Apa itu al-Hilal?
"Mereka bertanya kepadamu tentang hilal (bulan sabit). Katakanlah: Bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan (bagi ibadah) haji.."[al-Baqarah:189]
creadits to al-aajily
Hilal itu ialah anak bulan, ataupun bulan sabit kecil lagi halus badannya. Amat susah untuk melihat dengan mata kasar bagi yang tidak biasa melihatnya. Sepengalaman saya bersama ahli falak lain mencerap di Teluk Kemang dan Bukit Melawati pada tahun 2002 adalah kenangan indah mengenali ilmu falak yang sangat luas ini. Penuh dengan kiraan mengalahkan Matematik Tambahan dan rumus-rumus Fizik. Bila difikirkan, orang yang memperkenalkan ilmu falak ini, sememangnya genius!!
Hilal pun ada syaratnya juga. Iaitu ia mesti kelihatan di langit atau pada atas ufuk langit selepas tenggelamnya matahari, tapi tidak malam lagi, masih terang lagi. Kalau kelihatan sebelum matahari tenggelam, maksudnya tak matang lagi hilal itu. Kerana boleh jadi, bulan itu berada pada pengakhiran kitaran bulan. Jadi tempoh matang hilal itu yang biasanya diterima dalam ilmu falak ni..erm..lebih dari 12 minit di atas ufuk. Maka jika itu kelihatan dari mata-mata penyaksi hilal, maka telah termaktub esok adalah 1 haribulan suatu bulan. Wah!! Dah guna bahasa lama pula..hehe..Mana taknya, guru falak saya cakap macam tu, maka saya gunalah juga.
Dikesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan guru-guru Ilmu Falak saya iaitu Ustaz Arwani bin Sali dan Abang Hamzi bin Tarmizi. Mereka inilah memperkenalkan ilmu falak dan mengajarkan pada saya untuk mempraktikkannya. Masih ada lagi kitab kuning ilmu falak yang sudah di"fotostat"kan berjudul "Khulasoh al-Jadual al-'Amal al-Ijtima' wal istiqbal". Buku ini ada formula-formula untuk menentukan tarikh hilal, dalam masa yang sama, dapat menentukan waktunya, sudutnya, lamanya hilal itu berada di ufuk langit. Subhanallah!! Siapalah yang dapat berfikir sejauh itu sehingga dapat membuat rumus dan sifir-sifir hilal ini.
Masalah Masa Kini dalam Menentukan 1 haribulan
Di Malaysia, telah difatwakan bahawa penetapan 1 haribulan sesuatu bulan itu adalah diputuskan dengan terimanya kedua-duanya daripada penetapan Hisab (pengiraan) dan rukyah (penglihatan). Hisab itu adalah dari ilmu falak yang telah membuat taqwim setiap bulan dengan pengiraan yang panjang lebar dalam menentukan 1 haribulan, kemudian digenapkan menjadi 30 hari sebagai hari-hari di dalam satu bulan. Sepertimana di dalam Al-Quran:
"Dialah Allah yang telah menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan telah menetapkan manzilah-manzilah baginya, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan pengiraan masa" [Yunus:5]
Diriwayatkan oleh Bukhari, dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
"Berpuasalah kamu kerana melihat anak bulan dan berbukalah(hari raya) kamu setelah melihat anak bulan, jika mendung maka genapkanlah Syaaban 30 hari".
Dalam riwayat yang lain, oleh Bukhari dan Muslim, dari Ibnu Umar, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Sesungguhnya bulan itu 29 hari, maka janglah kamu berpuasa sehingga kamu melihat anak bulan dan janganlah kamu berbuka (beraya) sehingga kamu melihatnya. Tetapi jika mendung, kadarkanlah olehmu untuknya".
Dalam membincangkan persoalan mengenai rukyah dan hisab, Dr. Yusof al-Qadhawi ada menjelaskan dalam kitabnya "Kaifa Natkamalu ma'aa al-Sunnah al-Nabawiyah", bahawa kedua-dua hadis di atas menyatakan tentang hadaf (tujuan) mengenai permulaan puasa. Dalam mencapai tujuan tersebut, wasilah (cara) yang digunakan adalah dengan melihat anak bulan atau pengiraan falak. Tambahnya lagi, rukyah adalah wasilah zaman Rasulullah s.a.w. kerana ianya mudah dipraktikkan dan sesuai ketika itu. Wasilah iaitu rukyah tidak mengikat umat Islam sepanjang zaman, sebaliknya pengiraan falak lebih qat'i (tepat) berbanding dengan pengakuan orang yang mengaku melihat bulan kerana pengakuan individu mengandungi zdon (sangkaan). Menurut al-Qardhawi lagi, pengiraan falak boleh diterima sebagai kaedah fiqh berdasarkan qias al-awla atau ulama.
Maka Ahli Falak Malaysia telah menetapkan melihat hilal pada setiap 29 haribulan, tapi sebelum ini ada yang pergi menyaksikan hilal pada 28 haribulan. Bagi yang mencerap pada 29 haribulan, keputusannya adalah lebih pasti dengan keputusan rukyah (melihat hilal). Iaitu, sekiranya nampak hilal dengan cukup syarat-syaratnya pada kesaksian semuanya; maka esoknya adalah 1 haribulan. Manakalah bagi yang berrukyah pada 28 haribulan, maka keputusannya adalah sepertimana yang ditetapkan untuk mencukupkan 30 hari dalam satu bulan. Kerana, jika tidak nampak pada hari itu, mereka akan cukupkan 30 hari, kerana telah dinyatakan dalam hadis tadi, bahawa satu bulan itu 29 hari. Maka bukanlah hari yang 29 itu adalah 1 haribulan, sayugia digenapkan menjadi 30 hari, selepasa hari yang ke 30 itu, barulah 1 haribulan. Paham ker?
Kenapa tidak sama Puasa di Malaysia dengan Saudi?
Kerana ketetapan kerajaan yang berbeza-beza. Lain kerajaan, lain ketetapannya. Saudi menggunakan rukyah sahaja. Bahkan mereka juga menggunakan hisab. Tapi apa yang termaktub dalam al-Quran lebih kuat penerimaannya, iaitu:
"..faman syahida minkum as-Syahra falyasumhu.."[al-Baqarah:185]
Maka, siapa-siapa yang nampak dari mana tempat pun di seluruh Tanah Arab itu, ada ternampak bulan sabit yang kecil sahaja, maka dia boleh menelefon pejabat Jabatan Fatwa dan Majlis Ulama', maka esok puasalah. Tapi, itu pun bergantung seberapa ramai orang yang buat panggilan untuk memastikan panggilan itu tidak berpakat untuk menipu. Bukanlah dihukumkan bahawa apa yang mereka buat salah. Tidak. Itulah adalah sandaran yang mereka mahu tetapkan. Maka itu adalah hak mereka.
Saya juga tidak menafikan, kadang-kadang, pernah berlaku bahawa jarak perbezaan waktu puasa di antara Malaysia dan Arab Saudi sangat jauh sehingga bezanya adalah 4 hari. Mengapa ini terjadi? Itu..saya memang bukanlah ahlinya untuk menjawab persoalan ini. Kerana itulah sangat besar dan berat tanggungjawab para ahli Falak untuk memastikan kebenaran dalam penetapan mereka agar tidak terjadi kerugian pada umat Islam semuanya.
Tentang 1 haribulan Zulhijjah, bukankah kita harus mengikut tempatnya berwuquf, iaitu waktu Saudi?
Di Malaysia, mana ada Bukit Arafah untuk umat Islam yang membuat haji berwuquf. Itu pun di Malaysia ni banyak orang buat tempat tawaf sendiri. Itu Ajaran sesat punya tempat tawaf la..
Tentang persoalan ini, saya juga berpendapat seperti itu. Seharusnya kita mengikut pada masanya di tempat itu sendiri. Dahulu, saya pernah mengikuti seminar tentang menjawab persoalan ini. Ketika itu, mungkin saya masih muda lagi, sangat sukar untuk memahaminya. Tapi, apa yang saya masih ingat lagi dalam rumusan perbincangan seminar itu, semua pakar-pakar ahli Falak menyatakan perlunya untuk kita mengikut waktu semasa Arafah itu sendiri dengan faktornya jarak perbezaan masa antara Malaysia dan Bukit Arafah.
Mungkin boleh dijelaskan lagi dengan begini. Perbezaan waktu di antara Malaysia dengan Arab Saudi ialah dalam 8 jam. Tidak mungkin sama waktu zohor Malaysia dengan waktu zohor Arafah. Maka itulah sebagai faktor berbezanya yang perlu diambil berat dalam mengikut waktu semasa Arafah bagi menentukan 1 haribulan Zulhijjah. Paham tak?
Rasanya, adakah cara penyelesaian untuk masalah perselisihan penetapan ini nanti?
Ada!!! Bahkan ia pernah berlaku dan telah selesai masalah ini sebelum saya lahir lagi. Ia terbukti secara 'alami (international) dalam menyelesaikan masalah yang seolah-olah tidak pernah selesai ini. Bagaimana caranya? Sebelum itu, biar saya sendiri menceritakan orang yang hidup pada zaman itu, dan saya sendiri mengdengar ceritanya walaupun saya tidak sempat melalui peristiwa itu.
Kisahnya begini. Diceritakan daripada datuk saya sendiri, Ibon bin Kawi, kepada saya yang berumur 10 tahun dan juga abang-abang saya serta sepupu saya. Bahawa ketika atuk masih kecil, dalam sekitar tahun 1906, kerana beliau masih ingat surat khabar ketika itu sibuk berlaku pertembungan diantara pemikir golongan muda,pelajar dari Mesir dan ulama golongan tua. Ketika itu, atuk pergi kedai kopi untuk berjumpa dengan ayahnya, Tok Kawi, untuk menyampaikan pesan membeli barang. Ketika itu, Tok Kawi bersama rakan-rakannya sedang menikmati sarapan dan minum kopi sambil mendengar lagu keroncong yang didendangkan di radio.
Atuk cerita, ketika dia sudah menyampaikan pesan pada ayahnya, kemudian dia mengambil sarapan di kedai kopi itu. Tiba-tiba, siaran radio menyampaikan berita semasa. Atuk menggambarkan bahawa berita dahulu tak serupa dengan zaman sekarang. Baca berita pada masa-masa tertentu. Kalau dulu, kalau ada berita terbaru melalui telegram sampai, baru dibacakan berita itu melalui radio. Jadi kalau mahu berita semasa, kena berada dekat dengan radio tu selalu. Radio zaman dulu, bukannya senang nak dapat. Itu pun nasib ada orang kerja dengan Orang Putih dalam kampung tu, dapat hadiah dari tuannya (Orang Putih tu la). Pasang kabel radio pun susah gak. Siap kena ada lesen lagi.
Apa berita itu sampaikan? Atuk cerita: Berita tu menyatakan bahawa Kerajaan Turki Uthmaniyyah sudah 4 hari berpuasa di bulan Ramadhan. Khalifah Turki mendoakan semua umat Islam beribadah dan berjihad di dalam bulan Ramadhan ini.
Semua yang ada di kedai kopi itu, baik yang sedang minum kopi, mahupun yang sedang menikmati nasi lemak dan yang sewaktu dengannya, semuanya berhenti makan dan minum. Semua berlarian pulang ke rumah masing-masing untuk memaklumkan yang Ramadhan sudah masuk hari ke-4. Maka ketika itu juga semuanya berpuasa. Pada malam itu juga, tiba-tiba surau buat solat Tarawikh. Cukup 30 hari dengan ditolak 4 hari yang terlepas Ramadhan itu, mereka pun beraya.
Maka saya bertanya pada atuk:"Macamana dengan 3 hari yang sebelum tu? Atuk tak puasa la?"
Atuk jawab dengan tenang:"Ha'ah..lepas tu..kami qodho'(ganti) la bilangan hari yang kami tertinggal tu". Sehari selepas itu, berita tentang Muslimin seluruh dunia telah berpuasa 4 hari dalam bulan Ramadhan terpampang di muka Akhbar.
Bayangkan saudara-saudari pembaca sekalian. Orang-orang di Tanah Melayu terus berpuasa setelah mendapat tahu berita dari khalifah tentang Ramadhan itu sendiri. Terus buat tanpa tangguh-tangguh. Puasa terus tanpa soal macam-macam. Itulah kekuatan satu pemimpin mutlak yang berkuasa. Satu arahan satu penetapan. Tidak ada berselisih lagi ketika itu.
Maka, penyelesaiannya ialah kekuasaan Islam berpusat iaitu Khalifah Muslimin itu sendiri. Lihatlah betapa besarnya nikmat adanya pemimpin seperti ini. Maka, apa tunggu lagi? Ayohlah berusaha sehingga dapat kita melihat Khalifah yang menaungi umat Islam seluruhnya melindungi kita.
No comments:
Post a Comment