Monday, May 31, 2010

Kebangkitan masyarakat terhadap isu Palestin


Kita dikejutkan dengan berita yang menggemparkan dunia yang membuktikan perbezaan di antara hak dan yang batil. Perkara yang baik dan sebaliknya. Itu terlalu jelas telah dibuktikan dengan kejadian serangan Tentera Negara Haram Israel ke atas kapal konvoi kemanusiaan, Floatilla yang membawa delagasi VIP (ahli parlimen dari EU dan Negara-negara Berkecuali) dan juga bantuan kemanusian seperti ubat-ubatan, bekalan makanan dan bahan binaan.
Tentang Mavi Mamara itu pula adalah terdapat rakyat Malaysia yang ada di dalamnya.Mungkin ramai yang tidak mengetahui tentang bantuan kemanusiaan ke Gaza ini. Mungkin sekali ada yang tertanya kenapa mesti melalui laluan laut? Mungkin juga ada yang tertanya mengapa kapal yang datang secara aman, diserang pula?



Bila dilihat di dalam berita-berita untuk mengetahui perkembangan terkini tentang delagasi kemanusiaan yang berprofail tinggi ini, membuatkan saya terkenang semula tentang penjajahan Amerika Syarikat ke atas Negara Iraq pada 2003. Juga teringat pada penghujung tahun 2008, serangan Israel ke atas kawasan penempatan di Gaza. Apa yang mengingatkan saya ialah; ketika itu, berita-berita ini membuatkan kepedulian kita kepada umat Islam begitu tinggi.


Sekaligus, peristiwa-peristiwa seperti ini memanggil semua orang yang mempunyai perasaan kepedulian yang tinggi, rasa terpanggil untuk mengambil tahu mendalam lagi tentang hal terkini tentang peristiwa-peristiwa ini. Dapat dilihat juga dengan peristiwa terbaru serangan ke atas kapal bantuan kemanusiaan ini, begitu ramai orang yang bangkit mengutuk tindakan zalim Israel itu.
Misi mereka menghantar bantuan adalah sebagai membuku mata dunia tentang kekejaman satu puak di dunia ini demi kepentingan mereka sendiri. Dengan tema "break the Siedge", iaitu menembusi Tembok Kematian yang dilakukan oleh Israel ke atas penduduk Gaza semenjak Hamas menguasai kawasan Gaza itu dari pentadbiran Palestin yang tidak rasmi itu. Mereka memulakan sekatan dengan menyekat kewangan masuk kepada kerajaan yang ditadbir oleh Hamas. Kisah Tembok Pemisah itu, lebih tersurat dari segala yang tersirat. Apabila kakitangan awam kerajaan Hamas tidak dapat gaji, bagaimana pusingan kewangan untuk negara Palestin itu boleh diperbaharui.
Tiada duit bagaimana boleh membeli barang, kemudian peniaga rugi kerana tiada wang untuk menjadi modal perniagaan. Kemudian selepas Perang al-Faruk (perbezaan antara yang batil dan yang haq) pada 2008, lebih teruk lagi Israel menyekat dengan segala bentuk baik dari segi bantuan perubatan mahupun kemanusiaan. Maka, kini dengan inisiatif pelbagai pihak termasuk penguasa-penguasa negara, cuba campur tangan untuk menghulurkan bantuan kemanuasiaan kepada rakyat Palestin di Gaza. Mereka telah memberikan sumbangan. Bagaimana pula kita??

Saya terpanggil dengan ajakan sahabat saya; "Dengan apa yang kita mampu bantu untuk permasalahan seperti ini? Seharusnya kita menggunakan apa yang kita ada untuk membantunya! Apa yang kita mahir! Kalau ada blog..update!! Maklumkan yang pasal ini. Kalau ada facebook, gunakan ia."

Sebenarnya, bukan mengutuk tindakan itu sahaja yang kita mampu. Tapi kita juga mampu menarik hati manusia dengan menanamkan rasa kepedulian kita dalam isu hal umat Islam. "Barangsiapa yang tidak mengambil tahu tentang hal umat Islam hingga dia tidur, maka dia bukan dari kalangan mereka (umat Islam)."[ H.R Muslim]. Memahamkan tentang isu sedunia tentang isu di Palestin. Dan membuktikan kepada orang sekeliling kita, siapa pengganas sekarang?

Sebelum ini, kita dikejutkan dengan berita tentang Facebook yang membuat pertandingan tentang Hari Melukis Nabi Muhammad s.a.w. Seluruh Ummat Islam bangkit mengutuk tindakkan itu yang mencemuh dan menghina Nabi Muhammad s.a.w. Tidak semua yang bangkit menyuarakan tentang hal itu. Tetapi, apabila isu tentang serangan seperti ini, terus seluruh umat manusia dari seluruh dunia bangkit menyatakan kemarahan mereka termasuk dari kalangan orang-orang politik, pemimpin-pemimpin negara turut bangkit mengutuk serangan tersebut. Malah ada yang bertindak mendesak untuk mendapatkan inkuiri (laporan siasatan segera) di atas tindakan tersebut.



Ada video yang saya lihat di Al-Jazeera.net, terdapat banyak tunjuk perasaan sebagai membantah dan mengutuk keras tindakan melampau Tentera Zionis Israel itu terhadap kapal yang membawa bantuan kemanusiaan dari seluruh negara serentak ia dilakukan pada hari ini tanpa rancangan. Inilah sambutan secara langsung terhadap peristiwa yang tidak diterima melalui akal manusia yang waras. Kekejaman ini ditolak sepenuhnya tanpa tangguh di atas kebiadapan Tentera Israel itu.

Di dalam laporan Al-Jazeera.net (versi Arab), melaporkan bahawa perhimpunan rasmi di Paris sahaja, telah menghimpunkan seramai 100,000 orang aktivis berhimpun di perkarangan kota Paris untuk mengutuk kezaliman Tentera Israel (al-mujrimuun). Begitu juga berita dari Ankara, Turki yang melaporkan; seawal 6.45 pagi (waktu tempatan barangkali), para pemuda Turki telah berhimpun di hadapan kompleks kedutaan Israel dan menyerbu ke bangunan itu sambil melaung-laungkan "Anti-Israel".


Bahkan di Malaysia juga, persatuan NGO-NGO Islam telah berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat untuk menyampaikan memorendum bagi membantah tindakan Israel Zionis itu. Sayangnya saya tidak dapat pergi ke penyerahan memorendum tersebut kerana sedang bekerja. Apa yang menariknya, ialah isu Palestin sekarang, bukan lagi isu bangsa Arab sahaja dan bukan juga isu umat Islam sahaja. Tapi ia adalah isu sedunia. Seluruh dunia sekarang ini sedang memandang dan bertumpu kepada isu pencabulan kemanusiaan yang berlaku sekian lama di muka Bumi ini.


Mungkin inilah yang ingin Allah menampakkan kepada seluruh dunia setelah bertahun-tahun lamanya dunia di buta-tulikan oleh Israel tentang "kerja-kerja suci" mereka (kerana mereka beriman bahawa bangsa selain mereka adalah kedai dan seharusnya mereka jadikan selain daripada mereka ini sebagai tunggangan mereka). Sedangkan Allah telah menceritakan kezaliman mereka yang berkurun lamanya dahulu telah membuat kerosakkan di muka Bumi.

No comments: