Thursday, February 5, 2009

Antara Cita-cita dan Kerjaya

Semua orang pasti memiliki cita-cita mereka sendiri. Apabila ditanya, pasti menjawab dengan pasti dan bangga bahawa ia akan menjadi doktor, arkitek, akauntan, jurutera dan sebagainya. Bukankah itu semuanya adalah kerjaya? Adakah benar kerjaya itu adalah cita-cita?

Mari kita lihat beberapa perbualan yang mengimbas semula kenangan kita apabila ditanya tentang cita-cita atau kerjaya.

Ketika Darjah Satu.

Cikgu: Same’on, dah besar nanti nak jadi apa?
Same’on: Nak jadi doktor cikgu!!
Cikgu: Kenapa nak jadi doktor, Same’on?
Same’on: Sebab mak saya suruh cikgu.

Selepas sahaja mendapat keputusan UPSR.

Same’on: Alhamdulillah, sains dapat A!!!
Cikgu A: Alhamdulillah, tahniah Same’on!! Jadi bagaimana selepas ini?
Same’on: Saya nak masuk Sekolah Sains cikgu!! Nanti boleh saya jadi doktor.
Cikgu A: Mesti pergi Sekolah Sains ker?
Same’on: Entahlah, bapak saya cakap macam tu.

Sebelum hendak menduduki Peperiksaan PMR.

Samad: Me’on, kau ni asyik tengok buku sains je, Sejarah, BM, BA..dah corver?
Same’on: Takpe, nak jadi doktor tak tengok benda tu pun.
Samad: Fuh!! Betul ker? Kalau macam tu, tak payah baca ar yang lain.
Same’on: Medic belajar dalam English apa, mana ade pasal parlimen kat dalam medic nanti.

Ketika Tingkatan Empat.

Same’on: Sam, macam result ko?
Samad: Takde harapan aku nak jadi doktor dgn result mcmni
Same’on: Ko tak leh putus asa, bile dah Tingkatan 4 ni, kita dah ada tujuan kita, takkan nak jadi orang makan gaji je..
Samad: Yelah, aku tak macam ko, pandai. Aku tak kisah la jadi apa, asalkan hidup.

Selepas mendapat keputusan SPM.

Same’on: Alhamdulillah, dengan result ni, bolehlah aku teruskan cita-cita aku.
Samad: Tahniah ar Me’on dengan result ko ni. So lepas ni jadi doktor ar?
Same’on: Eh!!Mestilah, itu kan cita-cita aku. Aku nak kalahkan kakak aku. Ingat dia sorang je ker yang boleh jadi doktor. Ko plak Sam, nak jadi apa lepas ni?
Samad: Aku rasa, nak jadi cikgu la. Nak hasilkan orang-orang yang lebih hebat daripada kita ni.
Same’on: Fuh!!Bagus tu.
Cikgu B: Kamu nak jadi guru, Sam?
Samad: Ya cikgu. Kerana cikgulah yang memujuk saya untuk terus berusaha. Jadi saya nak jadi macam cikgu juga. Nak pujuk orang yang macam saya pada generasi akan datang supaya tak putus asa lagi.
Cikgu B: Alhamdulillah. Saya bantu kamu mana yang saya mampu sahaja.

Di Institut Pengajian Tinggi.

Same’on: (Fuh!!Ramainya yang pandai-pandai ni. Aku tak boleh kalah.) ~ dalam hati
Syajahan: Same’on, ko ni tak boring ker asyik mentelaah buku medic ni jer. Apa yang seronok sangat.
Same’on: Hish. Nanti kalau fail kat test nanti macamana? Ko tak nak study ker?
Syajahan: Aku dah malas nak tengok tulisan-tulisan tu lagi. Buat apa nak susah-susah jadi doktor ni. Baik aku jadi model jer. Maybe tak boleh berlakon atau nyanyi, tapi nasib baik muka ni ada rupa.
Same’on: Takkan ko kalah sebab tu jer. Abis tu kenapa ko amik bidang ni. Penat-penat ko belajar kat SPM, tapi ko nak kalah sekarang?
Syajahan: Dulu aku memang nak jadi doktor. Sebab nanti jadi doktor, hidup senang sikit. Aku nak tolong famili aku. Tapi kalau dah macamni punya susah, dengan dah ada cara senang untuk hidup senang. Baik aku pegi amik yang senang je. Kau nak jadi doktor sangat kenapa pula?
Same’on: Suka hati kau lah Jah. Aku nak jadi doktor sebab aku nak tolong orang lain nanti. Nak tolong orang yang sakit nanti.
Syajahan: Tolong orang sakit, doktor je ker? Apa Kadet Pertahanan Awam pun boleh ar!!Lantak ar. Ko nak sangat. Silakan. I’m quit!!!

Ketika praktikal di sebuah Hospital.

Same’on bermonolog: Kenapa pesakit ni menipu kita? Aku nak tolong dia, tapi menipu pulak. Nak duduk kat hospital ni free la tu. Menyusahkan orang. Habis teruk result klinikal aku.

Bila sudah menjadi seorang doktor pakar.

Same’on bermonolog: Apsal la banyak sangat patient ni? nak rehat kejap pun susah..takpe la..dah kerja..layan jelah..nanti balik rumah pun, buat apa jer..makan, mandi, jumpa anak isteri (tu pun kalau jumpa), tidur. Lepas tu pegi kerja..macamni la life seorang doktor sampai la mati agaknya. Nak elak cukai, pegi la sedekah banyak sikit kat Palestin tu. Hmmm

Perbezaannya

Itulah secara kronologi hidup seseorang yang menetapkan masa hadapannya dengan dibayangi serta dikaburi sama ada itu adalah cita-cita atau memilih kerjaya. Melihat kehidupan orang lain yang berjaya dalam kerjayanya, terus kita juga berazam hendak jadi sepertinya. Adakalanya juga di dalam kronologi itu nampak perubahan pendirian. Sudah berjaya sehingga dapat masuk ke tempat belajar, akhirnya dia berputus asa akibat tekanan yang dihadapi. Ada juga yang berubah pendirian kerana faktor ”ikut kawan”.

Ada juga yang sehingga kini masih tidak jelas tentang kerjaya yang bakal mereka mahu ceburi nanti. Seolah-olah tidak pernah kisah tentang hal ini dan terima sahaja apa yang bakal dia dapat. Maka apabila di kemudian hari, dia mulai menyesali kisah lamanya dan kesilapannya.

Apakah perbezaannya antara cita-cita dan kerjaya?

Begini wahai sahabatku. Cita-cita itu adalah suatu yang mahal dan paling tinggi nilainya yang ingin kita gapai. Menjadikan segala usaha kita dalam hidup kita untuk menyumbang kejayaan cita-cita kita itu. Sesuatu yang puas jika kita berjaya mengecapi cita-cita kita yang kita tanamkan.

Sedang kerjaya itu pula adalah alat untuk kita mengecapi cita-cita kita. Jadilah apa pun yang kita akan jadi, yang dapat memberikan punca rezeki kepada kita untuk terus hidup. Kerjaya juga dapat membantu kita menanggung kehidupan berkeluarga. Malah ia juga dapat membantu orang lain yang juga punya hak ke atas harta-harta kita hasil dari pencarian kita ini. Sedangkan Allah juga memberi peluang kepada orang-orang yang beriman yang mampu untuk berjihad dan berjuang dengan hartanya. Maka kenapa lagi kita masih risaukan lagi harta kita yang bakal kita perolehi?

Ada beberapa golongan yang berpandangan terhadap kehidupannya di dunia ini. Kita lihatlah perbandingan 3 jenis orang ini dan itulah juga kita dapat membezakan antara cita-cita dan kerjaya.

1) Golongan yang seperti dirakamkan dalam al-Quran iaitu:

Dan tentulah mereka akan berkata pula: "Tiadalah hidup Yang lain selain dari hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati". [al-An’am 6: 29]

”Dan mereka berkata: "Tiadalah hidup Yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. kita mati dan kita hidup (silih berganti); dan tiadalah Yang membinasakan kita melainkan edaran zaman". pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata.” [al-Jathiyah 45: 24]

Golongan inilah yang merasakan dunia ini hanyalah semata-mata tempat mencari rezeki dan di situlah sahaja untuk mencapai cita-cita tertingginya. Seolah-olah merasakan alam sudah tercipta dan akan terus menyala, cuma terpadam pada hukum-hukum atau akibat sesuatu sahaja. Mereka juga merasakan tiada kesudahan pada harta milik mereka. Sebenarnya apabila manusia mengingkari wujudnya kehidupan selepas alam nyata, mengingkari adanya hari perhitungan terhadap segenap perilaku maka seluru cita-cita dan usahanya akan tertumpu hanya untuk merangkul dunia yang dana ini. Ilmunya juga sekadar itu sahaja. Mereka ini hanyalah hidup untuk Dunia semata-mata.

2) Golongan kedua adalah golongan yang lebih rugi dari golongan yang pertama iaitu seperti Pencipta kita berfirman:

”Dan di antara manusia ada orang Yang tutur katanya mengenai hal kehidupan dunia, menyebabkan Engkau tertarik hati (mendengarnya), dan ia (bersumpah Dengan mengatakan bahawa) Allah menjadi saksi atas apa Yang ada Dalam hatinya, padahal ia adalah orang Yang amat keras permusuhannya (kepadamu).
Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman-tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia; sedang Allah tidak suka kepada bencana kerosakan.”
[al-Baqarah 2: 204-205]

Dalam ayat yang lain pula:

”Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang Yang beriman serta mengerjakan amal-amal Yang soleh - ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) orang-orang Yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang nerakalah menjadi tempat tinggal mereka.” [Muhammad 47: 12]

Allah menerangkan bahawa golongan-golongan ini adalah manusia yang hidup mereka adalah untuk makan-minum dan menikmati kelazatan dunia. Mereka ini juga, Allah menerangkan gelagat segolongan manusia yang hidup mereka di dunia adalah mengadakan angkara fitnah, menyuburkan kejahatan dan kerosakan. Seterusnya Allah ada juga menerangkan bahawa sememangnya fitrah dalam diri manusia itu mahukan kesenangan juga bermewah-mewah, menikmati perhiasan di dunia, sehingga Allah mengingatkan kepada semua manusia bahawa ada jalan selamat daripada hal berkenaan dalam firman-Nya:

”Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda Yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda Yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan Yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali Yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).” [ali-Imran 3: 14]

Demikianlah tujuan-tujuan hidup manusia di dunia. Allah Taala telah membersihkan orang-orang mu’min dari tujuan-tujuan yang salah dengan memberikan tanggungjawab dan kewajiban yang tinggi lagi mulia. Mengajak manusia seluruhnya kepada kebajikan dan kebaikan daripada terus hanyut dengan tipu-daya duniawi yang menelan manusia. Maka rugilah mereka yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:

”Celakalah (orang yang hidupnya menjadi) hamba-abdi dinar, celakalah (orang yang hidupnya menjadi) hamba-abdi dirham, celakalah (orang yang hidupnya menjadi) hamba-abdi kepada pakaian.” H.R. Imam Bukhari

3)Golongan yang mengganggap Dunia ini adalah ”ladang tanaman” untuk Akhirat.

Mereka inilah golongan yang benar-benar beriman, mereka mengetahui hakikat hidup ini. Mereka menginsafi nilai hidup dunia ini dibandingkan dengan akhirat, kerana Allah Taala berfiman:

”Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” [al-An’am 6: 32]

Kesedaran untuk pulang ke ”Kampung Abadi” yang dirindukan lagi diidamkan oleh setiap hamba-Nya untuk pulang menemui Pecipta mereka dan memperoleh semua janji-janji Pemilik Akhirat itu. Mereka tidaklah merasa dunia ini adalah sia-sia, tetapi tempat merebut peluang serta mengumpulkan segala bekal yang boleh diperolehi untuk menemui Tuhannya di ”Kampung Abadi”.

Allah berfirman:

”Wahai orang-orang Yang beriman! mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: "Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah", kamu merasa keberatan (dan suka tinggal menikmati kesenangan) di tempat (masing-masing)? Adakah kamu lebih suka Dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding Dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak.” [at-Taubah 9: 38]

”Tiap-tiap Yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya.” [ali-Imran 3: 185]

Rasulullah pula bersabda:
”Hari Kiamat semakin dekat sedangkan manusia semakin tamak-rakus kepada dunia dan mereka juga semakin jauh dengan Allah.” H.R. at-Tirmizi dan Ibnu Majah dan al-Haakim

Rasulullah bersabda lagi:
”Dunia ini adalah penjara untuk orang mu’min dan syurga bagi orang kafir.”
H.R. Muslim
Ada satu nasyid zaman-zaman al-Arqam dulu yang memberikan satu semangat akan kelebihan cita-cita. Syair abuya yang dinyanyikan semula oleh kumpulan Nadamurni.
Nun di sana cita-cita kita
Ya akhirat namanya
Di dunia ini bukan tempat tinggal
Di sini hanya sebentar tidak kekal

Betulkan niat dari sekarang
Tukarkan sikap kita yang merugikan
Quran dan sunnah jadi panduan
Agar esok tidak kekesalan

Biar susah sedikit kerana tuhan
Untuk menghindar kesusahan besar
Yang tidak sanggup ditanggung badan
Ambillah iktibar kalau mahu sedar

Di sana tiada taulan yang membela
Amal ibadah itulah pembela kita
Ayuh bersegeralah membuat kebajikan
Jangan dilalaikan oleh nafsu dan syaitan

Pangkat dan harta tidak akan kekal
Bahkan apa yang ada akan ditinggal
Hidup di dunia hanya sementara
Buatlah persiapan untuk ke sana

Ayoh bersegeralah menuju Allah
Taatilah Dia minta ampun padanya
Mati bila-bila masa boleh tiba
Jangan sampai kita tidak bersedia
Kerjaya pula adalah suatu alat untuk kita mengecapi cita-cita kita. Kerjaya itulah peluang memajukan ”ladang tanaman” untuk akhirat, kerana pekerjaan di dalam kerjaya kita itu setiapnya adalah ibadah. Ibadah itulah yang membuahkan pahala-pahala menjadi bekal perjalanan ke ”Kampung Abadi”.

Maka tidak salah untuk kita bekerja, bukan sahaja duduk menjadi rahib yang mengasingkan diri dari dunia terperap di tumah ibadah semata-mata 24jam sehari, tetapi menjadi orang yang mengerahkan segala kudratnya untuk mencari rezeki suapaya dapat dia terus hidup dan terus mendapat peluang untuk beribadah di dunia ini. Kerana Allah berfirman:

”Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” [az-Dzariyat 51: 56]

Rasulullah juga sangat menggalakkan semua Mu’min untuk mencari rezeki yang halal lagi baik seperti dalam sabdanya:
”9 daripada 10 rezeki adalah daripada perniagaan”
H.R. Bukhari

Mudah-mudahan dengan perkongsian kali ini, para pembaca dapat mengenalpasti tentang diri dan masa depan anda semua kerana mulai hari inilah adalah titik tolak perubahan di kemudian hari ini. Lakukan yang terbaik untuk diri anda, keluarga, Muslimin yang lain serta agama Allah yang tercinta ini. Jangan cepat menyesali dengan apa-apa tindakan anda kerana pasti ada hikmah disebalik hal tersebut

Wednesday, February 4, 2009

Nak Sukan..Sukan laaa..TAPI..........

Satu fenomena baru yang menimbulkan permasalahan dari kalangan warga Al-Amin. Sememangnya semua orang tahu bahawa sekarang ini adalah musim sukan sekolah, maka masing-masing semuanya seronok dan bersemangat bermain dengan bersungguh-sungguh untuk memenangkan pasukan mereka dalam perlawanan.

TAPI..ada beberapa perkara yang kadang-kadang dilupakan oleh segelintir dari kita tentang perkara asas dan sangat penting.

Itulah ia tentang ikhtilat dan adab.

Kenapa saya menyatakan tentang ikhtilat? Biar saya membawa anda semua suatu contoh mudah yang bagi saya, TAPI ramai orang lain terlupa tentang ini. Bagaimana jika dataran itu, terdapat banat bermain di sebelah kanan dataran, kemudian banin pula bermain di sebelah kiri dataran, apa pandangan anda?

Ada yang berpandangan:
1) Laa..bukannya main sama-sama pun..
2) Terpaksa sebab takut tak sempat dan tiada tempat lagi untuk bermain.
3) Kami saling tak kacau pun, mereka nak main, main la. Kami main kawasan kami.

Memanglah tak main sama-sama, TAAAAPI main di tempat yang sama. Maka di situlah lebih mudah untuk datang fitnah di kalangan warga Al-Amin yang terlibat. Macam juga ayat Allah yang kata "jangan hampiri zina", bukannya "jangan berzina". Hal permasalahan ini sebenarnya mampu menghampiri. Seboleh-bolehnya untuk saya berbaik sangka dalam hal ini. TAAAAAPI tidak semua yang dapat berbuat demikian seperti saya. Saya juga risau kalau-kalau ada pula yang cuba mengambil kesempatan. Contohnya ambil kesempatan dengan bola ”terpergi” ke tempat banat. Maka berebut-rebut pula banin mendapatkannya. Hehe..memang fitrah manusia, TAAAAAAPI..inikah BI’AH SOLEHA kita?

Ada peristiwa yang lebih memeranjatkan saya, dalam suatu kelas, ada dua meja pingpong, satu meja pingpon banat main, yang satu lagi banin pula main di dalam satu kelas itu. Memanglah kelas itu terbuka luas dan tidak pula mereka berdua-duaan serta tidak juga bermain bersama-sama. TAPI macam-macam boleh jadi; contoh kalaulah tak pasal-pasal ada yang semangat sangat bermain sampai sanggup ambil bola walaupun dah pergi ke tempat banat. Ataupun kalau-kalau banat pula semangat smash bola tu sampai terangkat tudungnya. Bagaimana itu? Mungkin ia tidak terjadi, tetapi macam-macam boleh berlaku. Senang cerita, inikah yang boleh didapati di sebuah sekolah Islam???

Tentang adab pula, ingin ditujukan kepada yang terbabit. Nak bersorak untuk menyokong pasukan masing-masing, memang boleh. TAPI janganlah sampai berlebihan keadaannya. Contoh sekali lagi, banat menyokong banin bermain, janganlah sampai bersorak yang terlampau kuat, dan yang paling bahaya sekali; sehingga menyebut nama seseorang. Nasib baik hal ini tidak berlaku lagi di Al-Amin. Alhamdulillah masing-masing tahu sebenarnya tentang bab ikhtilat ini, dan jauh sekali untuk ana bersangka buruk kepada anda semua. Sekadar ingin mengingatkan.


Seterusnya teguran ini khusus untuk banin. Bersukan tu, tolonglah pakai pakaian yang elok. Mungkin benar semuanya menutup aurat dan tidak pula ada sebarang gambar-gambar yang tak elok pada baju anda. Cuma, pakaian anda yang agak kecil itu yang kurang elok. Ya mungkin memang benar saiz baju tersebut lebih anda selesa adalah sedemikian, TAAAAPI tubuh sasa anda itu pasti juga menjadi tumpuan. Kena pula kalau sudah berpeluh ataupun main ketika hujan turun, maka nampak pula apa yang boleh nampak. Bahaya tu..

Ana pernah terdengar ada orang(tau-tau jelah gendernya) sebut ”Weh..tengok badan si fulan tu......”. Sebaik ana berpaling melihat siapa yang bercakap demikian, mereka macam tergedik-gedik pula. Tidak sempat hendak menegur mereka sudah lari. Inikah BI’AH SOLEHA yang kita bina?

Kepada banin lagi, mungkin anda ingin selesa dalam bersukan, TAPI janganlah terlalu tinggi sangat anda menyingsingkan seluar anda sehingga hampir ke lutut. Bercover-cover la sikit ye..Kalau daripada jauh nampak macam pakai seluar pendek sahaja.

Akhir sekali, janganlah lupa untuk solat. Solat itulah juga yang sebenarnya membantu kita untuk mendapatkan keberkatan dalam beriadhah ni. Mungkin terlambat kerana terlajak, TAPI sebolehnya berusahalah untuk solat sebaik sahaja dengar azan.

ANDA BIJAK!!!!JAUHI ZINA!!!!

Tuesday, February 3, 2009

Al-Amin Memanggilmu..!!!

Labaika ya madrasatina!!!
Labaika ya madrasatina!!!
Labaika ya madrasatina bi dimaa-ana wa arwahina!!!

Apakah halnya yang sudah terjadi sehingga bencana ini menimpamu wahai Al-Amin?
Pastilah disebaliknya terdapat hikmah kerana berlakunya bencana ini.

Al-Amin tenggelam di dalam banjir besar akibat hujan lebat pada petang 3hb Februari 2009. Ketika itu warga Al-Amin melakukan aktiviti rutin seharian. Tidak pernah pula dijangkakan bahawa ia akan menghadapi suatu keadaan yang getir. Sungguh hal ini hanyalah Allah yang lebih mengetahui.

Petanda hujan itu semakin sejelas, warga Al-Amin yang sudah tiba masanya hendak pulang sudah mula merancang perjalanan untuk pulang ke rumah masing-masing. Ada pula yang mengeluh kerana bimbang tidak dapat bermain permainan sukan yang telah dijadualkan petang itu. Ada pula yang bersahaja dan tidak mengendahkan apa-apa dengan petunjuk yang jelas itu.

Maka hujan pun mulai turun dengan lebatnya ketika segelintir orang sedang bermain bola tampar di dataran, sebahagian yang lain pula ada yang sudah pulang ke rumah. Ketika itu berlaku peristiwa yang menggemparkan.

Bumi Al-Amin sekali lagi dilanda bah besar menenggelamkan mangsanya seperti semut dan haiwan-haiwan kecil yang melata di sana. Peristiwa seperti ini pernah terjadi pada penghujung tahun 1999 sehingga memaksa kerahan tenaga untuk memunggah barang penting seperti komputer di pejabat dan lain-lain untuk diselamatkan. Cuma pada kali ini, tidaklah lebih dasyat dari apa yang berlaku pada peristiwa yang lepas kerana pihak berwajib sempat mencegah kemelaratan bencana ini.

Dengan kuasa Allah, kejadian ini mengambil masa yang sangat ringkas sehingga mampu menyebabkan banjir yang dasyat ini. Bimbang jikalau peristiwa yang buruk berulang lagi, pihak yang berwajib itu segera mencari punca yang dapat membantu menyelesaikan peristiwa ini serta berusaha sedaya mungkin agar dapat mencegah kebahayaan yang bakal menimpa warga Al-Amin ini. Alhamdulillah, Allah membantu mereka kerana telah ditemui oleh mereka akan punca yang menyebabkan bencana ini.

Benarlah seperti apa yang dirakamkan di dalam al-Quran bahawa tangan-tangan manusialah yang menyebabkan mereka menanggung bencana terhadap mereka. Semua ini adalah disebabkan kesalahan warga Al-Amin sendiri kerana menyebabkan saluran utama perparitan tersumbat.

”Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu Dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang Yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih Dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa Yang kamu tidak mengetahuinya". [al-Baqarah: 30]


Sungguh nyata punca tersumbatnya parit utama itu adalah disebabkan pembuangan sampah yang melampau sehingga menyebabkan saliran air tidak dapat mengalir dengan lancar, kerana itulah menjadi punca banjir kali ini. Maka pihak berwajib dengan segera menyelesaikan hal ini sehinggalah terpaksa meredah hujan yang turun serta terpaksa turun ke parit utama untuk mengeluarkan sampah-sampah yang menyumbatkan parit itu.


Terima kasih diucapkan kepada Mohd Fahrulradzi bin Bukhari kerana telah banyak membantu pihak berwajib melaksanakan tugas-tugasnya. Sungguh beliau meninggalkan sedikit jasa sebelum beliau berangkat jauh menimba ilmu serta pengalaman yang lebih baik di Pengkalan Chepa nanti. Minta maaf juga diucapkan kepada beliau kerana gambar aksinya berkhidmat, tidak dapat diambil. Sekali lagi bukti bahawa makmal prihatin dan sentiasa menjaga kebajikan warga Al-Amin.

Wahai Para Pemuda Pemudi Al-Amin!!

Sedarlah bahawa hikmah yang Allah timpakan mehnah ini kepada kita untuk memberi pengajaran kepada kita tentang kesilapan dan kesalahan kita yang telah kita lakukan selama ini. Membuang sampah merata-rata dan sedikit pun tidak mengambil berat akan sampah-sampah yang menyakitkan mata di sekeliling kita. Di manakah bi'ah soleha yang kita bina selama ini? Adakah ini budaya kita?

Hikmah yang susah untuk diperolehi ini telah ditunjukkan, maka ambil-lah ia sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.:
"Hikmah itu barang kehilangan orang Islam, di mana saja beliau menemuinya, ialah yang lebih berhak menerimanya." H.R. Muslim

Sesungguhnya setiap sampah-sampah yang ada disekeliling itu sangat menyakitkan mata, maka ia juga boleh diistinbatkan dengan “perkara yang menjadi rintangan di jalanan” dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Setiap anggota badan dari manusia wajib atasnya bersedekah, tiap hari apabila terbit matahari; engkau damaikan antara dua orang (yang berselisih) itu sedekah, dan menolong orang yang berkenaan dengan kenderaannya, engkau mengangkatnya atau mengangkat barang-barangnya ke atas tunggangannya itu adalah sedekah. Dan kata-kata yang baik itu adalah sedekah, dan setiap langkah kakimu untuk solat juga adalah sedekah. Dan menyingkirkan sesuatu rintangan dari jalan juga adalah sedekah." H.R. Bukhari & Muslim

Sesungguhnya setiap sampah yang anda kutip itu punya pahala dan ganjaran yang Allah berikan kepada kita nanti, sehinggalah setiap sampah yang dikutip itu menjadi saksi kepada kita di hadapan Allah dan mengatakan kepada Allah: “Ya Allah, sungguh hamba-Mu ini telah menempatkan aku pada tempat yang seharusnya iaitu di dalam tong sampah. Maka letakkanlah hamba-Mu ini bersama-sama dengan orang-orang yang adil dan layaklah baginya mendapat syafaat kekasih-Mu ya Allah.”

Maka apa lagi yang harus kita tunggukan untuk menghadapi masalah ini? Saya berpesan kepada diri saya serta para pembaca sekalian terutamanya para warga Al-Amin agar bersama-sama kita menentang nafsu yang membiarkan hal ini terus terjadi. Tanamkanlah tekad wahai warga Al-Amin agar kita semua tidak merasa segan untuk membuang sampah ke dalam tong sampah serta tidak juga segan silu untuk mengutip mana-mana sampah yang bersepah merata-rata di sekeliling kita!!

Saya tidak menyeru kepada anda semua agar memboikot barang-barang yang menyebabkan kepada pembuangan sampah yang bersepah-sepah ini kerana ia adalah sebahagian daripada fitrah manusia untuk makan, tetapi saya menyeru kepada anda semua agar bertanggungjawablah terhadap sebarang pembelian makanan itu seterusnya menguruskan pembuangan sampah secara berkesan. Janganlah hanya diserahkan kepada para petugas kebersihan untuk menyapu dan mengutip sebarang sampah yang bertebaran itu, tetapi biarlah kita sendiri yang menugaskan diri kita untuk tanggungjawab yang besar ini.

Jika ada yang membuang sampah merata-rata, maka tegurlah dia kerana perbuatan ini juga menyumbang kepada kemungkaran kerana menambahkan halangan-halangan di jalanan serta menjadi orang yang dicintai oleh para syaitan. Daripada bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Barangsiapa diantara kamu yang melihat kemungkaran, ubahlah ia dengan tangan, jika tidak mampu, maka ubahlah dengan lisan, jika tidak mampu, ubahlah dengan hati. Sesungguhnya ia selemah-lemah iman.” H.R. Muslim

Seandainya anda tidak memilih jalan perjuangan mudah ini, maka sungguhlah anda bukan dari kalangan kami yang memilih tanggungjawab yang asing ini. Bagi kami, biarlah ia memenatkan dan kami tidak sedikit pun akan henti berjuang. Nafas kami menderu menyahut seruan ini!! Jantung kami berdetak kencang mendengar seruan ini!!! Sendi-sendi kami merasa ringan untuk beraksi!!!! Inilah kami dengan jalan yang kami pilih hanyalah semata-mata untuk melakukan kebajikan mencari redho Allah s.w.t.!!!!!

Al-Amin adalah amanah kita untuk kita ‘imarahkan. Maka belalah setiap alam semula jadi di dalamnya agar terus indah sehingga ke generasi yang akan datang. Bersama kita menjaga kebajikan kita untuk kesejahteraan bersama. Pada sekolah kita ini, terdapat sungai yang mengalir berhampiran dengannya. Tanamkanlah cita-cita untuk kita ke Kampung Abadi dengan tanda-tanda kekuasaan Allah ini yang mengungkapkan indahnya syurga itu. Sekolah kita Syurga kita...

Monday, February 2, 2009

yang manakah harus ku pilih?


"hmm..kalau tak pilih ini..nanti yang itu pula cakap apa kat aku ni..kalau aku pilih yang itu, nanti yang ini pula cakap aku macam-macam..Jadi, yang mana harus ku pilih????"

"senang-senang..tak payah pilih mana-manalah..aku jadi baik jer..pun boleh gak ape..hehe"

Itulah sedikit penyataan yang sering kali ditimbulkan oleh orang ramai dalam masalah yang terbit dewasa ini. Satu isu yang sensetif sebenarnya, tapi merasa bosan dengan keadaan ini yang terus terjadi ini. Fenomena ini jika dikaji, punya sejarah asalnya, tapi tidak perlu disentuh untuk kali ini, kerana biarkan orang yang ahli menyentuhnya. Peristiwa ini tidaklah asing bagi sesetengah orang yang memahami fenomena ini.

Dewasa ini melihatkan bermacam-macam orang yang memperjuangkan dakwah di serata dunia ini. Tetapi merasa pelik kerana ada di antara mereka yang tidak sepakat dan tidak pula bersetuju di antara satu sama lain. Mereka membawa hal yang sama, perkara yang sama, kesedaran yang sama. Juga mengajak kepada perkara yang sama juga. Tetapi susah betul untuk mereka bergerak bersama-sama. Tidak kisahlah kalau tak dapat bergerak bersama-sama, cuma kenapa perlu berlaku diperbesarkan masalah sehingga terlalu ketara percanggahannya.

Berbeza hanyalah nama badan organisasi, ketua organisasi, cara bergerak organisasi tersebut. Perbezaan itu memang sangat digalakkan untuk menunjukkan kepelbagaian dalam berorganisasi dakwah ini. Di situlah juga akan terbitnya Rahmat yang dimaksudkan dalam hadith Rasulullah s.a.w. bahawa; khilaf(pertembungan salah faham) itu Rahmat. Tetapi bagaimana Rahmat itu boleh terbit jika setiap kali berlaku khilaf, maka akan berlaku suatu yang tidak diingini. Akhlak yang paling utama tidak diamalkan. Terus lupa apa yang selalu sahaja diingatkan Allah dalam al-Quran itu. Antaranya, menjatuhkan syakhsiyah individu lain, sedang mereka hanyalah membuat kerja dakwahnya sahaja. Apakah ini ciri-ciri Dai'e yang berjuang untuk mendapatkan redho Allah?

Sedarlah bahawa perbezaan itu hanyalah perkara yang kecil. Ia diibaratkan seperti apa yang disarungkan atau diletakkan pada kepala. Tidak kisahlah namanya kopiah ker, songkok ker, topi ker, serban ker, tarbus ker, kain ker, semuanya berfungsi diletakkan di atas kepala. Bukan di perut mahupun di kepala lutut. Fungsinya tetap sama dan memainkan peranan yang sama juga tapi apa yang membezakan adalah bentuknya yang berbeza dan mungkin juga cara memakainya juga ada kaedah tersendiri. Setiap yang dipakai di kepala itu tidak pernah pula meminta untuk dipakai, tetapi gelagat orang yang memakainyalah yang membuatkan orang lain pandang pelik dan salah faham terhadap sesiapa sahaja yang memakai apa yang dipakai oleh orang yang banyak gelagat tu.

Lihat sahajalah apa yang berlaku dalam dunia Arab, terus bertelegah sesama sendiri sedangkan perbezaan masalah bangsanya sendiri tak dapat dibela. Orang lain pula terus memandang rendah kepada semua bangsa Arab kerana perilaku beberapa orang pemimpin Arab sahaja. Mengapa jadi begini? Tanggapan sumbang terus dilemparkan kepada semua yang berkaitan dengannya, tapi tidak semua yang sepertinya.

Itulah sebenarnya bahaya orang yang berada di dalam sebuah wajihah yang bergerak untuk dakwah. Yang lebih ditakuti lagi ialah mereka lupa tujuan dakwah mereka. Mereka menyeru kepada apa? Lupakah mereka ini? Sedang apa yang dirakamkan dalam al-Quran pula menyebutkan:

"Katakanlah (Wahai Muhammad): "Inilah jalanku, Aku dan orang-orang Yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah Dengan berdasarkan keterangan dan Bukti Yang jelas nyata. dan Aku menegaskan: Maha suci Allah (dari Segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah Aku dari golongan Yang mempersekutukan Allah Dengan sesuatu yang lain." [Yusuf:108]

Kita bergabung dengan orang ramai untuk hal ini. Bukannya memikirkan kuantiti, tetapi menerapkan kualiti kepada setiap kali pergabungan dengan orang ramai. Kita memperkenalkan Islam kepada semua orang dan memberi tawaran seperti mana yang Allah s.w.t tawarkan kepada semua hamba-Nya untuk selamat. Itulah tugas kita dalam kesedaran kepada Illahi. Mengajak orang ramai untuk menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah Taala.

Kita bukan mahu menyelamatkan kambing yang bersendirian daripada ancaman serigala, tetapi kita mahu mengajak manusia beramai-ramai kepada redho Allah. Perlulah kita mengenalkan Islam, agama yang dari Allah untuk hamba-Nya yang ingin selamat dari azab Allah yang amat pedih. Bergerak secara organisasi dan teratur memang sangat-sangat dituntut oleh Allah. Tetapi perlulah diingat apakah tujuan dan matlamat kita dalam pergabungan ini? Kalau untuk ramai ahli, maka dia akan usahakan untuk mencapainya. Kalau ia untuk generasi hadapan, maka mereka juga akan usahakan untuk mencapainya.

Terserahlah kepada anda, yang mana harus dipilih.

Sunday, February 1, 2009

Kenangan al-Arqam

Baru-baru ini, apabila dapat tahu bahawa beberapa kumpulan nasyid telah merakam semula nasyid-nasyid dahulu, tiba-tiba merasakan suatu peluang keemasan untuk mendapatkan album baru tersebut. Nasyid-nasyid yang pernah dinyanyikan oleh kumpulan Nadamurni yang salah satu wasilah Jamaah al-Arqam berdakwah dalam bidang hiburan ketika sekitar awal tahun 90-an.

Hijjaz buat "Nostalgia Lagenda Nadamurni". Rabbani pula "Nostalgia Nadamurni". Nazrey pula menyanyikan semula beberapa nasyid The Zikr secara solo. Hampir ke semua nasyid-nasyid ini benar-benar memberikan semangat dalam dakwah antaranya; "Nun di Sana", "Indahnya Hidup Bersama Illahi", "Bila Nur Melimpah di Hati", "Sunnah berjuang", "Jasa Petani", "Antara Dua Cinta", "Cita-citaku" dan banyak lagi.

Apabila mendengar semula nasyid-nasyid tersebut, benar-benar terkenang ketika zaman kanak-kanak dahulu, diri penulis pernah mengikuti jaulah yang dianjurkan oleh Jamaah al-Arqam ke Zoo Negara ketika umur masih muda lagi. Ketika itulah pertama kali berjumpa dengan Abuya Haji Ashaari, pemimpin al-Arqam ketika itu. Melihat rakan sebaya yang lain pergi ke Zoo Negara dengan bangga memakai jubah dan serban mereka. Bagi muslimah pula, mereka berpakaian purdah serba hitam. Tapi saya dan juga beberapa peserta yang lain hanya berpakaian biasa, mungkin kerana kami bukan ahli..hehe..

Tapi mengenangkan ketika program tersebut, betapa saya merasakan bahawa program itu bukan sia-sia sekadar melihat binatang dan berseronok sahaja. Tetapi di dalam program ini, mereka pasti akan memberikan berbagai tazkirah, mengajarkan apa istilah binatang ini dalam bahasa arab dan sebagainya. sepanjang perjalanan kami di dalam Zoo Negara itu, saya melihat mereka semua, tidak pernah terlepas dari mulut mereka membesarkan Allah. Setiap kali berjumpa dengan binatang-binatang yang ada, mesti mereka membacakan "Subhanallah!!". Mereka juga tidak pernah terlepas untuk memberi salam kepada sesiapa sahaja yang mereka jumpa.

Rasanya saya masih ingat lagi tazkirah yang Ust Haji Ashaari berikan setiap kali kami menjumpai binatang-binatang yang ada di situ. Apabila jumpa gajah, maka dibuka kisah tentang tentera Abrahah dengan angkatan bergajahnya yang ingin menghancurkan Ka'abah.

Apabila jumpa harimau, Ust Haji Ashaari tanya kepada kami semua; "Siapa yang takut dengan harimau tu?". Ada diantara kami yang menjawab; "Kami tak takut, sebab harimau takkan sampai kepada kita di sini". Kemudian Ust Haji Ashaari cakap; "Begitulah kita kena meyakini bahawa Allah yang melindungi kita ini seperti pagar yang memisahkan kita dengan harimau ini. Sebab yang menjaga dan memelihara kita hanyalah Allah."

Apabila jumpa burung flamingo, ramai juga yang kagum, sebab biasa melihat bangau biasa sahaja, kini dapat melihat yang luar biasa dihadapan mata mereka. Semuanya bertasbih beramai-ramai. Apabila jumpa burung merak, semuanya bertasbih juga. Kemudian diceritakan kepada kami bahawa bulu burung merak yang cantik itu sebenarnya beracun, maka dianalogikan tentang bahayanya kita terpesona dengan keindahan materialistik duniawi ini.

Kemudian jumpa ikan-ikan dan juga penguin. Kami juga melihat ikan lumba-lumba beraksi di ruang ikan itu. Hehe..ketika itu saya juga ternampak Ust Haji Ashaari tertawa melihat gelagat ikan lumba-lumba tersebut. Kemudian kami mengambil makanan tengahari kami di tasik Zoo tersebut, sambil didendangkan beberapa buah nasyid "Bermacam-macam binatang". Selepas selesai, kami pun pulang ke rumah masing-masing. Ust Haji Ashaari dalam ucapan penutupnya yang mengucapkan terima kasih kerana dapat bertemu dengan kami semua serta beliau berharap agar dapat jumpa lagi apabila kami meningkat dewasa. Sempat juga Abuya mengingatkan kami agar suka solat sebagai tanda berterima kasih di atas kebesaran Allah.


Banyak lagi kenangan saya bersama orang-orang al-Arqam ini. Tapi cukuplah setakat ini sahaja saya kongsikan pengalaman bersama-sama mereka. Dirisaukan bahawa ada pula yang menuduh saya ini berdakwah membawa fikrah al-Arqam pula. Sungguh jauh sekali tuduhan itu dengan realiti. Cukuplah ia sekadar menjadi kenangan dan memori di dalam sanubari ini. Ambil yang jernih, buang yang keruh.

Wednesday, January 21, 2009

Seluruh Dunia meletakkan Harapan kepada Seorang sahaja?


Baru-baru ni kita mendengar berita tentang kejayaan Barrack Obama memenangi jawatan Presiden Amerika Syarikat dan telah mengangkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke 44. Bahkan berita tentangnya sangat terhebah luas ke serata dunia. Begitu perihatin masyarakat dunia tentang orang ini sehingga segala latar belakang tentang dirinya diketahui oleh semua penduduk dunia ini. Baik di Asia mahupun di Afrika. Mereka menyatakan sokongan serta harapan yang sangat tinggi kepada lelaki ini. Mengapa isu ini begitu penting bagi masyarakat dunia?

Adakah mungkin kerana Amerika yang digelar "Polis Dunia"? Maka dunia ingin tahu siapa pula yang akan mentadbir kuasa besar dunia ini. Adakah mungkin kerana Dasar Luar Negaranya(Amerika) yang selalu merisaukan masyarakat dunia hari ini? Maka dunia ingin mengambil tahu tentang pembaharuan Dasar Luar Negara yang terbaru ini membawa berita gembira. Adakah mungkin kerana ingin melihat kepentingan masing-masing terhadap polisi Amerika yang baru?

Maka dunia benar-benar ingin memastikan agar polisi Amerika kali ini tidak mengecewakan. Kerana seorang ini sahaja, dunia sangat mengenali beliau serta terlalu mengambil tahu segala daripadanya, dari peribadi sehinggalah penetapannya pada polisi-polisinya. Sekarang menjadi tanda tanya kepada dunia tentang kabinet beliau yang akan dilantik nanti. Seolah-olah nasib dunia ini terletak pada sebuah rumah yang dicat putih itu. Inilah keadaan masa kini. Seluruh dunia merujuk kepada Amerika. Mengapa jadi begini sehingga mereka dipandang sebegitu?
Tetapi, hal seperti ini sebenarnya pernah berlaku dan ia berlaku pada orang Islam. Kita tidak pernah berasa hairan kerana dahulu dunia juga merujuk kepada dunia Islam suatu ketika dahulu.


Sultan Abdul Hamid II

Suatu ketika dahulu, orang inilah yang dilihat seluruh dunia tentang dirinya. Segala dasarnya dan keputusannya juga sangat dinantikan. Inilah lelaki yang dipanggil Khalifah Islam. Dahulu tentera Islam antara tentera yang tercanggih di dunia. Pasukan tentera yang menggunakan senapang terlebih dahulu di dalam sejarah dunia. Teknologi meriam paling awal dan paling berkesan dalam sejarah pembuatan senjata balistik. Armada kapal perang yang terbesar di Eropah ketika eranya.

Sistem kewangan yang lebih bermanfaat kepada rakyat jelata tak mengenal bangsa mahupun agama. Semuanya dijaga kebajikan masing-masing. Cukai yang dikenakan pula sedikit pun tidak membebankan, tetapi orang-orang di Venice,Italy mengambil peluang untuk meningkatkan cukai untuk para pedangang. Orang Islam pula yang difitnah oleh para penulis Orentalis bahawa kerajaan Islam menaikkan cukai perdagangan di pintu masuk Eropah.

Dasar luar negaranya juga sangat disenangi dengan negara-negara jiran mahupun negara musuh. Bahkan negara-negara yang kecil di Eropah juga meminta perlindungan Kerajaan Islam. Mana-mana negara yang ditawan kerajaan ini, pasti merasa hairan kerana mereka tidak sedikit pun terasa dijajah.

Selama beratus tahun Kerajaan Islam sangat gemilang. Sekarang ia tidak lagi seperti dahulu. Digulingkan, dihinakan, dilarang sebarang perkara yang mempunyai sangkutan dengan pemimpin yang bergelar Khalifah itu.

Pada tahun 1925, kerajaan Turki Moden yang telah menggulingkan kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah, telah mengharamkan semua rakyat Turki memakai tarbus. Ketika itu, berlaku bantahan besar-besaran terhadap penetapan kerajaan baru ini, mereka keluar ke jalan-jalan utama dengan memakai tarbus demi membantah pengharaman terhadap tarbus. Kenapa tarbus diharamkan ketika itu?

Apabila Mustafa Kamal Attarturk menggulingkan pemerintahan khalifah Islam, dia merasakan selama ni orang Turki tak moden seperti Barat. Jadi dia gantikan tarbus tu dengan topi tinggi orang-orang barat. Malah sesiapa yang memakai tarbus akan ditangkap. Sehinggalah jutaan orang ditangkap hanya kerana mereka memakai tarbus. Sehinggakan hukuman gantung akan dikenakan kepada mereka yang berdegil. Dan ratusan orang mati hanya kerana memakai tarbus yang mereka bangga kerana ia seolah-olah menunjukkan kebanggaan nenek moyang mereka yang berjuang demi ISLAM.

Tapi kini. Ramai anak muda sekarang, yang seolah-olah malu akan keturunan mereka yang terdahulu, tidak maju dan kolot. Sehinggalah mereka memilih jalan mereka yang mereka lebih baik daripada apa yang dikecapi oleh orang terdahulu.

INGAT!!! DAHULU KITA SANGAT GEMILANG!!!

Dan kita terus meletakkan harapan kepada seorang yang duduk di dalam rumah yang dicat putih itu.

Sunday, January 11, 2009

Dapat arahan..ikut!! Dapat amanah..jaga!!

Senang jer..

Mesti sentiasa berlari..jangan jalan-jalan..

Bila dapat arahan yang diberikan..ikut jer..

Bila dapat amanah yang diberikan..tolong jaga!!!

Gunakan kemudahan yang ada(torchlight) untuk misi ini..

mungkin merbahaya..jd..hati-hati yer..

ok..lari...



Apabila seseorang akan melalui suatu peristiwa yang kurang pasti, pasti akan rasa gemuruh, takut dan cemas. Mana tidak, diberi arahan untuk berlari di tengah pagi buta. Kenapa kena lari pulak? Kena tunggu giliran pula. Sejuk malam menusuk sehingga ke tulang sum-sum. Nyamuk pula rajin mencari rezeki di badan yang tak bersalah ni.

Itulah yang menjadikan diri kita hilang keyakinan, lupa pada tanggungjawab dan amanah, isti'jala (terburu-buru), kurang berfikir, merasa selesa dan hilang arah. Senang ditipu oleh musuh yang menyamar dikalangan kenalan. Tidak dapat bezakan diantara provokasi dengan arahan. Tidak dapat bezakan keutamaan dengan tanggungjawab.

Itulah bahaya dalam kita hendak bergelumang dalam dunia kepimpinan. Kita akan dikaburi dengan kekuasaan. Kita akan diliputi dengan bermacam-macam pujian sehingga kita lupa tentang tujuannya kita menggenggam tanggungjawab yang berat ini. Tahukah anda bahawa kitalah yang layak memikul amanah ini? Allah sudah memberi peluang kepada makhluk-makhluk yang lain untuk mentadbir alam ini, memimpin yang lain, memakmurkan alam ini. Tetapi apabila kita diuji sedikit, kita sudah tidak dapat memikul tanggungjawab ini dengan baik lagi.

Ada juga yang menjaga amanah dengan baik, ada juga yang dapat sempurnakan tugas dengan baik. Tapi ada juga yang menjaga amanah dengan sambil-lewa, ada juga yang melaksanakan arahan dengan keadaan terpaksa dan tidak rela. Mengapa hal ini berlaku? Itulah kebesaran Allah. Allah mahu menunjukkan kepada kita tentang kekuasaanNya. Tidak semua itu adalah orang yang sentiasa betul. Tidak semestinya juga semua orang itu adalah salah. Sesiapa yang melakukan kesalahan pasti dapat mempelajari kesalahan mereka, sedang mereka yang baik dalam kerjanya, beringatlah selalu bahawa kita satu hari mungkin akan tersilap juga. Perlulah kita sentiasa ingat-mengingati sesama kita tentang kebenaran dan juga kesabaran.

Kejayaan itu bukannya datang dengan harga yang murah. Tetapi ia perlukan sesuatu yang sangat berbaloi untuk kite mengecapinya. Bukan senang hendak memimpin, jadi ia perlukan perlaburan yang tinggi dalam kepimpinan. Pelaburan apa? Kalau bukan pelaburan masa, tenaga, harta, mahupun nyawa.

Dr. Abdullah Azzam pernah berkata:
"Alangkah indahnya kesusahan dan kepayahan dalam berjuang ini,
kerana ia adalah bunga-bunga serta taman-taman yang menghiasi perjalanan menuju kemenangan."

Sedikit Tips tentang Kepimpinan

Kita seharusnya sedar, mengapa "kita" dipilih untuk memenuhi sesuatu tugas. Kita seharusnya berfikir kenapa "kita" diberi arahan sedemikian. Adakah pemimpin kita adalah orang yang tak berakal dengan mengeluarkan arahan sedemikian?

Kenapa kita disuruh untuk sentiasa berlari?

Kenapa bagi peluang untuk kita bawa torchlight? Tapi sesiapa yang tak bawa, kenapa tak boleh pinjam pula?

Kenapa kita diberi barang amanah, tapi tak boleh baca atau buka sehingga ke destinasi terakhir?

Kenapa ketua jabatan nak tipu pula untuk rampas barang amanah?

Anda disuruh untuk sentiasa berlari kerana apa yang anda bawa itu adalah sesuatu yang sangat penting, bukan main-main. Kalau ia lewat, orang lain akan menderita kerana maklumat yang penting itu tidak sampai..

Anda diberi peluang untuk membawa sebarang peralatan untuk membantu anda dalam melaksanakan misi. Adakah berbaloi kalau anda hendak menjalankan misi, tetapi terkorban dipertengahan jalan? Apa pula nasib orang lain yang menanti-nanti sebarang maklumat penting itu? Anda tidak boleh meminjam orang lain kerana orang lain itu perlukan barang tersebut untuk diri mereka. Menjadi tanggungan sendirilah atas kesalahan diri sendiri. Seharusnya kita sedar bahawa kita harus bertanggungjawab atas segala kesalahan sendiri.

Barang amanah perlu dibuka sehingga destinasi terakhir kerana tidak mahu maklumat rahsia itu jatuh pada tangan orang lain. Hanya orang di destinasi terakhir itulah yang sangat memerlukan rahsia ini. Bagaimana kalau musuh dapat tahu tentang maklumat penting ini?

Ketua Jabatanlah yang paling bertanggungjawab ke atas semua orang yang berada di dalam jabatannya. Dia seharusnya kenal dan tahu potensi setiap ahli. Cara untuk mencapai hal itu, dengan menguji setiap ahli tentang kesetiaan dan kecekapan ahli. Orang yang paling setia adalah orang yang berani menegur kesalahan pemimpinnya kerana orang setia itu risaukan bahaya yang menimpa jika si pemimpin itu membuat kesilapan, kesannya pada orang lain pula.

Wahai anak-anak muda yang menjadi harapan kepada generasi akan datang, "kita" adalah orang yang punya sama tujuan dan pemahaman. "Kita"lah yang akan membentuk generasi-generasi yang serupa "kita" seperti mana orang terdahulu membentuk "kita".

Maka mengertilah..!!!
Kerja "kita" bukan sia-sia..!!
Kerja "kita" bukan main-main..!!
Kerja "kita" tidak akan terhenti di sini sahaja..!!
Kerja "kita" tidak akan mati hanya kerana kepergian seorang sahaja..!!
Tetapi perjuangan "kita" akan terus membentuk orang lain seperti "kita" juga..!!