Dalam keadaan umat Islam menjaga diri dan membawa diri mengharungi Madrasah Ramadhan ini, mungkin dirinya itu sedang lesu tidak bermaya, tidak cukup tenaga, akibat semua itu membuatkan dirinya kurang keceriaan dalam membuat sesuatu ibadah. Keadaan inilah memerlukan satu ucapan yang memberangsangkan sebagai motivasi untuk kita meneruskan lagi ibadah puasa yang serba mencabar ini. Maka, mengapa tidak ucapan kita itu berbentuk motivasi supaya kita semua dapat menghidupkan lagi suasana Ramadhan dengan kemeriahan dalam beribadah, bukannya kemeriah berpesta sempena pukul 12 malam nanti.

Dilihatkan pada perayaan lain, ada ucapan yang menggambarkan kemeriahan perayaan mereka. Kerana itulah mereka terus mengucapkan ucapan tersebut supaya sesama mereka itu, dapat memeriahkan perayaan yang mereka tunggukan. Apakah ucapan tersebut? Itulah dia "Happy Deepavali", mungkin itu perayaan agama Hindu, maka kita tidak boleh ikut ya? Bagaimana pula "Happy New Year"? Bagaimana pula "Happy Independence Day"? Semua itu menggambarkan kemeriahan yang ingin dibawa dalam perayaan tersebut. Sedang kita semuanya mengatakan bahawa di dalam bulan Ramadhan adalah bulan berpesta Ibadah. Jadi mengapa kita tidak mahu menggambarkan betapa meriahnya pesta bulan Ramadhan ini. Bukannya meriah pada Bazaar Ramadhan itu, tetapi pada ibadah tersebut.

Maka di sini, saya mencadangkan kepada para pembaca sekalian, serta seluruh umat Islam, agar sama-samalah kita mengucapkan "Happy Berpuasa", atau "Happy Ramadhan" atau yang lebih tepat dan dianjurkan dikalangan umat Islam ialah; "Ramadhan Kareem".

Happy Ramadhan semua!!! Syaitan dah dibelenggu!!! Siapa lagi yang ingin mengganggu kita untuk beribadah!!! Jom jom jom jom..jom ibadah ibadah!!! hehe

Sunday, August 16, 2009

Satu Fenomena

Di hari gotong-royong baru-baru ini, alhamdulillah dapat lihat satu fenomena yang sangat menarik. Melihat ramai orang berhempas-pulas mengemas dan membersihkan kawasan sekolah demi kebaikan sejagat terutamanya warga Al-Amin itu sendiri. Apa yang berlaku ketika itu? Hampir semua peringkat umur dari kalangan warga Al-Amin turun padang untuk menjayakan aktiviti ini.



Para Ibu juga tidak melepaskan peluang ini

Cikgu dan murid-murid

Para pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah, ibubapa mereka, guru-guru sekolah menengah dan sekolah rendah, penjaga Pusat Sumber, barisan kepimpinan PIBG, Lembaga Pengelola Pusat Pendidikan Al-Amin, brother aiskrim, ibu mengandung (kak Yani), makcik-makcik kantin, pakcik Jaga, Jamal al-Banjladis, dan ramai lagi. Tidak ketinggalan juga, pembantu makmal sekolah turut hadir memeriahkan suasana..hehe (ye ke?).



Gandingan hebat para pemuda dan syuyukh

Malah, apa yang lebih memeranjatkan ialah YB Dato' Hasan Ali (ADUN Gombak Setia) pun turut hadir sekali bersama-sama kami. Siapa sangka dalam masa yang sama, orang yang berlainan latar belakang, berlainan pangkat, berlainan status kedudukan, dapat berkumpul bersama, bekerja bersama-sama, membuat perkara yang sama di tempat yang sama; iaitu bersama-sama bergotong-royong membersihkan kawasan Al-Amin.


YB diberi taklimat tentang status pembangunan di Al-Amin

Walaupun kehadiran para pelajar tidak menggalakkan, tetapi apa yang dapat dilihat daripada fenomena ini; mereka yang hadir itulah sangat berkualiti dan berpotensi dalam memberikan keperihatinan kepada persekitaran. Mungkin ada yang mengatakan, ketika itu ada PUI (Program Ulangkaji Intensif), tapi tak mengapalah. Kerana setiap yang kita kerjakan pada ketika itu hanyalah untuk dapatkan redho Allah Taala semata-mata. Mudah-mudahan segala amal kita tidak menjadi sia-sia.


Himpunan 200 orang warga Al-Amin

Ketika sibuk bekerja membersihkan kawasan persekitaran sekolah, ternampak pula seorang tetamu yang tidak disangkakan hadir ke Bumi Al-Amin ini. Itulah Ustaz Hasrizal Abdul Jamil. Tujuannya di Bumi Al-Amin adalah untuk memberi pengisian pada program ikhwah yang belajar di Indonesia. Kalau ketika itu dapat dia berikan sedikit tazkirah kepada kami semua, menarik juga..hehe. Sempat pula bergambar dengannya di Bumi sendiri ini. Rasa bangga pula dengan kedatangan 2 orang yang hebat ini.

Seorang pelajar Perubatan Alexandaria bergambar dengan Ust Hasrizal di SMIAA



Inilah Fenomena yang sungguh mengharukan. Kalaulah semua ahli yang berada dalam latar belakang yang berbeza, mereka dapat duduk bersama-sama, mempunyai tujuan yang sama sehingga dapat menggerakkan semuanya dalam satu rentak menjayakan matlamat bersama. Inilah fenomena yang kami namakan; One Al-Amin!!!!



Jari YB mengisyaratkan "One Al-Amin"

Kalau di Al-Amin dapat buat. Bagaimana mereka yang membuat kerja dakwah di luar sana? Insya Allah fenomena ini sangat kami tunggu-tunggukan, tapi tarikhnya yang tepat tidak Allah beritahu. Kami akan terus berjihad sehingga datangnya janji Allah yang sangat pasti dengan rasa gembira dan penuh bangga.

Wednesday, August 12, 2009

Bayna syabab wa syuyukh

Pemuda sangat luar biasa dengan semangatnya membara, darah muda yang terus bergolak lagi bertenaga dan tidak mudah surut langkahnya, tidak pernah luntur azamnya. Inilah pemuda yang sangat berharga. Mereka ini dilihat oleh para pemimpin sebagai pendukung-pendukung kepimpinan akan datang. Sungguh terliur oleh para pemimpin melihat pemuda yang seperti ini mendahagakan tenaga pemuda yang tidak pernah padam.

Pemuda inilah yang diharapkan untuk menggerakkan perjuangan terus tanpa tanda noktah. Terus berjuang menyambung perjuangan yang murni ini. Pemuda terus dilihat potensinya yang tidak pernah tersorok. Pemimpin sangat jelas melihat keterampilan para pemuda ini. Jika ada kelemahan, itu hanya debu pada berlian sahaja. Perlu digilap untuk mencantikkan berlian itu.

Bagaimana pemimpin ini mampu melihat segala yang terbaik dari kalangan pemuda ini?

Kerana mereka dahulu pernah menjadi pemuda juga. Kerana mereka juga pernah penuh bertenaga seperti para pemuda ini. Kerana mereka ini juga sudah berjumpa dengan pelbagai jenis pemuda yang hebat seperti ini. Pastilah pemimpin ini sudah banyak pengalamannya melalui segala rintangan ketike zaman kepemudaannya. Pastilah pemimpin itu tahu tentang liku-liku serta ranjau dalam mengharungi perjalanan yang lebih jauh.

Orang-orang ini pastilah mempunyai pengalaman yang tidak tercerita banyaknya. Orang seperti inilah telah melalui pelbagai masa dan zaman berbanding pemuda yang hanya bersemangat tapi belum melalui semua itu. Orang seperti inilah punya pengalaman untuk menyelesaikan segala rintangan yang akan dihadapi mahupun ketika melalui rintangan. Meraka sudah ada langkah berjaga-jaga agar tidak melakukan kesilapan kerana mereka sudah ada parut atau kesan luka sebelum ini setelah melalui rintangan dan ada membuat silap dalam mengharunginya.

Apakah mereka ini akan jatuh dua kali dalam lubang yang sama?

Pasti tidak, bahkan ia mengenali lubang yang pernah membuatkan dirinya terjerumus ke dalam lubang itu. Dia mampu untuk menasihatkan dan menunjukkan pada orang lain tentang bahaya lubang itu. Maka orang-orang seperti inilah yang sangat dinantikan oleh para pemuda yang bersemangat ini. Berjalan penuh gah lagi bersemangat tapi tidak tahu jalan mana yang harus dipilih untuk dilalui dengan penuh cemerlang.

Bahaya pada pemuda.

Pemuda gagah perkasa melangkah maju ke hadapan, tetapi berjalan melalui angin tanpa tujuan. Bersemarak berkobar-kobar semangatnya, sehingga membakar apa yang ada di sekelilingnya. Kukuh pegangan dan azamnya, tetapi kekukuhan itu terus menampung beban yang berlebihan. Darah bergelojak mengalir deras sehingga membiarkan darahnya mengalir tanpa sebab.
Sungguh rugi kita melihat begitu banyak pemuda-pemuda yang berkualiti ini dibazirkan begitu sahaja. Membiarkan ia memilih jalannya sendiri tetapi membiarkan juga ia berjalan di jalan yang pernah kita lalui dahulu yang penuh duri lagi beracun. Orang yang perihatin dan bertanggungjawab sudah pasti tidak mahu hal ini berlaku. Lantas mereka ini diselamatkan dengan memacu mereka dan memandu mereka pada jalan yang nyata. Kobaran yang berguna mencerahkan jalan. Terus kukuh walau ditelan zaman pada keaslian. Sehingga tahu sebab mereka terpilih untuk hidup sebagai manusia.

Selalunya para pemuda ini dimomokkan dengan kisah-kisah silam yang memberi inspirasi perjuangannya. Kisah inilah yang memberikan penilaian matang bagi mereka. Menilai peristiwa silam dan kehidupan yang dilaluinya. Mendengar pelbagai kisah silam yang ada. Tetapi mereka hanya menerima apa yang mereka mahu sahaja. Membuat penilaian terhadap apa yang mereka rasa ianya hebat. Maka mereka bergerak dan berjuang agar suasana silam itu dapat diperolehinya. Agar ia menjadi realiti kepada pemuda generasi baru yang mereka lalui sekarang. Agar terpahat sebut-sebutan tentang mereka yang berjaya mewujudkan kisah silam menjadi realiti.

Hebat sangatkah cerita silam itu? Hanya semata-mata ia dapat menaikkan semangat sesiapa yang mendengarnya, maka itulah dasar perjuangannya? Cerita yang tidak pernah ia melihat sendiri, terus diambil sebagai sebagai sandaran? Hanya meletakkan kepercayan kepada si pencerita atas segala ceriteranya, sebagai model perjuangan?

Segala apa yang baru, masuk dilingkungannya, terus dinilaikan dengan cerita silam itu.
“Ini tak seperti dulu!!! Dulu boleh buat..kenapa sekarang tak boleh pula???!!!”. Itulah penilaian-penilaian yang selalu dibuat oleh mereka yang tiada penilaian.

Apakah anda menafikan segala kisah silam yang gemilang itu???

Sudah pasti setiap kisah silam yang gemilang itu suatu peristiwa yang benar-benar telah terjadi. Bahkan tidak pula ingin menyatakan segala kisah silam itu hanyalah dongengan semata-mata. Cuma, jika kita hanya dipersonakan dengan kegemilangan kisah silam sahaja, kita akan hanyut dengan segala kegemilangan sahaja. Apabila hanyut dengan cerahnya kegemilangan itu, itu sahaja yang kita cuba menjadikan ia realiti. Berazam untuk melihatnya sendiri dengan dia menghidupkan semula kegemilangan silam.

Apakah tidak pernah terfikir; setiap kegemilangan itu, begitu senang untuk diperolehi?

Hendak mendaki gunung, pasti melalui kepayahan pendakiannya ke puncak. Setelah sampai ke puncak, pasti berbangga dan sangat gembira pada pencapaiannya. Setiap parut luka pada badan, dijadikan kenangan kejayaan selepas melalui segala kepayahan. Bagi mereka yang hanyut dengan gemilangnya kisah silam itu, mereka ini hanya nampak para pendaki gunung itu berjaya sampai ke puncak, tapi mereka tidak tahu pun betapa payahnya para pendaki itu sampai ke puncak gunung.

Bahkan sejarah telah mencatatkan berbagai peristiwa gemilang di masa lampau. Ia dikuatkan lagi dengan bukti-bukti serta artifak yang masih ada pada hari ini. Tidak perlu untuk diungkitkan segala sejarah kali ini kerana semuanya tahu tentang itu. Kita memang ingin kembalikan kegemilangan seperti masa silam. Cuma adakah kita sudah bersedia untuk menempuhi segala rintangan sepertimana orang silam itu pernah lalui????

Bahaya pada Orang Tua

Apabila orang berpengalaman berdiam diri, hanya melihat dan memerhati. Duduk sambil menyaksikan gelagat orang muda. Apabila ditanya sepatah jawab pun sepatah juga. Apabila ditanya pendapat berpuluh patah, jawabnya juga sepatah. Jika orang terjatuh, dia tergelak dan dimarah-marahnya pula. Jika ada orang berjaya, dia menyelit bersama orang berjaya dan mengatakan kejayaan tu adalah disebabkan ada dirinya.

Jika inilah yang berlaku orang yang ingin memacu para pemuda yang bersemangat waja, apakah kegemilangan yang pernah berlaku itu akan berlaku lagi?

Mengapa ini terjadi? Mungkin kerana mereka sudah penat melepasi segala ranjau dan rintangan. Mungkin mereka sudah jemu dengan apa-apa yang berkaitan dengan perjuangan silam. Mungkin mereka sudah bertekad untuk pencen dalam perjuangan ini.

Maka mereka membiarkan sahaja para pemuda itu melalui segala kepayahan itu dengan usaha mereka sendiri. Kerana mereka menyatakan yang dahulu masa muda mereka ini pun melalui tanpa bantuan orang berpengalaman, maka mereka juga berpendapat si pemuda ini juga perlu melalui sepertimana mereka lalui tanpa apa-apa pengalaman.

Semua ini silap!!! Jangan dibiarkan hal ini terjadi!!!

Lihatlah seperti mana al-Quran menceritakan segala peristiwa para Rasul terdahulu sebagai pengajaran kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. Pengajaran itu bukan untuk zaman para sahabat sahaja, malah ia tetap sesuai diguna pakai sehingga ke hari ini. Bahkan para sahabat dipandu juga oleh Rasulullah s.a.w untuk menceritakan peristiwa-peristiwa terdahulu. Contoh seperti kisah Ashabul Ukhdud, kisahnya sedikit sahaja di dalam al-Quran, tetapi Rasulullah s.a.w. menceritakan selebihnya kepada para sahabat.

Gandingan hebat di antara al-Quran dan panduan-nasihat-arahan dari Rasulullah s.a.w adalah bukti kebangkitan di tengah-tengah umat jahiliyyah. Ini juga sudah cukup menjadi bukti perlunya ada gandingan di antara dua unsur yang sangat penting ini. Kisah silam yang menjadi pedoman dan i’tibar bagi generasi akan datang. Dipandu pula oleh penunjuk jalan yang sangat berpengalaman. Pasti tujuan tercapai dengan mudah dan dapat dirasakan nikmat kejayaan bersama.

Maka perlulah ada hubungan langsung serta keseimbangan di antara dua penting ini. Pemuda-pemuda yang bertenaga ini akan dipacukan kepada kekuatan yang dinanti-nantikan. Bayangkan keterpaduan semangat pemuda yang berkobar-kobar, dipandu pula oleh para syeikh yang berpengalaman dan bijaksana, pasti sebuah organisasi dakwah sangat berjaya. Itulah yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat.

Sesungguhnya, setiap teguran daripada para syuyukh adalah panduan untuk kita membetulkan keadaan dan kesilapan yang pernah kita lakukan. Idea-idea yang deras menderu dari mereka adalah hasil pengalaman hidupnya sebelum ini. Segala keputusan mereka adalah hasil ijtihad mereka yang telah difikirkan segala risiko dan manfaat daripada setiap keputusan tersebut.

Malah pada pemuda itu pula terdapat pelbagai manfaat untuk menggerakkan segalanya. Pemuda yang matang akan cepat memahami arahan, bukan laksanakan arahan dengan gempak. Pemuda yang disenangi adalah menjaga setiap adab dan tingkah-lakunya, bukan berjalan mendada dengan megah. Pemuda yang disanjungi ialah mereka yang menghormati orang yang lebih tua terutamanya pemimpin mereka, bukan merendahkan mereka kerana tidak sezaman atau tidak ”up-to-date”.

Kerana itulah adanya istilah ”hamasatus syabab wa hikmatus syuyukh” (semangatnya para pemuda dan bijaksananya para syeikh).

Ketahuilah bahawa setiap generasi itu bertanggungjawab terhadap generasi akan datang. Kerana merekalah penyelamat generasi yang seterusnya. Generasi terdahululah orang yang seharusnya dihormati kerana masih thabat lagi sehingga ke hari ini dalam jalan yang penuh ranjau lagi berliku-liku.

Maka lihatlah sepertimana golongan Ansar menghormati golongan Muhajirin yang beriman dulu sebelum mereka, interaksi sesama mereka dalam menggerakkan perjuangan dakwah ini. Bahkan mereka mendoakan para pendahulu yang beriman sebelum mereka sepertimana dalam al-Quran:
Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan RahmatMu". [al-Hasyr: 10]

Rasulullah s.a.w. pula bersabda
“Daripada Abi Burdah, daripada ayahnya (Abu Musa al-Asy’ari) dia berkata: “Kami telah menunaikan solat Maghrib bersama dengan Rasulullah s.a.w. Kemudian kami berkata: “Apa kata kalau kita tunggu sehingga dpt solat Isyak bersama-sama Baginda.” Maka kami tunggu sehingga Baginda menemui kami lalu bersabda: “ Kamu masih di sini?” jawab kami: “Wahai Rasulullah! Kami telah menunaikan solat maghrib bersama-samamu. Kemudian kami berkata: ‘Mari kita duduk sehingga kita dapat solat Isyak bersamamu’.” Baginda bersabda: “Kamu semua telah melakukan sesuatu yang baik lagi betul.” Kemudian Baginda mengangkat kepalanya mendongak ke langit dan diikuti oleh para sahabat yg lain, lalu Baginda bersabda: “Bintang tersebut adalah penyelamat langit. Apabila perginya bintang tersebut, maka akan didatangilah langit itu apa yg telah dijanjikan untuknya. Aku adalah penyelamat bagi sahabatku. Apabila aku telah pergi maka akan didatangilah sahabatku apa yg telah dijanjikan untuk mereka. SAHABATKU pula adalah PENYELAMAT UMATKU. Apabila perginya sahabatku maka akan didatangilah umatku apa yg dijanjikan utk mereka.” (Riwayat Muslim dan Ahmad dlm Musnadnya)

Begitulah menjadikan mereka lebih baik dan lebih diredhoi Allah. Bagaimana pula kita?

Saturday, August 8, 2009

Bila Ramadhan sudah hampir berkunjung tiba..terkenang iftar T5'09

Sedar atau tidak, Ramadhan terlalu dekat dengan kita. Sudah tibanya untuk kita merasai satu lagi Ramadhan di tahun ini yang sangat kita nanti-nantikan. Sudah bersediakah kita dengan Ramadhan kali ini? Kita sebelum ini telah melalui beberapa siri puasa sunat dan berbuka bersama-sama, terus terkenang peristiwa kita beriftar bersama-sama. Mungkin insya Allah di Ramadhan nanti, lebih besar nikmatnya kalau kita dapat iftar bersama-sama.
Tiba-tiba rasa nak menulis tentang satu lagi kenangan apabila saya menggoreng ayam di rumah saya untuk keluarga makan. Terus saya terkenang aktiviti iftor (berbuka puasa) tingkatan 5 sebelum ini. Ingin pula saya berkongsi beberapa peristiwa menarik antaranya; makanan berbuka kali ini, sangat sedap lagi special sebab makanan-makanan itu dimasak sendiri oleh para pelajar. Maka di waktu petang selepas mereka menempuhi pembelajaran, mereka bergotong-royong memasak makanan untuk berbuka. Banin hidupkan api untuk memanggang ayam..tapi mengambil masa jugak ler..hehe. Tapi alhamdulillah siap juga api dinyalakan, kemudian tunggu untuk menjadi bara pula. Tapi siap juga apa yang mereka masak. Sedap-sedap semuanya. Banat pula masak macam-macam. Ada buat sushi la, kuih apa ntah nama pun tak tahu laa..tapi semuanya sedap-sedap. Air minuman pula dibuka dengan air sirap bandung..fuh!!

Saya juga tidak melepaskan peluang ini untuk sama-sama bergotong royong dengan mereka. Saya goreng ayam dengan Aeman, Zufar, Faiz Husin, Azizi. Sempat jugalah sesama kami semua berkongsi tips-tips memasak ni. Rashid mencadangkan untuk tutup mulut kuali sepertimana yang pernah dia buat di rumahnya sehingga hampir terbakar rumahnya. Jadi ketika itu kami berfikir sejenak sama ada mahu menggunakan cadangan ini atau tak..akhirnya kami putuskan untuk terima cadangan ini.
Seterusnya giliran saya pula untuk berkongsi tips memasak, iaitu saya menulis surah al-Fatihah pada kuali tersebut dengan tinta za'faran dengan minyak masak "Seri Murni" ditulis pula dengan tangan-tangan orang soleh dan huffaz Al-Amin. Insya Allah hasil ayam goreng ini kami namakan Musoffa Fried Chicken (MFC).
Bila nak berbuka tu, ramai yang tak sabar-sabar sampai sengaja azan belum waktunya. Budak-budak la katakan. Alhamdulillah dapat berbuka dengan guru saya; Ust Usman dan anak kecilnya Abdullah. Masa makan makanan berat, rasa Ayam Goreng Musoffa, memang sedap sangat!! Alhamdulillah!! Siap dapat pujian Ust Usman lagi. hehehe...Katanya:"Kalau goreng ayam macamni, lepas ni tak kena dari gangguan lagi la..hehe". Ust Usman memuji sedapnya ayam yang dia makan:"Sedapnya iftor kali ini, kenapa sedap ya masakan ni?" Kami jawab:"Yang menyedapkan makanan kita ni, adalah berkahnya bergotong-royong sesama kami masak ayam-ayam ini." Ust Usman terkejut:"Haa!!Antum masak semua ini?! Alhamdulillah!! Patutlah sedap!!".

Tapi keesokkan harinya, pukul 2 pagi saya asyik terbangun pagi kerana sakit perut. Habis malam saya dihidupkan dengan pergi ke tandas sahaja. Bila ke sekolah, rupa-rupanya ramai juga yang sakit perut. Tapi tak mengapa lah, kerana pengalaman ini, benar-benar mengimbau masa silam saya yang dulu juga bergotong-royong sebelum berbuka. Teringat zaman muda-muda dulu di tingkatan 5 dahulu..hehe.