Tuesday, March 30, 2010
Inisiatif Jalur Lebar???
Industri Teknologi Maklumat juga akan terus berkembang jika semua orang mampu dan mudah untuk menggunakan fasiliti / kemudahan yang disediakan ini. Berbagai-bagai lagi perkhidmatan boleh dibuat secara online kerana kemudahan seperti ini memudahkan semua orang untuk mengakses / menggunakan internet ini secara mudah.
Sebenarnya memang banyak kelebihan-kelebihan yang rakyat dapat dengan pengumuman ini. Usaha ini juga adalah satu lagi usaha kerajaan untuk mencapai wawasan yang tinggi agar pendapatan isi rumah mencukupi. Ini juga bukti pembangunan secara infrastruktur negara kita semakin berkembang lagi maju. Infrastruktur yang dibangunkan juga adalah untuk kemudahan rakyat. Maka seperti slogan yang selalu dilaung-laungkan iaitu "rakyat di dahulukan".
Dalam kita mengecapi pembangunan infrastruktur yang pesat ini, kita juga seharusnya tidak boleh langsung melupakan kepentingan pembangunan modal insan dan cara berfikir kelas pertama. Apa gunanya bangunan tinggi-tinggi, canggih-manggih, gegak-gempita, hebat-jebat, tapi pemikiran orang-orang yang mengecapi pembangunan ini masih lagi kelas ketiga.
Memalukan benar jika bangunan tinggi-tinggi lagi canggih-manggih, tapi isu buang anak, sumbang mahram, anak luar nikah, vandalisme, buang sampah merata-rata, meludah di sana-sini, dan sebagainya masih lagi tidak dapat di atasi.
Bayangkan jika pemikiran ini masih tidak dapat diubah, bagaimana mereka ini akan menggunakan kemudahan yang disediakan? Terlampau banyak kes kerosakan harta benda awam akibat gejala salahlaku pada harta awam. Bangku di tempat rekreasi digunakan untuk tempat duduk, bukannya tempat untuk membuat maksiat.
Bayangkan pula pada kemudahan jalur lebar yang telah diumumkan, apa yang bakal berlaku jika terdapat segelintir orang yang masih lagi pemikiran "kuning" ini menggunakan kemudahan ini? Pasti mereka akan menggunakan peluang yang ada ini sebaik mungkin untuk memuaskan nafsu mereka melalui inisiatif jalur lebar ini seperti melayari laman pornografi murahan yang ada di internet ini. Terdapat laporan daripada penguatkuasa bahagian komunikasi jalur lebar ini, bahawa pengguna internet daripada Malaysia yang melewati laman lucah ini adalah pengguna yang paling banyak di Asia dan kerap kali melewati laman ini.
Bayangkan hiburan di dalam internet ini seperti "game online" dan yang serupa dengannya telah menyebabkan seorang anak kecil yang baru lahir di Korea Selatan mati akibat tidak diberikan makanan kepadanya. Ibubapa bayi malang itu ditangkap ketika mereka sedang menikmati permainan "game online" di Cybercafe (CC). Anak ditinggalkan kerana permainan jalur lebar ini???!!!
Bayangkan antara kebiasaan pengguna jalur lebar di Negara-negara Barat seperti Eropah dan Amerika Syarikat adalah berhubung dengan orang tidak dikenali dan bercinta melalui internet dan seterusnya mengajak untuk blind-date. Apa yang lebih dahsyat lagi, kejayaan blind-date itu diukur dengan kejayaan mereka yang mampu mengajak sehingga ke tahap mampu mengajak untuk melakukan asmara sesama mereka. Ada juga yang mencari dana dengan menjual video amatur lucah mereka di jalur lebar ini.
Bayangkanlah bahawa contoh-contoh yang disebutkan tadi itu adalah akibat alpanya pihak berkuasa yang menyediakan perkhidmatan yang canggih dan kemajuan infrastruktur yang pesat tapi terlupa tentang kemajuan daya fikiran yang waras kepada para pengguna.
Saya menyeru kepada para pengguna perkhidmatan jalur lebar yang singgah membaca di blog ini, agar menjadi pengguna yang bijak dan takut kepada azab Allah. Pastikanlah anda seiring dengan arus dunia masa kini, dalam masa yang sama juga, binalah diri anda dengan ketaqwaan dan moraliti hidup sebagai seorang hamba Tuhan yang Maha Mengetahui.
Monday, March 22, 2010
Berapa banyak lagi bayi-bayi tak berdosa yang akan dibuang?
Mengapa ini terjadi? Tak tahan mata ini membaca berita tentang kes yang menyakitkan hati. Tak tahan lagi telinga ini mendengar berita tentang kes ini. Sukar rasanya untuk merelakan hati ini apa yang berlaku ini.
Mengapalah dibuang-buang sahaja nyawa-nyawa kecil ini?
Apakah nyawa-nyawa kecil ini tidak bernilai?
Apakah nyawa-nyawa kecil ini harus menjadi bahan korban atas dosa insan lain?
Apakah nyawa-nyawa kecil ini sama seperti sampah?!
Walaupun ada yang membuang bayi ini, kebanyakkannya menyelimutkan bayi tersebut. Masih lagi ada perasaan bimbang dan risau pada bayi itu yang mungkin kesejukkan. Tapi tetap buang. Kenapa ya masih lagi berperikemanusiaan? Kalau tengok gambar-gambar bayi yang dibuang ni, rasa sayu sangat. Ada yang gebu-gebu lagi dibuang begitu sahaja. Ada yang masih ada tali pusat lagi.
Saya tak berani nak postkan sebarang gambar tentang ni. Rasa kurang selesa nak letakkan dalam entri kali ini. Inilah bahaya nafsu. Bila melayan nafsu, suka!! seronok!! Tapi bila dah terlanjur, tak nak tanggung. Ada pihak menyalahkan yang lelaki..tak nak tanggung apa, ada pihak menyalahkan yang perempuannya tergedik-gedik terima pelawaan nafsu.
Ada pasangan yang bila dah berkahwin, tapi tak dapat anak, nak sangat anak. Ada pula pasangan yang tak berkahwin, terus dapat anak, dibuang-buangnya. Kalau zaman dahulu, orang terpaksa memberi anak kepada orang lain untuk jadi anak angkat kerana hidup susah. Ramai pasangan yang tiada anak ini, mengambil anak angkat dengan kaedah ini. Tapi sekarang ini, bila dibuang, ada yang membelanya, tapi anak malang ini menghidap HIV pula. Inilah bahaya zina!!
Apalah malang nasib anak-anak zaman ini. Siapalah yang akan membela nasib mereka. Apa pula nasib keadaannya bila mereka dah besar nanti? Apa perasaan mereka nanti? Apa langkah untuk membela nasib anak-anak seperti ini nanti? Walaupun dah ada caranya, kenapa masih tak mahu sedar dan mengamalkannya?
Tuesday, March 16, 2010
Al-Quran di sekitar kita

Sepengalaman saya melihat al-Quran yang ada di sekeliling saya, bermacam-macam bentuk mushaf yang saya dah jumpa. Alhamdulillah perubahan demi perubahan yang berlaku dalam dunia hari ini terhadap al-Quran ini adalah satu suasana yang sihat pada masyarakat Islam hari ini. Tapi sejauh mana kita sebagai umat islam menghargai pembaharuan ini?
Cuba bayangkan ketika awalan, Mushaf Al-Quran adalah sebesar ini. Bagaimana umat Islam ketika itu cuba mengamalkan Al-Quran itu sendiri? Antaranya mereka menghafalnya pada waktu kanak-kanak lagi dan ketika meningkat dewasa sehingga ke mati sekalipun, mereka tetap menghafalnya. Mereka mempelajari al-Quran ketika zaman kanak-kanak mereka kerana dahulu ditempatkan Mushaf-mushaf Al-Quran ini hanya di madrasah-madrasah (sekolah) atau Istana sahaja kerana bilangannya amat terhad. Buktinya; lihat sahaja biografi ilmuan Islam seperti Ibnu Sina, Al-Kindi, Al-Khawarizmi, dan ramai lagi. Semuanya hafal al-Quran ketika usianya kecil lagi.
Ketika saya kecil pula, Mushaf Al-Quran semuanya serupa; iaitu jenis mushaf dari Saudi. Itu adalah yang paling kecil ketika itu. Jadi di Malaysia ketika itu tidak begitu banyak jenis mushaf yang ada untuk dimiliki.
Kemudian saya melihat ada Mushaf Al-Quran yang berzip, wah!! Ini suatu pembaharuan yang terkini (ketika itu) kerana jarang untuk menjumpai mushaf yang berzip ini. Saya tak boleh bayangkan bagaimana orang terdahulu sebelum kita mencetak Mushaf Al-Quran hanya dengan menulis dengan tangan mereka sahaja. Nasib baik tulisan mereka cantik.
Tidak beberapa lama selepas itu, kelihatan ada banyak Mushaf Al-Quran yang mula membantu Umat Islam dengan meletakkan warna-warna di dalam mushaf untuk membantu pembaca baca dengan bertajwid. Kemudian ada juga yang didatangkan dengan makna ayat al-Quran itu sendiri dan ia lebih ringkas. Tapi ada yang lebih menarik ialah, mereka (penerbit mushaf) menggunakan konsep yang sama dengan meletakkan makna ayat di dalam mushaf, tapi kulit mukanya yang lebih beraneka warna. 




Baru-baru ini saya ada pergi ke sebuah restoran yang berdekatan dengan rumah saya. Restoran itu biasa-biasa sahaja kerana memang selalu juga pergi ke restoran tersebut sebelum ini. Cuma ada terlalu banyak kelainannya berbanding sebelum ini. Kelainannya ialah pemilik restoran itu memasang ayat al-Quran di premisnya. Apatah lagi mereka memasang surah Yasin. Apa tanggapan para pembaca jika dengar surah Yasin di suatu tempat? Mungkin ada yang mengatakan; "Malam Jumaat ker malam ni?" atau "Ada kematian ker kat sini?". Pada keesokkan petangnya saya datang pada waktu yang sama juga, premis itu memasang bacaan surah Yasin juga.


Wednesday, March 10, 2010
Kerana Selembar Kertas..
Tapi selepas membaca blog ini, rasanya kebanyakkan calon dah melihat keputusan masing-masing. Apa ya perasaan calon SPM tahun 2009 sekarang ini? Hmm..pasti berbolak-balik dengan pelbagai emosi yang sedang mengganggu diri.
Antara matlamat pendidikan ialah memastikan keseimbangan Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelektual (JERI). Tapi nampak gayanya, seperti menemui kegagalan pendidikan di negara kita jika pada saat pelajar menerima keputusan, emosinya terganggu dan tidak tenteram.
Ada calon SPM yang berpendapat; "Pastinya saat ingin mengambil keputusan yang telah berhempas-pulas usaha bersungguh-sungguh adalah saat yang paling genting. Ia adalah keputusan di atas segala usaha kita". Penuh harapan daripada salah seorang calon SPM 2009. Maka selembar kertas adalah bukti usaha bertahun menuntut ilmu?
Tiba-tiba teringat pula Saidina Umar al-Khattab r.a. ketika hatinya berkecemamuk tidak tenteram mendengar secebis ayat al-Quran yang dibacakan oleh adiknya sendiri. Ketika itu niat dihatinya sangat membara ingin membunuh Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba setelah mendengar keislaman adik dan iparnya, lebih bergelojak hatinya ingin membunuh kedua ahli keluarganya yang terdekat itu. Beliau terus menerpa masuk mencari kedua saudara dekatnya itu, sambil adiknya menyembunyikan selembar kertas yang tertera ayat al-Quran.
Saidina Umar r.a melarangnya lalu merampasnya dan membacanya sendiri. Terus hatinya yang berang itu, tiba-tiba tenang. Kerana beberapa potong ayat Al-Quran, hatinya dibolak-balikkan Allah menjadi tenang, terus memeluk agama Islam di hadapan Nabi al-Mustafa Muhammad s.a.w. yang hendak beliau bunuh pada mulanya.
Terbukti, selembar kertas mampu menggentarkan hati manusia. Raja Muqawais juga tertunduk hilang keangkuhan selepas membaca selembar surat daripada Rasulullah s.a.w. Raja Kisra Parsi yang senang lenang dengan kemewahan, terus berubah wajah dan hatinya tidak tenteram selepas membaca lembaran surat daripada Rasulullah s.a.w.
Sungai Nil yang selalu datang bah juga menjadi surut kerana takdir Allah selepas Saidina Umar r.a. mencampakkan selembar suratnya sebagai ganti penduduk tempatan membuat korban. Raja-raja Eropah yang pada mulanya bermusuhan sesama sendiri, tiba-tiba bersatu berganding bahu bersama-sama menentang Tentera Islam ingin menawan Baitul Maqdis hanya kerana selembar surat daripada Pope Gregory VII.
Nicollo Machiville mampu mengundurkan tentera Austria dari memasuki Utara Itali, malah mampu menundukkan Raja-raja Naples, Vatican, Milan dan Roma hanya dengan selembar surat. Kerajaan Umayyah di Sepanyol (Andalusia) tumbang hanya kerana sepucuk surat pengkhinatan kepada Ratu Isabella II.
Kini, terbukti sekali lagi bahawa selembar kertas mampu mengentarkan hati para pemuda. Daripadanya ia mampu membuatkan emosi pemuda itu bergembira, ataupun menangis hanya kerana selembar kertas. Akan ada yang bersama-sama berkongsi kegembiraan dan ada juga yang menyendiri tanpa teman hanya kerana selembar kertas. Daripadanya juga ia merasakan masa depan jelas tertampak kerajaya hidupnya. Daripadanya juga seperti sudah terlihat rezeki-rezeki yang bakal diraihnya.
Apakah kertas ini mampu memberi syafaat kepada pemiliknya di masa tiada orang dapat memberikan syafaat dan lindungan? Apakah kertas itu pembuka hijab rahsia rezeki yang Allah tetapkan? Apakah kertas ini dapat menjamin kebahagiaan pemiliknya pada hari mendatang nanti? Atau kertas ini hanya menunjukkan usaha-usaha anda yang telah lepas?
Sedangkan Allah belum lagi menyembelih masa di dunia ini untuk memberi peluang semua makhluknya berusaha semampunya untuk bertemu dengan Pencipta yang sangat dirindui. Andai kata sebarang keputusan di dalam kertas itu menyedihkan, ketahuilah masih banyak masa untuk anda perbaiki diri anda selagi anda punya masa lagi. Andai ia menggembirakan anda, ketahuilah bahawa Allah menyediakan masa untuk anda berusaha lagi untuk persiapan yang "seterusnya".
Tahniah kepada semua calon SPM 2009..!!
Ma'an Najah alaikum fi amalillah!!!
Sunday, March 7, 2010
"Abang"? "Mas"? "Cikgu"? "Ustaz"?
Saya hanyalah seorang Pembantu Makmal di sekolah ini, tetapi saya tidak pernah menyangka bermacam-macam gelaran saya dipanggil. Belum lagi pengalaman 3 tahun di sini, memang banyak. Tapi saya terasa ingin berkongsi kerana ada suatu peristiwa yang tak dapat saya lupakan.
Ada di kalangan warga Al-Amin yang memanggil saya dengan gelaran "Abang". Tapi dalam bentuk penulisan pula, ada khilaf di antara warga Al-Amin terhadap penulisan nama penuh saya. Ada yang menulis dengan "Sarep", ada pula yang menulis dengan "Syarif", ada juga "Syarep" dan ada pula "Sharif". Walau apapun ditulis, saya tetap memberi respon bahawa yang dimaksudkan ialah saya. Kerana saya tetap saya.
Antara sebab saya mungkin dipanggil "Abang" adalah kerana saya dahulu pernah bersekolah di sini, yang mana ketika saya masuk bekerja di Al-Amin ini, adalah junior saya ketika saya berada di tingkatan 5 dan mereka pula di tingkatan 1. Sehinggalah panggilan "Abang" ini diturunkan secara mutawatir kepada generasi seterusnya.
Maka generasi yang memanggil dengan gelaran "Abang" ini agak kurang selasa jika ada gelaran lain dipanggil pada saya seperti "Cikgu" dan "Ustaz". Apabila mereka mendengar akan gelaran baru ini, mereka akan tergelak. Respon mereka; "Abang Sarep dah naik pangkat". Yolah tu...
Alkisah tentang beberapa pelajar baru yang berlaku khilaf dalam panggilan terhadap saya. Ketika ada 3 orang pelajar baru sedang berjalan dan hendak melintasi saya, mereka pun memberi salam kepada saya. Maka terjadilah suatu kisah yang agak kelakar.
Pelajar 1: "Assalamu'alaikum Ustaz"
Pelajar 2: "Assalamu'alaikum Cikgu"
Pelajar 3: "Assalamu'alaikum Abang"
(Ketiga-tiga pelajar ini memberi salam secara serentak)
Sarep: "Wa'alaikum salam wrhmtllh wbrkth"
Pelajar 1: "Eh!!Panggil Ustaz la! Tu Ustaz tu! Dia check ana punya tilawah haritu!"
Pelajar 2: "Tak la!! Dia Cikgu, haritu dia ajar Sains kelas ana."
Pelajar 3: "Apa pulak!! Abang-abang senior semua panggil dia Abang. Dia Pembantu Makmal je."
Pelajar 1: "OK..macamni..kita tanya ustaz..Jom!!"
(Saya mendengar perbualan mereka sambil tersenyum kerana mereka bertelagah di sebelah saya sahaja. Kemudian saya pun terus berjalan pergi.)
Pelajar 1: "Ustaz!! Ustaz ni ustaz kan??
Pelajar 2: "Eh apa pulak!! Cikgu la!!"
Pelajar 3: "Ada pulak tanya soalan macam tu..Apa la korang ni?"
Sarep: "Eh!! Jangan la gaduh sebab tu jer..Ana tak kesah antum nak panggil ana apa. Ana ni Pembantu Makmal jer. Tak lebih dari itu."
Pelajar 1: "So nak panggil apa?"
Sarep: "Anta panggil ana ustaz kan? (sambil memandang tepat pada Pelajar 1) Anta pula panggil ana cikgu kan? (sambil memandang tepat pada Pelajar 2) Anta pula panggil ana abang kan? (sambil pandang tepat pada Pelajar 3). Semua tu ana terima. Bahkan ana ucapkan terima kasih sebab beri gelaran yang baik pada ana."
Pelajar 1, 2, & 3: "Yeah!! Kita betul!!!" (berteriak dengan muka bangga semacam).
Ketika khabaran tentang saya pergi ke Indonesia pada tahun 2008 tersebar di kalangan warga Al-Amin, apabila saya tiba di SMIAA, ramai pula memanggil dengan gelaran "Mas" Syarep. Mas dalam bahasa Indonesia itu bermaksud "abang" juga. Apabila ada orang yang tak mengenali saya dengar orang memanggil saya "Mas", terus orang itu bertutur Indonesia dengan saya kerana menyangka saya ini orang Indonesia pula.
Ini pula ada gelaran yang baru pertama saya dengar orang panggil pada saya. Berikut adalah perbualan yang menyebabkan berlakunya panggilan baru ini.
(Ketika di program tamrin sebelum solat Isya')
Pelajar 4: "Abang, kali ini siapa yang jadi Imam?"
Sarep: "Kali ini, biar abang-abang tu yang jadi Imam""
Pelajar 4: "Kalau macam tu, abang jelah yang jadi Imam. Sebab Abang kan abang jugak. Abang ni Abang segala Abang-abang. Abang di atas Abang-abang."
Sarep: "Uish..takde la macam tu. Abang ni hanya abang jer"
Pelajar 4: "Eleh abang. Apa-apa jelah abang. Tapi abang tetap abang segala abang-abang."
Wah!! Ini lebih dahsayat gelaran ni.
Tapi, walau apapun. bukan saya meminta segala gelaran-gelaran ini. Bukanlah berhak saya pada semua itu. Tapi melihatkan keadaan ini, betapa setiap yang diberi gelaran ini dipandang mulia sehingga ia dipanggil sedemikian.
Kan sedap di dengar bila pelajar memanggil gurunya dengan gelaran "Cikgu", atau "Ustaz" atau "Ustazah". Kenapa pula panggilan rasmi pada guru-guru sekarang mesti menyebut "Puan" atau "Cik" atau "Encik". Hilang darjat guru tu sendiri dalam pemuliaan mereka jika tidak di panggil "Cikgu".
Betapa mulianya mereka yang bertugas menjadi guru. tapi alangkah sedihnya jika mereka yang dimuliakan ini, dicemari dengan tingkah laku atau peribadi yang tidak selayaknya. Bagaimana seorang guru boleh merokok sedangkan dia melarang pelajarnya merokok? Itulah yang menyedihkan.
Begitulah Allah memuliakan orang yang berilmu itu pada yang lain dengan beberapa darjat kerana ketinggian ilmu itu bukan untuk disombongi, tapi untuk dididik agar dapat mengharungi kehidupan dengan lebih baik dan selamat mencapai tujuan hidup. Bukannya seseorang itu banyak ilmu maka banyaklah gajinya. Itu bukanlah ukuran, tapi sejauh mana dia mengamalkan ilmu itu dalam mendapatkan redho Allah.
Kalau setakat ilmu itu hanya untuk peperiksaan, maka ia tidak akan kekal di dada selama anda hidup di dunia ini.
Friday, February 26, 2010
TESPER dah Habis..
Pengerusi Majlis pun terkejut melihat keputusan. Memang ternyatalah ia benar-benar memeranjatkan semua hadirin ketika itu. Markah yang banyak memberi perubahan mata kepada sesebuah kumpulan.
Alhamdulillah, pemarkahan kali ini pula sudah semakin baik daripada tahun lepas di mana tahun lepas berlaku kesilapan penjumlahan mata di saat akhir. Kali ini mungkin menjadi lebih baik adalah kerana mata kumpulan adalah dirahsiakan agar tidak ada keadaan "berat sebelah" dalam pemarkahan. Mungkin ada lagi yang perlu dibaiki walaupun sudah diperbaiki daripada peristiwa sebelum ini.
Apa yang pasti, daripada apa yang berlaku ketika TESPER itu, benar-benar dapat memberikan pengajaran kepada kita. Bukan sahaja pengajaran dari segi "yang menang merendah diri, yang kalah usaha lagi". Tapi boleh juga diambil pengajaran tentang perubahan mata keseluruhan di saat akhir.
Bererti, kita seharusnya tidak mudah merasa senang ketika kita sudah berada di kemuncak. Tidak bererti telah menang banyak permainan bererti menang keseluruhannya. Rupa-rupanya usaha di saat akhir juga dapat memberikan perubahan yang sangat besar.
Tidak selamanya orang yang berada di atas itu akan terus kekal di atas, lama-kelamaan pasti akan jatuh juga nanti. Kadang-kadang mereka yang di atas, Allah akan berikan lagi nikmat-nikmat supaya dia di atas lebih lama lagi agar dia lupa hakikatnya kejatuhan. Apabila tiba masanya ditakdirkan dia untuk jatuh, maka ketika itu dia akan berasa hampa dan kecewa sangat.
Kerana itulah ada pepatah mengingatkan kita "beringat dulu sebelum kena". Saya juga sangat suka untuk berkongsi kata-kata seorang jeneral perang yang terkenal di Eropah iaitu Napoleon Benorparte: "Jangan pandang rendah pada kekalahan". Kerana, jika sesiapa yang tidak dapat menempuh kekalahan, dia tidak akan dapat bangun daripada kekalahan dan terus melayan perasaan kecewa dan hampanya. Jika dia dapat bangkit dari kekalahan, pasti dia dapat perbaiki kesilapannya.
Kata Sun Tze dalam "Art of War" ada menyatakan; "Sesiapa yang merasai kekalahan, pasti dia mengenali apa itu kekalahan. Kemudian dia tidak lagi mahukan kekalahan itu sehingga dia sendiri meraih kemenangan. Biarpun merasai kekalahan berkali-kali, ia lebih berbaloi daripada kalah sekali dan terus berputus asa menyerah diri kepada musuh."
Ambil pengajaran daripada setiap peristiwa. Sememangnya ada hikmah di setiap takdir yang Allah tetapkan. Cuma kita sahaja tidak tahu tentang itu.
Renung-renungkan dan selamat beramal...
Thursday, February 4, 2010
Pun?? Kot?? Lah??? Arr..???
Saya membawakan contoh yang mudah dalam beberapa penggunaan ayat yang sudah biasa menjadi penggunaannya bagi mereka. Maka cuba anda perhatikan, bahkan anda yang dikalangan remaja Malaysia ini lebih mengetahui daripada saya.
Berikut adalah beberapa contoh perbualan dengan remaja Malaysia:
Contoh 1-
Dewasa: "Komot ada tak?"
Remaja: "Ada kot.."
Dewasa: "Saya tanya komot, bukan ada kot atau tak"
Remaja: "Kat situ kot.."
Dewasa: "Kot lagi..terima kasih la ye.."
-Kot yang difahami oleh orang dewasa itu adalah coat atau baju kot. Tapi yang dimaksudkan kot oleh remaja itu seperti tanda ia tidak pasti tentang sesuatu.
-Ada suatu lagi contoh penggunaan bahasa yang tidak difahami tentang penggunaan "kot" ini. Berikut adalah contoh penggunaan "kot" yang terbaru pernah saya dengar:
Dewasa: "Zidane main untuk negara England kan?
Remaja: "Apa pulak!! Zidane main untuk Perancis kot!"
-Beginilah yang saya maksudkan bahawa penggunaan "kot" di sini adalah suatu yang misteri. Sama ada ia menunjukkan penegasan atau bentuk marahan. Maka ia suatu berbezaan yang sangat jauh di antara kedua-dua contoh tentang "kot".
Contoh 2-
Dewasa: "Cuba tengok di atas almari, ada topi tak?"
Remaja: "Tak ada pun.."
Dewasa: "Pun apa plak? Suruh cari topi, bukan pun"
Remaja: "Kat sini pun takde"
Dewasa: "Pun lagi..terima kasih la ye?"
-"Pun" yang difahami orang dewasa itu, mungkin didengari "spoon" iaitu sudu. Manakala si remaja menggunakan "pun" dengan suatu maksud yang misteri iaitu menegaskan bahawa tempat-tempat yang dicarinya tetap tak jumpa-jumpa juga.
Contoh 3-
Dewasa: "Nak ke mana tu?
Remaja: "Ada lah..."
Dewasa: "Lah? di mana itu?"
Remaja: "Alaah..janganlah tanya.."
Dewasa: "Lah lagi..Macam tu pula jawapannya.."
-Untuk contoh ini, saya benar-benar tidak tahu untuk mengeluarkan komentar tentangnya. Apa yang saya dapat keluarkan komentar pada penggunaan "alah" pada ayat remaja itu yang mana ia boleh dikategorikan sebagai keluhan resah.
Contoh 4-
Dewasa: "Buat apa tu?"
Remaja: "Ada arr.."
Dewasa: "Apa itu arr??
Remaja: "Itu pun nak tanya?"
Dewasa: "Orang tak tahu..mestilah nak tanya."
-Penggunaan "ar" pula adalah suatu bukti perkembangan zaman dan masa yang terus berlalu meninggalkan silam. Sesungguhnya penggunaan "ar" adalah pengaruh bahasa penjajah daripada kata "are".
-Tetapi ada yang berpendapat lain dan ia adalah pendapat yang muktabar dan semuanya berpendapat jumhur terhadap pandangan ini iaitu; penggunaan "ar" ini adalah hasil pengembangan penggunaan perkataan "lah" seperti di contoh 3. Tempat keluar sebutan tersebut adalah sama tapi dihazafkan (disembunyikan) huruf "L" dan "H" agar ia lebih ringkas. Maka bunyinya hampir sama sifat, berbunyilah "ar".
Itulah semua contoh-contoh yang mahu ditekankan di dalam perbahasan kali ini. Saya membawa point-point yang jelas daripada segala contoh itu. Sehingga hari ini, kita masih tidak mengetahui asal datangnya ayat-ayat seperti itu.
Adakah ia dikira huruf seperti "harfin jarr" ataupun ia sebagai huruf al-muthola'ah? Apa status bagi 4 perkara itu? Mengapa tidak diterangkan di dalam kamus? Mengapa 4 perkara ini boleh muncul dari kalangan remaja, bukan kanak-kanak atau orang tua? Bagaimana mereka boleh terfikir untuk mencipta bahasa seperti demikian? Siapa pencetus untuk penggunaan ayat-ayat ini? Biarkan ia terus diselubungi misteri....
