Saturday, November 15, 2008

Perutusan Wasiatku dalam Kepergianku kepada warga Al-Amin

Ukhuwwah yang tidak pernah selesai.


Segala puji-pujian dan syukur kepada Allah atas nikmat Islam yang telah dilimpahkan kepada kita. Mungkin ketika ini kita tidak dapat bertemu seperti biasa, mungkin juga pada hari ini, banyak berlaku peristiwa yang baru pada hari ini dan itulah taqdir Allah pada diri kita ini.


Bersyukurlah kepada-Nya yang telah memberikan taufiq berupa nikmat ukhuwwah agar kita dapat meneruskan amal kita kepada Allah dan berkhidmat kepada umat kita dan meneruskan warisan berzaman para anbiya’ sehingga ke hari ini iaitu dakwah ila Allah.


Dialah yang memberi taufiq dan hidayah kepada kita dan membantu menyempurnakan keperibadian Islam kita dengan aqidah, ibadah dan akhlaq Islamiyyah. Dengan demikian kita dapat menyedari beratnya tanggungjawab kita terhadap agama yang benar ini. Haruslah disedari bahawa kita tidak akan merasa cukup menjadi muslim sendirian, dan kita berkewajiban memainkan peranan positif dalam rangka membangun Daulah Islamiyyah, menegakkan masyarakat Islam yang dikenalikan oleh aqidah dan syari’at Islam, bukan dibawah kendalian manusia semata-mata.


Telah jelas bagi kita bahawa kewajipan besar ini tidak mungkin dapat dilaksanakan secara sempurna kalau hanya dilaksanakan secara berseorangan. Tetapi ia harus dilakukan dengan menghimpunkan potensi dandalam satu manhaj yang betul dalam rangka mencapai tujuan yang agung ini.

Kita harus mengkaji, memilih dan mencari petunjuk, sehingga Allah memberi taufiq dan menunjukkannya ke jalan dakwah, lalu kita mengenalnya, mengenal petunjuk-petunjuk jalan dakwah dan mengenal siapa yang melaluinya. Kita rela dan percaya kepadanya, kemudian kita beriltizam dan mengikatkan diri kita dengannya. Dan kita membuktikan kepada Allah. Oleh kerana itu bersyurkurlah dengan memuji Allah atas hidayah dan taufiq-Nya.


Kenalilah saudara kita.


Betapa perlunya kita bersaudara kerana Allah Taala pada seluruh kehidupan kita ini bersama-sama di atas jalan Allah ini, untuk memperteguhkan ikatan antara sesama kita, sebagaimana telah dilakukan Rasulullah s.a.w. ketika ia mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Mereka telah mengukir contoh teladan yang indah dan agung tentang cinta dan ikrar mengutamakan saudaranya daripada diri sendiri.

Sudah begitu banyak dalil-dalil bahawa pentingnya nilai kekuatan kita bersama-sama dengan sahabat kita iaitu saudara kita sendiri.


Firman Allah Taala :

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang berperang untuk membela ugamaNya, Dalam barisan Yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan Yang tersusun kukuh." [as-Shaff : 4]


Rasulullah s.a.w. bersabda:

”Orang mukmin dengan mukmin dengan mukmin yang lainnya bagaikan bangunan yang sebahagiannya mendukung sebahagian yang lain.” [HR. Muslim]


Dalam hadith yang lain pula;

“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam rasa cinta, kasih sayang dan kemesraan mereka seperti badan yang satu, apabila sebahagian dari anggotanya merasa sakit, maka seluruh anggotanya turut merasa sakit, seperti kena penyakit susah tidur atau demam”. [HR. Bukhari]


Rasulullah s.a.w. bersabda lagi:

“Seorang muslim adalah bersaudaranya dengan muslim yang lain, dia tidak menzalimi, tidak membiarkannya (mendapat bahaya). Siapa yang menolong saudaranya, Allah akan menolongnya. Siapa yang melepaskan saudaranya dari satu kesusahan, Allah melepaskannya dari satu kesulitan, bahkan berbagai kesulitan di Hari Kiamat. Siapa yang menutup rahsia (keaiban) seorang muslim, Allah menutupi keaibannya pada Hari Kiamat.” [HR. Tirmizi]


Oleh kerana itu wahai saudara-saudaraku, saya menyeru kalian, kenalilah akan saudara-saudaramu iaitu teman-temanmu itu sendiri!! Bersatu padulah!! Bekerjasamalah menggalakkan mekanisma saling menasihati dan menegur secara terbuka, ciptakan bukan suasana saling bertanggungjawab dan berkasih sayang, dan jadilah hamba Allah yang bersaudara.


Lihatlah contoh teman-teman Rasulullah s.a.w. dlm berukhuwwah


Ikhwanil kiram! Sesungguhnya kita semestinya ingin mencari ukhuwwah yang macamana yang terbaik di sisi Allah. Sedarlah bahawa sudah jelas dari al-Quran menyatakan bahawa tahap ukhuwwah yang paling mulia di sisi Allah adalah seperti firmannya


“Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang Yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir Yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, Dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. tanda Yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang Yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan Ibadat mereka Yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka Yang tersebut di Dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di Dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman Yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi Kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya Dengan keadaan Yang mengkagumkan orang-orang Yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana Dengan perasaan marah dan hasad dengki - Dengan kembang biaknya umat Islam itu. (dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala Yang besar.” [al-Fath : 29]


Dalam firman Allah yang lain:

”Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang Yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa Yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) Yang ada Dalam hati mereka, lalu ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka Dengan kemenangan Yang dekat masa datangnya.” [al-Fath : 18]


Seterusnya Allah berfirman lagi:

”Dan orang-orang Yang terdahulu - Yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang Yang menurut (jejak langkah) mereka Dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan Yang besar.” [at-Taubah : 100]


Rasulullah s.a.w. pula bersabda

Daripada Abi Burdah, daripada ayahnya (Abu Musa al-Asy’ari) dia berkata: “Kami telah menunaikan solat Maghrib bersama dengan Rasulullah s.a.w. Kemudian kami berkata: “Apa kata kalau kita tunggu sehingga dpt solat Isyak bersama-sama Baginda.” Maka kami tunggu sehingga Baginda menemui kami lalu bersabda: “ Kamu masih di sini?” jawab kami: “Wahai Rasulullah! Kami telah menunaikan solat maghrib bersama-samamu. Kemudian kami berkata: ‘Mari kita duduk sehingga kita dapat solat Isyak bersamamu’.” Baginda bersabda: “Kamu semua telah melakukan sesuatu yang baik lagi betul.” Kemudian Baginda mengangkat kepalanya mendongak ke langit dan diikuti oleh para sahabat yg lain, lalu Baginda bersabda: “Bintang tersebut adalah penyelamat langit. Apabila perginya bintang tersebut, maka akan didatangilah langit itu apa yg telah dijanjikan untuknya. Aku adalah penyelamat bagi sahabatku. Apabila aku telah pergi maka akan didatangilah sahabatku apa yg telah dijanjikan untuk mereka. SAHABATKU pula adalah PENYELAMAT UMATKU. Apabila perginya sahabatku maka akan didatangilah umatku apa yang dijanjikan untuk mereka. (Riwayat Muslim dan Ahmad dlm Musnadnya)


Betapa tingginya martabat para sahabat Rasulullah s.a.w. ini. Bagaimana mereka diangkat martabat yang begitu tinggi ini? Mungkin akan ada yang berkata; ”Bolehlah, mereka itu hidup di zaman Nabi, Nabi boleh bagi petunjuk.” Mungkin juga ada yang berkata; ”Kita ni tak semaksum mereka, mereka punya Nabi yang sentiasa membetulkan akhlak mereka dan peribadi mereka”. Ingatlah, bahawa segala teguran Rasulullah s.a.w. pada para sahabat juga sangat bermanfaat pada zaman kita, kerana itulah kita sangat-sangat dituntut untuk mengetahui sirah sahabat dan kisah-kisah mereka yang terdahulu sebagai rujukan untuk kehidupan kita hari ini.


Sahabat yang macamana kita ini?


Saya merasa sangat pelik melihatkan gelagat warga al-Amin hari ini, yang mana, mereka ini semuanya begitu memperjuangkan prinsip setiakawan. Tetapi bagi saya, tidak banyak yang saya dapat lihat hakikat setiakawan yang diperjuangkan oleh anak-anak muda al-Amin hari ini. Lebih banyak kekecewaan saya melihat perjuangan setiakawan ini berbanding berbangga dan terharu melihat beberapa pihak yang benar-benar faham akan makna setiakawan itu.

Jika dilihat apabila selesai solat berjemaah di masjid yang baru dibina ini, ramai di antara anak-anak muda al-Amin hari ini, pergi berhimpun membuat halaqoh bersama-sama dengan kawan-kawannya di berbagai sudut dalam masjid, kemudian mereka berborak-borak dan bergelak ketawa. Heh!! Urusan apa yang begitu penting sehingga mereka sanggup bangun dari tempat mereka solat itu dan berjalan jauh kepada teman-teman mereka hanya semata-mata untuk berborak dan bersenda gurau?!


Masih banyak lagi hal yang sangat mengecewakan saya dan mata yang memandang. Ketika makan mereka, ketika bermain sesama mereka, ketika dalam pergaulan, ketika belajar,dan banyak lagi. Semuanya hanya menggunakan slogan ”Takkan nak tinggalkan kawan?!”. Tapi semuanya umpama lakonan semata-mata. Slogan ini paling ketara diamalkan oleh mereka hanya ketika dalam keadaan susah bersama-sama seperti dalam perkhemahan. Semuanya saling bahu-membahu dan tidak akan lekang dari teman-teman mereka. Ketika itulah saya melihat nilai persahabatan yang sangat utuh, tapi malangnya ia tidak berkekalan, hanya ketika itu sajalah.


Saya sangat terharu dengan beberapa orang kawan saya ketika di kolej dahulu, terdapat seorang kawan yang sangat dho’if dan tidak mampu untuk membayar yuran kolej yang begitu mahal iaitu RM450 sebulan, tetapi kawan-kawan saya yang sudah lama berkenalan dan satu usrah ini, mereka berinfaq, menggabungkan sejumlah wang yang mereka ada untuk membantu kawan yang susah ini membayar yurannya. Alhamdulillah, mereka semua istiqomah membantu kawan yang susah ini sehingga mereka menamatkan pengajian dengan cemerlangnya.


Saya lebih terharu ketika saya bekerja di hospital sebelum ini, ada seorang mangsa kemalangan yang dimasukkan di hospital tempat saya bertugas, malangnya mangsa tersebut kehilangan daya melihat akibat kemalangan yang berlaku pada dirinya. Kawan yang selalu menemani si mangsa ini pada setiap waktu selepas tahu bahawa si mangsa itu kemalangan sangat risau mendengarkan berita ini. Akhirnya, dia mengambil keputusan, untuk mendermakan kedua-dua belah matanya untuk si mangsa kerana si mangsa itu lebih memerlukan mata tersebut dari dirinnya. Baginya, si mangsa bekerja sebagai seorang pemandu kapal terbang, jadi mata tersebut pasti akan sangat membantu dalam kerjayanya nanti, malah si mangsa juga masih bujang. Tetapi kawan yang mendermakan mata itu mengatakan, kerjanya mudah sahaja, hanya seorang peguam, katanya terlalu ramai peguam yang terdiri dari orang buta, jadi dia merasakan mata itu tidak akan memberi impak kepada kerjayanya dan dia pula ialah seorang duda, dan bapa kepada seorang anak yang sudah 7 tahun. Maka dia pun mendermakan matanya itu. Untuk makluman, mereka berdua adalah orang cina Kristian.


Bagaimana ya, si kawan ini sanggup dermakan matanya? Bagaimana pula kita? Bukankah keadaan ini hampir sama dengan para sahabat yang sanggup mempertaruhkan nyawa mereka demi sahabat mereka yang tercinta itu? Muaz bin Jabal pernah menjadi perisai ketika puluhan panah melanda Abdul Rahman bin Auf. Nusayba antara sahabiah yang juga menjadi perisai ketika keadaan kucar-kacir dalam peperangan Uhud kepada Rasulullah s.a.w. Mereka mempertaruhkan nyawa kerana Allah untuk kepada kawan-kawannya wahai saudaraku..!! Bagaimana pula kita?


Tawarkan kepada kawan-kawan kita suatu ”hadiah” yang agung!!


Kita merasakan kita mampu mendapat ramai kawan kerana kita mampu mendapatkan mereka dengan wang ringgit, tapi ketahuilah bahawa hanya Allah sahajalah yang Maha Berkuasa untuk menawan hati-hati manusia yang Dia sendiri ciptakan. Seperti di dalam firman-Nya:


”Dan (Dia lah) Yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). kalaulah Engkau belanjakan Segala (harta benda) Yang ada di bumi, nescaya Engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” [al-Anfaal : 63]


Kita perlu tawarkan kepada mereka dengan mengatakan; ”Aku ingin bersama-sama dengan kamu wahai kawanku ke dalam syurga nanti, kita akan duduk bersama-sama di taman yang indah, padanya ada sungai yang mengalir, air sungai itu sangat menenangkan dan dipenuhi dengan susu dan madu. Kita akan dilayan oleh bidadari-bidadari yang tiada tandingannya kecantikan mereka melayani kita seorang sepuas-puasnya. Kita akan memiliki mahligai tersendiri yang sangat indah. Apakah itu pun masih engkau tidak mahu kenikmatan yang sangat besar ini? Dan yang lebih nikmat di sana nanti, kita akan bertemu dengan Pencipta kita ini. Tidakkah kamu mahu melihat wajah Penciptamu yang sangat kamu rindui ini? Maka wahai sahabatku, marilah kita bersama-sama menyahut seruan kepada Jalan-Nya yang lurus dan jangan kita hanyut dengan dunia yang mengaburi mata kita juga menjadi hamba kepada nafsu semata, agar bersama-sama kita menggapai suatu hadiah yang besar ini”


Doa Penutup


Di akhir huraian ini, kami menghadap Allah dengan doa, ”semoga Dia mengampuni atas kesalahan yang kita lakukan. Semoga Allah menerima usaha yang Allah telah limpahkan taufiq-Nya kepada kita”. Kita semua menghadap Allah, semoga Dia memberikan kemenganan kepada dakwah-Nya di muka bumi ini dan membukakan pintu hati manusia menerima dakwah-Nya.


Semoga Allah menjadikan kita sebagai tentera-Nya yang benar dan mengurniakan kepada kita syahid. Semoga kita dimasukkan ke dalam syurga-Nya bersama para Anbiya, as-Shiddiqun, as-Syuhadaa dan as-Shalihun. Mereka adalah teman-teman terbaik. Amin!!

5 comments:

Afham Fuad said...

wah!!panjangnye..

Unknown said...

macam kenal je ini wasiat

mas syarep said...

to amirul: ni dh upgrade nyer..so ni bacaan utk sume..

to afham: sory..br2 ni mmg xleh nk jumpe keyboard..klo x..jari ni type xleh nk berenti..so sbb tu ler byk nukilan2 dlm blog ni pjg2 tulisannya..

ampun yaa!!

Awau said...

amin ya rabbal alamin

-Amin HaR- said...

mmg macam kenal...
btw, terima kasih!!