Friday, December 10, 2010

Akan Muncul dengan Wajah Baru!!! Nantikannya!!!

Di sini, saya ingin membuat pengumuman kepada pengunjung setia serta para pembaca yang saya kasihi. Bersempena 2011 Masihi yang akan muncul tak lama lagi, dan juga dengan semangat Hijrah baru-baru ini yang telah masuk ke 1432 Hijriyah, saya ingin mengumumkan kepada semua bahawa blog ini akan berubah dengan wajah yang lebih baru!!!

Alamat blog ini masih terus dikekalkan sebagai memudahkan pengunjung setia terus berkunjung lagi ke blog saya ini. Tapi sentuhan-sentuhan baru akan mula dipaparkan bersama-sama di dalam blog ini. Bagaimana bentuk sentuhan baru tersebut? Hohohoho..tunggu dan lihat ya!!

Mudah-mudahan dengan paparan baru ini, akan terus memberikan persepsi baru daripada para pengunjung serta dapat menambah-baikkan kualiti kita di dalam dunia tanpa sempadan ini. Mungkin paparan baru ini tidak sehebat dengan laman sosial yang menjadi pilihan ramai, tetapi sedikit sebanyak dapatlah saya cuba membantu dengan sedikit penulisan saya nanti untuk memberikan sedikit input kepada para pembaca yang memanfaatkan blog saya ini nanti.

Nantikan ya!!!

Wednesday, November 24, 2010

Menghadapi Peperiksaan..!!

Akhirnya, SPM pun dah berlangsung. Pelajar Tingkatan 5 tahun ini pula yang menduduki SPM. Terlalu rindu tengok suasana SPM, sebab hampir setiap tahun(semenjak menyaksikan gelagat pelajar Al-Amin menduduki SPM. Jadi, tahun ni tak mahu ketinggalan melihat gelagat mereka pula. Jadi datanglah sebentar melihat gelagat masing-masing. Tapi semua cool semacam je..hebat!!

Sebelum ini, ketika bertugas di Al-Amin, juga turut menjadi Pengawas Peperiksaan setiap kali musim peperiksaan. Tapi, kali ini, saya sendiri pula menduduki peperiksaan. Huhuhu!! Dah lama tak merasai perasaan untuk menduduki peperiksaan. Bila kena duduki lagi, rasa macam menyesal pun ada. Hahaha!! Agaknya sebab dah lama tak rasa perasaan menjadi pelajar, mungkin kerana itulah terasa kekok pula bila hendak menduduki peperiksaan ini.

Tapi seronok pula jadi pelajar kembali. Dapat rasa perasaan yang sama dengan pelajar SPM agaknya? Hehehe..bagi mereka, SPM adalah peperiksaan yang menentukan hidup mati seseorang, juga yang menentukan masa depan seseorang, sama ada dia menjadi doktor, peguam, insiyur (muhandis), arkitek, ataupun pembantu makmal. Mungkin berbeza dengan peperiksaan yang sedang saya duduki ini. Hehehe..

Kepada yang calon SPM yang dalam keadaan tension lalu menziarahi blog ini dan membacanya, saya ucapkan dan doakan kepada anda semua buatlah yang terbaik dan semoga Allah Taala berikan ketenangan dan jalan keluar daripada kebuntuan. Juga kepada sesiapa yang turut menduduki peperiksaan, turut saya doakan kalian semoga berjaya.

'Alaikum bit Taufiq wa Najah!!

Saturday, November 6, 2010

Alasan-alasan lama tak update blog?

Hohoho..begitu lama blog ini tidak diupdate, pasti ada beberapa pengunjung tetap tertanya-tanya; "Mengapa blog ini semakin sepi tidak berpenghuni tampaknya?". Lebih sebulan tiada sebarang isian baru di dalam blog ini.

Ada yang kata, penulis blog ini kemalangan ketika bulan Syawal baru ini, sama ada terkena mercun "buatan sendiri" ataupun kecelakaan jalanraya. Ada pula yang kata, penulis blog ini sedang bersiap-siap untuk menunaikan haji. Ada pula yang merepek mengatakan sekarang ini penulis blog sedang menahan lahar Gunung Merapi dari dimuntahkan keluar. Dahsyat!! Sungguh dahsyat!! Maka inilah sebenarnya alasan-alasan yang bakal pemilik blog ini untuk kemukakan kepada para pengunjung setia.

1. Tiada idea? Oh pastilah tidak, sebenarnya terlalu banyak idea untuk menulisnya, cuma...terlalu banyak sangat sehingga tak tersempat untuk menulis. Satu demi satu idea datang mencurah-curah dan mendorong untuk menulisnya di dalam blog agar dapat dikongsikan dengan para pengunjung blog yang lain. Tapi...tak tertulis juga. Kenapa ya?

2. Sibuk? Ish..rasanya, tak-lah sibuk sangat. Padahal selalunya menggunakan laptop yang sama sahaja. Tapi tak tahu kenapa selama penggunaan laptop ni, tak terasa hendak menyelak laman blog sendiri. Padahal, ada sahaja kesempatan mengunjungi blog orang lain, tapi blog sendiri ditinggalkan kesepian.

3. Malas? hehe..agaknya la. Tentang ini, memang no comment. Mungkin saya tidak letakkan prirority untuk selalu menulis di dalam blog agaknya.

4. Chatbox yang membosankan? Rasanya tu tak boleh dimasukkan dalam alasan. Rasa sangat pelik kerana, pengunjung di chatbox selalu mempromosikan diri. Ntah-ape-hape-ntah diorang tu!! Gelabah!! Akhirnya saya sendiri buang ruangan Barium (II) Oxide [chatbox tu ler] tu. Biar diorang gelabah kat alam maya yang sementara ni. Muahahaha!!

5. Blog ni sendiri membosankan? Eh?Helo..blog sendiri pun nak kata bosan ker? Mungkin juga agaknya. Ruangannya asyik begitu dari awal penubuhan sehinggalah ke hari ini. Tiada yang menarik untuk dilihat di dalam blog ini. Tapi, kalau dah dikomen macam tu, insya Allah akan cuba untuk diperbaharui lebih baik lagi.

6. Tiada penunjung yang membaca blog ini? Emmm..mungkin juga. Buat blog ni macam "syok sendiri". Muahahaha!! Kesian..gila dalam laman blog sendiri. Ada cadangan untuk memastikan laman blog kita sentiasa dikunjungi oleh para pengunjung seluruh dunia. Seperti menjadikan blog ini medan mengutuk kerajaan-kerajaan dunia, ataupun menjadi informasi kepada sarang pengganas, ataupun menyentuh isu-isu sensetif agama. Pasti blog anda akan dikunjungi oleh FBI, CIA, NSA, Mossad, KGB (kalau ada lagi), ISA, InterPol, al-Qaeda, JI, GAS dan banyak lagi.

7. Anda sebenarnya bukan Pembantu Makmal lagi? Emm..ya. Mungkin ini alasan yang paling tepat agaknya. Kerjaya saya sebagai Pembantu Makmal sudah pun terhenti lamanya. Mungkin kerana itulah tiada lagi semangat untuk menulis di dalam blog yang dipanggil "Apabila Pembantu Makmal Menulis". Jiwanya hilang. Semangatnya runtuh. Sedih kesepian. Tiada lagi penerusan generasi Pembantu Makmal. (cewah) Mungkin selepas ini, buat laman blog yang baru dan hapuskan blog ini. Atau tukar nama sahaja. Masih dalam perbincangan lagi. Kalau hasil dari perbincangan itu menetapkan kepada sesuatu, maka ia adalah keputusan yang muktamad.

8. Ini sahajakah alasannya? Emmm..entahla. Mungkin setakat ini sahaja dahulu. Terima kasih kerana sudi membaca. Hehehe..

Monday, September 6, 2010

"Mencari" Lailatulqadr di 10 malam terakhir???

Ada kisah yang ingin saya berkongsikan dengan para pengunjung sekalian tentang mencari Lailatul Qadr di 10 malam terakhir. Begitulah pesanan Nabi Junjungan kita Muhammad s.a.w. yang menyuruh kita untuk tidak terlepas peluang yang terbesar ini.

Tidak ada umat lain yang mendapat peluang seperti ini dengan merebut peluang gandaan kebaikkan seperti 1000 bulan. Subhanallah!! Kalau Nabi Nuh a.s tu sendiri berdakwah beratus-ratus tahun, tapi sangat sedikit yang beriman. Allah beri peluang ini seperti mereka, lagilah mereka tak mahu beriman agaknya sebab mereka dah hidup lama. Jadi kita sebagai umat akhir zaman ini mendapat peluang yang lebih baik dari umat-umat sebelum ni, kenapa pula kita hendak melepaskan peluang seperti ini?

Jadi, adakah benar umat Islam di akhir zaman ini benar-benar mencari Lailatul Qadr di 10 malam terakhir?

Maka saya akan rungkaikan sedikit demi sedikit melalui satu kisah saya bersama rakan-rakan saya yang berhusnu zdhon dengan masyarakat kita. Dengan berpandangan baik kepada masyarakat, membuatkan kami benar-benar termotivasi untuk berlumba-lumba merebut peluang ini dengan masyarakat.

Baru-baru ini di dalam 10 malam terakhir Ramadhan, saya dan rakan-rakan keluar ke bandar selepas solat tarawih 8 rakaat. Sebelum kami hendak keluar, melihatkan saff solat jemaah yang masih meneruskan solat sunat mereka itu menjadi sangat sedikit daripada jemaah solat Isya' dan solat Terawih 8 rakaat. Daripada 15 saff menjadi kepada 3 saff sahaja. Melihat orang ramai yang keluar itu benar-benar dalam keadaan bersegera untuk keluar dari masjid seolah-olah ingin "mencari" sesuatu benda yang sangat penting sehingga tidak mahu ketinggalan untuk mendapatkannya.

Kami sengaja mengikut beberapa buah kereta yang berkonvoy keluar dari masjid. Rupa-rupanya mereka ke bandar. Ketika kami masuk ke bandar, Subhanallah!! Terlampau ramai manusia memenuhi ruang-ruang jalan dan yang ada di antara hutan bangunan di sana. Seolah-olah seperti jemaah Haji yang sedang berwukuf di Minaa. Mereka semua pergi ke setiap kedai-kedai yang ada di sekitar mereka seolah-olah "mencari" sesuatu yang penting sehinggakan mereka bertekad tidak akan balik selagi tidak "menjumpainya".

Salah seorang di antara kami berkata: "Diorang ni cari apa sebenarnya kat Bukit Bintang ni? Bukannya ada apa pun. Takkan cari komputer untuk raya kot..nak cari baju kat Chow Kit Road la". Kemudian seorang lagi rakan saya berkata: "Ni kes nak cari baju raya yang glemor-glemor la tu. Nak cari yang stylo aje..apa la diorang ni".

Sehinggalah kami selamat melepasi jalan yang penuh sesak di sana dan kembali pulang untuk mendapatkan barang yang sepatutnya. Saya pula berkata: "Alangkah indahnya kalau seramai itu tadi memenuhi masjid-masjid di Kuala Lumpur ini menghidupkan 10 malam terakhir ini". Kemudian berkatalah salah seorang daripada kami: "Eyh!!betullah apa yang diorang buat tu agaknya, Nabi suruh CARI Lailatul Qadr, bukan kata hidupkan..diorang pergi KL tu nak CARI Lailatul Qadr la kat situ, so..kalau nak CARI, kena ar keluar dari masjid". Kami tergelak sahaja dengan pandangan positifnya itu.

Lalu apabila kami tiba di kedai untuk membeli barang yang sepatutnya, dalam mencari suatu barang ini, datang seorang petugas di kedai itu kepada kami lalu bertanya kepada rakan saya: "Ya encik, boleh saya bantu? Encik cari apa ya?" Lalu rakan saya menjawab: "Saya sedang cari Lailatul Qadr.." Tergelak petugas tersebut. Kami yang mendengar pun tergelak juga.

Tapi dalam perjalanan balik. Kami bermuhasabah; kalaulah masyarakat sekarang pada waktu ini (10 malam terakhir Ramadhan) sibuk sungguh mencari barang-barang untuk Hari Raya sehingga merasakan itu adalah kemestian untuk dimiliki, kenapa tidak pada peluang Lailatul Qadr ini. Ya Allah rasa rugi sangat kalau terlepas nikmat beribadah di Malam Al-Qadr. Tapi kalau ada perkara yang perlu didahulukan daripada ibadah-ibadah sunat, maka wajib adalah lebih utama dari yang sunat. Tak mungkin mencari baju itu adalah wajib pula?

Tapi, pada 27 Ramadhan, kami dikejutkan dengan berita kematian isteri kepada rakan kami lalu kami membantu untuk menguruskan dan juga menenangkan rakan kami tersebut. Antara yang kerap berlaku di Malaysia, ketika 10 malam terakhir Ramadhan jugalah ramai Muslimin yang dijemput Allah terlebih dahulu menemui-Nya. Begitu kerap yang "pergi" itu di jalanan. Moga mereka ditempatkan Allah di sisi-Nya iaitu bersama dengan para solihin dan terselamat dari azab api Neraka. Sungguh! Apa yang berlaku pada rakan kami benar-benar mengingatkan kami tentang kematian. Dalam penat, keinsafan juga terbit di hati kami. Kami bertanya kepada diri kami; "Bagaimana pula pengakhiran kami nanti?"

Maka dikesempatan ini, ingin saya mengingatkan diri saya sendiri dan juga para pengunjung yang lain, agar teruskan saki baki hidup kita di detik-detik terakhir dengan Ramadhan. Kalau sesama manusia ketika berpisah, ada timbul rasa hiba dan inginkan kenangan terus berkekalan sesama mereka, bagaimana pula kita dengan Ramadhan ini? Jadikan Ramadhan kali ini yang terbaik daripada yang lepas dan sentiasa berdoa sesama kita agar dapat bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang. Insya Allah.

Sunday, August 22, 2010

Dari Masjid ke Masjid

Dalam bulan Ramadhan kali ini, saya buat satu benda yang dah lama saya nak buat; iaitu melihat suasana Ramadhan di masjid-masjid sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Setiap kali solat sunat Tarawih, saya akan pergi ke masjid lain untuk solat di sana. Sambil itu, dapat juga merasakan suasana bagaimana mereka memeriahkan malam Ramadhan.

Saya ingin berkongsi dengan para pengunjung setia dan para pembaca. Saya dapat belajar sesuatu daripada aktiviti ini. Iaitu bagaimana para pengurusan masjid berusaha untuk memberikan keselesaan kepada jemaah untuk menunaikan ibadah di Malam Ramadhan. Usaha-usaha ini memang baik kerana dalam masa yang sama, jemaah solat semakin bertambah berganda-ganda daripada biasa. Bukankah ini suatu yang hebat!!

Pandangan yang luar biasa ini benar-benar merasakan hati ini lebih senang. Memang betullah ada seorang ustaz pernah berkata dalam pengisian untuk para dai'e, katanya; "Di bulan Ramadhan ini, para dai'e boleh rehat sikit, sebab syaitan dibelenggu, jadi ramai orang suka nak datang masjid dan buat benda baik banyak sangat pada masa ini". Ya!! Memang betul!! Begitu ramai orang yang tiba-tiba memberikan banyak sumbangan kepada masjid-masjid, surau-surau dan rumah kebajikan, malah yang menghidupkan rumah Allah juga bertambah-tambah.

Di dalam peluang ini, pihak masjid cuba untuk menarik minat para jemaah agar hati mereka akan terus terikat dengan masjid selepas fenomena Ramadhan ini. Mudah-mudahan bulan-bulan selain Ramadhan, hati mereka akan terus selesa untuk datang ke masjid, bukan hanya kerana mereka datang untuk solat Tarawih sahaja. Tapi mereka datang ke masjid kerana mereka suka datang, ada benda yang menenangkan di dalam masjid ini. Itulah usaha yang terbaik untuk menyatukan hati manusia di bawah naungan Allah.

Antara usaha-usaha yang saya lihat oleh pihak pengurusan masjid yang cuba memberikan perkhidmatan dan keselesaan kepada para jemaah solat. Antaranya banyak masjid-masjid yang saya berkunjung, sudah memasang aircorn (penghawa dingin) yang mana sebelum ini tidak ada. Kalau yang sudah ada penghawa dingin, mereka tambahkan horse power (kuasa kuda)nya lebih lagi. Mana yang tidak mampu untuk memasang penghawa dingin, mereka memasang kipas yang besar (macam kat mamak tu..siap ada titisan air lagi..huhu) untuk keselesaan para jemaah solat juga.

Ada pula yang tidak dapat tambah prasarana yang hebat begitu, tapi mereka menarik minat para jemaah dengan makanan. Juadah berbuka, moreh dan sahur, semuanya sedap-sedap belaka. Ketika inilah ramai hartawan dan dermawan akan menyumbang kepada masjid-masjid yang menyediakan juadah yang istimewa. Katanya; "Daripada mereka pergi berbuka di hotel, lebih baik berbuka di masjid". Sehingga itu ada yang membuat cara juadah itu benar-benar seperti di hotel, siap ada pencuci mulut lagi. Wah!! Hebat juga idea ini. Yang lebih hebat lagi, ada yang menggunakan idea "Bubur lambuk drive-thru". Hanya lalu dan amik makanan, tak perlu bayar pun. Subhanallah!!

Ada pula yang menjemput imam-imam jemputan samada dari luar negara mahupun tempatan. Imam jemputan yang di datangkan khas untuk Ramadhan ini memang hebat-hebat. Bacaan mereka itu benar-benar menyentuh qalbu. Ada juga yang menjemput imam-imam kecil (bukan imam muda ya) yang sudah hafiz di usia yang muda untuk menjadi imam. Ada pula yang membuat Tazkirah Ramadhan dengan menjemput Ustaz-ustaz yang dapat menarik perhatian para hadirin mendengar ceramah mahupun tazkirah. Ada pula yang memasang LCD Projector dan memainkan video multimedia dalam sela masa untuk rehat antara solat Tarawih itu.

Ya Allah, seolah-olah seperti syarikat-syarikat yang berlumba-lumba untuk mencari pelanggan-pelanggan mereka demi keuntungan yang hendak dicapai. Tapi inilah persaingan yang tidak mahu dilepaskan yang mana setiap kebajikan dan kebaikkan itu dibalas berganda-ganda. Setiap kali melihat idea baru dan usaha mereka ini, adakalanya menitik juga air mata ini terharu melihat usaha mereka, sedang kita yang hanya melihat tidak dapat menyaingi amal mereka ini. Mudah-mudahan usaha mereka ini diterima Allah.

Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan datang lagi..!!

Segala puji bagi Allah kerana dapat lagi jiwa ini menikmati peluang yang diberikan iaitu datangnya kenikmatan serta peluang yang besar di bulan Ramadhan kali ini. Alhamdulillah, dengan sedikit persiapan yang dibuat sebelum ini, insya Allah akan cuba dapatkan Ramadhan kali ini lebih baik dari yang lepas, walaupun di masa lepas itu, lebih banyak kenangan dengan teman-teman seperti Rahman D dan anak-anak didik yang bermacam gelagat mereka.

Tapi insya Allah, kenangan itu tidak membataskan amal kita, bahkan ia sepatutnya menjadi pemangkin untuk membanyakkan lagi amal ibadah seboleh mungkin. Mungkin ia tak seceria dulu tapi mungkin ada yang lebih manis dari dulu. Siapa tahu? Pastinya ada hikmah yang menarik bakal kita tempuhi pada Ramadhan kali ini. Mungkinkah kita menemui nikmat di dalam Malam al-Qadr lebih baik dari yang lepas. Siapa tahu? Mungkin juga kita mendapat lebih nikmat dan ringan hati dengan terasanya keampunan yang kita rebut di Ramadhan kali ini. Siapa tahu?

Maka, di sini saya ingin mengajak para pengunjung serta pembaca setia blog saya ini. Ramadhan yang bakal kita lalui ini, jangan dibazirkan peluang ini begitu sahaja. Bukanlah dengan kedatangan Ramadhan ini, kita berhempas-pulas memikirkan pantun atau kata-kata indah untuk mengucapkan kepada kawan-kawan kita sempena kedatangan Ramadhan ini. Tapi sebaiknya, kita ingatkan kepada kawan-kawan kita sepanjang Ramadhan ini yang ia bakal pergi. Dan berilah juga peringatan tentang amalan-amalan sunnah dalam meraikan Ramadhan. Contohnya perbanyakkan istighfar di waktu sahur dan perbanyakkan doa di waktu iftar. Atau mengejutkan kawan dengan miss call untuk bangun tahajjud.

Seperti biasa, setiap kali menjelang Ramadhan, saya menerima terlalu banyak mesej ucapan meraikan Ramadhan ini. Tapi setiap kali saya membaca mesej-mesej itu, saya tertanya-tanya di dalam hati saya; "Mengapa mesti ucapkan SELAMAT Menyambut Ramadhan..SELAMAT Berpuasa..SELAMAT Menunaikan Ibadah Puasa..macam tak selamat jer kalau datang Ramadhan ni."

Sebelum ini saya pernah menulis tentang ini, tapi saya ingin menulis lagi tentang pendapat saya. Saya lebih gemar dengan perkataan daripada iklan komersial di televisyen iaitu; "Raikan Ramadhan bersama kami dengan.." yang belakang tu tak sedap pulak bunyinya sebab dia kata raikan Ramadhan dengan menonton televisyen pula. Kalaulah di dalam iklan komersial itu mengatakan; "Raikan Ramadhan bersama kami dengan Tadarrus"..itukan menarik sikit. Ada iklan komersial di Negara Arab, yang mengajak untuk penonton khattam al-Quran dalam masa sebulan. Bukankah itu baik untuk para penonton TV?

Saya ada bertanya tentang persoalan "Mengapa mesti diucap SELAMAT setiap kali ucap menjelang Ramadhan? Kenapa tak Happy Ramadhan ker? Kenapa tak Good Ramadhan ker?" kepada seorang teman. Kali pertama dalam hidup saya, dia memberikan jawapan yang paling saya kagumi dan dapat menjawab persoalan-persoalan yang bermain difikiran saya selama ini setiap kali menerima mesej tentang ucapan ini. Apa jawapannya?

Dia berkata; "Kalau kamu berjumpa dengan Orang Islam, apa kamu ucap?"
Saya jawab ; "Saya beri salam"
Dia berkata ; "Jadi apa salahnya orang lain ingin mengucapkan salam dalam beribadah?"

Persoalan yang dilontarkannya di dalamnya tersemat jawapan. Terkesima sebentar setelah saya mendengar jawapan itu. Mungkin selepas ini, saya tidak akan serabutkan otak ini dengan berfikir soalan seperti itu lagi. Hehe..tapi dalam kesempatan ini, nak ucap juga "SALAM RAMADHAN" kepada semua umat Islam di serata dunia.

Ingat Ramadhan, bukan ingat Bazaar Ramadhan, tapi lagi banyak ingat Allah sepatutnya!!

Monday, August 2, 2010

"Ngigau ker?"

Pada pagi Isnin yang nyaman, selepas bersahur, kemudian solat Subuh di Masjid. Kemudian terus pulang ke rumah dan bersiap-siap secara rutinnya. Memakai baju kemeja yang telah digosok. Menyiapkan barang-barang di dalam beg. Menyematkan name tag di dada. Berwangi-wangian dan terus berlangkah keluar mencapai kunci kereta dan ketika itu sudah pukul 7.00 pagi, benar-benar saya ingin bergegas cepat.

Kemudian pergi kepada ayah dan ibu, bersalam mencium tangan mereka secara rutinnya di setiap pagi. Tapi pelik pula melihat reaksi muka mereka. Semuanya kehairanan. Terus ayahku bertanya kepadaku; "Bukan dah berhenti kerja ker jumaat lepas? Ni nak pergi mana pulak ni?"

Baru sahaja nak menyarung kasut, setelah terdengar ayah berkata begitu, terfikir 2 kali; "Ha'ah..aku dah berhenti kerja laa..hahaha!!", monolog di dalam diriku.

Inilah akibatnya telah menjadi rutin seharianku yang telah bersebati dengan kerjaku. Sehingga tidak teringat pun yang saya sudah pun berhenti kerja. Apabila terpisah dengan kebiasaan ini, terasa seperti terlalu banyak melanggar rutin harianku. Bagaimanalah ingin saya menghadapi di luar kebiasaan ini.

Barulah tahu bagaimana rasanya kehidupan mereka yang pencen seperti ibu. Tengok kerja hariannya yang bangun pagi menonton "Tanyalah Ustaz", kemudian basuh baju, kemudian rehat sebentar, kemudian menjemur baju, kemudian berehat sebentar, kemudian masak, kemudian menonton sinetron di TV Oasis, kemudian solat, kemudian berehat sebentar. Maka begitulah juga kehidupanku sekarang. Ya Allah... Tak bestnya!!!

Kalau di sekolah, bolehlah selalu kena "kacau" dengan ustaz-ustaz di bilik guru. Tengok gelagat murid-murid. Riuh rendah "jiran" bilik guru lelaki. Menikmati bunyi botol air yang disepak-sepak oleh murid sekolah rendah. Berjalan-jalan antara bangunan Zawiyah ke bangunan sekolah menengah untuk bersenam. Jawab salam murid-murid kepada kita. Tapi sekarang tiada lagi..

Tapi bila kita ambil positive side daripada peristiwa ini, sebenarnya lagi banyak benda yang kita boleh buat. Dapat habiskan 1 juz tilawah dalam masa 1 jam sahaja. Dapat banyakkan ibadah solat sunat dan zikir. Dapat berbakti dengan mak. Banyak masa saya ketika ini boleh luangkan bersama ibu saya yang mana sebelum ini hanya dapat jumpa mak sebelum pergi kerja dan sebelum dia tidur. Semua yang Allah takdirkan punya hikmah-Nya yang tersendiri.