Sunday, October 18, 2009

Kerusi yang Indah nian..hebat..lagi mengagumkan..

Satu lagi siri kerusi daripada meja makmal ini. Menarik untuk para pembaca meneruskan penelaah penulisan kali ini. Mungkin ramai sudah bosan dengan kisah kerusi ini, atau tidak ada masa lagi untuk mengunjungi blog ini, hanya kerana penulisan dewasa ini sudah mulai membosankan.

Manusia hari ini, tidak dapat dipisahkan dengan perkataan BOSAN. Apa yang tidak menarik baginya, sudah pasti dilabelkannya sebagai BOSAN. Apa sahaja pada hari ini tidak membosankan semua manusia? Manusia hari ini telah didekatkan dengan pelbagai perkara yang menarik lagi menghiburkan. Maka sudah pasti mereka mengenali erti dan perkara yang memBOSANkan. Walaupun ia bermanfaat, tapi tidak menghiburkan lagi tidak menarik, ia tetap dihukum sebagai MEMBOSANKAN.

Mungkin tidak semua yang mempunyai sikap pelabel BOSAN tersebut. Tetapi sememangnya, persepsi dan tanggapan orang itu, adalah terlalu tinggi terhadap sesuatu atau ia telah dilatih menjadi kebiasaan bagi dirinya untuk diselami dengan kehidupan yang senang, nian, lagi menarik. Maka ia bermula daripada tanggapan yang akan melahirkan pemilihan terhadap sesuatu. Iaitu sama ada ia memBOSANkan ataupun ia suatu perkara yang menarik.

Begitu juga suatu pandangan terhadap nilainya sebuah kerusi. Kalau kerusi itu berjenema, pasti ia dipandang tinggi lagi hebat. Seolah-olahnya, jika ia dapat dimiliki, pasti pemiliknya dilihat hebat. Sedang kerusi yang biasa, tiada apa baginya hanya melainkan untuk diletakkan di dalam stor. Kenapa ini terjadi? Sedangkan kedua-duanya memainkan peranan yang sama, juga memiliki ciri-ciri yang sama. Itulah hebatnya jenama. Kerana ia memberikan gah kepada sesuatu barang.

Semuanya mengharapkan dia mendapat sesuatu yang hebat. Tidak kiralah sama ada dalam masa yang singkat mahupun panjang. Ada yang mengharapkan keputusan peperiksaannya lebih baik. Ada pula mengharapkan agar dia suatu hari nanti mendapat pekerjaan yang akan memberikan gaji yang lumayan. Ada juga yang mengharapkan suatu hari nanti, tampuk kepimpinan negara adalah lebih baik di bawah pemerintahannya nanti. Bagaimana manusia boleh terus dibuai mimpi sebegitu sedang tiada bukti usaha yang membolehkan dia meraih kehebatan seperti itu?

Apabila ditanya kepada beberapa jenis orang tentang kerusi yang manakah hebat bagi mereka? Maka jika soalan ini ditanya pada seorang pelajar, akan ada jawapannya begini: "Sofa dirumah pada waktu persekolahan, depan tu ada TV pasang cerita G.I. Joe". Jika soalan ini ditanya kepada mereka yang bekerja di pejabat, maka jawapannya ialah: "Kerusi OGAWA yang boleh urut-urut tu, sambil dengar lagu sentimental". Jika ditanya pula soalan ini kepada ahli politik, pasti jawapannya ialah: "Kerusi di Parlimen laaah. Suatu hari nanti, kerusi Presiden itu akan saya tawan!!".

Setiap orang sudah memiliki penilaiannya terhadap sesuatu yang hebat. Kita mahu segalanya hebat. Tetapi bagaimana sesuatu yang hebat itu mahu diraih sedangkan perkara yang asas tidak kita garap sebaiknya. Seperti kerusi yang hebat. Kenapa ahli politik berebut-rebut mahukan kerusi di parlimen? Kenapa sesebuah kerusi itu berharga mahal? Kenapa kerusi malas mampu menidurkan orang yang menggunakannya? Kerusi-kerusi ini semuanya hebat belaka. Kerana asas sebuah kerusi itu ialah; ia boleh diduduki dan selesa bagi penggunanya. Itulah ciri asas bagi semua jenis kerusi yang ada di dunia. Kerusi di makmal mungkin agak kurang selesa, tapi pelajar tetap menggunakannya. Kenapa? Kerana meja di makmal lebih tinggi, dan ia sesuai untuk digunakan ketika menjalankan ujikaji. Walaupun ia tidak selesa, tetapi ia bermanfaat bukan?

Kalau kerusi itu hanya memiliki kakinya sahaja, tiada tempat duduk. Siapa yang mahu duduk di atasnya? Kalau kerusi itu hanya ada tempat duduk sahaja, tiada kakinya. Siapa pula mahu menggunakannya? Kehilangan perkara penting bagi sesuatu termasuklah bagi kerusi ini, adalah suatu kerugian yang sangat besar.

Bagaimana kita mahu melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi, yang hebat, lagi mengagumkan, sedangkan perkara yang asas tidak diperlihara. Iaitu jati diri. Akhlak dan keperibadian modal insan itu sendiri. Bagaimana kita bercita-cita tinggi untuk melahirkan pemimpin-pemimpin yang hebat suatu hari nanti dari kalangan pelajar kita, jika penampilan mereka pun tidak kita titik-beratkan. Bagaimana kita mahu melahirkan pelajar kita profesional yang berjaya, sedangkan kasut yang ditinggalkan di luar kelas pun, atau di luar surau pun, tidak disusun dengan kemas?

Mungkin benarlah pepatah ada berbunyi: "Hajat menjamu tamu, tapi beras segenggam pun tiada". Kata pepatah lagi: "Sepakat membawa berkat". Buktinya sehingga rumah pun dapat diangkat oleh ramai orang yang mengangkatnya. Kapal perang pun mampu diangkat orang ramai yang bersepakat ini. Kenapa mereka mampu angkat? Kerana mereka rela untuk mengangkat dan menolong sesama mereka. Makanya, mereka pun memperoleh manfaat bersama-sama. Kita melihat di dalam sejarah bahawa terdapat sekumpulan manusia mampu mengangkat kapal perang melintasi banjaran yang panjang, lalu kita mengatakan mereka ini hebat. Kita ingin jadi seperti mereka. Tapi, cukupkah akhlak kita mencontohi mereka?

Al-Quran telah memujuk manusia yang mahu menjadi hebat iaitu pada surah ar-Ra'd ayat 11:
"..Sesungguhnya Allah tidak mengubah keadaan suatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri.." [ar-Ra'd:11]

Bermulalah dengan diri sendiri, membentuk kepada yang lebih baik, dan memeliharanya selama-lamanya. Mampukah kita? Kerana itu kita perlukan ini bersama-sama. Bersama mengubah remaja kita ini kepada yang lebih baik dengan bermula pada diri kita. Seterusnya adalah urusan Allah berkenaan dengan ketetapannya.

2 comments:

Azraai Ahmad said...

Falsafah di sebalik sebuah kerusi itu, hanya orang2 yg diberi hikmah oleh Allah SWT shj yg akan memahaminya!

mas syarep said...

bukanlah ia berkisarkan tentang kerusi semata-mata..dan ia tidak perlulah di khabarkan sebagai falsafah....krn..idea ini..hanyalah daripada makmal sekolah sahaja..bukannya lepasan azhar ker..darul quro ker..

sy ni..hanya pembantu makmal sahaja..