Bila melihat kelendar Islam tadi, tiba-tiba terfikir sejenak dalam keadaan ingin bermuhasabah. Rupa-rupanya hari ini sudah 22 Jamadil Akhir 1430. Masa begitu cepat berlalu. Sememangnya sangat rugilah bagi semua manusia ini yang berlalu hari-harinya, tidak ada sebarang perubahan. Berlalu pula bulan demi bulan, juga tiada perubahan. Berlalu pula tahun demi tahun, masih tiada perubahan.
Kita termotivasi menghitung hari akan suatu peristiwa besar yang akan kita tempuhi contohnya bagi pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan besar seperti UPSR, PMR, SPM, STPM, STAM dan yang sama waktu dengannya, pasti sekarang ini sudah mula menghitung hari. Jika ditanya "Berapa hari lagi nak PMR?", pastinya ada yang dapat menjawab "116 hari lagi" (ntah betul atau tak).
Apa tujuannya menghitung hari untuk menghadapi peperiksaan besar ini? Menurut kebanyakkan pengamal motivasi pelajar sekolah, gunanya adalah sebagai persediaan kita untuk menghadapi peperiksaan tersebut dan mampu membahagikan masa sebaiknya agar persediaan para pelajar benar-benar mantap. Itulah dinamakan sebagai "Study smart".
Kalau orang yang sudah hampirnya masa untuk membina rumahtangga pula, macam-macam persiapan yang mesti dibuat untuk melancarkan majlis perkahwinan mereka. Nak kena confirmkan Tok Qadinya, siapkan mas kahwinnya, baju melayu nak kena gosok lagi dan macam-macam, seolah-olah nak pergi camping pula.
Itulah hakikat kehidupan yang mana setiap manusia pasti membuat persiapan secukupnya sebelum menghadapi sesuatu agar mereka dapat menghadapinya dengan mudah. Tapi kita terlupa pula untuk mempersiapkan diri untuk menghadapi bulan Ramadhan pula. Kita tahu di dalam bulan Ramadhan ada satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Alangkah baiknya dapat mengkhatamkan al-Quran di dalam bulan Ramadhan. Ada pula ibadah yang istimewa di mana hanya di dalam Ramadhan sahaja yang ada ibadah ini iaitu solat Tarawikh. Puasa memang wajib. Untuk apa pula?
Haaa..ramai yang apabila tiba bulan puasa ini, mengeluh kerana kepenatan dan tidak laratnya. Mengapa? Mungkin tak biasa untuk menghadapi puasa setiap hari walaupun hari Sabtu dan Ahad. Rasa susah pula nak khatamkan al-Quran dalam satu bulan. Rasa nak beli macam-macam pula di bazaar Ramadhan nanti. Kenapa hal itu terjadi? Mungkin kerana kita tidak bersedia untuk melalui semua itu.
Maka, kenapa tidak 2 bulan yang ada sebelum datangnya Ramadhan ini, kita bersiap-sedia perut kita, mata kita, lidah kita dan seluruh anggota badan kita untuk menghadapi bulan Ramadhan ini. Mulakan latihan perut dengan cuba puasa sunat agar kita biasa menghadapi puasa setiap hari dalam satu bulan. Mulalah berdiam dari segala gosip atau apa-apa perkara yang tidak bermanfaat mahupun mengumpat atau "membahan" orang. Mulalah kita membaca al-Quran dengan lebih kerap lagi agar tidaklah mudah mengantuk membaca al-Quran di bulan Ramadhan itu nanti.
Sedangkan Rasulullah s.a.w. pun sangat-sangat merindui Ramadhan sehinggakan di dalam Rejab dan Sya'ban itu pun Rasulullah s.a.w. perbanyakkan ibadah seolah-olah seperti baginda berada di dalam bulan Ramadhan. Ayoh sama-sama saling ingat-mengingati sesama kita untuk menyambut bulan Ramadhan yang dirindui ini.
Apabila kita beringat tentang bulan Ramadhan, apa yang sangat-sangat kita hendak rasainya nanti? Pasti ada yang katakan; "Mahu solat Tarawikh di Masjid UIAM, sebab ada Imam Maghribi". Ada pula yang akan kata "Nak iktikaf". Dan macam-macam kenangan Ramadhan dahulunya akan terimbau kemudian kita hendak perbaiki Ramadhan kali ini. Alangkah indahnya jika saya dapat menemui lagi Lailatul Qadr yang dijanjikan Allah itu. Pernahkan kita menemuinya?????? Tak terindukah anda untuk menemuinya???
Renung-renungkan dan selamat beramal.
Monday, June 15, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment