Monday, May 31, 2010

Kebangkitan masyarakat terhadap isu Palestin


Kita dikejutkan dengan berita yang menggemparkan dunia yang membuktikan perbezaan di antara hak dan yang batil. Perkara yang baik dan sebaliknya. Itu terlalu jelas telah dibuktikan dengan kejadian serangan Tentera Negara Haram Israel ke atas kapal konvoi kemanusiaan, Floatilla yang membawa delagasi VIP (ahli parlimen dari EU dan Negara-negara Berkecuali) dan juga bantuan kemanusian seperti ubat-ubatan, bekalan makanan dan bahan binaan.
Tentang Mavi Mamara itu pula adalah terdapat rakyat Malaysia yang ada di dalamnya.Mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang bantuan kemanusiaan ke Gaza ini. Mungkin sekali ada yang tertanya kenapa mesti melalui laluan laut? Mungkin juga ada yang tertanya mengapa kapal yang datang secara aman, diserang pula?



Bila dilihat di dalam berita-berita untuk mengetahui perkembangan terkini tentang delagasi kemanusiaan yang berprofail tinggi ini, membuatkan saya terkenang semula tentang penjajahan Amerika Syarikat ke atas Negara Iraq pada 2003. Juga teringat pada penghujung tahun 2008, serangan Israel ke atas kawasan penempatan di Gaza. Apa yang mengingatkan saya ialah; ketika itu, berita-berita ini membuatkan kepedulian kita kepada umat Islam begitu tinggi.


Sekaligus, peristiwa-peristiwa seperti ini memanggil semua orang yang mempunyai perasaan kepedulian yang tinggi, rasa terpanggil untuk mengambil tahu mendalam lagi tentang hal terkini tentang peristiwa-peristiwa ini. Dapat dilihat juga dengan peristiwa terbaru serangan ke atas kapal bantuan kemanusiaan ini, begitu ramai orang yang bangkit mengutuk tindakan zalim Israel itu.
Misi mereka menghantar bantuan adalah sebagai membuku mata dunia tentang kekejaman satu puak di dunia ini demi kepentingan mereka sendiri. Dengan tema "break the Siedge", iaitu menembusi Tembok Kematian yang dilakukan oleh Israel ke atas penduduk Gaza semenjak Hamas menguasai kawasan Gaza itu dari pentadbiran Palestin yang tidak rasmi itu. Mereka memulakan sekatan dengan menyekat kewangan masuk kepada kerajaan yang ditadbir oleh Hamas. Kisah Tembok Pemisah itu, lebih tersurat dari segala yang tersirat. Apabila kakitangan awam kerajaan Hamas tidak dapat gaji, bagaimana pusingan kewangan untuk negara Palestin itu boleh diperbaharui.
Tiada duit bagaimana boleh membeli barang, kemudian peniaga rugi kerana tiada wang untuk menjadi modal perniagaan. Kemudian selepas Perang al-Faruk (perbezaan antara yang batil dan yang haq) pada 2008, lebih teruk lagi Israel menyekat dengan segala bentuk baik dari segi bantuan perubatan mahupun kemanusiaan. Maka, kini dengan inisiatif pelbagai pihak termasuk penguasa-penguasa negara, cuba campur tangan untuk menghulurkan bantuan kemanuasiaan kepada rakyat Palestin di Gaza. Mereka telah memberikan sumbangan. Bagaimana pula kita??

Saya terpanggil dengan ajakan sahabat saya; "Dengan apa yang kita mampu bantu untuk permasalahan seperti ini? Seharusnya kita menggunakan apa yang kita ada untuk membantunya! Apa yang kita mahir! Kalau ada blog..update!! Maklumkan yang pasal ini. Kalau ada facebook, gunakan ia."

Sebenarnya, bukan mengutuk tindakan itu sahaja yang kita mampu. Tapi kita juga mampu menarik hati manusia dengan menanamkan rasa kepedulian kita dalam isu hal umat Islam. "Barangsiapa yang tidak mengambil tahu tentang hal umat Islam hingga dia tidur, maka dia bukan dari kalangan mereka (umat Islam)."[ H.R Muslim]. Memahamkan tentang isu sedunia tentang isu di Palestin. Dan membuktikan kepada orang sekeliling kita, siapa pengganas sekarang?

Sebelum ini, kita dikejutkan dengan berita tentang Facebook yang membuat pertandingan tentang Hari Melukis Nabi Muhammad s.a.w. Seluruh Ummat Islam bangkit mengutuk tindakkan itu yang mencemuh dan menghina Nabi Muhammad s.a.w. Tidak semua yang bangkit menyuarakan tentang hal itu. Tetapi, apabila isu tentang serangan seperti ini, terus seluruh umat manusia dari seluruh dunia bangkit menyatakan kemarahan mereka termasuk dari kalangan orang-orang politik, pemimpin-pemimpin negara turut bangkit mengutuk serangan tersebut. Malah ada yang bertindak mendesak untuk mendapatkan inkuiri (laporan siasatan segera) di atas tindakan tersebut.



Ada video yang saya lihat di Al-Jazeera.net, terdapat banyak tunjuk perasaan sebagai membantah dan mengutuk keras tindakan melampau Tentera Zionis Israel itu terhadap kapal yang membawa bantuan kemanusiaan dari seluruh negara serentak ia dilakukan pada hari ini tanpa rancangan. Inilah sambutan secara langsung terhadap peristiwa yang tidak diterima melalui akal manusia yang waras. Kekejaman ini ditolak sepenuhnya tanpa tangguh di atas kebiadapan Tentera Israel itu.

Di dalam laporan Al-Jazeera.net (versi Arab), melaporkan bahawa perhimpunan rasmi di Paris sahaja, telah menghimpunkan seramai 100,000 orang aktivis berhimpun di perkarangan kota Paris untuk mengutuk kezaliman Tentera Israel (al-mujrimuun). Begitu juga berita dari Ankara, Turki yang melaporkan; seawal 6.45 pagi (waktu tempatan barangkali), para pemuda Turki telah berhimpun di hadapan kompleks kedutaan Israel dan menyerbu ke bangunan itu sambil melaung-laungkan "Anti-Israel".


Bahkan di Malaysia juga, persatuan NGO-NGO Islam telah berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat untuk menyampaikan memorendum bagi membantah tindakan Israel Zionis itu. Sayangnya saya tidak dapat pergi ke penyerahan memorendum tersebut kerana sedang bekerja. Apa yang menariknya, ialah isu Palestin sekarang, bukan lagi isu bangsa Arab sahaja dan bukan juga isu umat Islam sahaja. Tapi ia adalah isu sedunia. Seluruh dunia sekarang ini sedang memandang dan bertumpu kepada isu pencabulan kemanusiaan yang berlaku sekian lama di muka Bumi ini.


Mungkin inilah yang ingin Allah menampakkan kepada seluruh dunia setelah bertahun-tahun lamanya dunia di buta-tulikan oleh Israel tentang "kerja-kerja suci" mereka (kerana mereka beriman bahawa bangsa selain mereka adalah kedai dan seharusnya mereka jadikan selain daripada mereka ini sebagai tunggangan mereka). Sedangkan Allah telah menceritakan kezaliman mereka yang berkurun lamanya dahulu telah membuat kerosakkan di muka Bumi.

Wednesday, May 26, 2010

Seronoknya Menjadi Pengawas Peperiksaan

Tahun ini, sekali lagi saya menjadi Pengawas Peperiksaan bagi Musim Peperiksaan Semester Pertama ini. Bila dikenangkan semula, banyak pengalaman pahit manis sebagai seorang Pengawas Peperiksaan.

Bagi para penziarah blog ini mahupun penggemar membaca terutamanya yang pengunjung setia blog ini, jika anda membaca penulisan yang terdahulu, anda anda mungkin juga membaca suasana serta pengalaman yang menarik saya sebagai seorang Pengawas Peperiksaan.

Seronok melihat gelagat pelajar-pelajar mencari ilham untuk menjawab. Ada yang menconteng meja, kertas mahupun tangan sendiri semata-mata untuk mencari ilham. Ada pula yang termenung jauh ke ceruk pedalaman hutan. Ada pula yang buat berbagai-bagai ragam untuk menarik perhatian orang.

Tergelak juga melihat gelagat mengantuk mereka dengan berbagai-bagai cara tidur. Adakalanya, pelik juga melihat gaya menulis pelajar-pelajar ini dengan cara yang pelik lagi mustahil. Sekiranya orang biasa cuba meniru gaya menulisnya, boleh jadi terpatah tangannya. Dia menggunakan tangan kirinya sambil membengkokkan pergelangan tangan rapat ke lengannya untuk menulis. Mustahil bagi saya selaku orang biasa yang melihat cara pergerakan ini.

Ada pula yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan jawapan, dalam soalan Pendidikan Syari'ah Islamiyah tadi, ada perkataan حلاوة (halawah). Saya pun sebutkan kerana mungkin dia tak reti menyebutnya. Kemudian dia bertanya "Apa tu?". Saya menjawab "Sejenis kueh yang kalau makan, ada rasa manis". Terus dia mengerutkan wajahnya dan berkata "Apa kene-ngena kueh dengan iman? (sebab ayat tu حلاوة الإمان).

Banyak lagi gelagat-gelagat pelajar hari ini yang melucukan. Itulah gunanya peperiksaan, untuk melihat maklum balas sejauh mana pemahaman pelajar terhadap pelajaran yang diajarkan kepada mereka. Sehingga pada saat diuji pun, mahukan pertolongan juga. Ujian di dunia ini sentiasa berlaku, Bahkan kita sendiri tidak sedar yang kita sedang diuji. Bagaimana pula kita hendak menghadapi ujian-ujian yang sangat bermakna di dunia ini untuk mengesahkan kita menduduki di Taman-taman Abadi.

Moga-moga kita semua menyedari yang kita sekarang ini sedang diuji. Ujian yang pasti dan inilah yang akan menentukan kita sesuatu yang baik kepada kita atau sebaliknya. Peperiksaan bukan segala-galanya. Tapi ia adalah permulaan untuk segala-galanya.

Tuesday, May 25, 2010

Apabila cermin di Makmal dipecahkan oleh Bola

Pada suatu petang yang indah, kanak-kanak bermain-main dan beriadah menikmati petang yang indah itu dengan bermain bola di dataran yang terletaknya di hadapan makmal sekolah. Sungguh meriah suasana di sekolah pada petang itu dengan hingar-bingar yang diwarnai oleh suara kanak-kanak mahupun para remaja yang sedang bermain bola.

Sungguh indah lagi pada petang itu, para remaja dan kanak-kanak itu menyudahkan solat Asar dahulu barulah mereka bergembira sesama mereka di dataran itu bersama dengan bola mereka itu. Sekejap mereka ke kanan dataran, sekejap mereka ke kiri dataran, mengejar bola yang berputar-putar kerana disepak-sepak mereka. Mengikut sahaja ke mana bola itu pergi dan semua penghuni dataran itu berpusu-pusu mengejarkan bola tersebut.

Sekali-sekala, terdengar juga sorakan mereka meraikan jaringan yang mereka hasilkan. Sekali-sekala terdengar juga keluhan mereka kerana jaringan mereka tersasar. Saya melihat gaya dan rentak permainan mereka sambil menikmati keindahan petang yang baru surut dari deraian hujan petang. Dari jauh menyaksikan permainan yang berlangsung di dataran itu, kadang-kadang terhibur juga melihat gelagat mereka.

Di pendekkan cerita tanpa niat untuk bernovel. Keindahan petang itu dihiasi lagi dengan satu bunyi yang agak kuat. Tiba-tiba sahaja di dalam kemeriahan permainan itu, bunyi kaca pecah berderaian jatuh ke Bumi satu per satu. Pecahnya kaca tingkap memecahkan suasana yang indah itu. Sejurus ketika itu, semua mata yang ada berdekatan dengan dataran itu semuanya berliar mencari punca bunyi itu. "Dari manakah datangnya bunyi itu?" kataku dengan perasaan inkuiri yang sangat tinggi?

Apabila melihat sebiji bola melantun rendah ke Bumi di depan Makmal Fizik, dan ada pula seorang pelajar yang pergi dapatkan bola itu. Maka sah la cermin tingkap di Makmal Fizik telah pecah. Selepas bola itu diambil, maka keriangan itu bersambung semula di dataran. Kembali semula mengejar mendapatkan bola untuk disepak-sepak. Kaca-kaca tingkap yang bersepai bertaburan di Bumi Makmal Fizik itu terus bersinar kaku di tempatnya tanpa dihiraukan sedikit pun. Seolah-olah tiada apa yang berlaku pada Makmal Fizik.

Bunyi yang bising tadi itu, hanyalah sebagai tanda rehat sebentar kerana ia menggemparkan sekitar Bumi Al-Amin. Semua orang menyambung urusan mereka selepas berhenti sebentar melihat pecahnya tingkap tersebut. Saya mula bermonolog "Hmm..Sekarang ini kena bertugas". Saya terus ke makmal tersebut untuk membersihkan sisa kemusnahan tersebut. Buka pintu makmal, ambil penyapu dan penyodok, terus membersihkan sisa-sisa yang bertebaran di kawasan depan makmal itu dengan serpihan kaca-kaca. Sebagai Pembantu Makmal, ini adalah sebahagian tugasku.

Sedang saya menyapu sisa-sisa tersebut, datang seorang pelajar ingin membantu. Saya katakan kepadanya "Tak mengapalah, memang ini tugasku", kemudian dia menjawab: "Tapi saya yang pecahkannya". Saya membalas: "Bukan kamu, tapi bola itu. Sedang kamu semua tahu bahawa dataran ini bukan tempat bermain bola sepak, tapi kamu main juga. Apabila berlaku akibat seperti ini, siapa yang menyepak mengenai tingkap tersebut, dialah pesalah, bagaimana pula yang lain? Adakah mereka tak bersalah?". Terkesima pelajar itu tertunduk merasa bersalah jelas terpampang di wajahnya.

Pujukku kepadanya: "Beginilah, kalau rasa bersalah sangat, pergi ke pejabat bayar dendanya. Selepas ini, fikir dulu apa akibat sesuatu bila kamu melakukan sesuatu. Tiada dendaan yang setimpal untuk hal ini. Andai kata kamu ingin menebusnya dengan menyapu saki-baki pecahan cermin tingkap yang bersepah ini. Selepas kamu siap menyapu, mungkin cermin tingkap yang lain pula akan menimpa nasib yang sama, selagi bola itu riang berguling-guling di dataran akibat sepakan kaki kamu dan rakan-rakan kamu".

Pelajar itu kebingungan. "Jadi, apa yang perlu saya buat?", tanya pelajar itu. "Jangan main bola di tempat yang tidak sepatutnya dan beristighfarlah", jawabku kepadanya. Pelajar itu terus menundukkan kepalanya melihat kasutnya (agaknya). "Pergilah kamu kepada rakan-rakanmu dan sambunglah keriangan kamu di petang yang indah ini. Biarlah saya dengan tugas saya ini. Pergilah", ucapku menyudahkan perbicaraan ringkas ini. "Terima kasih bang", ucapnya lalu pelajar itu memalingkan dirinya dan terus berlari kepada rakannya.

Saya menyiapkan sapuan itu dan sesudahnya, saya pulang kembali ke rumah. Begitulah cerita yang diungkap oleh seorang Pembantu Makmal tentang suatu petang. Seperti tiada apa yang berlaku dan tidak perlu hendak diperbesar-besarkan kerana hal yang remeh.

Thursday, May 20, 2010

Hari-hari dilalui Guru

Mungkin setiap kali 16 Mei, semua mengingati satu sambutan yang meraikan guru-guru anda. Ketika itu ramai murid-murid meraikan guru-guru mereka dan memberikan hadiah sambil mengucapkan "Selamat Hari Guru".

Saya yang sekarang ini bekerja dengan guru-guru saya, melihatkan kehidupan mereka melalui hari-hari mereka sebenarnya sangat sukar dari apa yang kita sangkakan sebelum ini. Sangatlah saya bersyukur pada Allah kerana memberi peluang untuk bekerja bersama-sama mereka dan menghayati kehidupan mereka ini.

Walaupun dahulu, saya ini adalah murid mereka, tapi mereka melayan saya seperti rakan sekerja mereka sendiri. Tapi bila bersama dalam perbualan dan perbincangan mereka, ziarah ke rumah mereka, melihat sendiri kehidupan yang mereka lalui, suatu pengalaman yang tidak dapat diceritakan. Hanya perasaan yang tercoret di dalam ingatan ketika melihat kehidupan-kehidupan mereka.

Memang patutlah diucapkan selamat kepada para guru agar mereka semua sentiasa dilimpahkan keselamatan dan rahmat Allah kepada mereka. Sepatutnya perlu diucap selalu dan didoakan selalu kepada mereka ini.

Adakala emosi mereka terganggu, kesabaran melangkaui had, tekanan menambah, tapi mereka tetap terus menjalankan tugas. Adakala mereka terhibur melihat gelagat anak-anak murid. Adakala mereka menanggung kesedihan akibat kegagalan mereka. Tapi itu semua hanya mereka yang bergelar guru sahaja mengetahuinya.

Mudah-mudahan semua guru-guru terus diberkati Allah.

Wednesday, May 19, 2010

Selamat Menghadapi Peperiksaan!!


Kepada semua pelajar-pelajar sekolah di pelusuk Malaysia yang sedang dan akan menghadapi peperiksaan Semester Pertama untuk tahun ini, saya selaku salah seorang Pembantu Makmal di Malaysia mewakili seluruh Kesatuan Pembantu Makmal Sedunia ingin mengucapkan Selamat Maju Jaya!!!


Berusaha sedaya mungkin, beribadah bertaqaruub dengan Yang Maha Membantu, berdoa mengharapkan redhonya, redho dengan segala yang dihadapi. Insya Allah, itulah sedikit tips yang saya dapat kongsikan bersama anda semua.


Rasa rindu pula dengan suasana peperiksaan. Dah lama saya tak melalui zaman-zaman indah ketika menghadapi peperiksaan dulu. Mungkin suatu hari nanti, akan tiba juga saat indah itu sekali lagi...Insya Allah.

Thursday, May 13, 2010

Musafir Terakhir


Petang semalam, saya dikejutkan oleh satu berita yang menggemparkan melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) di telefon bimbit saya. Berita itu merujuk kepada berita kematian al-Marhum Abuya Haji Ashaari bin Muhammad, pengasas Kumpulan Al-Arqam yang dikaitkan dengan penyelewengan aqidah suatu masa dahulu.



Walaupun sebelum ini, ketika pengharaman Al-Arqam, masih ramai lagi yang bercakap-cakap tentang Al-Arqam dan juga tentang Abuya sendiri. Bermakna sentuhan Abuya Ashaari sebelum ini pada pergerakan Al-Arqam sangat memberi kesan kepada perkembangan gerakan kumpulan ini.

Terus terkenang pengalaman saya bersama dengan Abuya Ashaari secara langsung. Walaupun usia saya masih sangat muda ketika itu (umur 6 tahun), pergi ke Zoo Negara bersama-sama dengan kumpulan Al-Arqam ini termasuklah Abuya Ashaari itu sendiri. Dia mengajarkan saya tentang Pencipta haiwan-haiwan di Zoo ini. Ketika itu, terasa penanaman kepentingan aqidah pada diri saya walaupun masih kanak-kanak yang tak tahu apa-apa sangat, tapi saya mengakui sentuhannya memang mendalam.

Kemudian kumpulan nasyid bersama-sama kami mengajak menyanyikan nasyid "Bermacam-macam binatang..yang ada di dalam hutan"..hehe..lepas tu tak ingat..

Beliau sangat peramah dan mesra pada kanak-kanak. Sehinggakan beliau menyuapkan nasi terus ke mulut saya, dan baki daripada suapan itu, dia pula yang memakannya. Itu perkara yang saya tidak dapat lupakan.

Tidak lama selepas itu, berlakunya pengharaman kumpulan Al-Arqam ini. Saya tidak lagi mengenali dengan lebih rapat tentang gerakan ini. Tapi sentuhannya masih diingat sehingga ke hari ini walaupun jasadnya tiada lagi. Al-Fatihah untuk al-Marhum.

Tuesday, May 11, 2010

Obama Kutuk iPod, Xbox dan Playstation

Sangat terkejut diantara pemimpin dunia yang berani menghentam peralatan hiburan yang termasyhur dikalangan orang muda hari ini. Hari ini, ramai orang mengenali tentang peralatan permainan seperti iPod, Xbox, PSP, Playstation dan sebagainya. Peralatan permainan inilah yang digemari ramai orang untuk mereka bermain.

Bermain tidak mengenal waktu sehingga lalai dengan masa sebenar mereka yang terus meninggalkan mereka yang kelalaian. Lebih menakutkan lagi, saya ada terdengar dari beberapa orang ayah, bahawa anaknya memberi alasan tidak mahu pulang ke kampung kerana di kampung tiada game, jadi mereka belikan PSP untuk mereka. Apa yang jadi jika anaknya mendapat PSP itu di kampung? Seperti kera sumbang, terperap di bilik sendiri dengan PSP sahaja. Walaupun berziarah ke seluruh kampung, tidak lepas dengan PSP.

Apakah kita mahu hiburan ini yang mendidik anak bangsa kita?

Kerana itulah, Presiden Obama juga sedar tentang bahaya yang bakal menimpa pada generasi akan datang jika permainan elektronik ini berleluasa sangat. Pemikiran anak-anak akan dibentuk hanya mahukan hiburan sahaja. Tidak mahu yang lain. Dari situlah datang perasaan memberontak. Di sekolah tidak best, tiada hiburan. Jadi rasa memberontak dan lebih teruk lagi membawa kepada pelbagai masalah displin.

Presiden Obama berkata di dalam video tersebut: "And meanwhile, you're coming of age in a 24/7 media environment that bombards us with all kinds of content and exposes us to all kinds of arguments, some of which don't always rank that high on the truth meter. And with iPods and iPads and Xboxes and PlayStations — none of which I know how to work — information becomes a distraction, a diversion, a form of entertainment, rather than a tool of empowerment, rather than the means of emancipation. So all of this is not only putting pressure on you; it's putting new pressure on our country and on our democracy."

Lebih kurang la kot..hehe

Bukannya tak boleh berhibur langsung, tapi janganlah berlebih-lebihan. Cukup untuk melepaskan tekanan cukuplah.

Sunday, May 9, 2010

Ada apa dengan Orang Muda?

Orang muda hari ini adalah orang yang penting untuk generasi akan datang. Telah menjadi fitrah alam, bahawa pasti akan ada yang mati dan ada juga yang lahir ke dunia ini. Hampir setiap hari, pasti kitaran ini akan terus berlangsung. Hampir setiap tahun, pasti akan ada yang menggantikan tempat. Yang kecil menggantikan yang muda, yang muda pula menggantikan mereka yang tua.

Adakah orang muda hari ini sedar tentang kepastian hal ini? Adakah mereka sedar tentang bahawa kehadiran mereka itu sangat penting untuk kebangkitan bangsa dan masa depan negara?

Saya tertarik dengan kebangkitan-kebangkitan yang dianggotai oleh barisan pemuda-pemudi. Memang hampir setiap catatan sejarah telah membuktikan, bahawa pengerak kepada perubahan secara total telah digerakkan atau dibangkitkan oleh golongan muda. Gerakan Reformasi Perancis (yang menggulingkan Sistem Beraja Perancis), Gerakan Turki Muda (yang menggulingkan Khalifah Islam Uthmaniyah), Gerakan Koumintang (yang menggulingkan Dinasti Ching, China) dan sebagainya.

Semuanya mendakwa kebangkitan mereka ini membawakan kebaikkan untuk generasi akan datang. Begitu juga yang berlaku kepada perkembangan Dakwah Islam yang digerakkan pada peringkat awal yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. dan juga para Sahabat r.ahm. Kebanyakkan mereka juga digerakkan oleh para pemuda. Turut yang mempertahankan Islam itu juga adalah dari kalangan pemuda.

Kerana itulah banyak para pemikir-pemikir idealogi, dalam menggerakkan idealisme mereka itu, kebanyakkannya sasaran mereka ialah dari kalangan para pemuda. Begitulah sepertimana yang diungkapkan oleh Mao Zedong, Pengasas Parti Komunis di China yang mengumumkan Revolusi Kebudayaan. Katanya di dalam The Red Book: "Orang Muda yang mendokong Revolusi ini adalah tiang Revolusi, orang yang tidak bersama dengan Revolusi adalah musuh Revolusi dan kamulah (Pemuda) pembela Revolusi".

Presiden Indonesia yang Pertama, Seokarno juga pernah berkata tentang pemuda: "Berikan aku 10 orang pemuda, nescaya akan aku gegarkan dunia ini dengan mereka". Fidel Castro juga mengakui, tanpa pemuda-pemuda seperti Che Guevara, mungkin idea Sosialis tidak akan bertapak di hati pemuda hari ini.

Sehinggakan Hassan al-Banna juga membenarkan tentang kelebihan bagi memiliki kekuatan pemuda. Ada 4 kelebihan bagi orang muda yang tidak ada pada kanak-kanak mahupun golongan tua. Itulah dia keimanan (keyakinan), keikhlasan, semangat dan amal kerja yang kuat.

Jika seorang pemuda meyakini sesuatu, sampai ke mati dia akan meyakini tentang hal itu. Boleh lihat dengan barisan Hitler Youth, walaupun Berlin telah ditawan, mereka sanggup berjuang lagi mempertahankan idealogi yang telah didoktrinkan kepada diri mereka. Begitu juga dengan The Red Guard di China ketika menggerakkan Revolusi Budaya. Mereka sanggup bunuh orang tua (ibubapa) mereka kerana hendak merealisasikan tuntutan di dalam The Red Book.

Ikhlasnya para pemuda China ketika di Dataran Tianmen, Beijing, China membuat perhimpunan aman. Mengumpulkan semua pelajar di seluruh pelusuk China membuat perhimpunan aman pada 27 Mei 1989 untuk menuntut apa yang terbaik untuk rakyat China iaitu menyelamatkan rakyat dari inflasi. Mereka datang dari pedalaman tanpa meminta mereka dibiaya dalam perhimpunan tersebut. Sanggup mengeluarkan duit simpanan sendiri untuk menjayakannya. Sehingga mampu membeli batu setinggi 8 meter untuk diukir "Goddess or Democracy" di dataran tersebut.

Kalau kita hanya mengikut sesuatu yang tidak pasti. Selamanya kita sendiri tidak pasti perjalanan hidup kita. Sedangkan Islam telah menjelaskan tujuan yang pasti kepada kita. Kenapa tidak kita memilihnya? Adakah dengan memilih Islam sebagai Cara Hidup, hidup kita macam tidak ada life? Tak best? Kolot?

Perlukah kita membiarkan sahaja pemikiran kita ini dijajah dengan musuh Islam? Menambahkan karat-karat Jahiliyyah di dada kita sendiri?