Wednesday, August 12, 2009

Bayna syabab wa syuyukh

Pemuda sangat luar biasa dengan semangatnya membara, darah muda yang terus bergolak lagi bertenaga dan tidak mudah surut langkahnya, tidak pernah luntur azamnya. Inilah pemuda yang sangat berharga. Mereka ini dilihat oleh para pemimpin sebagai pendukung-pendukung kepimpinan akan datang. Sungguh terliur oleh para pemimpin melihat pemuda yang seperti ini mendahagakan tenaga pemuda yang tidak pernah padam.

Pemuda inilah yang diharapkan untuk menggerakkan perjuangan terus tanpa tanda noktah. Terus berjuang menyambung perjuangan yang murni ini. Pemuda terus dilihat potensinya yang tidak pernah tersorok. Pemimpin sangat jelas melihat keterampilan para pemuda ini. Jika ada kelemahan, itu hanya debu pada berlian sahaja. Perlu digilap untuk mencantikkan berlian itu.

Bagaimana pemimpin ini mampu melihat segala yang terbaik dari kalangan pemuda ini?

Kerana mereka dahulu pernah menjadi pemuda juga. Kerana mereka juga pernah penuh bertenaga seperti para pemuda ini. Kerana mereka ini juga sudah berjumpa dengan pelbagai jenis pemuda yang hebat seperti ini. Pastilah pemimpin ini sudah banyak pengalamannya melalui segala rintangan ketike zaman kepemudaannya. Pastilah pemimpin itu tahu tentang liku-liku serta ranjau dalam mengharungi perjalanan yang lebih jauh.

Orang-orang ini pastilah mempunyai pengalaman yang tidak tercerita banyaknya. Orang seperti inilah telah melalui pelbagai masa dan zaman berbanding pemuda yang hanya bersemangat tapi belum melalui semua itu. Orang seperti inilah punya pengalaman untuk menyelesaikan segala rintangan yang akan dihadapi mahupun ketika melalui rintangan. Meraka sudah ada langkah berjaga-jaga agar tidak melakukan kesilapan kerana mereka sudah ada parut atau kesan luka sebelum ini setelah melalui rintangan dan ada membuat silap dalam mengharunginya.

Apakah mereka ini akan jatuh dua kali dalam lubang yang sama?

Pasti tidak, bahkan ia mengenali lubang yang pernah membuatkan dirinya terjerumus ke dalam lubang itu. Dia mampu untuk menasihatkan dan menunjukkan pada orang lain tentang bahaya lubang itu. Maka orang-orang seperti inilah yang sangat dinantikan oleh para pemuda yang bersemangat ini. Berjalan penuh gah lagi bersemangat tapi tidak tahu jalan mana yang harus dipilih untuk dilalui dengan penuh cemerlang.

Bahaya pada pemuda.

Pemuda gagah perkasa melangkah maju ke hadapan, tetapi berjalan melalui angin tanpa tujuan. Bersemarak berkobar-kobar semangatnya, sehingga membakar apa yang ada di sekelilingnya. Kukuh pegangan dan azamnya, tetapi kekukuhan itu terus menampung beban yang berlebihan. Darah bergelojak mengalir deras sehingga membiarkan darahnya mengalir tanpa sebab.
Sungguh rugi kita melihat begitu banyak pemuda-pemuda yang berkualiti ini dibazirkan begitu sahaja. Membiarkan ia memilih jalannya sendiri tetapi membiarkan juga ia berjalan di jalan yang pernah kita lalui dahulu yang penuh duri lagi beracun. Orang yang perihatin dan bertanggungjawab sudah pasti tidak mahu hal ini berlaku. Lantas mereka ini diselamatkan dengan memacu mereka dan memandu mereka pada jalan yang nyata. Kobaran yang berguna mencerahkan jalan. Terus kukuh walau ditelan zaman pada keaslian. Sehingga tahu sebab mereka terpilih untuk hidup sebagai manusia.

Selalunya para pemuda ini dimomokkan dengan kisah-kisah silam yang memberi inspirasi perjuangannya. Kisah inilah yang memberikan penilaian matang bagi mereka. Menilai peristiwa silam dan kehidupan yang dilaluinya. Mendengar pelbagai kisah silam yang ada. Tetapi mereka hanya menerima apa yang mereka mahu sahaja. Membuat penilaian terhadap apa yang mereka rasa ianya hebat. Maka mereka bergerak dan berjuang agar suasana silam itu dapat diperolehinya. Agar ia menjadi realiti kepada pemuda generasi baru yang mereka lalui sekarang. Agar terpahat sebut-sebutan tentang mereka yang berjaya mewujudkan kisah silam menjadi realiti.

Hebat sangatkah cerita silam itu? Hanya semata-mata ia dapat menaikkan semangat sesiapa yang mendengarnya, maka itulah dasar perjuangannya? Cerita yang tidak pernah ia melihat sendiri, terus diambil sebagai sebagai sandaran? Hanya meletakkan kepercayan kepada si pencerita atas segala ceriteranya, sebagai model perjuangan?

Segala apa yang baru, masuk dilingkungannya, terus dinilaikan dengan cerita silam itu.
“Ini tak seperti dulu!!! Dulu boleh buat..kenapa sekarang tak boleh pula???!!!”. Itulah penilaian-penilaian yang selalu dibuat oleh mereka yang tiada penilaian.

Apakah anda menafikan segala kisah silam yang gemilang itu???

Sudah pasti setiap kisah silam yang gemilang itu suatu peristiwa yang benar-benar telah terjadi. Bahkan tidak pula ingin menyatakan segala kisah silam itu hanyalah dongengan semata-mata. Cuma, jika kita hanya dipersonakan dengan kegemilangan kisah silam sahaja, kita akan hanyut dengan segala kegemilangan sahaja. Apabila hanyut dengan cerahnya kegemilangan itu, itu sahaja yang kita cuba menjadikan ia realiti. Berazam untuk melihatnya sendiri dengan dia menghidupkan semula kegemilangan silam.

Apakah tidak pernah terfikir; setiap kegemilangan itu, begitu senang untuk diperolehi?

Hendak mendaki gunung, pasti melalui kepayahan pendakiannya ke puncak. Setelah sampai ke puncak, pasti berbangga dan sangat gembira pada pencapaiannya. Setiap parut luka pada badan, dijadikan kenangan kejayaan selepas melalui segala kepayahan. Bagi mereka yang hanyut dengan gemilangnya kisah silam itu, mereka ini hanya nampak para pendaki gunung itu berjaya sampai ke puncak, tapi mereka tidak tahu pun betapa payahnya para pendaki itu sampai ke puncak gunung.

Bahkan sejarah telah mencatatkan berbagai peristiwa gemilang di masa lampau. Ia dikuatkan lagi dengan bukti-bukti serta artifak yang masih ada pada hari ini. Tidak perlu untuk diungkitkan segala sejarah kali ini kerana semuanya tahu tentang itu. Kita memang ingin kembalikan kegemilangan seperti masa silam. Cuma adakah kita sudah bersedia untuk menempuhi segala rintangan sepertimana orang silam itu pernah lalui????

Bahaya pada Orang Tua

Apabila orang berpengalaman berdiam diri, hanya melihat dan memerhati. Duduk sambil menyaksikan gelagat orang muda. Apabila ditanya sepatah jawab pun sepatah juga. Apabila ditanya pendapat berpuluh patah, jawabnya juga sepatah. Jika orang terjatuh, dia tergelak dan dimarah-marahnya pula. Jika ada orang berjaya, dia menyelit bersama orang berjaya dan mengatakan kejayaan tu adalah disebabkan ada dirinya.

Jika inilah yang berlaku orang yang ingin memacu para pemuda yang bersemangat waja, apakah kegemilangan yang pernah berlaku itu akan berlaku lagi?

Mengapa ini terjadi? Mungkin kerana mereka sudah penat melepasi segala ranjau dan rintangan. Mungkin mereka sudah jemu dengan apa-apa yang berkaitan dengan perjuangan silam. Mungkin mereka sudah bertekad untuk pencen dalam perjuangan ini.

Maka mereka membiarkan sahaja para pemuda itu melalui segala kepayahan itu dengan usaha mereka sendiri. Kerana mereka menyatakan yang dahulu masa muda mereka ini pun melalui tanpa bantuan orang berpengalaman, maka mereka juga berpendapat si pemuda ini juga perlu melalui sepertimana mereka lalui tanpa apa-apa pengalaman.

Semua ini silap!!! Jangan dibiarkan hal ini terjadi!!!

Lihatlah seperti mana al-Quran menceritakan segala peristiwa para Rasul terdahulu sebagai pengajaran kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. Pengajaran itu bukan untuk zaman para sahabat sahaja, malah ia tetap sesuai diguna pakai sehingga ke hari ini. Bahkan para sahabat dipandu juga oleh Rasulullah s.a.w untuk menceritakan peristiwa-peristiwa terdahulu. Contoh seperti kisah Ashabul Ukhdud, kisahnya sedikit sahaja di dalam al-Quran, tetapi Rasulullah s.a.w. menceritakan selebihnya kepada para sahabat.

Gandingan hebat di antara al-Quran dan panduan-nasihat-arahan dari Rasulullah s.a.w adalah bukti kebangkitan di tengah-tengah umat jahiliyyah. Ini juga sudah cukup menjadi bukti perlunya ada gandingan di antara dua unsur yang sangat penting ini. Kisah silam yang menjadi pedoman dan i’tibar bagi generasi akan datang. Dipandu pula oleh penunjuk jalan yang sangat berpengalaman. Pasti tujuan tercapai dengan mudah dan dapat dirasakan nikmat kejayaan bersama.

Maka perlulah ada hubungan langsung serta keseimbangan di antara dua penting ini. Pemuda-pemuda yang bertenaga ini akan dipacukan kepada kekuatan yang dinanti-nantikan. Bayangkan keterpaduan semangat pemuda yang berkobar-kobar, dipandu pula oleh para syeikh yang berpengalaman dan bijaksana, pasti sebuah organisasi dakwah sangat berjaya. Itulah yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat.

Sesungguhnya, setiap teguran daripada para syuyukh adalah panduan untuk kita membetulkan keadaan dan kesilapan yang pernah kita lakukan. Idea-idea yang deras menderu dari mereka adalah hasil pengalaman hidupnya sebelum ini. Segala keputusan mereka adalah hasil ijtihad mereka yang telah difikirkan segala risiko dan manfaat daripada setiap keputusan tersebut.

Malah pada pemuda itu pula terdapat pelbagai manfaat untuk menggerakkan segalanya. Pemuda yang matang akan cepat memahami arahan, bukan laksanakan arahan dengan gempak. Pemuda yang disenangi adalah menjaga setiap adab dan tingkah-lakunya, bukan berjalan mendada dengan megah. Pemuda yang disanjungi ialah mereka yang menghormati orang yang lebih tua terutamanya pemimpin mereka, bukan merendahkan mereka kerana tidak sezaman atau tidak ”up-to-date”.

Kerana itulah adanya istilah ”hamasatus syabab wa hikmatus syuyukh” (semangatnya para pemuda dan bijaksananya para syeikh).

Ketahuilah bahawa setiap generasi itu bertanggungjawab terhadap generasi akan datang. Kerana merekalah penyelamat generasi yang seterusnya. Generasi terdahululah orang yang seharusnya dihormati kerana masih thabat lagi sehingga ke hari ini dalam jalan yang penuh ranjau lagi berliku-liku.

Maka lihatlah sepertimana golongan Ansar menghormati golongan Muhajirin yang beriman dulu sebelum mereka, interaksi sesama mereka dalam menggerakkan perjuangan dakwah ini. Bahkan mereka mendoakan para pendahulu yang beriman sebelum mereka sepertimana dalam al-Quran:
Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan RahmatMu". [al-Hasyr: 10]

Rasulullah s.a.w. pula bersabda
“Daripada Abi Burdah, daripada ayahnya (Abu Musa al-Asy’ari) dia berkata: “Kami telah menunaikan solat Maghrib bersama dengan Rasulullah s.a.w. Kemudian kami berkata: “Apa kata kalau kita tunggu sehingga dpt solat Isyak bersama-sama Baginda.” Maka kami tunggu sehingga Baginda menemui kami lalu bersabda: “ Kamu masih di sini?” jawab kami: “Wahai Rasulullah! Kami telah menunaikan solat maghrib bersama-samamu. Kemudian kami berkata: ‘Mari kita duduk sehingga kita dapat solat Isyak bersamamu’.” Baginda bersabda: “Kamu semua telah melakukan sesuatu yang baik lagi betul.” Kemudian Baginda mengangkat kepalanya mendongak ke langit dan diikuti oleh para sahabat yg lain, lalu Baginda bersabda: “Bintang tersebut adalah penyelamat langit. Apabila perginya bintang tersebut, maka akan didatangilah langit itu apa yg telah dijanjikan untuknya. Aku adalah penyelamat bagi sahabatku. Apabila aku telah pergi maka akan didatangilah sahabatku apa yg telah dijanjikan untuk mereka. SAHABATKU pula adalah PENYELAMAT UMATKU. Apabila perginya sahabatku maka akan didatangilah umatku apa yg dijanjikan utk mereka.” (Riwayat Muslim dan Ahmad dlm Musnadnya)

Begitulah menjadikan mereka lebih baik dan lebih diredhoi Allah. Bagaimana pula kita?

5 comments:

Hasnan said...

salam mas.bagus...cma ana t'pk,apa sbb wurud artikel ni?

~al-Barq~ said...

pergh panjang gak post kali ni ....... lpas hbs bace mate jd blur sket .... background pun hitam pastu mate lupe nk kelip2 ...

mas syarep said...

terima kasih kerana sudi membaca penulisan yang agak panjang..sbb wurud artikel ni....erm..ana rse nta tau kot..hehe..phm2 jelah..

-Amin HaR- said...

akhirnya dpt peluang buka komp~..
fuh..panjang..
penuh
yg slama ini terfikir2 dah ada jawapan..
dan terima kasih..
-dr pemuda-

mas syarep said...

-Amin HAR-..ade soalan ker sblmni?awat xtanye jer terus?