Sekarang ini, dalam mana-mana bentuk hiburan, tak dapat lari dengan tema-tema cinta. Baik dari nama lagu, sehinggalah ke mana-mana novel di tanah air. Sama ada ia novel Islami mahupun "biasa-biasa" sahaja. Tajuk-tajuk lagu pun tak dapat lari dengan tema cinta ini.
Lebih mengagumkan setiap tema-tema cinta itu diselitkan dengan tema Islami. Contohnya seperti salah satu tajuk lagu yang ada kini; "Khatimah Cinta", "Bila Cinta Bertasbih", "Nur Kasih" dan sebagainya. Ada juga setiap judul-judul lagu ini menjadi nama nama novel yang terkenal. Ada juga yang menjadi nama drama terkenal di tanah air.
Ada satu lagi yang lebih menarik. Jika diperhatikan dewasa ini, banyak drama-drama atau cerita yang ditayangkan kepada penonton hari ini, banyak menyelitkan tema poligami dalam cerita yang dibuat. Antaranya seperti "Nur Kasih", bentuk ceritanya pun hampir sama dengan jalan cerita "Ayat-ayat Cinta". Persamaan di antara kedua-dua cerita ini ialah berpoligami dan salah seorang isteri yang dikahwini itu meninggal dunia.
Mengapa situasi ini terjadi agaknya? Seolah-olah kita semua tidak dapat dipisahkan dengan tema cinta. Kita hanya menerima bentuk hiburan yang diselitkan tema cinta. Jika selain daripada itu, mungkin tema-tema yang sedikit seperti tema lucu atau tema seram. Selalunya mana-mana cerita itu pasti akan menyelitkan tema cinta. Sehinggakan di dalam iklan juga mesti ada yang menyelitkan tema cinta ini. Contohnya; iklan Ribena; tapi watak anggur dengan watak oren seolah-olah pertama kali menemui cinta pertama mereka. Iklan cornetto; bila makan aiskrim, melihat pasangan yang penuh berahi.
Nasib baik Buletin Utama di TV3 atau Berita Nasional di RTM1 atau Berita 9 di TV9 tidak ada tema cinta. Kalau di situ pun ada, tak nak kata apa lagi lah.
Situasi ini seolah-olah menjadi sinonim dengan kehidupan masyarakat kita. Tidak putus-putus bentuk hiburan mesti diselitkan dengan cinta ini. Mungkin kerana itu, tidak menjadi kejanggalan untuk bercinta bagi pemuda-pemudi hari ini. Mereka telah dibesarkan dengan fenomena "kehalalan dalam bercinta". Ada juga menganggap ini sebagai trend masa kini. Benarkah? Sedangkan trend ini sudah mulai wujud semenjak era kemerdekaan kita lagi. Boleh dibuktikan dengan tema-tema yang terdapat pada lagu ketika itu dan juga filem-filem yang dibikin ketika itu. Mungkin tidaklah terlalu banyak lagu-lagu yang bertemakan cinta. Tetapi ia sudah mula berputik ketika itu lagi.
Jadi, apakah masyarakat kita ini sememangnya adalah keturunan yang romantis? Heh. Bagaimana penyataan ini dapat menjawab tentang masalah rumahtangga yang bertimbun-timbun di pejabat Qadhi. Yang menyanyikan lagu cinta juga ada yang bercerai dan mempunyai masalah dalam rumahtangga mereka. Begitu juga yang berlakon dalam cerita-cerita cinta.
Apa yang lebih membimbangkan kita ialah kanak-kanak yang bawah umur ini juga sudah mula bersebati dengan tema cinta. Ada filem terbaru yang melibatkan kanak-kanak dengan tema cinta. Jadi ia seperti cinta itu tidak mengenal usia sekarang ini. Dalam suatu iklan yang terkenal juga ada ditanya kanak-kanak murid sekolah rendah berbangsa Cina ditanya gadis yang disukai. Kenapa soalan itu ditanya kepada kanak-kanak bawah umur? Seperti galakan bukan?
Cinta hari ini seolah-olah menjadi satu keperluan bagi masyarkat kita hari ini. Ia menjadi permintaan yang tinggi sehingga mampu melariskan jualan-jualan dalam arena hiburan ini. Ada juga yang berinisiatif untuk menggunakan keadaan ini sebagai medan untuk berdakwah. Menunjukkan alternatif dalam bercinta. Mengubah masyarakat yang sudah berada di dalam naungan cinta dengan cinta yang sebenarnya. Ya, itu langkah-langkah yang murni bagi mereka yang melakukan kerja-kerja ini.
Menjadi satu usaha yang sukar untuk mengubah masyarakat ini menghilangkan cinta. Jadi mereka memutuskan untuk menggunakan cinta itu sebagai cara untuk mengubah masyarakat yang lebih cemerlang. Sejauh manakah ia akan membuahkan hasil? Kita akan terus melihat pergerakkan dan perkembangan masyarakat kita hari ini dan sejauh manakah kesan cinta itu kepada perkembangan masyarakat.
Mungkin bagi sesiapa yang sedang membuat kajian dalam antropologi, boleh cuba memberi jawapan ini kepada masyarakat kita nanti. Insya Allah.
Sunday, November 15, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment