Tuesday, December 29, 2009

Daripada Makmal, ke Pejabat Pentadbiran

Ketika penghujung tahun ini, memang kebiasaannya pengurusan pentadbiran sekolah pasti sibuk super-mega-extravaganza. Sehingga menyerabutkan meja pejabat dan tak menang tangan untuk menguruskannya. Suatu perkejaan yang sungguh mencabar kerana ia bekerja di waktu-waktu genting begini. Ketika inilah, saya pula ditempatkan untuk mengantikan Kerani Pentadbiran yang cuti bersalin.

Nasib baik saya ada pengalaman bekerja di Pejabat Sekolah di tempat saya bekerja. Mungkin kerana itu saya dikerahkan dan ditempatkan di bahagian ini.

Walaupun berserabut dengan pendaftaran baru, rayuan masuk semula, berbagai pertanyaan pemakluman, dan ragam-ragam daripada ibubapa, insya Allah kerja ini memang memberikan cabaran yang hebat untuk menghadapinya. Sebenarnya penat juga melihat skrin komputer ini, terlalu kerap berdepan dengan komputer ini untuk menguruskan bermacam-macam hal tentang pentadbiran. Tak cukup dengan itu, menghadapi public-relationship ni memang sukar.

Ada ibubapa yang risau sangat-sangat tentang kemasukkan anak ke sekolah ini. Harapan mereka begitu tinggi, sanggup buat apa sahaja demi penyambungan pendidikan anaknya. Melihatkan kesungguhan ibubapa seperti ini, sebenarnya termotivasi juga nak melihat anaknya nanti ketika sekolah. Harapnya agar anak-anak ini tidak menghancurkan harapan ibubapanya.

Sebenarnya suasana bekerja di antara makmal dan pejabat sangat berbeza. Tapi tetap ada persamaan, iaitu terperam di suatu tempat sahaja. Kalau di makmal, duduk di makmal sahaja. Apa dapat? Tengok bahan kimia, radas makmal, meja, kerusi, model tengkorak. Kalau di pejabat, apa dapat? Dapat tengok gambar Yang Dipertua Agong dan Permaisuri Agong, tengok monitor, tengok pintu, almari, fail, angkat telefon pejabat, kena cop kertas, orang nak masuk sekolah, orang nak keluar sekolah, tu jelah rutin seharian.

Bezanya adalah berhadapan dengan orang yang berbeza. Kalau di makmal, berurusan dengan guru-guru sains dan berhadapan dengan murid-murid. Biasalah murid-murid bandar ni, agak exited dengan radas-radas makmal ni sehingga dibuat alat permainan pula, walaupun dah tingkatan 5 pun, macam budak-budak juga bila di makmal. Kalau di pejabat, berurusan dengan ibubapa pula. Kita yang berkerja di pejabat pula diperbudakkan oleh pelanggan kami. Nak buat macamana? Customer is always right. Jadi apa yang kami cakap semuanya salah. Maka, kemahiran mesra pelanggan perlu dipertingkatkan untuk menghadapi situasi sebegini. Apa-apa pun yang menimpa tak kiralah cacian ker, makian ker, cercaan ker, marahan ker, luahan perasaan ker, amukan ker, malah pujian dan penghargaan juga, kami terima seadanya dengan jiwa raga kami.

Tapi, walaupun bertugas di pejabat, tugasan di makmal juga perlu diuruskan. Nasib baik sekarang ni cuti, tak sibuk sangat di makmal. Cuma berhabuk jelah di sana. Dalam masa yang sama, pengurusan jabatan tarbiyah untuk tahun depan pun perlu diuruskan secepat mungkin. Nampaknya, saya perlu mahir kagebujino-jutsu (jurus pembahagi bayang) untuk siapkan semuanya dalam masa yang sama.

Apa-apa hal pun, tugasan yang banyak seperti inilah memberikan cabaran dan pengalaman untuk menghadapi hari-hari yang mendatang insya Allah. Memang mengasah kemahiran public-relationship juga kemahiran pengurusan ketika di pejabat ini. Di makmal pula, menambahkan kemahiran saintifik dalam pengukuran serta colibration (kayu ukur) tepat dalam penyiasatan saintifik. Kerja-kerja inilah membuatkan saya lebih menghargai gaji yang saya terima. Barulah berbaloi-baloi. Kalau kerja takde, tapi dapat gaji tinggi semacam, pelik gak? Macam pemandu bas ekspress, gaji sikit, tapi kerjanya berat, nak jaga 40 nyawa, jalan jauh. Kalau lambat sampai, nanti kena potong gaji. Orang-orang yang bergaji rendah nilah yang membuat yang lain terus kaya, tanpa kami, tiadalah orang kaya.

Walaubagaimanapun, ini juga mengajar kami untuk terima sahaja apa yang ada. Biarlah dunia menakan kami, asalkan apa yang kami buat ini kami kekalkan untuk mendapat redho Allah. Insya Allah. Maaf kerana meluahkan perasaan di blog ini. Mungkin para pembaca boleh ambil pengajaran daripada pembacaan dalam blog ini; iaitu janganlah jadi Pembantu Makmal kalau tak sanggup cabaran-cabaran seperti ini.

Monday, December 28, 2009

Semua orang ada Facebook???

Baru-baru ini, ada pergi ke sebuah pasar raya besar di Lembah Klang yang ada Wifi, jadi kelihatan di tempat-tempat minum, ramailah muda-mudi duduk dengan komputer riba masing-masing sambil minum air dan berlepak bersama teman-teman mereka.

Apa yang menariknya, sepanjang-panjang kedai minum tu, hampir kesemua yang membuka komputer riba (laptop) itu, melayari facebook. Tu belum tengok yang menggunakan telefon bimbit. Ketika mata saya meliar melewati penghuni kedai-kedai minum tu, kebanyakkan pemilik facebook tu, ramai yang bermain game. Macam-macam jenis game ada. Ada yang tanam pokok la, ada yang ternak lembu la dan macam-macam.

Saya terasa, yang saya ini, alien. Sebab saya tak tahu apa-apa tentang facebook. Bila kawan-kawan dan sepupu-sepupu saya inginkan alamat facebook saya. Saya tidak memiliki facebook itu. Semuanya gelakkan saya. Seolah-olah saya sudah ketinggalan zaman. Seperti facebook ini adalah keperluan asas yang mesti dimiliki oleh semua orang.

Dahulu yang sama sepertinya adalah seperti friendster, kemudian myspace, dan ada macam-macam lagi. Ketika itu juga adalah sama seperti keadaan facebook ni. Semua orang ada friendster.

Tapi sekarang ni, bila fikir balik. Apa yang menarik pada ini semua?

Saya juga memiliki friendster dan myspace. Tapi tak tahu apa yang menariknya. Setakat dapat terus berhubung dengan kawan-kawan dan melihat perkembangan mereka atau penyusutan mereka melalui gambar-gambar mereka sahaja. Cuma untuk kali ini, facebook dengan tujuan dan konsep yang sama, menghubungkan orang yang jauh menjadi dekat, dengan ditambah lagi game supaya dapat menarik minat ramai orang dan tidak mahu mereka cepat bosan. Jadi kerana itulah mereka letak game.

Kemudian, tiba-tiba datang la email yang diforward-forwardkan tentang facebook yang ada kena-ngena dengan Israel. Saranan untuk memboikot facebook terus diudarakan. Tapi dalam masa yang sama, ada pula yang membawa bermacam-macam dalil. Ada yang mengatakan facebook itu haram kerana membawa kepada kelekaan dan kelalaian pada waktu solat dan sebagainya. Kemudian ada pula yang menjawab daripada syarah itu, bahawa bukanlah salah facebook tu, tapi orang yang tak dapat kawal dirinya sehingga leka solat dan sebagainyalah yang salah.

Ada pula yang mengatakan kita perlu memiliki facebook kerana itu juga menjadi medium dakwah secara elektronik. Kita perlu berikan medium alternatif serta sumbatkan tazkirah-tazkirah supaya mereka dapat mengforwardkan tazkirah-tazkirah itu agar tidak kelalaian.

Tapi, walau macamana sekalipun, saya melihat, facebook terus diminati oleh pemuda-pemudi hari ini. Bahkan, negara kita juga ada facebook. 1 Malaysia facebook!! Mungkin dengan peningkatan pelanggan facebook ini, berkurang pula blogger di negara ini. Hebat juga cara kerajaan menangani blogger ini ya.

Jadi bagaimana sekarang? Perlukah kita memiliki facebook??? Tanyalah pada diri anda sendiri..

Saturday, December 26, 2009

Seminggu bersama Pak Kiai

Alhamdulillah, barulah sekarang ini terluang untuk menulis sesuatu di dalam blog ini. Kali ini, lebih kepada perkongsian pengalaman saya bersama dengan ustaz-ustaz sepanjang program saya di waktu cuti sekolah ini. Sungguh, dapat saya simpulkan banyak pengajaran selama saya berdampingi dengan mereka.

Pada hari kebiasaan, kita melihat sosok peribadi seorang ustaz, tapi kita tak pernah melihat susah senang mereka bagaimana, tidur bangunnya, makan minumnya, penat letihnya, suka dukanya. Seketika kita merasai dan melalui pengalaman hidup mereka, barulah kita tahu, bahawa betapa lainnya sosok peribadi ini dengan kita sendiri. Memang betullah "Al-Ulama' warisatul anbiya'" iaitu Ulama' pewaris Nabi.

Teringat pula nasyid "Ulama' pewaris Nabi" yang didendangkan oleh Kumpulan Nadamurni:

Ulama..pewaris Nabi
beribadah..banyak sekali
Akhlak baiknya ketara sekali
dia jadi bunga diri

pemurahnya laksana air yang deras
tawadhu'nya menyejukkan hati
kasih sayang nampak diwajahnya
dia hidup sederhana

dia bercakap dari hati
bukan dari hobinya sendiri
bukan kerana pangkat yang rasmi
bukan kerana jawatan yang tinggi

Hehe..tiba-tiba terkenang pula zaman al-Arqam dulu. Chorus sahaja sudah cukup menerangkan tentang keperibadian seorang kiai/ulama'/ustaz. Memang telah terbukti setelah saya sendiri bermalam dengan mereka selama seminggu. Saya sendiri melihat keistimewaan seorang pewaris Nabi ini. Walaupun ustaz di Al-Amin yang ingin saya berkongsikan pengalaman saya bersama mereka bukanlah sehebat mana-mana ulama' seperti mufti ataupun ulama' yang terkenal dengan kitab-kitabnya hebat, tapi cukuplah menyelami kehidupan mereka ini.

Ketika di Pulau Penang, tinggal bersama dengan ustaz-ustaz pengiring program Wafdul Amin, juga mengikut pak Kiai pulang ke kampung halamannya di Penyabungan, Sumatera Indonesia, memang memberi erti yang besar kepada saya. Pengajaran pertama yang saya perolehi dari mereka, al-Quran tidak pernah ditinggalkan, walaupun berjalan jauh, tapi membaca al-Quran, tidak akan lupa walaupun sehari. Pantang ada ruang masa kosong, pasti dibacanya atau dibuat muraja'ah serta mengulang ayat yang sudah dihafal. Kalau kita ketika berWafdul Amin, bagaimana hafazan kita? Ke mana pula al-Quran kita?

Pengajaran kedua yang dapat diambil, tidak lepas dari mulut mereka untuk berzikir dan berdoa. Tak kiralah ketika mahu tidur mahupun bangun tidur, ketika hendak makan ataupun mahu memulakan sesuatu sama ada naik bas mahupun kereta, pasti zikir ataupun berdoa. Apatah lagi membaca basmallah tidak pernah terlepas dalam apa ketika pun. Kalau kita, pantang nampak durian, belasah terus. Naik bas, dengo lagu, terus lupa nak baca doa. Kalau bangun tidur tu, gosok mata sampai ke bilik air, gosok gigi pula, lepas tu mandi, lepas tu keluar bilik air, cari baju dan terus pakai. Segala doa bangun tidurnya, masuk tandas ker, doa pakai baju pun entah ingat atau tak untuk dibacakan. Tapi para ustaz ni, tak pernah lekang dari mulut mereka dengan doa dan zikir membesarkan Allah seperti mana yang kita diajar dalam adab-adab.

Pengajaran ketiga, bab tawadhu' (rendah diri), sentiasa mereka ini bertawadhu' sama ada dengan orang ramai mahupun dia bersendirian. Sama ada dari pakaiannya mahupun pergaulannya dengan masyarakat. Saya sungguh tertawan hati dengan cara mereka menggauli masyarakat. Jika masyarakat meminta sesuatu seperti minta untuk menjadi imam, atau memberi tazkirah, atau mendoakan seseorang atau apa-apalah, mereka tidak menolaknya melainkan uzur syarie' seperti tidak sihat sangat dan yang sewaktu dengannya. Lebih saya kagumi pada cara menegurnya supaya tidak mahu orang yang ditegur itu terasa hati, contohnya ketika saya bersama pak Kiai di Indonesia, biasalah rakyatnya memang tidak dapat lekang dari merokok tidak mengenal tempat, masa dan orang. Ketika kami di dalam van (teksi bagi mereka), ada la orang tua ni merokok dalam van yang penuh padat, juga terdapat anak kecil di pangkuan si ibu yang juga menjadi penumpang van itu, lantas si pak Kiai buka tingkap van yang berhampiran dengannya tanpa berkata apa-apa. Orang tua itu lihat sekitarnya, menyedari ada anak kecil, terus dibuang rokoknya yang baru sahaja dinyalakan.

Tentang tawadhu' ini, memang menyenangkan hati bagi yang melihatnya. Ketika hadir ke masjid untuk solat Maghrib berjemaah, dia tahu ada imam bertugas pada masjid itu, jadi dia solat sunat itu di belakang sekali untuk menyorok daripada disedari kehadirannya. Bila si imam tahu kehadirannya, ketika solat Isya', dijemputnya untuk menjadi imam. Banyak lagi cerita-cerita tawadhu' yang dapat diambil dengan berdampingan dengan mereka.

Pengajaran keempat, qiamullail. Tak pernah tinggal melainkan penat sangat. Seboleh mungkin mereka beribadah di waktu malam tu, memastikan kita ini tidak menyedari yang mereka sedang beribadah. Bila saya terjaga, terlihatnya sedang beribadah, dia seolah-olah bergegas untuk menghabiskan solatnya, tapi bila tidur semula, dia sambung semula ibadahnya. Terkadang, mereka juga terus khusyuk dan bersungguh-sungguh bermunajat dengan Allah walaupun menyedari kehadiran saya. Apa yang penting, qiamullail ataupun tahajjud, tak kira tempat, tak kira masa, asalkan ada malam, mesti bangun untuk bermunajat dengan Allah. Kalau kita, dapat qiam ketika program sahaja kan? hehe..

Pengajaran kelima, walaupun hidup bersederhana, tapi tetap pemurah. Ada sahaja yang boleh didermakan atau diberikan kepada yang memerlukan. Kadang-kadang saya hairan juga, kalau bab bersedekah atau memberi, mereka memang laju untuk menderma mahupun memberi. Dari mana mereka dapat hartanya. Inilah keberkatan yang Allah berikan kepada mereka. Allah sendiri menanggung rezeki mereka dengan jalan yang tidak tahu datangnya. Saya bersama pak Kiai, seolah-olah rezeki tak putus-putus. Ada sahaja rezeki yang datang mencurah-curah. Mungkin rezeki itu tidak hadir dalam bentuk wang ringgit, mungkin ia hadir dalam bentuk lain. Seperti makanan, tempat tinggal, malah isteri juga boleh jadi (cewah).

Pengajaran ke-enam, tidak menunjukkan rasa penatnya. Walaupun dirinya sudah berumur, cepat penat, perjalanan jauh dengan feri dari Port Kelang ke Tanjung Balai selama 8 jam, kemudian naik van sempit dengan jalan di Sumatera yang serba rosak berlubang-lubang ke kampungnya 12 jam lagi, tapi dia tetap bersahaja malah bertenaga. Tapi bila sampai ke tahap yang memang memenatkan, dia tidak dapat menyembunyikan lagi kepenatannya. Kalau mereka perlukan bantuan, mereka tidak sombong untuk meminta. Mereka hanya meminta bila diperlukan sahaja. Kalau kita, asyik la meminta bantuan walaupun mampu menghadapinya. Contohnya minta tolong ambil ke tempat sekian, padahal boleh jer naik teksi ker, naik lrt ker.

Pengajaran ke tujuh, sentiasa berterima kasih dan memberi salam. Tak kira siapa pun yang membantu walaupun ia cukup sekadar mengangkat barang yang ringan seperti seplastik buah duku pun, diucapnya terima kasih juga. Subhanallah. Pada semua orang mereka berterima kasih dan juga memberi salam. Tak rasa keberatan pun untuk mereka berterima kasih.

Kalau saya tulis semuanya, pasti berjilid blog ini saya tulis. Mungkin cukuplah dengan 7 pengajaran yang saya tulis ini dapat dikongsikan dengan para pembaca sekalian. Memang jauh sekali kehidupan kita dengan mereka. Sungguh berharga sekali keberkatan mereka. Sememangnya Allah sentiasa melimpahkan keberkatan kepada orang seperti mereka. Tidak inginkah kita untuk menjadi seperti mereka? Mana mungkin, kesenangan sudah manjakan kita. Betul tak?

Thursday, December 10, 2009

Wafdul Amin di Tasek Gelugor

Alhamdulillah, kini saya berada di Tasek Gelugor, Pulau Pinang masuk hari ke-4. Lagi 2 hari sahaja Program Wafdul Amin bakal melabuhkan tirai. Memang tak terasa pun, masa-masa yang dilalui di sini, begitu cepat berlalu. Betapa cemburunya masa pada kemeriahan Program Wafdul Amin ini.

Mungkin dikesempatan ini, ingin juga saya menerangkan kepada pengunjung blog ini tentang apa itu Wafdul Amin. Ia bererti "Wakil Al-Amin". Tapi bentuk program ini adalah berbentuk program anak angkat. Inilah masanya kami, melatih dan mentarbiyah anak-anak Al-Amin untuk menyantuni masyarakat terutamanya penduduk desa dan luar bandar. Melatih mereka untuk mempedulikan kepentingan kebajikan kepada masyarakat luar bandar serta menyemarakkan semangat memasyarakatkan minda semenjak di bangku sekolah lagi.

Alhamdulillah, blog saya ini adalah yang pertama melaporkan perkembangan terkini tentang perihal program ini walaupun sebenarnya mereka ada blog tersendiri, tapi saya lebih update dari mereka. Itulah kelebihan teknologi, jalur lebar tanpa wayar broadband sangat membantu jika kita memerlukan untuk sentiasa mengupdate. Mungkin para pengunjung blog ini, dapat sedikit sebanyak 'ibrah atau pengajaran yang dibawakan bersama-sama dengan laporan semasa program Wafdul Amin ini insya Allah.

Pada hari yang pertama program ini, peserta diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing. Beramah mesra dengan ahli keluarga angkat, mengenali dan cuba membiasakan diri dengan suasana kampung. Kawasan di sini, mempunyai kemudahan yang lengkap. Jalan raya lengkap, walaupun jalan kecil di tali air pun, sempurna diturapkan. Rumah-rumah penduduk pun dalam keadaan sederhana. Tetapi ada juga sebuah-dua yang berumah besar. Peserta dibahagikan dengan taburan yang sangat jauh. Jadi sangat susah untuk berjumpa di rumah angkat mereka. Memerlukan kenderaan untuk menghubungkan di antara satu sama lain. Maka di dalam program ini, penggunaan kenderaan sangat meluas digunakan seperti motorsikal terutamanya.

Pada pagi hari kedua program ini, kami bergotong-royong di sekitar kawasan kampung dan mengemaskan kebersihan masjid, kubur, dan dewan orang ramai. Semua peserta menunjukkan semangat tolong-menolong dan semangat berkebajikan membersihkan kawasan-kawasan tersebut. Kemudian di petangnya, kami berehat sebentar seterusnya pergi "ronda-ronda" kampung melihat aktiviti-aktiviti ekonomi masyarakat. Antaranya penghasilan kerisik, santan, dan kuih bangkit. Ya Allah!! Kuih bangkit dia..!! Memang terangkat!! Sedap sangat..!! Baru jer makcik tu masak, habis budak-budak ni perabeskan..termasuk saya sendiri yang menghabiskannya.

Aktiviti di malam hari, selalunya solat di Masjid Islah Kampung Pokok Tampang, bagi peserta yang ditempatkan di kawasan Kampung Lahar Tembun, mereka bersolat di masjid Lahar Tembun. Kami, guru lelaki yang mengiring para pelajar, tiba-tiba dijemput menjadi imam secara tiba-tiba ataupun memberikan kuliyyah subuh tanpa sebarang persediaan. Kami istilahkan, "Gorengan Ustad Al-Amin".

Ada satu cerita lucu ingin saya kongsikan bersama, ketika saya dilantik menjadi imam Solat Isya' pada malam semalam, sebelum solat Isya' tu, ada tahlil serta makan-makan, jadi saya ini orang yang makan lambat sedikit, tiba-tiba ada orang kampung cakap kuat-kuat; "Siapa makan last, dia pi basuh semua pinggan ni". Maka sayalah yang dimaksudkan, saya pun kutip la semua pinggan serta cawan yang tertinggal, sambil tu, ada pakcik ni tambahkan lagi piring serta cawan mana datang entah dan menyuruh saya membasuhnya. Saya pun buat la. Di waktu yang sama, ketua kampung melihat peristiwa ini, lalu dimarahinya pakcik yang menyuruh saya basuh pinggan tu; "Hangpa pi suruh ustad tu basuh pinggan pasai apa!!?", pakcik tu terus amik dulang yang diisi pinggan kotor untuk dibasuh dari saya sambil berkata; "Awat hang tak haba'q yg hang ni ustad!! Muka macam budak lagi..ingat budak sekolah laa".. Saya pun hendak menolong pakcik tu membasuh, tiba-tiba imam masjid tarik saya; "Takpa..takpa..bia'q depa yang basuih..ustad jemput jadi imam yaa"..

Hari ketiga program, lebih bersama keluarga angkat. Ketika waktu petang, ada perlawanan bola sepak dan bola jaring dengan remaja kampung. Orang kampung kata; "Kami orang kampung bukannya biasa maen bola'q ni..Mesti hangpa yang menang ni, hangpa siap dengan kasut bola lagu tu haa"..dan sememangnya wakil Al-Amin ini menang, tapi hadiah cenderahati tetap kita berikan kepada penduduk kampung.

Hari ini masuk hari ke-empat, kami baru pulang dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Mengikuti program motivasi, juga turut diundang remaja kampung yang berminat turut serta bersama kami. Sekali dapat motivasi KBM daa...berapa kali nak ikut KBM ni. Kemudian kami pulang dan terus menyertai solat Jumaat di sini. Uniknya masjid kami di sini, mereka menggunakan tabuh, tapi tabuh diperbuat dari kayu. Erm, bukan mereka menggunakan gendang besar. Setiap kali azan, pasti diketuk gendang itu sekuatnya, sampai ada peserta kita yang sedang solat sunat terdengar gendang tu secara tiba-tiba, terlompat dengan serta merta akibat terkejut mendengar bunyinya yang kuat seperti guruh berdentum, katak pun melompat.

Sekarang ini sedang berlangsung sesi pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada penduduk kampung. Kemudian malam nanti, akan diadakan forum perdana hal ehwal islam. Tapi bukan seperti yang di dalam rancangan RTM tu. Peringkat kampung sahaja. Insya Allah saya terpaksa pulang awal kerana ada mesyuarat penting. Tak dapatlah saya mengikuti program sukaneka dan majlis penutup nanti.

Sekian sahaja dari saya, Mohd Syariffudin bin Abu Kassim, dari Tasik Gelugor, Pulau Pinang. Akhir kata dari saya, majulah tarbiyah di Al-Amin untuk Islam kerana Allah. Sekian, wassalama.

Wednesday, December 9, 2009

Lekat dengan dialek Utagha...?

Ketika saya menulis blog ini, untuk maklumat para pembaca sekelian, saya kini berada di Kampung Pokok Tampang, Tasek Gelugo', Pulau Pinang, sedang mengikuti Program Wafdul Amin "turun padang" menyantuni masyarakat di sini dengan menjadi anak angkat mereka.

Alhamdulillah kami di sini semuanya dalam keadaan sihat sejahtera hendak-Nya. Walaupun ada yang demam, mana-mana aktiviti di sini, asyik membawa plastik ubatnya. Kesian melihatnya. Adakah dia menghidapi "home-sick" kerana berada jauh dengan keluarganya di Kuala Lumpur??? Siapakah dia??? Biarkan ia menjadi misteri pada para pembaca sekalian.

Untuk pengetahuan para pembaca, kini program Wafdul Amin sudah melalui hari yang kedua. Apa yang menariknya sehingga saya ingin berkongsi dengan anda semua, ialah gelagat anak-anak Al-Amin ni terhadap dialek penduduk setempat. Baru hari kedua, sudah mula ramai di antara peserta cuba untuk bertutur dengan dialek penduduk setempat. Mungkin hendak memenuhi hadith yang berbunyi: "Bertuturlah dengan luhjah (dialek) mereka" (H.R. Tirmidzi). Juga mereka benar-benar ingin mengamalkan pepatah Melayu berbunyi: "Pergi ke kandang kambing, mengembek. Pergi ke kandang rimau, kena makan kang".

Jadi bermacam-macam ragamlah yang menyuit hati saya. Antara peserta yang mengikuti program ini, kebanyakkannya lebih memahami dialek Orang Pantai Timur. Mungkin kebanyakkan dari mereka berasal dari sana atau kampung di sana ataupun membesar di sana atau selalu mendengar kaset-kaset ceramah yang mana penceramahnya dari sana. Kalau mereka bertutur dialek Orang Pantai Timur, memang jadi, kadang-kadang susah nak faham apa yang mereka tuturkan. Tapi bila ke sini, mereka hendak cuba bertutur Orang Utara (dalam sebutan berbunyi "Oghang Utagha"), memang lucu mendengarnya secara langsung. Berguling-guling dalam diam bila terdengar setiap istilah dialek ini yang mereka cuba tuturkan. Takut kalau menzahirkan gulingan itu, kecik hati pula mereka.

Antara kisah yang melucukan ialah; mereka cuba memahami bahawa dialek Orang Utara ini, hanya mengubah beberapa huruf pada hujung ayat sahaja seperti dialek Orang Johor seperti; bakor, Muor, melengkor, pagor, dan sebagainya. Jadi mereka mendengar dialek Orang Utara ini seperti menambahkan huruf "غ" pada setiap kali berjumpa dengan huruf "R". Ingat qiraat riwayat Warsy ker? Seperti orang menjadi oghang, utara menjadi utagha dan sebagainya.

Tapi yang lebih dasyat bila mereka tak habis mengaji atau tidak bertalaqi kepada yang ahli, mereka main sebut semua perkataan pun, hujung perkataan itu ditambahkan huruf "ع". Contohnya seperti ayat ini; "Jom pergi dewan" dengan disebut oleh mereka "Jom pi dewa'..", ataupun ayat ini; "Air kelapa ni sedap sangat" dengan disebut oleh mereka; "Aya'q kelapa'q ni'q seda'q sanga'q..". Walhal cara sebutan mereka lebih mirip dengan dialek Orang Kelantan. Sepatutnya sebutannya mengikut riwayat Orang Penang adalah seperti ini; "Aya'q nyo' ni sedap naa.."

Memang terjadi suatu ketika di sini, ketika orang kampung memberi penerangan tentang tali air di sini kepada para peserta, diceritakan tentang perihal padi tanaman mereka, orang kampung itu di dalam taklimatnya diselitkan banyak istilah-istilah lucu, buat lawak bagi depa ceria la lepah penat ronda-ronda kampung. Tapi mereka terlopong dan tekun mendengar taklimat tersebut tanpa sebarang perasaan. Sedangkan saya dan orang kampung yang ada dalam sesi taklimat tersebut telah gelak besar akibat lawaknya, tapi mereka menopong je..kalau ada video cam tu..pergh..sonok rakam gelagat depa lagu tu. Hahaha!!

Ada juga dikalangan mereka merajuk dengan saya sehingga berkata kepada saya; "Haa..gelak la..biar dia jelah yang paham". Ada juga yang dengki dan menjadi saya tukang penterjemah mereka. Setiap kali istilah dialek tempatan ini yang mereka tak paham, pasti terus bergegas mereka mencari saya untuk bertanyakan tentang maksud itu, ataupun dengan lebih mudah, perkhidmatan pesanan ringkas, SMS. Orang kampung menemui cara penyelesaian yang terbaik untuk mengatasi masalah ini, jika istilah yang mereka sebutkan tidak dapat difahami oleh para peserta, orang kampung akan speaking London la. Tera jugak depa dok sepiking london. Teruk bebenor gamaknya guna bahasa Penjajah nak paham apa orang Malaysia haba'q mai.

Tapi, ada juga yang bagus ketika mereka bertutur dengan dialek tempatan. Ada juga yang sedang mencuba dan cepat belajar untuk menguasainya. Sebenarnya seronok dengan orang-orang veteran di sini bersembang, ada sahaja cerita yang mereka buka, terutamanya bila mereka cerita gelagat anak-anak angkat mereka ini. Lucu benar.

Nampaknya, seharusnya Kerajaan menambah lagi satu matapelajaran lagi di peringkat UPSR, PMR, dan SPM tentang dialek-dialek di Malaysia sebagai memenuhi hasrat kerajaan untuk membentuk gagasan Satu Malaysia. Walau apa pun kita, walau bagaimana cara sebutan pun kita, kita semua rakyat Malaysia. Kerana itu Allah menciptakan kita berbagai-bagai jenis. Untuk apa, saling berkenalan. Ni dah kenal loghat utagha, lepah tu boleh mahir loghat utagha ni. Lepas tu kita buat pada Bahasa Arab pula...hehe.

Wednesday, December 2, 2009

Ada sesuatu yang MISTERI pada Keyboard anda!!!

Ketika anda membaca penulisan saya kali ini dalam ruangan blog ini, saya ingin berkongsi suatu perkara yang tak pernah kita terfikirkan pun. Maka saya ingin mengajak anda semua ke suatu ruangan serta masa untuk berfikir sejenak dengan melihat keyboard anda atau diterjemahkan secara harfiyahnya ialah Papan Kekunci.

Cuba lihat pada Papan Kekunci anda sekarang!! Apa yang anda nampak? Mestilah yang anda nampak itu Papan Kekunci anda..muahahahaha!!!

Tapi yang lebih misteri, pada butang huruf "F" dan juga butang huruf "J", ada sesuatu yang terbonjol keluar dengan melintang. Tak boleh dibuang daripada butang Papan kekunci itu. Tiba-tiba saya bertanya kepada diri saya sendiri; "Kenapa ada benda ni?".

Jika dilihat pada mana-mana Papan Kekunci yang ada di pasaran ataupun milikan persendirian pada mana-mana set komputer pun, pasti ada benda ini. Seolah-olah menjadi rukun sah bahawa sesuatu itu adalah Papan Kekunci, mesti ada benda itu. Jika anda kenal typewriter, yang bising tu, pun tetap ada juga benda ni.

Pernah soalan ini diajukan kepada Guru ICT ketika saya berada di alam persekolahan, dia menjawab;" Entahlah, agaknya fungsinya kalau kita tekan, nanti keluar huruf "F" dan "J" jelah kot..hehe". Katanya lagi; fungsi untuk memudahkan menempatkan jari pada butang-butang di Papan Kekunci itu. Supaya lebih mudah menaip dengan pantas, kerana kita sudah tahu pada setiap jari ni akan menekan butang huruf apa. Kemudian dia menyarankan untuk saya mengambil kursus menaip. Ketika itulah baru saya tahu apa fungsinya sebenarnya.

Pada butang "F" itu, diletakkan jari telunjuk tangan kiri anda, dan pada huruf "J" itu pula diletakkan jari telunjuk tangan kanan anda. Jadi tangan anda tidak perlu diangkat atau digerakkan tangan anda hanya untuk menaip. Sebenarnya pada jari-jari kita ini, semuanya memainkan peranan dalam menaip. Saya pun tak ingat huruf-huruf apa yang akan ditekan oleh jari-jari kita ini. Tapi apa yang penting, untuk membuatkan cara pentaipan kita lebih pantas dan lancar, jari-jari inilah yang memainkan peranan semuanya.

Tapi kita tak sangka bahawa perkara ini sudah menjadi standard bagi sesebuah Papan Kekunci seluruh dunia. Tak kiralah Papan Kekunci bagi bahasa Arab, bahasa Rusia, bahasa Jerman atau bahasa apa pun, semuanya menggunakan kaedah yang sama. Walau apa pun bentuk Papan Kekunci itu, ia tetap perlukan benda ini. Inilah yang dimaksudkan "Set lengkap Teknologi dibukuskan bersama". Maksudnya, standard pengeluaran sesuatu bahan berteknologi, perlu ada manualnya. Cara penggunaannya adalah bersifat 'alami (antarabangsa)!!!

Kalau standard keyboard ini mampu membuatkan seluruh umat insan mengikut standard yang sama, mengapa tidak Al-Quran itu sendiri diperlakukan sebegitu kepada semua manusia hari ini ya? Sedangkan kita diciptakan ke dunia ini pun, mesti ada panduan penggunaan hidup kita. Sudah Pencipta kita berikan kepada kita. Tapi kita seperti keyboard ini.

Bila beli keyboard, tak belajar pun cara guna keyboard, tiba-tiba dah terus pasang pada desktop dan boleh menggunakannya? Terus taqlid buta dalam kehidupan kita. Try and error. Kita tak pernah terfikir kenapa susunan huruf pada butang-butang Papan Kekunci kita disusun berterabur? Kenapa tidak disusun sepertimana yang kita belajar semenjak kecil lagi? Kita tidak pernah tahu mengapa ia diciptakan sedemikian sedangkan semuanya ada sebabnya.

Jadi adakah kita tahu mengapa kita diciptakan seperti yang sedia ada ini? Lahir-lahir sahaja kita di dunia sudah ada tangan, kita tahu pula tangan kita ini boleh buat apa. Tapi kita tahu tak mengapa ia diciptakan sedemikian? Kalaulah kita tidak diciptakan bersama tangan kita ini, apa yang akan jadi pada kita? Mungkin seperti keyboard yang tiada butang "Enter". Kalaulah butang-butang pada Papan Kekunci ini boleh bercakap, pasti huruf "Q" mengadu; "Kenapa aku paling jarang sekali ditekan?". Biarlah jarang ditekan, asalkan ia tetap berfungsi.

Peringatan saya kali ini, sedarlah mengapa kita diciptakan seperti sedia ada. Ada yang tampan, ada yang cantik, ada yang gemuk, ada yang kurus. Sejauh mana kita memenuhi fungsinya pada diri kita. Dan Sejauh mana kita menjaga serta memelihara fungsinya itu.