Sedar tak sedar, sekejap sahaja masa berlalu meninggalkan masa yang lepas. Kini sudah hampir tahun 2008 menutup tirainya. Sudah kita sedia maklum, jika pengakhiran tahun ini di Malaysia, pasti akan tiba suatu peperiksaan yang sangat besar bagi semua pelajar Tingkatan 5 di Malaysia, itulah ia Peperiksaan SPM.
Saya selaku salah seorang Pembantu Makmal di salah sebuah sekolah menengah di Malaysia ini, mewakili semua Pembantu Makmal SeMalaysia ingin mengucapkan kepada semua calon Peperiksaan SPM di seluruh negara..; "Selamat menduduki Peperiksaan SPM dan Semoga Maju Jaya!! Lakukan yang terbaik!! Jawab elok-elok!!"
hmm..Tiba-tiba saya terfikir sesuatu, kenapa pula mengucapkan "selamat" untuk mereka yang ingin menduduki peperiksaan ini atau apa-apa perayaan seperti "Selamat Hari Raya" atau "Selamat Jalan"? Kenapa tidak ucapkan "Happy" atau apa-apalah.? Bukankah ucapan "selamat" itu seperti kita mendoakan semoga ia selamat melalui sesuatu?
Bila melihat kepada statistik, sememangnya wajarlah ucapan selamat diajukan kepada mereka yang ingin pulang beraya di kampung atau pun ingin pergi ke jalan raya. Kerana terlalu ramai yang menghadapi kemalangan jalan raya ketika ingin pulang beraya ataupun melalui jalan raya.
Saya teringat suatu peristiwa di tahun 2005, di mana terdapat laporan seorang calon SPM meninggal dunia ditimpa kemalangan ketika beliau ingin pergi belajar bersama dengan kawan-kawannya dan kejadian itu adalah sangat berdekatan dengan rumahnya. Memang sangat tragik laporan tersebut. Ada juga laporan pada tahun yang sama juga terdapat calon SPM yang ditimpa kemalangan jalan raya ketika pulang ke rumah setelah selesai menduduki kertas SPM.
Maka sememangnya wajar diucapkan "Selamat menduduki SPM" kepada semua calon SPM kerana kebanyakkan daripada mereka sudah mula menunggang motorsikal serta memandu kereta. Pandulah dengan cermat, ingatlah yang anda belum dapat keputusan SPM lagi dan ingatlah yang tersayang. Jangan jadikan Pengawas Peperiksaan menunggu anda terlalu lama. Anda mampu mengubahnya.
Saya bukanlah ingin menakutkan para pembaca. Tetapi sekadar mengingatkan para pembaca bahawa kita seharuslah senantiasa bersedia untuk kematian, bukanlah mengharapkan kematian itu datang kepada kita terus. Melainkan mati syahid yang menjadi cita-cita tertinggi kita.
Kepada semua calon SPM di seluruh negara, buatlah yang terbaik untuk SPM pada tahun anda. Kerana anda adalah harapan Negara. Jangan sia-siakan usaha anda selama 11 tahun anda menuntut ilmu di dunia ini.
Dan seterusnya ucapan khusus buat semua calon SPM Sekolah Menengah Islam Al-Amin, Gombak. Ana mendoakan kejayaan antum dan kita semua serta kesejahteraan kita bersama. Berusahalah semaksimum mungkin, jangan cepat putus asa.
Dalam setiap usaha antum semua, jangan lupa akan doa yang semaksimum mungkin untuk kita panjatkan kepada Illahi yang Maha Pemberi Rezeki (ar-Razaak). Berikanlah sedikit masa kita kepada-Nya agar kita menyerahakan segala usaha kita selama ini bukan sahaja semata-mata untuk mendapat keputusan yang terbaik, malah kita berdoa agar semua usaha yang kita kerahkan hanyalah semata-mata untuk mendapat redho-Nya. Ambillah sepertiga malam untuk sujud menghadap Illahi bermunajat sebentar kepada-Nya. Kita sangat dekat pada Allah dalam keadaan kita bersujud pada-Nya, maka mengadulah kepada-Nya.
Janganlah lupa untuk menyingkapi al-Quran sebentar untuk menenangkan hati yang lara lagi gelisah kerana merisaukan natijah(hasil) daripada apa yang kita usahakan selama ini terutamanya pada SPM itu sendiri. Ambillah 'ibrah(pengajaran) juga daripada al-Quran sebagai motivasi kita menghadapi hari esok.
Pergilah tatap wajah ibubapa antum semua sebagai pendorong dan motivasi untuk antum terus berusaha, yang selama ini, mereka tidak pernah berputus asa berusaha demi antum, anak-anaknya yang dikasihi lagi dicintai. Belum tentu jasa mereka dapat dibayar dengan keputusan SPM antum, tapi mereka cukup bersyukur akan usaha mereka selama ini yang cukup membanggakan mereka. Kalau ada yang ibubapanya pergi menunaikan haji di Mekah, cubalah untuk menelefon mereka, sekurang-kurangnya dapat mendengar suara mereka mengubat kerinduan antum.
Jangan lupa juga meminta redho guru-guru antum yang berusaha mengasah antum menjadi lebih baik dari sebelum ini. Tanpa mereka, kita tidak mampu melonjak ke hadapan, mara dengan yakin, dan usaha yang berhasilan. Ingatlah!! Daripada usaha seorang guru itulah, mampu menghasilkan seorang doktor, jurutera, jurubina, peniaga hebat, pembantu makmal, malah seorang Perdana Menteri sekalipun.
Bantulah sesama antum, rakan-rakan seperjuangan(rufaqa') yang berjuang daripada awal hinggalah pengakhiran jiwa raga antum. Cukup-mencukupilah sesama antum kerana ana tahu antum semua telah kenal diantara satu sama lain malah sudah memahami isi hati rakan-rakan yang lain. Maka bagi menyempurnakan usaha antum selama ini, biarlah kita mengecapi kejayaan bersama-sama.
Jika berlaku dalam kesukaran atau kesusahan, bersedekahlah kerana ia dapat mengurangkan beban antum (al-Mujadalah:12). Dan bertaqwalah di mana sahja antum berada kerana Allah akan memberikan jalan keluar dari segala kepayahan. Malah memberi rezeki dari sudut yang tidak disangka-sangkakan. Kemudian bila sudah menerima segala ketentuan dan ketetapan (qada' qadr) Allah, maka bertawakallah dan bersyukurlah kepada Allah kerana Allah akan mencukup keperluanmu (at-Tholaq:2-3).
SPM bukanlah segala-galanya. Selagi kita bernafas, kita mesti meneruskan kehidupan kita, tetapi SPM ini mampu membantu kita sebaik mungkin untuk masa akan datang kita. Maka jangan ambil mudah, jangan cepat kecewa dan jangan pula buat orang lain kecewa kepada kita, terutamanya ibubapa kita sendiri. SPM ini adalah tiket bonus untuk kita berladang di dunia ini agar ladang kita memberikan hasil dan menjadi bekalan kepada kita untuk ke kampung yang abadi iaitu akhirat nanti.
Sungguh....ana akan merindui saat kita bersama dahulu. Biarlah memori kita bersama selama ini akan terus kita ingat dan menjadi motivasi kepada kita tentang cita-cita kita. Iaitu akan berdampingan di syurga bersama-sama nanti.
2 comments:
esok SPM!
go go go bdak SPM!!!
Post a Comment