Sunday, November 9, 2008

SPM..seperti saat burung hendak terbang pertama kali.




Ketika seekor anak burung yang baru sahaja menetas dari sebiji telur, dia telah berada dalam keadaan yang selamat di dalam sarangnya berdampingan dengan ibu burung serta anak-anak burung yang lain. Dia melihat ibu burung itu menyerupai sepertinya tetapi saiznya lebih besar. Dia juga tidak mengetahui apa-apa apabila baru sahaja menghirup nafas di dunia ini.

Apabila dia lapar, ibu burung akan memberikan makanan kepada semua anak-anak burung di dalam sarang burung itu. Diberikan makanan itu sama rata sesama mereka. Jika keadaan sarang burung itu mengalami kerosakan sedikit, ibu burung akan terus membaikinya agar anak-anak burung di dalamnya dalam keadaan selamat. Ibu burung terus menjaga, mengasuh, mendidik, memberi makan, dan memelihara mereka sehingga mereka membesar menjadi seekor burung dewasa sepertinya.

Anak-anak burung melihat ibu burung mampu terbang ke langit tinggi, dan mereka juga ingin berbuat seperti demikian, tetapi malangnya sayapnya terlalu kecil untuk dikepakkan, kaki pula masih tidak dapat berdiri dengan betul, bila melihat kedudukan sarang yang tinggi di atas pokok, masih tiada keyakinan untuk mencuba terbang seperti ibunya.

Maka masa silih berganti, musim silih bertukar, sedar tidak sedar, anak-anak burung sudah membesar menjadi dewasa. Sudah memiliki sayap yang besar. Sudah tegap berdiri di atas kaki sendiri. Sudah mempunyai keyakinan diri kerana anak burung ini sudah membesar seperti ibunya.

Selepas sekian lama belajar daripada ibunya dengan pemerhatian, kini sudah tiba masanya anak burung ini mencuba untuk terbang seperti burung-burung dewasa yang lain. Mereka yang selama ini melihat kebanyakkan burung terbang ke langit tinggi, sudah sampai masanya untuk mereka cuba mencapai cita-cita mereka selama ini.

Akhirnya mereka lompat dari sarangnya yang sudah menjadi saksi tempat mereka membesar selama ini. Mereka mengepakkan sayapnya dan cuba untuk menstabilkan diri agar dapat terbang dengan elok. Mungkin ada di antara anak burung ini tidak dapat terbang dengan lancar pada permulaannya, tetapi setelah mengenalpasti kesilapannya, dia mencuba lagi dan berjaya terbang terus ke langit tinggi bersama-sama burung yang lain.

Mereka berbangga kerana telah berjaya dengan usaha mereka dan terus terbang ke langit tinggi. Terus meluncur dengan burung-burung yang lain melihat betapa luasnya dunia ini. Mereka sudah mahir terbang dan terus terbang. Mereka juga dapat berkenalan dengan rakan-rakan yang baru serta burung-burung dewasa yang lain. Mereka sudah pandai mencari makanan sendiri. Mereka juga sudah pandai membina sarang yang baru. Sehinggalah mereka juga berjumpa dengan teman hidupnya dan membina kehidupan yang baru.

Mereka telah melalui semua itu dan berseronok malah berbangga. Tetapi, mereka terlupa tentang sesuatu, mereka terlupakan tentang ibu mereka yang membesarkan mereka serta sarang yang menjadi saksi mereka membesar serta saksi kepada usaha ibu mereka yang membesarkan mereka.

Si ibu terus menantikan anak-anak burung itu jika mereka menjumpai sarang itu kembali. Si ibu menitiskan air mata pada saatnya mereka semua sudah terbang ke luar sana. Titisan itu bukanlah kerana dia ditinggalkan oleh mereka, tetapi si ibu berbangga kerana anak-anak burung ini sudah meningkat dewasa dan sudah boleh menjaga diri sendiri.

Walaupun ibu burung menanti di sarang itu, tetapi ibu burung tidak membuang masa hanya dengan menunggu sahaja, tetapi ibu burung terus menjaga dan membesarkan anak-anak burung yang baru di sarang itu. Membesarkan dengan cara yang sama seperti anak-anak burung yang sebelum ini dengan harapan mereka ini akan menjadi lebih baik dari dirinya yang sudah tua di telan zaman ini.

Selalu sahaja ibu burung ini bertekad diri dengan azamnya kepada anak-anak burung ini:

"Aku akan jadikan kau lebih baik dari diriku ini dan engkaulah yang akan memenuhi angkasa raya di atas kepala ku ini setelah aku tidak lagi berdaya."

4 comments:

almuna said...

deep betul cerita burung ni....(kebetulan word verification untuk comment ni ialah'brednest')

mas syarep said...

erm..yer ker?bkn bird nest ker spatutnyer?

ape2 pon..welcome to my blog

almuna said...

word verification tu kan keluar tah ape ape random word. so for it to keluar brednest yang seakan akan bird ngan nest rasa macam weird plak kbetulannya..

mas syarep said...

ooo..bgs ar..klo x..xtau pun blog sy ni kn..hehe..