Thursday, October 23, 2008

Jom kita renungi dan hayati kisah ini, kerana ia sangat bermakna pada saya ketika saya mendengarnya kali pertama di sekolah dahulu.

____________________________________________________________________

Mimpi Indah Saad

Pada suatu hari, Saad berjalan-jalan di Kota Mekah, dia terserempak dengan Abu Bakar. Apabila Abu Bakar menyedari kehadirannya dia pun tersenyum dan berkata:

“Saya melihat saudara begitu gembira. Apa mimpi saudara?”

Lantas Saat tersenyum kehairanan;

“Bagaimana saudara tahu saya bermimpi?
Ya, saya memang sedang bergembira disebabkan mimpi saya semenjak beberapa malam lalu. Mimpi-mimpi itu sungguh membahagiakan.”

Abu Bakar merenung Saad dengan penuh keikhlasan, kemudian dia berkata;
“Pada pendapat saya, mungkin inilah cahaya iman.”

Saad tersentak mendengar kata-kata Abu Bakar. Dia pun bertanya;
”Iman? Apa maksud saudara?”

“Sebelum itu, saya hendak tahu mimpi saudara yang membahagiakan itu. Bolehkah?”
Pinta Abu Bakar.

Saad memimpin tangan Abu Bakar ke kawasan yang tidak dilewati ramai orang. Kemudian dia berkata;

“Saya selalu bermimpi berada di sebuah wadi(lembah yang ada takungan air) yang terang benderang. Ianya dikelilingi oleh pokok-pokok bunga dan pohon-pohon yang berbuah. Terdapat juga anak-anak sungai yang jernih airnya.”

“Saya juga bermimpi seolah-olah aku tenggelam dalam kegelapan yang pekat. Semasa saya jalan meraba-raba, terumbang-ambing, tidak tentu arah di dalam gelombang yang gelap, tiba-tiba muncul bulan yang memancarkan sinarnya yang terang. Saya pun mengikuti cahaya bulan itu. Tetapi saya mendapati beberapa orang mendahului saya. Mereka lebih dahulu mengikuti arah cahaya Bulan itu. Saya dapat melihat orang itulah Zaid bin Harithah, Ali bin Abi Talib dan kamu juga wahai Abu Bakar. Saya pun bertanya kepada mereka sejak bila mereka berada di situ? Mereka mengatakan baru sahaja.”

”Saya hairan betul. Setahu saya Kota Mekah ini hanya dikelilingi oleh bukit-bukit dan gunung-ganang.Wadi-wadi di sini kebanyakannya tidak berair dan berdebu.”

Abu Bakar terus tersenyum sejak dari Saad memulakan ceritanya. Wajahnya berseri-seri menunjukkan kegembiraan hatinya. Abu Bakar pula membuka mulutnya memulakan madah yang ringkas menenangkan hati Saad;

”Wahai Saad, Allah menunjukkan saudara perkara yang indah dalam mimpimu. Iman yang saya katakan tadi adalah indah. Iman hanya diberikan kepada orang yang Allah kehendaki. Allah memilih Muhammad si al-Amin itu menjadi utusan-Nya dan memberi kepada Muhammad itu iman dan membawa agama Islam ini kepada seluruh Alam.”

Saad terkesima dan terpinga-pinga.
”Maksud kamu, Muhammad bin Abdullah anak saudara saya, anak Aminah binti Wahab? Muhammad membawa agama Islam?”

Abu Bakar cemas sambil meletakkan jari telunjuknya di mulutnya.
”Usah cakap kuat sangat. Nanti orang lain dengar. Perkara ini masih rahsia.”

Kemudian Abu Bakar menceritakan tentang agama yang dibawa oleh si al-Amin itu kepada Saad bin Abi Waqqas sambil membawanya menemui Nabi Muhammad s.a.w. Saad memeluk Islam di hadapan Rasulullah s.a.w.

Saad bin Abi Waqqas (r.a)-lah orang yang pertama sekali memasuki Islam melalui usaha dakwah Abu Bakar r.a. dan pada ketika itu hanyalah 4 orang sahabat ini sahaja yang memeluk agama Islam selain Khadijah binti Khuwalid r.ah. Iaitu Zaid bin Harithah r.a , Ali bin Abi Talib r.a , Abu Bakar r.a , dan Saad bin Abi Waqqas r.a.

Cabaran dalam memikul Risalah

Pada mulanya, Saad tidak memberitahu ibunya yang dia memeluk Islam. Sedangkan Saad sangat taat pada ibunya, Saad tidak pernah berahsia dengan ibunya tentang apa pun. Dia menjaga ibunya dengan baik dan sentiasa berbakti kepadanya.

Sehinggalah pada suatu hari, tidak lama selepas keislaman Saad, ibunya mendapati tentang halnya Saad dan terus pengsan apabila mendapati anaknya sudah keluar dari agama nenek moyangnya.

Ibunya terus mencari Saad seraya berkata;

”Wahai Saad, agama apa yang baru kamu anuti? Kamu sanggup meninggalkan agama ibu bapa kamu?! Demi Latta dan Uzza, kamu mesti meninggalkan agama baru itu!! Jika tidak, ibu mogok tidak mahu makan dan minum sehingga ibu mati. Dan matamu dari darah dagingku ini yang aku belai kamu itu akan melihat kesengsaraan den penderitaan pada diriku yang pasti kamu tidak sanggup lihat ia terjadi pada ibumu sendiri!! Kamu akan menyesal nanti!!”

Dengan nada yang lembut, Saad menjawab;
”Wahai ibuku, janganlah ibu mengambil keputusan sebegini. Mana mungkin mataku ini sanggup melihat derita ibuku. Melihat ibu kesejukkan di dalam dinginnya malam pun tidak mampu saya tanggungi, inikan pula tidak makan dan minum sehingga mati.”

”Ibu, saya sayangkan ibu, tetapi saya tidak akan meninggalkan agama Islam walau apa pun yang terjadi kerana saya sangat sayangkan Dia yang menjanjikan kegembiraan selama-lamanya.”
Ibu Saad menempik;
”Siapa Dia?!”

Saad menjawab;
”Dia itulah Allah, Tuhan Semesta Alam, Pemilik jiwaku ini serta jiwamu wahai ibuku.”

Saad terus disepak oleh ibunya dan berkata ibunya;
”Tidak!! Jangan kau nafikan Latta dan Uzza.”

”Tangan ini tidak pernah sampai ke pipimu sederas ini. Sebelum ini tangan ini hanya membelai pipimu itu semenjak ia wujud di dunia hinggalah hari ini. Kerana agama baru inilah yang menyebabkan ini!!”

Suasana hingar itu disaluti kesedihan kerana berpisahnya hubungan kekeluargaan di antara ibu dan anak. Si ibu sendiri tidak sanggup menampar anaknya dan si anak pula tidak sanggup melihat kesedihan serta malu kepada orang Arab lain yang ditanggung ibunya.

Sejak hari itu, dia tidak makan dan minum selama berhari-hari sehingga badannya lemah.

Setiap hari Saad memujuk ibunya makan ataupun minum. Sehingga Saad terpaksa mencuri masuk ketika ibunya tidur membasahkan bibir mulut ibunya dengan air. Ibunya juga berkeras hati sehingga menutup mulut dengan kain baldu kerana tidak mahu mulutnya dibasahkan oleh anaknya. Saad sangat susah hati.

Pada suatu hari, Saad datang menemui ibunya dan berkata;

”Ibu, sekalipun kasih sayang dan cinta kepada ibu terlalu besar, tapi cinta saya kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. melebihi segalanya. Maafkan saya ibu.”

”Demi Allah yang memiliki jiwa ini dan jiwamu, seandainya ibu mempunyai seribu nyawa dan nyawa itu keluar daripada tubuh ibu satu per satu, namun saya tetap tidak akan meninggalkan agama yang saya anuti ini.”

Tergamam ibunya mendengar kata-kata Saad dan ibunya menyedari bahawa pendirian anaknya ke atas keyakinannya pada agama Islam sangat teguh melebihi dari ikatan kekeluargaan yang telah dia didik pada Saad. Akhirnya, si ibu pun mengalah. Dia mula makan dan minum sehinggalah dia juga masuk Islam melalui Saad.

Selepas peristiwa itu, Allah mewahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya Engkau mempersekutukan denganku sesuatu Yang Engkau - Dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya maka janganlah Engkau taat kepada mereka; dan bergaulah Dengan mereka di dunia Dengan cara Yang baik. dan Turutlah jalan orang-orang Yang rujuk kembali kepadaKu (dengan Tauhid dan amal-amal Yang soleh). kemudian kepada Akulah tempat kembali kamu semuanya, maka Aku akan menerangkan kepada kamu Segala Yang kamu telah kerjakan.”
[Lukman: 15]

____________________________________________________________________

Inilah kisah yang telah mengukuhkan imanku ketika hatiku berbolak-balik pertama kalinya. Tidak pernah ku sangka bahawa saya akan menghadapi hal hampir sama seperti ini berlaku pada diri sendiri. Kerana itulah ketentuan Allah. Allah lebih menyintai hamba-Nya yang berjaya mengharungi ujian yang diberikan-Nya.

No comments: