Wednesday, September 23, 2009

Raya oh raya..

Alhamdulillah..selamat juga kita berhari raya pada tahun ini. Selamat juga kita melalui sebulan berpuasa tanpa kecelakaan yang menimpa kita. Tasbih dan tahmid kita laungkan sebagai tanda membesarkan Tuhan Pemilik Alam Semesta ini. Masih lagi memberikan peluang kepada kita untuk terus menikmati hari demi hari lagi agar kita terus mengabdikan diri kita kepada-Nya.

Bermacam peristiwa raya yang pasti dapat dikenang oleh semua orang. Pasti setiap orang ada kenangan masing-masing. Sama ada kenangan manis maupun kenangan pahit. Jadi biarkanlah setiap kenangan kita itu akan menjadi tauladan kepada sesiapa yang selalu bermuhasabah dirinya, menghitung nilai dirinya, dan mencari-cari formula yang terbaik untuk dirinya agar mencapai kejayaan yang besar.

Mungkin ada sesetengah orang daripada kita yang terpaksa beraya dengan buku, mungkin juga ada yang tidak dapat beraya langsung. Tapi raya ini benar-benar mengajarkan kepada kita betapa perlunya manusia untuk kembali kepada fitrah. Manusia memiliki keperluan untuk kembali kepada fitrah. Mereka tidak boleh membuat sempadan yang besar kepada abnormaliti daripada fitrah.

Contoh hadith tentang ada 3 orang yang bertemu dengan Rasulullah s.a.w. dan mereka menyatakan bahawa si A ini, dia mahu terus berpuasa dan tidak mahu berbuka untuk makan. Si B pula tidak mahu tidur dan terus beribadah. Manakala si C pula tidak mahu kahwin dan terus duduk di masjid untuk beribadah. Kemudian Rasulullah s.a.w. menegur bahawa Nabi s.a.w. adalah manusia yang lebih baik dari semuanya. Tapi Nabi s.a.w. tetap makan selepas berpuasa, tetap tidur kemudian qiam, tetap berkahwin dan bergaul dengan semua orang. Jadi mengapa pula mereka berbuat demikian???

Sudah sunnatullah bahawa manusia sememangnya perlukan semua itu. Perlukan kehidupan yang normal seperti orang biasa lain. Tapi Syariat Islam telah mengajarkan kita tentang kehidupan yang lebih baik. Telah menjelaskan sempadan perilaku manusia menjalani kehidupan mereka yang lebih baik. Kerana itu ada batas-batas yang perlu dijaga agar kita terus hidup dengan selamat dan baik di bawah redho-Nya. Maka, kita merayakan kehidupan Islam kita seperti hari-hari yang lain selepas sebulan kita belajar untuk menundukkan nafsu kita seterusnya kita dapat belajar untuk menundukkan syaitan yang sedang berkeliaran pula.

Cuma yang luar biasanya ialah, ketika hari raya ini, pengambilan makanan kita adalah di luar kebiasaan kita seperti hari-hari biasa kita yang lain. Pada hari raya inilah, hari yang paling kita banyak mengambil makanan-makanan yang terhidang. Bukti betapa amannya Malaysia. Di mana-mana pun ada makanan, dan kita boleh mengambil apa-apa makanan pun walaupun langit dihujani bunyi dentuman mercun yang silih berganti. Bermacam-macam juadah dapat dijumpai di setiap rumah. Bahkan hiburan untuk memeriahkan hari raya ini juga, lebih rancak daripada hari-hari biasa yang lain. Bayangkan, di radio era.fm sahaja, dapat menghimpunkan 30 lagu baru hanya untuk raya sahaja. Betapa aktifnya artis kita untuk menghasilkan lagu agar raya pada tahun ini lebih meriah daripada tahun yang sebelumnya. Tapi tidak pula cuba untuk menghasilkan lagu untuk bulan Ramadhan ya?

Pengalaman saya di hari raya memang banyak sekali, tapi tak tahu bagaimana untuk berkongsi dengan para pembaca. Takut anda tak faham dengan cerita saya ini. Saya dapat melihat suatu perbezaan dengan raya tahun-tahun yang sebelum ini ialah; peralihan masa. Saya teringatkan lagi ketika saya masih muda menyambut raya dahulu. Apa yang saya lalui dahulu, pasti tidak dapat dilalui oleh saya sekarang ini. Dahulu beraya dengan sepupu mencari duit raya, sekarang ini, saya pula yang kena beri duit raya. Dahulu anak-anak sepupu kecil-kecil sahaja, sekarang dah besar panjang mereka itu. Dahulu bila balik kampung, ayah yang memandu, kemudian bergilir dengan abang, kini, saya pula yang pandu terus ke kampung. Mana taknya, abang dah berkahwin, kena raya kampung isteri, pandu kereta sendiri, ayah pula dah tak larat nak bawa kereta jauh-jauh.

Lebih memeranjatkan saya lagi pada raya kali ini, ramai kawan-kawan sebaya saya yang akan melangsungkan perkahwinan, malah ada yang lebih muda dari saya juga akan ke gerbang perkahwinan. Tapi apa yang nak diterperanjatkan. Itukan jodoh mereka. Cuma yang saya sangat terperanjat dalam raya tahun ini ialah ada dua perkara.

Pertama, Allah telah menyelematkan saya di hari raya ini daripada bencana kegemukkan. Kerana, saya telah menderita sakit perut berciri-birit semenjak Ramadhan ke-27 sehinggalah Raya ke-3. Maka usaha saya untuk cuba mengurangkan berat badan pada bulan Ramadhan boleh dikatakan berjaya. Dan ia terus bertahan sehingga ke Hari Raya ini. Ketika awal Ramadhan saya menimbang berat badan saya, 128kg. Kemudian, tadi, pada pagi raya ke-5, saya menimbang berat badan saya, 112kg. Penurunan sebanyak 16kg!!! Suatu perkara yang sangat memeranjatkan. Tapi, orang lain yang melihat saya tetap kata saya ni bertambah besar, semakin besar, membesar, berbesar, dan segala yang kena-ngena dengan besar itu adalah saya. Tak mengapalah, saya lebih tahu perasaan saya ini.

Perkara kedua yang memeranjatkan saya ialah, ketika beraya di rumah sepupu yang paling rapat dengan saya, usianya tua 2 tahun daripada saya, tiba-tiba dia menyatakan yang dia mahu berkahwin. Saya sangat gembira mendengar khabaran ini. Tetapi, dia minta ayah saya untuk menjadi wakil merisik ke rumah bakal isterinya itu. Ketika hari merisik, tiba-tiba ayah kurang sihat kehilangan suara. Maka saya yang selaku anaknya merangkap pemandu kereta Unsernya, diangkat sebagai ganti ayah saya untuk menjadi wakil merisikkan sepupu saya. Hahahahaha!!! Pertama kali saya dihantar merisik orang nak kahwin!!! Tapi ditemani ayah la..Cuma jadi jurubicara sahaja, skrip ayah dah bagi siap-siap. Hehehe..Tak pernah dibuat orang, orang belum kahwin yang jadi tukang merisiknya. Hahahahahaha!!!

Sekianlah daripada meja makmal bercerita tentang raya kali ini. Saya sebagai wakil bagi seluruh Pembantu Makmal di seluruh dunia ingin mengucapkan Eidul Mubadak kepada semua umat Islam dan khususnya kepada warga Al-Amin!!!

Saturday, September 19, 2009

Salam Perantau..

Dahulu..setiap kali raya, mesti tengok pada surat khabar, bahagian Salam Perantau. Sejak dulu lagi, bercita-cita "Nanti..aku pun nak buat salam perantau kat mak, ayah, cikgu-cikgu, dan kawan-kawan". Betul-betul berazam dengan bersungguh-sungguh!! Sememangnya memberikan motivasi kepada saya dalam pelajaran ketika itu.

Kalau nak buat salam perantau, mestilah berada di luar negara. Sehingga saya bercadang dengan rakan-rakan sekelas saya; "Nanti aku nak bagi salam perantau dari Jepun, ada bunga sakura kat belakang". Kata rakan yang lain pula; "Nanti aku nak bagi salam perantau dari Paris, ada Eifel Tower kt belakang aku". Kata rakan yang lain pula:"Insya Allah..piramid Giza jadi background gambar salam perantau aku nanti". Kata rakan ku yang lain pula; "Aku tak kisah la apa yang jadi background gambar aku nanti, asalkan ada salji".

Alhamdulillah, dah banyak gambar kawan-kawanku keluar dalam surat khabar bahagian salam perantau. Ada yang bergambar dengan meriam, ada yang bergambar dengan koala, ada yang bergambar dengan air terjun, ada juga yang bergambar dengan Omputih. Betapa jauh pun mereka pergi, mereka tetap kenangkan tanah air. Kerana itu mereka tidak melepaskan peluang untuk menyampaikan ucapan dan salam rindu mereka dari perantauan ke orang tersayang di tanah air.

Melihat rakan-rakan yang lain dapat buat salam perantauan, memang satu perkara yang saya banggakan. Daripada sekolah yang terpencil di tengah-tengah hutan ketika kami bersekolah dahulu, dapat juga mereka membuktikan kehebatan mereka belajar di luar negara. Siapa kata lepasan Al-Amin tak dapat pergi jauh? Mereka silap kalau kata begitu. Mungkin saya masih lagi berada di dalam hutan itu, yang kini sudah pesat membangun dengan bangunan baru untuk pendidikan, tapi saya bangga terhadap mereka. Biarpun saya hanya seorang pembantu makmal di sekolah saya bersekolah dahulu, melihatkan rakan-rakan saya yang berjaya belajar ke luar negara, malah junior-junior saya juga begitu..saya tetap merasa bangga pada mereka.

Belajarlah di mana sahaja anda mahu,
ingatlah asal kita,
tempat yang serba tidak cukup,
penuh pasir dan debu,
terpencil tersorok di hutan dalam,
padang kecil jadi stadium,
meja makan hanyalah bangku batu,
sungai coklat jadi mandian,
bangunan buruk tersergam di tengah hutan,
barang makmal serba tidak cukup,
kerusi meja semuanya terkopak,
apa yang specialnya di Al-Amin????
kalau bukan..pada guru-gurunya..

Dahulu..seba-serbi kau kesali,
tapi kini..kau senangi,
dahulu..begitu benci,
kini kau..mula merindui,
dahulu..ada sahaja akal untuk angkat kaki,
mungkin sehingga kini..berat kaki kau untuk ke sini..

Belajarlah di mana sahaja anda mahu,
walau ia negara asing bagi kita,
tapi nekad untuk menuntut ilmu,
terus berjuang demi agama kita.

Belajarlah di serata dunia ini,
sebagai bukti anda mampu melakukannya,
aku hanya pembantu makmal di sini,
terus berdoakan kejayaan kalian mengarapnya.

Selamat Hari Raya ku ucapkan,
untuk teman dan taulan yang di perantauan,
walau aku ucapkan salam di tempatan,
tapi hasrat dan doa tetap ku utuskan..

p/s:...tetiba terlintas nak berpuisi plak..

Wednesday, September 9, 2009

Apakah persamaan Pembantu Rumah dan Pembantu Makmal?

Dewasa ini, hangat dibincangkan dalam akhbar hari ini tentang isu Pembantu Rumah. Tiba-tiba tertarik pula saya ingin memberikan pandangan tentangnya. Apa yang lebih dirisaukan ialah, penulisan kali ini mungkin agak panjang sedikit luar jangkaan para pembaca nanti.
Saya berfikir sejenak, bahawa asal kata pembantu rumah dan pembantu makmal, mungkin sekali ada persamaan asal-usul nama tersebut. Kerana kedua-duanya terdapat perkataan "Pembantu" di hadapan namanya. Jadi satu lagi pencarian tentang kebenaran di antara persamaan yang mungkin tidak disedari oleh ramai pihak. Kali ini biarlah saya mencuba untuk merungkai persoalan yang misteri ini.

Orang-orang yang menjawat jawatan sebagai Pembantu-pembantu ini, rasanya tugasnya hampir sama. Kalau pembantu rumah, tugasnya mesti membersihkan rumah, memastikan keadaan rumah dalam keadaan terurus, menjaga harta majikan ketika ketiadaan majikan, dan membantu menjaga anak majikan. Pembantu makmal di sekolah juga hampir serupa seperti sedemikian, tugasnya mesti membersihkan makmal, memastikan keadaan makmal dalam keadaan terurus, menjaga harta benda makmal, dan membantu guru untuk menjalankan eksperimen.

Melihatkan baru-baru ini, ingin menaikkan status pembantu rumah kepada Pengurus Rumahtangga sebagai menggalakkan rakyat tempatan untuk mengisi ketandusan pembantu rumah dari kalangan rakyat tempatan. Jika namanya lain, maka gajinya mungkin lain? Sepertimana apa yang berlaku dikalangan pembantu-pembantu makmal. Jika makmal di hospital-hospital, orang yang bertugas di makmal itu bukanlah Pembantu Makmal, tetapi mereka dipanggil Juruteknik Makmal Perubatan atau dalam Bahasa Inggerisnya; MLT, Medical Lab Technician atau ada juga yang menggunakan Medical Lab Technologist. Tugas mereka langsung tidak sama seperti Pembantu Makmal di sekolah-sekolah.

Jadi, adakah dengan mewujudkan satu lagi jawatan baru di kalangan rakyat tempatan, dapat menarik minat mereka untuk menceburi dalam bidang ini?

Mungkin ya..mungkin juga tidak. Dahulu, memang ramai rakyat tempatan yang menjadi pembantu rumah di Malaysia. Tetapi sekarang ini, sudah tidak sama lagi seperti dahulu. Kerana ada yang lebih murah lagi untuk diambil bekerja menguruskan perihal di rumah. Sejarah perkembangan pembantu rumah dari negara asing mula diambil ketika pada tahun 1990-an, yang mana terdapat perjanjian persefahaman di antara negara kita dan negara jiran untuk membuka peluang pekerjaan yang baru ini.

Syarat-syarat kelayakkan untuk menjawata jawatan ini, mereka seharusnya berpengalaman dalam mengendalikan kerja-kerja di rumah. Begitu juga syarat sebagai jawatan Pembantu Makmal ini. Mereka harus berpengalaman dalam mengendalikan kerja-kerja makmal.

Adakah semua ini sudah cukup menceritakan persamaan diantara dua pembantu ini? Tidak, masih belum cukup lagi.

Tidak lama sebelum ini, kita semua dikejutkan dengan kes-kes penderaan Pembantu Rumah yang sangat teruk. Sehingga isu ini terpaksa dibincangkan diperingkat pentadbiran kedua-dua negara dalam menjaga keharmonian serantau. Timbul berbagai-bagai tanggapan tentang isu ini. Ada yang menyalahkan pihak majikan, ada pula yang menyalahkan agen pembekal Pembantu rumah, ada pula yang menyalahkan Pembantu Rumah itu sendiri. Ada pula yang merungkai kesalahan-kesalahan Pembantu Rumah yang tidak didedahkan kepada pihak Media. Ada pula yang menjadikan isu ini mampu meruntuhkan institusi rumahtangga.

Adakah masalah ini berlaku juga dikalangan Pembantu Makmal?

Mungkin ada, tapi tidak pernah dipaparkan di dalam arena Media Massa pun. Cuma kami sebagai Pembantu Makmal sahaja yang lebih mengetahui tentang dunia kami. Maka dikesempatan ini, saya cuba untuk mendedahkan masalah-masalah yang dilalui oleh kami. Ini bukanlah ingin mendapatkan simpati semata-mata ataupun inginkan liputan meluas, tetapi cuba ingin menyatakan fakta akan kesamaan di antara dua jenis Pembantu ini.

Adakah Pembantu Makmal didera? Ya, tapi ia tidak melibatkan penderaan pada fizikal. Cuma didera oleh pelajar-pelajar yang menggunakan makmal, mereka menconteng meja, rosakkan barang-barang ujikaji, buang sampah merata-rata, dan sebagainya. Di hati kami, penuh terseksa lagi terdera menanggung beban semua ini. Tapi kami dapat mengatasi masalah ini. Tidak sampai sehingga kami lari ke kedutaan mana-mana untuk mengadu masalah ini. Cuma, kami mengharapkan, para pembaca yang simpati dan perihatin kepada masalah remaja hari ini, marilah sama-sama kita mengambil berat untuk cuba menyelesaikan masalah sikap jiwa muda ini. Moga-moga pihak berwajib dapat mengambil tindakan yang sewajarnya dalam membendung masalah ini.

Kami di Makmal-Berkebajikan, merasakan bahawa tugas sebagai seorang Pembantu Makmal, bukan sekadar hanya menjaga perihal makmal sahaja. Tetapi kami merasakan bahawa; setiap yang melewati makmal ini juga perlu ada penerapan nilai-nilai murni dikalangan mereka. Maka dengan ini, kami mendirikan inspirasi murni untuk mengambil kesempatan yang ada pada diri kami, untuk bersama-sama MEMBANTU pembinaan bangsa ini dengan MEMBANTU mendidik generasi masa hadapan melalui wadah aktiviti penggunaan di makmal seperti ujikaji eksperimen mahupun pembelajaran di Makmal kami.

Saya juga menyeru kepada rakan sejawatan yang lain di seluruh tanah air untuk menyambut seruan ini. Saya juga mengharapkan, setiap penjawat jawatan yang ada nama "Pembantu" di seluruh tanah air tercinta ini, juga bersama-sama menyertai usaha murni ini walaupun dia Pembantu Rumah yang diimport dari negara asing.

Memang tidak dapat dinafikan, setiap perjuangan yang murni itu, pasti memerlukan kecekalan untuk melaluinya, kerana ia bukan semudah yang disangka. Kerana setiap perjuangan yang ikhlas itu, punya tujuan dan niat yang tepat, pasti akan memberikan natijah yang tidak disangka-sangka. Segala pengorbanan yang kita lalui itu, yang berani menggalas keperitan perjuangan ini, biarlah Tuhan sahaja yang mengetahuinya, dan hanya kepada-Nya kita harapkan balasan yang baik di dunia dan akhirat.

Tuesday, September 8, 2009

Peristiwa membayar zakat fitrah yang lucu..

Hari Isnin yang lepas, ketika cuti Nuzul Quran, saya mengambil kesempatan untuk membayar zakat fitrah di Kaunter Zakat Selangor di Melawati. Kali ini, adalah kali ke-4 saya membayar zakat fitrah dengan duit sendiri. hehehe..

Pertama kali saya membayarnya di Masjid Shah Alam, ketika itu ada program di sana, tengok ada kaunter, saya pun ambil kesempatan untuk bayar zakat di sana. Ketika itu, saya telah mendapat gaji pada tahun pertama saya bekerja sebagai seorang pembantu makmal. Kali ke-2 dan seterusnya, saya membayar di Pusat Kaunter Zakat Selangor di Melawati.

Tapi tak tahu kenapa, baru-baru ini, badan saya ada sedikit sengal-sengal, berlakulah beberapa peristiwa lawak yang berlaku di Pusat Kaunter Zakat tu.

Ketika saya duduk untuk berdepan dengan pemungut zakat tu, seperti biasa dia melakukan tugasnya, mengisi data untuk catatkan dalam resit. Kemudian dia bagi satu kadbod yang ada banyak tulisan tentang pengisytiharan pembayaran zakat. Pegawai itu meminta saya membacanya. Kemudian dia pun berjabat tangan dengan saya dan tidak melepaskan tangan saya. Maka saya pun membaca di dalam hati pengisytiharan itu. Pegawai itu menanti-nanti saya membacakannya.

Pegawai bertanya:"Kenapa tak baca?".
Saya menjawab:"Saya dah baca semuanya".
Pegawai bertanya lagi:"Kenapa tak dengar pun?"
Saya menjawab lagi:"Laaa..kena baca kuat-kuat ker?"

Hehehe..tak tau kenapa sengal sangat ketika itu.

Kemudian pegawai itu mengerakkan tangan saya yang dijabatnya secara tiba-tiba. Mungkin dia memberi isyarat untuk saya membacakan pengisytiharan itu. Tapi, tiba-tiba saya yang ada rasa sengal-sengal badan ni pun tersentak dengan perbuatan pegawai itu terus saya membacakan....:"Saya terima nikahnya dengan zakat tujuh ringgit tunaaaai.."

Semua orang gelak berguling-guling akibat apa yang telah saya katakan tu. Saya pun tak tahu kenapa boleh terkeluar ayat tu.."Ni kes memang parah..hahaha!!" kata pegawai tersebut dengan gelaknya tidak dapat disorokkan lagi. Ada pegawai lain mencelah "Dik..pejabat kadi kat sebelah jer dik..hahahaha!!".

Bila berfikir sejenak, saya dah bayar zakat sendiri berkali-kali. Seolah-olah peristiwa ni, macam baru pertama kali saya membayat zakat fitrah. Aduh..tak tau nak kata apa ketika itu. Hanya dapat tergelak untuk diri sendiri sahaja.

Pengajaran yang dapat diambil..kalau tak mampu nak kahwin, maka puasalah...hehe

Monday, August 31, 2009

Soal-jawab tentang Blog makmal-berkebajian. Tapi anda malu bertanya.

Sebenarnya banyak cakap-cakap tentang blog ini dewasa ini. Kebanyakan cakap-cakap itu melibatkan satu persoalan yang sering mereka tertanya-tanya tentang blog ini. Cuma mereka semua malu bertanya kepada pemilik blog ini.

Maka dengan ini, saya cuba memberi jawaban serta pencerahan semula setiap daripada soalan-soalan yang saya dengar dari mulut orang. Moga para pembaca dapat memahami isi kandungan entri kali ini.

1. Mengapa Mas Syarep menulis terlalu panjang penulisannya pada setiap kali entrinya?

Saya suka menggunakan ungkapan Ustaz Abdul Aziz bin Sheikh Ahmad, salah seorang guru di SMIAAG terhadap saya ini. Katanya: "Apabila Pembantu Makmal menulis, tak reti-reti nak berhenti!!!".

Mungkin agaknya, kenyataan itu adalah daripada pemerhatian Ustaz Abdul Aziz. Tetapi apa yang mampu untuk saya elakkan daripada menulis sepanjang ini. Memang, setiap kali mula menaip di papan kekunci (keyboard) ini, pasti susah untuk saya berhenti gerakan-gerakan lincah jari-jemari ini. Kerana itulah, kadang-kadang ayat yang ditulis itu, tidak dapat difahami oleh sebahagian orang yang membacanya. Ataupun, mungkin ramai orang mengharapkan penulisan saya lebih bergenre merepek, lucu dan yang sama waktu dengannya.

Apa yang saya cuba sampaikan dalam setiap penulisan saya, lebih banyak saya cuba menyertakan contoh yang sesuai bagi pembaca blog ini. Tapi mungkin saya sendiri tidak mengenali para pembaca dan tidak tahu siapa yang membaca, maka kerana itu saya tersalah langkah dengan terlampau banyak tulisan dalam ayat-ayat ini. Maka dengan ini, saya memohon maaf secara terbuka kepada para pembaca sekalian sekiranya penulisan dalam blog saya membuatkan anda membuang masa, menyakitkan mata kerana hendak bersenggang mata membaca tulisan-tulisan saya, pening memahami maksud kata dalam penulisan blog ini, dan apa-apa yang membuatkan saya bersalah kepada anda.

2. Bagaimanakah Mas Syarep mendapat sumber-sumber penulisan anda?

Mana-mana penulisan yang melibatkan pengalaman dan cerita-cerita, kebanyakkannya adalah pengalaman saya sendiri yang saya melaluinya semua itu. Maka diceritakan semula sebagai merekodkan pengalaman kehidupan saya bersama-sama pembaca. Cerita tentang rekaan, selalunya saya memaklumkan terlebih dahulu entri itu bergenre merepek.

Selalunya kalau menggunakan pengisian-pengisian, saya akan merujuk buku-buku tarbawi agar dalam setiap pembacaan itu juga, dapat bermuhasabah kerohanian juga dan ligat berfikir tentang masa depan Islam yang penuh gemilang ini.

3. Apakah Mas Syarep tidak bosan menulis?

Kalau menulis dengan pen, memang saya tak berminat sangat kerana tulisan saya sememangnya buruk. Tapi kalau tulisan berkomputer ini, tidak menyakitkan mata saya untuk menulis. Maka kerana itu ia tidak membuatkan saya terasa bosan menulis. Hehe..

4. Mengapa Mas Syarep tidak menulis buku sahaja?

Kadang-kadang saya menerima soalan ini sebagai perli terhadap saya, tapi kadang-kadang dalam husnu dzhon saya, merasakan soalan ini adalah pendorong untuk saya menerbitkan buku sendiri. Memang saya bercita-cita sedemikian, dan juga cuba belajar untuk ke arah itu. Mudah-mudahan suatu hari nanti, saya dapat menerbitkan buku saya sendiri nanti, Insya-ALLAH.

5. Kenapa memilih nama makmal-berkebajikan?

Saya pun tak tahu. Tapi rasanya, mungkin ketika itu, fikiran saya semasa mendaftarkan blog ini, sesuai nama itu kerana saya sendiri adalah seorang pembantu makmal sahaja. Maka ia hanyalah nama semata-mata, bukan kempen atau promosi.

6. Kenapa Mas Syarep tidak menceritakan perihal makmal atau apa-apa yang boleh membantu para pelajar untuk menggunakan makmal dalam menjalankan uji kaji?

Asalnya, saya ada berhajat demikian. Tapi, masih tiada idea untuk membuat dimasukkan dalam penulisan blog ini. Insya Allah saya akan cuba, mudah-mudahan dapat membantu kecemerlangan para pelajar kita dalam bidang ujikaji sains ini nanti. Insya Allah.

7. Bila Mas Syarep nak kahwin?

Itu........Hanya Allah sahaja yang tahu. Jarak masanya seperti ini (sambil menunjukkan jari telunjuk dan jari tengah dirapatkan). Apabila tiba tanda-tanda kecil dan tanda-tanda besarnya, dan Allah pula telah menetapkan akan berlakunya hari itu. Maka tiada siapa pun yang dapat menghalangnya. Sudah!! Hal ini tak perlu dijawab lagi, telah banyak saya terangkan lagi kerana sudah banyak tulisan-tulisan saya sebelum ini saya memberikan jawabannya.

Saturday, August 29, 2009

Kisah tentang Hilal

Apabila bulan Ramadhan menjelang tiba, kita pasti tertunggu-tunggu pengisytiharan penetapan bulan Ramadhan yang disampaikan oleh wakil Mohor Raja-raja. Maka telah menjadi kewajiban bagi setiap ahli falak, apabila tibanya Ramadhan, ataupun Syawal, ataupun Zulhijjah, mereka akan pergi ke tempat mencerap hilal. Kerana hilal adalah petanda, masuknya awal bulan sesuatu.


Apa itu al-Hilal?


"Mereka bertanya kepadamu tentang hilal (bulan sabit). Katakanlah: Bulan sabit itu adalah tanda-tanda waktu bagi manusia dan (bagi ibadah) haji.."[al-Baqarah:189]

creadits to al-aajily

Hilal itu ialah anak bulan, ataupun bulan sabit kecil lagi halus badannya. Amat susah untuk melihat dengan mata kasar bagi yang tidak biasa melihatnya. Sepengalaman saya bersama ahli falak lain mencerap di Teluk Kemang dan Bukit Melawati pada tahun 2002 adalah kenangan indah mengenali ilmu falak yang sangat luas ini. Penuh dengan kiraan mengalahkan Matematik Tambahan dan rumus-rumus Fizik. Bila difikirkan, orang yang memperkenalkan ilmu falak ini, sememangnya genius!!

Hilal pun ada syaratnya juga. Iaitu ia mesti kelihatan di langit atau pada atas ufuk langit selepas tenggelamnya matahari, tapi tidak malam lagi, masih terang lagi. Kalau kelihatan sebelum matahari tenggelam, maksudnya tak matang lagi hilal itu. Kerana boleh jadi, bulan itu berada pada pengakhiran kitaran bulan. Jadi tempoh matang hilal itu yang biasanya diterima dalam ilmu falak ni..erm..lebih dari 12 minit di atas ufuk. Maka jika itu kelihatan dari mata-mata penyaksi hilal, maka telah termaktub esok adalah 1 haribulan suatu bulan. Wah!! Dah guna bahasa lama pula..hehe..Mana taknya, guru falak saya cakap macam tu, maka saya gunalah juga.


Dikesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan guru-guru Ilmu Falak saya iaitu Ustaz Arwani bin Sali dan Abang Hamzi bin Tarmizi. Mereka inilah memperkenalkan ilmu falak dan mengajarkan pada saya untuk mempraktikkannya. Masih ada lagi kitab kuning ilmu falak yang sudah di"fotostat"kan berjudul "Khulasoh al-Jadual al-'Amal al-Ijtima' wal istiqbal". Buku ini ada formula-formula untuk menentukan tarikh hilal, dalam masa yang sama, dapat menentukan waktunya, sudutnya, lamanya hilal itu berada di ufuk langit. Subhanallah!! Siapalah yang dapat berfikir sejauh itu sehingga dapat membuat rumus dan sifir-sifir hilal ini.

Masalah Masa Kini dalam Menentukan 1 haribulan

Di Malaysia, telah difatwakan bahawa penetapan 1 haribulan sesuatu bulan itu adalah diputuskan dengan terimanya kedua-duanya daripada penetapan Hisab (pengiraan) dan rukyah (penglihatan). Hisab itu adalah dari ilmu falak yang telah membuat taqwim setiap bulan dengan pengiraan yang panjang lebar dalam menentukan 1 haribulan, kemudian digenapkan menjadi 30 hari sebagai hari-hari di dalam satu bulan. Sepertimana di dalam Al-Quran:

"Dialah Allah yang telah menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan telah menetapkan manzilah-manzilah baginya, supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan pengiraan masa" [Yunus:5]


Diriwayatkan oleh Bukhari, dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
"Berpuasalah kamu kerana melihat anak bulan dan berbukalah(hari raya) kamu setelah melihat anak bulan, jika mendung maka genapkanlah Syaaban 30 hari".

Dalam riwayat yang lain, oleh Bukhari dan Muslim, dari Ibnu Umar, bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
"Sesungguhnya bulan itu 29 hari, maka janglah kamu berpuasa sehingga kamu melihat anak bulan dan janganlah kamu berbuka (beraya) sehingga kamu melihatnya. Tetapi jika mendung, kadarkanlah olehmu untuknya".

Dalam membincangkan persoalan mengenai rukyah dan hisab, Dr. Yusof al-Qadhawi ada menjelaskan dalam kitabnya "Kaifa Natkamalu ma'aa al-Sunnah al-Nabawiyah", bahawa kedua-dua hadis di atas menyatakan tentang hadaf (tujuan) mengenai permulaan puasa. Dalam mencapai tujuan tersebut, wasilah (cara) yang digunakan adalah dengan melihat anak bulan atau pengiraan falak. Tambahnya lagi, rukyah adalah wasilah zaman Rasulullah s.a.w. kerana ianya mudah dipraktikkan dan sesuai ketika itu. Wasilah iaitu rukyah tidak mengikat umat Islam sepanjang zaman, sebaliknya pengiraan falak lebih qat'i (tepat) berbanding dengan pengakuan orang yang mengaku melihat bulan kerana pengakuan individu mengandungi zdon (sangkaan). Menurut al-Qardhawi lagi, pengiraan falak boleh diterima sebagai kaedah fiqh berdasarkan qias al-awla atau ulama.

Maka Ahli Falak Malaysia telah menetapkan melihat hilal pada setiap 29 haribulan, tapi sebelum ini ada yang pergi menyaksikan hilal pada 28 haribulan. Bagi yang mencerap pada 29 haribulan, keputusannya adalah lebih pasti dengan keputusan rukyah (melihat hilal). Iaitu, sekiranya nampak hilal dengan cukup syarat-syaratnya pada kesaksian semuanya; maka esoknya adalah 1 haribulan. Manakalah bagi yang berrukyah pada 28 haribulan, maka keputusannya adalah sepertimana yang ditetapkan untuk mencukupkan 30 hari dalam satu bulan. Kerana, jika tidak nampak pada hari itu, mereka akan cukupkan 30 hari, kerana telah dinyatakan dalam hadis tadi, bahawa satu bulan itu 29 hari. Maka bukanlah hari yang 29 itu adalah 1 haribulan, sayugia digenapkan menjadi 30 hari, selepasa hari yang ke 30 itu, barulah 1 haribulan. Paham ker?

Kenapa tidak sama Puasa di Malaysia dengan Saudi?

Kerana ketetapan kerajaan yang berbeza-beza. Lain kerajaan, lain ketetapannya. Saudi menggunakan rukyah sahaja. Bahkan mereka juga menggunakan hisab. Tapi apa yang termaktub dalam al-Quran lebih kuat penerimaannya, iaitu:
"..faman syahida minkum as-Syahra falyasumhu.."[al-Baqarah:185]

Maka, siapa-siapa yang nampak dari mana tempat pun di seluruh Tanah Arab itu, ada ternampak bulan sabit yang kecil sahaja, maka dia boleh menelefon pejabat Jabatan Fatwa dan Majlis Ulama', maka esok puasalah. Tapi, itu pun bergantung seberapa ramai orang yang buat panggilan untuk memastikan panggilan itu tidak berpakat untuk menipu. Bukanlah dihukumkan bahawa apa yang mereka buat salah. Tidak. Itulah adalah sandaran yang mereka mahu tetapkan. Maka itu adalah hak mereka.

Saya juga tidak menafikan, kadang-kadang, pernah berlaku bahawa jarak perbezaan waktu puasa di antara Malaysia dan Arab Saudi sangat jauh sehingga bezanya adalah 4 hari. Mengapa ini terjadi? Itu..saya memang bukanlah ahlinya untuk menjawab persoalan ini. Kerana itulah sangat besar dan berat tanggungjawab para ahli Falak untuk memastikan kebenaran dalam penetapan mereka agar tidak terjadi kerugian pada umat Islam semuanya.

Tentang 1 haribulan Zulhijjah, bukankah kita harus mengikut tempatnya berwuquf, iaitu waktu Saudi?

Di Malaysia, mana ada Bukit Arafah untuk umat Islam yang membuat haji berwuquf. Itu pun di Malaysia ni banyak orang buat tempat tawaf sendiri. Itu Ajaran sesat punya tempat tawaf la..

Tentang persoalan ini, saya juga berpendapat seperti itu. Seharusnya kita mengikut pada masanya di tempat itu sendiri. Dahulu, saya pernah mengikuti seminar tentang menjawab persoalan ini. Ketika itu, mungkin saya masih muda lagi, sangat sukar untuk memahaminya. Tapi, apa yang saya masih ingat lagi dalam rumusan perbincangan seminar itu, semua pakar-pakar ahli Falak menyatakan perlunya untuk kita mengikut waktu semasa Arafah itu sendiri dengan faktornya jarak perbezaan masa antara Malaysia dan Bukit Arafah.

Mungkin boleh dijelaskan lagi dengan begini. Perbezaan waktu di antara Malaysia dengan Arab Saudi ialah dalam 8 jam. Tidak mungkin sama waktu zohor Malaysia dengan waktu zohor Arafah. Maka itulah sebagai faktor berbezanya yang perlu diambil berat dalam mengikut waktu semasa Arafah bagi menentukan 1 haribulan Zulhijjah. Paham tak?

Rasanya, adakah cara penyelesaian untuk masalah perselisihan penetapan ini nanti?

Ada!!! Bahkan ia pernah berlaku dan telah selesai masalah ini sebelum saya lahir lagi. Ia terbukti secara 'alami (international) dalam menyelesaikan masalah yang seolah-olah tidak pernah selesai ini. Bagaimana caranya? Sebelum itu, biar saya sendiri menceritakan orang yang hidup pada zaman itu, dan saya sendiri mengdengar ceritanya walaupun saya tidak sempat melalui peristiwa itu.

Kisahnya begini. Diceritakan daripada datuk saya sendiri, Ibon bin Kawi, kepada saya yang berumur 10 tahun dan juga abang-abang saya serta sepupu saya. Bahawa ketika atuk masih kecil, dalam sekitar tahun 1906, kerana beliau masih ingat surat khabar ketika itu sibuk berlaku pertembungan diantara pemikir golongan muda,pelajar dari Mesir dan ulama golongan tua. Ketika itu, atuk pergi kedai kopi untuk berjumpa dengan ayahnya, Tok Kawi, untuk menyampaikan pesan membeli barang. Ketika itu, Tok Kawi bersama rakan-rakannya sedang menikmati sarapan dan minum kopi sambil mendengar lagu keroncong yang didendangkan di radio.

Atuk cerita, ketika dia sudah menyampaikan pesan pada ayahnya, kemudian dia mengambil sarapan di kedai kopi itu. Tiba-tiba, siaran radio menyampaikan berita semasa. Atuk menggambarkan bahawa berita dahulu tak serupa dengan zaman sekarang. Baca berita pada masa-masa tertentu. Kalau dulu, kalau ada berita terbaru melalui telegram sampai, baru dibacakan berita itu melalui radio. Jadi kalau mahu berita semasa, kena berada dekat dengan radio tu selalu. Radio zaman dulu, bukannya senang nak dapat. Itu pun nasib ada orang kerja dengan Orang Putih dalam kampung tu, dapat hadiah dari tuannya (Orang Putih tu la). Pasang kabel radio pun susah gak. Siap kena ada lesen lagi.

Apa berita itu sampaikan? Atuk cerita: Berita tu menyatakan bahawa Kerajaan Turki Uthmaniyyah sudah 4 hari berpuasa di bulan Ramadhan. Khalifah Turki mendoakan semua umat Islam beribadah dan berjihad di dalam bulan Ramadhan ini.

Semua yang ada di kedai kopi itu, baik yang sedang minum kopi, mahupun yang sedang menikmati nasi lemak dan yang sewaktu dengannya, semuanya berhenti makan dan minum. Semua berlarian pulang ke rumah masing-masing untuk memaklumkan yang Ramadhan sudah masuk hari ke-4. Maka ketika itu juga semuanya berpuasa. Pada malam itu juga, tiba-tiba surau buat solat Tarawikh. Cukup 30 hari dengan ditolak 4 hari yang terlepas Ramadhan itu, mereka pun beraya.

Maka saya bertanya pada atuk:"Macamana dengan 3 hari yang sebelum tu? Atuk tak puasa la?"
Atuk jawab dengan tenang:"Ha'ah..lepas tu..kami qodho'(ganti) la bilangan hari yang kami tertinggal tu". Sehari selepas itu, berita tentang Muslimin seluruh dunia telah berpuasa 4 hari dalam bulan Ramadhan terpampang di muka Akhbar.

Bayangkan saudara-saudari pembaca sekalian. Orang-orang di Tanah Melayu terus berpuasa setelah mendapat tahu berita dari khalifah tentang Ramadhan itu sendiri. Terus buat tanpa tangguh-tangguh. Puasa terus tanpa soal macam-macam. Itulah kekuatan satu pemimpin mutlak yang berkuasa. Satu arahan satu penetapan. Tidak ada berselisih lagi ketika itu.

Maka, penyelesaiannya ialah kekuasaan Islam berpusat iaitu Khalifah Muslimin itu sendiri. Lihatlah betapa besarnya nikmat adanya pemimpin seperti ini. Maka, apa tunggu lagi? Ayohlah berusaha sehingga dapat kita melihat Khalifah yang menaungi umat Islam seluruhnya melindungi kita.

Wednesday, August 26, 2009

Kenangan Ramadhan bersama Nadamurni

Hehe..Alhamdulillah, masih selamat melalui hari-hari di bulan Ramadhan ini. Semalam ada aktiviti mengemas barang-barang di bilik saya. Tapi rasanya masih tak terkemas lagi, sebab kerja separuh jalan. Sebab apa jadi kerja separuh jalan? Sebab terjumpa barang-barang lama yang menjadi kenangan. Tengok-tengok dulu barang tu, lepas tu tergelak seorang diri, lepas tu terkenangan segala kenangan silam dahulu.

Maka ketika itu, saya terjumpa kaset lama zaman-zaman Nadamurni dulu. Fuuh!!! Sangat seronok saya melihat kaset-kaset tu. Tapi malangnya, kaset dah berkulat lagi bercendawan. Tak boleh nak mainkan balik kaset-kaset tu. Lagipun sekarang ni, orang lebih gemar menggunakan CD player, MP3 dan yang sejenis dengannya. Susah jugak nak cari kaset player. Bagaimanapun, hati tetap gembira kerana dapat mengimbau kembali kenangan pada nasyid-nasyid lama.

Tiba-tiba teringat pula zaman Nadamurni sedang pesat bergiat dalam arena nasyid di tanah air, setiap kali bulan Ramadhan hampir tiba sahaja, pasti Nadamurni akan pasarkan album mereka semuanya dengan harga kaset yang murah. Siap ada jualan penghabisan stok lagi. Nasyid-nasyidnya pun memang menyentuh hati. Bayangkan, mereka jual dengan harga murah kemudian nasyid-nasyidnya pula menyentuh hati, itulah berkat keikhlasan perjuangan mereka dahulu. Antara nasyid berkenaan Ramadhan yang benar-benar mengimbau kenangan dan menyentuh hati adalah "2 Ramadhan", "Nasihat Ramadhan", dan banyak lagi sebenarnya, cuma tak ingat tajuk. Hehe.. Setakat ni, yang dapat dengar kembali adalah nasyid "Nasihat Ramadhan". Insya Allah saya akan berkongsi liriknya dengan pembaca sebagai renungan bersama.

Nasihat Ramadhan
Nadamurni: solo - Munif

bulan ramadhan bulan bertuah
bulan ibadah bulan mujahadah
bulan rahmat bulan maghfirah
bulan al-quran dan lailatul qadr

(chorus)

Besarkan Ramadhan dengan puasa
di waktu malamnya tambahkan ibadah
bacalah al-quran banyakkan sedekah
terawih kerjakanlah walaupun sunat

pelihara mata jagalah telinga
kawallah lidah dari yang sia-sia
fikirkanlah yang mendatangkan faedah
hubungkan hatimu dengan Allah

zikir selawat doa panjangkan
pahala ramadhan diganda-gandakan
jangan lupakan janganlah leka
ramadhan tiba setahun sekali

(chorus)

bulan ramadhan bayarlah fitrah
untuk membersihkan hati dan diri
sebagai bantuan keoada ynag susah
agar mereka gembira di hari raya

Allahu ya Allah
kepadaMu kami beriman
keranaMu kami berpuasa
di bulan ini bulan yang mulia
kami mohon rahmatMu ya Allah
keampunanMu
wahai Tuhan

banyakkan i'ktikaf di 10 hari yang terakhir
lailatul qadr berlaku di malam itu
kita kan mendapat pahala yang besar
seperti beribadah seribu bulan

(Chorus)

Hehe..rentak nasyid ni menggunakan rentak alunan lagu Melayu klasik, mungkin kerana ketika itu masih popular lagu-lagu Melayu klasik. Tapi kalau dapat dengar balik nasyid "2 Ramadhan" tu..pergh..tak dapat digambarkan. Itulah nasyid yang mengajar saya tentang berpuasa ketika saya berada di sekolah rendah lagi. Keikhlasan untuk berpuasa. Berbezanya puasa kita ini dengan puasanya para Salafussoleh. Kemudian, mereka juga keluarkan nasyid Raya. Mereka juga menasihatkan tentang raya yang sepatutnya kita raikan. Bukan seronok-seronok kosong sahaja ketika raya. Fuh!! Besar juga jasa mereka dalam industri nasyid ni.

Mudah-mudahan, peringatan-peringatan tentang menghidupkan Ramadhan tersebut, dapat kita amalkan dan hidupkan bersama-sama. Insya Allah.