Sunday, July 11, 2010

Habis pun bola..!!

Setelah lama tak menulis dan memenuhi entri blog ini, dengan kesempatan masa yang ada ini. Saya akan cuba menyambung aktiviti menulis di dalam blog ini. Minta maaf kepada para penziarah blog ini jika melihat tulisan yang sama tidak berubah-ubah lagi. Dan dikesempatan ini, ingin juga saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penziarah blog saya kerana sudi membuka dan menziarahi blog saya yang telah usang ini.

Apa ya tajuk hendak disentuh? hehe..pasal bola la..Di dalam musim Piala Dunia versi 2010 ini, bermacam-macam gelagat dapat dilihat. Seronok pula melihat ramai orang bersorak untuk pasukan bola yang diminati mereka. Seronok juga melihat aksi-aksi jaringan serta gelecek yang tak kurang hebatnya. Bila sebut Piala Dunia, pasti tidak dapat lari dengan bola. Hehe..bila bola dah habis, baru saya menulis tentangnya.

Tak mengapalah, sebab saya hendak simpulkan selama saya sendiri berada dalam musim bola sepak ini. Seronok tengok di dalam kaca televisyen siaran tentang perlawanan bola sepak. Penuh stadium-stadium yang menjadi medan pertempuran di antara pasukan-pasukan yang bertanding. Walaupun Ghana lawan Amerika (2 pasukan yang tidak terkenal mana) sekalipun, stadium di Afrika Selatan dipenuhi peminat bola sepak. Betapa hebatnya tarikan bola sepak ini sehingga dapat menghimpunkan peminat-peminat bola sepak dari seluruh dunia bertumpu di Afrika Selatan.

Alangkah indahnya jika kita melihat suasana ini pada masjid-masjid yang dipenuhi orang-orang Islam yang menumpukan perhatian beribadah di dalamnya.

Ada penyokong-penyokong pasukan yang bertanding sanggup memperagakan pakaian yang berkenaan dengan warna pasukan mereka semata-mata menunjuk sokongan padu kepada pasukan tersebut. Alangkah indahnya jika para pemuda muslimin hari ini juga sedemikian dalam 'izzah mereka kepada agama mereka.

Ada pula penyokong-penyokong yang beremosi dalam melihat perlawanan bola sepak walaupun ia berlaku jauh dari tempat duduknya. Jika pasukan yang diminatinya itu menjaringkan gol, dialah yang bertempik kegembiraan sangat girang sedangkan dia hanya duduk sahaja, bukannya menjaringkan gol tersebut. Jika pasukan itu kalah, mampu menangisi kekalahan mereka. Emosi itu terasa hangat walaupun pasukan dan peminatnya berjauhan beribu-ribu kilometer, tapi seolah-olah mereka sangat dekat di antara satu sama lain.

Alangkah indahnya jika begitu juga emosi para pemuda muslimin kepada Penciptanya, agamanya, dan juga saudaranya yang seiman. Bezakah bila melihat orang yang bermain bola di Afrika Selatan itu kita mampu beremosi, sedang saudara kita di Palestin yang dibunuh dengan kejam dan tak terbela itu, tidak pula terdetik emosinya.

Setiap kali ingin bermula perlawanan bola, ramai diantara peminat pasukan bola yang bertanding akan saling meneka siapa yang akan menang. Bahkan, ada yang menggunakan instinct binatang (Paul si sotong kurita) untuk meneka pasukan yang manakah yang akan memenangi perlawanan tersebut. Ada pula yang sanggup mempertaruhkan wang untuk merasai kegembiraan pasukan yang disokong serta menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pasukannya itu sehingga sanggup berjudi atas nama pasukan tersebut.

Alangkah indahnya jika para pejuang muslimin yang sanggup mempertaruhkan dirinya dan hartanya kerana kemenangan Islam yang pasti akan tiba. Meletakkan sepenuh kepercayaan kepada janji-janji Allah yang pasti. Dan kemenangan ini, tidak perlu untuk meneka-neka ataupun meramal siapakah yang akan menang. Kerana janji Allah itu pasti tetap akan berlaku.

Ketika musim bola sepak ini, saya, abang saya dan ayah saya, bersama-sama melihat perlawanan bola secara langsung antara pasukan Jerman dan England. Kami merasakan sangat seronok menonton perlawanan tersebut bersama-sama. Jika lihat di kedai-kedai makan yang memasang perlawanan secara langsung Piala Dunia, mereka juga bersorak bersama-sama walaupun sesama mereka tidak mengenali sesama mereka, tapi mereka mampu berkongsi keseronokan itu bersama. Betapa bola ini dapat menyatukan hati para peminat bola sepak.

Alangkah seronoknya jika melihat semua umat itu bersatu hati bersama-sama di bawah satu iman yang membawa ketaatan kepada Allah Taala. Itulah gunanya Kalimatut Tauhid.

Akhirnya musim bola sudah habis. Kini, bersiap sedialah untuk menghadapi musim Ramadhan pula. Kalau ketika musim bola, ada yang sanggup bangun awal pagi atau berjaga malam semata-mata untuk mengikuti perlawanan bola secara langsung. Mengapa tidak kebiasaan anda pada musim bola itu anda lakukan sekali lagi di musim Ramadhan pula. Sekali lagi anda bangun awal pagi atau bersengkang mata untuk menghidupkan malam-malam Ramadhan dengan ibadah-ibadah dan "berhubung secara langsung" dengan Allah yang melimpahkan rahmat-Nya di malam-malam Ramadhan terutamanya pada Lailatul Qadr.

2 comments:

Awau said...

analogi yg bes,mgharapkan qiam berniatkan bola di pg hari mendapat maqam yg tinggi d sisi Allah :D

so marilah kte menjadi pemain2 spt arjen roben,xavi,klose yg buat preparation awal utk FIFA,
make bsedielah kite utk musim Ramadhan skjp lg..

Khalilah Alhuda said...
This comment has been removed by the author.