Monday, November 30, 2009

Gembira dengan kesibukkan??

Memang benar kata Rasulullah s.a.w. tentang 5 perkara sebelum datang 5 perkara. Seharusnya kita selalu mempersiapkan diri dengan 5 perkara yang pasti akan datang. Terpulanglah bagaimana ia datang dan sejauh mana kesediaan kita untuk menghadapinya.

Kerana 5 perkara itu pasti akan datang. Tiada seorang manusia pun tidak pernah sakit dalam hidupnya. Tiada seorang manusia pun tidak pernah muda selamanya. Tiada seorang manusia pun tidak pernah merasai kesibukkan dalam hidupnya. Tiada seseorag manusia pun yang terus menerus memiliki kekayaan melainkan dia bunuh diri jika kekayaannya semakin hilang. Tiada seorang manusia pun tidak akan merasai kematian.

Bila sekarang ini merasai kesibukkan yang melampau. Dengan diselubungi tekanan dari pihak atasan. Semuanya mendesak mahu cepat. Melihat kerja yang terus menimbun. Tiba-tiba sedang sibuk menyiapkan kerja, terfikir pula tentang perkara-perkara lain seperti persiapan untuk pengisian, meng"asah" para rekrut yang belum sempurna, perancangan untuk tahun depan, kelancaran dan perincian gerak kerja dan berbagai-bagainya lagi.

Semua ini terus bermain di dalam fikiran ini. Sedang kerja yang ada di depan mata, masih bertimbun. Tapi sempat pula hendak menulis sesuatu di dalam blog. Hehe..sebagai mengisi masa kosong di dalam bas ni. Kalau dekat dalam bas pun nak menanda, memang workoholic la.

Tapi bila terfikir balik dalam doa, sebenarnya, kesibukkan ini suatu yang nikmat juga. Jika dikenang, pernah suatu keadaan, tak banyak kerja ketika itu, terasa macam kebosanan itu suatu yang membebankan. Sungguh menyiksakan kehidupan yang penuh bosan tanpa cabaran. Kini, bila sudah datang kesibukkan yang diidamkan, mengeluh juga. Lantas saya terfikirkan sesuatu perkara, iaitu; kenapa mesti tension bila sibuk ni datang?

Sebenarnya persepsi kitalah yang membuatkan kita merasai sesuatu emosi. Jika kita berpersepsi negatif pada kerja kita atau apa yang bakal kita hadapi, pasti emosi yang negatif akan lahir. Kita akan sendiri terseksa akibat perbuatan atau tafsiran kita sendiri.

Yalah, bila sibuk, banyak perkara tak boleh dilakukan. Orang lain sedang seronok bercuti, tapi kita masih dengan kerja kita yang tak pernah selesai. Orang lain sedang rehat santai, kita masih berperang dengan kerja kita yang berduyun-duyun ini.

Lihat?! Inilah yang dimaksudkan persepsi negatif. Seperti menyalahkan sesuatu? Marah kepada siapa ya? Kerja itu atau orang lain yang sedang bercuti? Kalau kerja yang dimarahkan, maka berhentilah dari kerja itu. Kan lebih seronok? Tak payah bekerja, terus rehat sampai bila-bila.

Seandainya kita dapat menerima segala cabaran dalam pekerjaan ini dengan persepsi positif, apa pula hasilnya? Kita akan terus termotivasi dalam kerja kita itu. Kita akan terasa kerja ini mudah saja untuk dilalui. Kesibukkan itu menjadi perkara yang sementara sahaja. Apa yang difahami tentang sibuk itu ialah masa untuk bekerja keras atau bertungkus-lumus.

Contohnya; jika Si A kena banyak menanda kertas jawapan pelajarnya, sedang yang lain menanda kertas tidak sebanyak Si A, kemudian diberi tekanan pula hendak markah itu dalam tempoh masa yang singkat. Si A tu berkata kepada dirinya; "Kita semua diminta untuk hantar markah pada hari yang sama, tapi saya punya lebih banyak dari kamu semua, maka lebih banyak pahala yang bakal saya perolehi nanti, insya Allah".

Bila membaca buku "Senyuman pada Mujahid", buku berkenaan kisah mereka yang berjihad di bumi Afghanistan menentang Soviet, mereka menceritakan tentang bagaimana mereka mencari jalan untuk merasa seronok dalam memilih jalan susah ini. Mereka melalui jalan yang payah ini dengan keseronokkan berukhuwwah, keseronokkan berjihad, dan yang paling penting ialah ganjaran yang pasti dapat iaitu syurga.

Janganlah kita melihat kucing-kucing di tepian jalan, tikus-tikus di longkang-longkang, burung-burung yang beterbangan, ikan-ikan yang berenang-renang di akuarium, terus kita merasa dengki dengan kehidupan mereka yang selesa. Kalau nak tidur, tidur. Kalau nak makan, makan. Kalau nak main, main. Tak payah bekerja.

Inilah diri kita. Bekerja hanyala semata-mata untuk mencari redho-Nya. Bukan kerana duit yang menjadi ukuran kerja kita. Kalau gaji sikit, sikitlah kerja kita. Tak ya. Ntah-ntah orang yang bergaji besar tu pun, kerjanya sedikit sahaja. Jadi, selagi kita hidup, sebanyak mana perkara yang kita lakukan itu mendapat redho Allah. Itulah yang membuatkan kita sentiasa berusaha tidak kiralah apa kerja yang kita lakukan.

No comments: